Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
100,153
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

SEDAR tidak sedar, hari yang dinanti telah tiba. Hari ini Ketua Jabatan mereka yang baru akan datang mendaftarkan diri di balai polis di mana Mira dan Zuha bertugas. Sejak semalam lagi Mira rasa dadanya sentiasa berdebar-debar. Tetapi dalam masa yang sama dia tidak sabar hendak berjumpa dengan Ketua Jabatannya yang baru dan dia juga berharap agar Ketua Jabatannya ini akan lebih adil dan bertanggungjawab dalam mentadbir jabatan mereka.

Jam telah menunjukkan pukul 7.20 pagi. Mira telah lama mandi. Tetapi dia masih lagi duduk di birai katil, hanya memakai T-shirt dan kain batik. Sejak pukul 6.30 pagi tadi perutnya terasa memulas-mulas. Sudah dua kali dia masuk ke tandas. Sakitnya seolah-olah tali perutnya dipintal-pintal. Dan dia juga muntah dua tiga kali sehingga menyebabkan tubuhnya rasa begitu lemah.

Zuha datang ke biliknya dengan membawa sebotol minyak angin berwarna hijau. Dia telahpun siap berpakaian seragam.

“Kau makan apa semalam ni Mira sampai cirit birit dan muntah-muntah ni? Food poisoning ni...,” tanya Zuha sambil tangannya menyapu minyak angin ke perut Mira.

“Mira pergi kenduri kahwin semalam. Mak yang beria-ia sangat mengajak...,” jawab Mira dengan wajah berkerut menahan sakit perut yang masih belum reda. Tetapi apabila tangan Zuha tersasar ke bahagian pinggangnya terus Mira menjerit.

“Eh, apahal kau ni Mira?” Terkejut Zuha apabila Mira tiba-tiba menepis tangannya.

“Gelilah Zuha. Jangan lah kau urut kat pinggang.” Tersengih Mira apabila memaklumkan sebabnya.

“Mengada-ngada betullah kau ni Mira. Macam-macam pantang,” rungut Zuha sambil tangannya menuang lagi miyak angin ke tapak tangan.

“Ni mesti lauk orang kahwin dah tercemar, tak pun cili tak ditumis sampai betul-betul masak. Itulah...lain kali dia orang ni kena panggil aku untuk ajar masak.” Sempat lagi Zuha bergurau menyebabkan Mira ketawa juga. Kalau bab memasak dan mengkritik makanan, memang Zuha hebat mengalahkan juri mastercheff.

“Engkau ni Zuha...aku sakit-sakit macam ni pun nak bergurau...,” ujar Mira dalam kesakitan yang masih berbisa.

“Hehehee....hidup ni kan mesti sentiasa ceria...itukan ubat untuk.....”

“Aku tahu..untuk awet muda...dah banyak kali engkau ulang benda yang sama. Tak ada ke petua yang lain engkau nak bagi?” sampuk Mira sebelum Zuha sempat menghabiskan kata-katanya. Sesekali wajahnya berkerut apabila perutnya ditekan agak kuat oleh Zuha.

“Amboi...melawan nampak cik kak kita ni? Aku tak habis cakap lagi kau dah potong,” pintas Zuha dan dengan sengaja dia menekan-nekan perut Mira beberapa kali.

“Gelilah Zuha.....betullah kata aku tu. Sejak aku duduk dengan engkau ni, itu je lah yang petua yang kau bagi kat aku....” Zuha ketawa mendengar kata-kata Mira. Memang sengaja dia berkata begitu untuk mengusik Mira.

“Zuha, aku rasa aku ambil cuti kecemasan hari ni lah. Kau bagi tahu kat ASP Ramli ya. Tak larat lah aku nak pergi kerja macam ni,” ujar Mira sambil membetulkan semula ikatan kain batiknya selepas diurut oleh Zuha sebentar tadi. Bau minyak angin gamat terawang-awang di ruangan bilik.

“Ya lah...aku pun kesian tengok kau macam ni. Biarlah aku bawak kau pergi klinik.” Zuha meraba dahi Mira untuk memastikan kawannya itu tidak demam.

“Tak apalah Zuha. Aku nak rehat je. Perut aku dah lega sikit bila kau urut ni,” jawab Mira. Memang dia malas nak bergerak ke mana-mana. Apa yang dia mahu hanya melingkar sahaja di katil dalam keadaan yang tidak selesa begini.

“Tengoklah tangan siapa yang urut kan....,” jawab Zuha dengan senyuman lebar.

“Tu yang aku malas nak puji tu.....,” ujar Mira membalas usikan Zuha walaupun dalam keadaan yang tidak sihat. Zuha hanya tersengeh-sengeh lalu bangun melangkah ke muka pintu bilik.

“Eh Mira, lupa pulak. Hari ini bos baru kita sampailah...rugilah engkau sebab tak dapat tengok dia...,” beritahu Zuha setelah dia teringat tentang kedatangan Ketua Jabatan baru mereka itu.

“Tak ada ruginya. Lain la kalau muka dia macam Tom Cruise kan.....hehehe,” jawab Mira sambil menayangkan gigi yang cantik tersusun.

“Eh Mira. Aku ni musykil la. Kau ni sakit ke atau sengaja tak mau datang kerja ni. Boleh pulak loyar buruk dengan aku,” bebel Zuha dengan mata bulat memandang Mira.

“Tak dapat jadi lawyer, jadilah loyar buruk kan,” jawab Mira kemudian ketawa mengekeh lagi.

“Dah lah. Kau pergi tidur. Layan lawyer buruk ni buat aku sakit kepala je. Aku nak pergi kerja dah ni. Apa-apa call je aku kat balai tau,” pesan Zuha sebelum melangkah keluar bilik.

“Orait dear....,” jawab Mira. Dia kemudian baring semula untuk tidur seketika dengan harapan cara itu akan dapat membuatkan dia melupakan sebentar kesakitan yang dirasainya.

PUKUL 5.30 petang, apabila Zuha balik dari pejabat, perkara pertama yang terpacul dari mulutnya ialah...

“Eh Mira, handsome betullah boss baru kita tu, tergoda aku tau tak...,” komen Zuha dengan senyuman yang meleret. Terus dia duduk di sebelah Mira yang sedang membaca Majalah Wanita di ruang tamu. Mira menggeleng kepala melihat telatah Zuha.

“Engkau ni Zuha...pantang betul tengok orang handsome sikit. Asal handsome je tergoda, asal handsome je semua pakwe kau.” Memang Mira sudah cukup faham dengan sikap Zuha yang satu ini. Kalau menonton televisyen habis semua pelakon yang handsome semua dicanangkan sebagai “boyfriend” nya.

‘Ye lah...aku ni kan single and available lagi. Mak aku kat kampung pun dah bising bila aku nak bawak balik bakal menantu dia. Macam lah menantu ni boleh aku pilih kat pasar ikan kan. Bestnya kalau aku dapat jadi girlfiend dia......,” jawab Zuha sambil beberapa kali mengerdipkan mata tanda menaruh harapan yang begitu tinggi.

Mira terus menampar peha Zuha, cuba mengejutkannya dari angan-angan Mat Jenin yang tidak pasti akan dapat dicapai.

“Adooiiiii...sakitlah Mira. Tangan kau ni nampak je kurus, tapi kalau tampar orang pedih tau,” rungut Zuha sambil menggosok pehanya.

“Tu denda untuk orang yang kuat berangan Mat Jenin macam kau ni,” jawab Mira geram. Dibulatkan matanya memandang Zuha yang kemudian tersengih-sengih memandangnya.

“Tapi kan Mira........aku rasa macam pernah nampak muka dia la, tapi aku lupa kat mana.” Zuha mengurut-ngurut dagunya dan mengangguk beberapa kali. Fikirannya seperti sedang cuba untuk mengingati masa tersebut.

“Kat mana pulak kau jumpa dia? Kau ni Zuha...semua orang kau kata kau pernah kenal. Okey...sekarang kau bagi tahu aku siapa nama boss baru kita tu,” tanya Mira kemudian membetulkan duduknya menghadap Zuha yang masih berpakaian seragam. Mug berisi milo panas yang baru dibancuhnya sebentar tadi diangkat dan dengan perlahan Mira menghirup milo yang masih panas.

“ASP Faizal.....,” jawab Zuha dengan senyuman meleret di bibir. Pandangan matanya seolah hanyut ke lautan indah.

Hampir tersembur air milo yang masih belum habis ditelan apabila nama itu disebut. Dengan pantas Mira menutup mulutnya dan sedaya upaya cuba menelan air yang masih bersisa. Kemudian Mira terbatuk batuk kerana tersedak. Matanya yang sebentar tadi telah terarah ke televisyen buntang menoleh semula ke wajah Zuha. Serta merta itu juga wajah lelaki yang melanggarnya di Jaya Jusco tempohari terpamer di pandangan matanya. Betul ke apa yang aku dengar atau gegendang telinga ni dah makin rosak sebab selalu sangat diterjah putik kapas?

“Eh eh...kenapa kau ni Mira?” tanya Zuha kerisauan. Dia terus menepuk belakang Mira berkali-kali.

“Kau kenal dia ke?” tanya Zuha lagi inginkan kepastian kerana reaksi Mira sebentar tadi amat memeranjatkan seolah-olah dia begitu kenal dengan lelaki bernama Faizal itu. Merah padam muka Mira bak kulit udang yang dipanggang.

Mira menggeleng kepala beberapa kali. Adakah Faizal itu? Ah, takkanlah si kurus kering ular lidi itu seorang saja yang bernama Faizal di Malaysia ni? Ramai lagi orang yang guna nama Faizal, contohnya Faizal OIAM, Faizal HotFM, Faizal Nawawi....lagipun Faizal yang Zuha kata ni handsome, sedangkan Faizal itu penuh dengan jerawat batu dan kurus kering....tapi.....Faizal yang aku jumpa di Jaya Jusco tu.....dia juga sudah berubah.

“Eh Mira, kau ni banyak menung lah. Pening aku,” tegur Zuha apabila dilihatnya Mira diam saja, langsung tidak menjawab segala pertanyaannya.

“Err..tak ada lah...dia ada bagi ucapan apa-apa tak?” Mira cuba berdalih dan terus bertanya perkara lain untuk mengelakkan Zuha dari terus bertanya mengenai perubahan sikap Mira sebentar tadi.

Zuha menggeleng kepala.

“Tak ada pun. Dia kata dia akan buat mesyuarat bila semua dah ada kat pejabat. Lagipun hari ini ramai yang cuti, ada yang pergi kursus, mc lah, emergency leave lah...,” jawab Zuha sambil mengerling dan tersenyum ke arah Mira.

“Nak kenakan aku lah tu....,” jawab Mira yang faham maksud jelingan Zuha memandangkan dia mengambil cuti kecemasan hari ini.

“Eh apa pulak..takkanlah aku nak kenakan kawan baik aku sendiri pulak kan...eh, perut kau dah okey ke?” tanya Zuha. Lupa pulak dia ingin bertanya tentang sakit perut yang dialami oleh Mira pagi tadi.

“Alhamdulillah...lepas aku telan panadol, lepas tu bancuh teh pekat dan tidur kejap, dia okey sikit. Esok bolehlah aku pergi kerja,” jawab Mira.

“Baguslah. Nanti boleh kau berkenalan pulak dengan bos kita yang handsome tu. Kalau dia bujang kau tackle lah dia. Kau pun cantik....,” usik Zuha sambil mengusap lengan Mira dengan lembut.

“Isshh kau ni Zuha. Ada-ada je lah. Pergilah mandi. Masam tau...,” bidas Mira. Sengaja dia ingin Zuha pergi dari situ supaya dia dapat berfikir dengan tenang buat seketika.

“Eh eh....tolong sikit. Aku ni tak mandi dua hari pun wangi lagi tau...orang berimanlah katakan...” Seperti biasa Zuha tetap ada jawapannya.

“Piiirahh...” balas Mira kemudian mereka sama-sama ketawa.

“Eh Mira.....” Tiba-tiba Zuha memanggil Mira.

“Kenapa ni?” tanya Mira-hairan.

“Betullah...aku rasa macam pernah nampak ASP Faizal tu la...tapi aku tak ingat la,” jawab Zuha sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

Terus insiden di AEON tempohari bermain semula di ruang fikiran Mira. Adakah dia? Sekali lagi pertanyaan itu menerjah fikiran Mira. Dada Mira berdebar-debar...dia sangat bimbang.

“Isshh kau ni Mira..asyik menung, menung.....pelik betullah aku. Kau ni kenapa? Cuba cerita kat aku sikit,” rungut Zuha.

“Tak ada apa-apalah Zuha...aku ok je,” jawab Mira.

“Itu je la jawapan kau. Lepas tu menung balik. Dah la, aku nak mandi,” omel Zuha sambil berjalan masuk ke bilik.

“Eh Zuha! aku dah masakkan mee goreng tadi. Ada kat dapur. Kalau tak malu kau makanlah...,” laung Mira apabila Zuha telah masuk ke dalam bilik.

Terjengul muka Zuha di pintu bilik.

“Aku memang kena makan mee tu sebab engkau masak guna dapur aku. Itu pun tak mintak izin....,” bidas Zuha sambil ketawa mengekeh.

“Hantu kau Zuha!!!..” jerit Mira sambil membaling kusyen kecil di atas kerusi ke arah Zuha. Tetapi Zuha pantas mengelak lalu cepat-cepat menutup pintu bilik. Mereka berdua ketawa lagi. Hilang sebentar cerita ASP Faizal dari fikiran Mira.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha