Dia tak diam
telah dua minggu Faizal bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh memegang
jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di sini. Dan dalam dua minggu
itu jugalah dia sering melihat Amira Saira yang juga turut bertugas di balai
yang sama. Walaupun perubahan fizikal Amira telah banyak berubah namun senyuman
manisnya tetap sama seperti dulu. Cuma senyuman itu tidak pernah diberikan
kepada Faizal. Faizal hanya dapat melihatnya apabila Amira Saira berbual dengan
kawan-kawannya atau dengan pegawai yang lain.
Faizal tahu
Amira Saira sangat marah padanya. Mungkin juga sehingga sekarang perasaan marah
itu masih lagi merah membara kerana Amira Saira tidak pernah menunjukkan
tanda-tanda bahawa dia telah memaafkan Faizal. Faizal sedar dia yang bersalah.
Oleh itu dia tidak mahu terburu-buru mendekati Amira Saira walaupun dia boleh
mengeluarkan apa sahaja arahan memandangkan dia adalah ketua jabatan di sini.
Faizal
mengimbas kembali kenangan semasa mereka bersekolah dahulu. Faizal tergelak
sendiri apabila dia teringatkan kenakalannya di sekolah. Memang dia akui dia
agak nakal. Bukan sekali, bahkan telah banyak kali Cikgu Hasnol memanggilnya ke
bilik guru atas kesalahan disiplin yang telah dilakukannya. Pernah sekali dia
meletakkan sirap merah atas kerusi Fatin yang terkenal kerana kecantikannya di
sekolah mereka. Fatin memandangnya sebelah mata kerana dia tidak sekacak
pelajar-pelajar lelaki lain di sekolah mereka malah Fatin membencinya dan
sering mengejeknya dengan perkataan cicak kubing. Tanpa dilihat oleh seseiapa,
dia meletakkan beberapa titik sirap ros di atas kerusi Fatin. Fatin langsung
tidak sedar perkara ini dan apabila dia bangun, semua mata memandang ke
bahagian belakangnya kerana sirap itu kelihatan seperti darah haid yang meresap
ke bajunya. Merah padam muka Fatin kerana malu dan Faizal yang memerhatikan
dari jauh ketawa besar sampai meleleh-leleh
air mata. Mana tidaknya, dia dapat melihat Fatin yang berjalan
tersipu-sipu menuju ke bilik air sambil menutup belakang bajunya dengan kertas
lukisan besar.
“Apa kena kau
ni Fatin? Period tembus ke?” tanya
Faizal, sengaja hendak memalukan Fatin. Fatin hanya memuncung dan terus berlari-lari ke tandas perempuan. Faizal
dan kawan-kawannya ketawa berdekah-dekah sehingga berair mata. Dan sehingga
kini Faizal yakin tiada siapa yang tahu bahawa dia lah yang melakukan perkara
itu kepada Fatin.
“Apa kena
dengan kamu ni Faizal? Saya terima banyak sangat aduan. Dari guru-guru, dari
pelajar, dari orang luar..... Apa masalah kamu ni sebenarnya?” Cikgu Hasnol
bertanya dengan pandangan yang tajam. Wajahnya serius tanpa sebarang senyuman
yang terpamer. Faizal hanya tunduk memandang lapik meja berbunga-bunga kecil
warna biru. Jari-jarinya menarik-narik plastik putih yang dihamparkan di atas
meja itu. Dia bosan sebenarnya. Setiap kali ada aduan, dia akan dipanggil.
Setiap kali ada pelajar perempuan yang menangis, dia akan dipanggil. Bosan! Dia
memang bosan. Di rumah, bapanya selalu terjerit jerit memarahinya. Di sekolah
pula guru disiplin iaitu Cikgu Hasnol pula menggantikan peranan bapanya dalam
soal siasat. Apa yang mereka mahu daripadanya? Salahkah sekiranya dia ingin
bergurau dan bermain-main dengan kawan-kawannya sendiri?
Dia bukannya
membunuh orang malah memegang pun tidak. Hanya kata-kata yang agak kasar tidak
akan mencacatkan anggota tubuh pelajar-pelajar yang diusiknya itu. Manja
sangat. Usik sikit pun tak boleh.....ejek Faizal dalam hatinya. Dia tersenyum
sendiri tanpa sedar yang cikgu Hasnol masih memerhatikan setiap tindak
tanduknya.
“Kenapa awak
senyum-senyum ni Faizal? Kenapa awak tak jawab soalan saya?” Cikgu Hasnol masih
cuba untuk bersabar dengan kerenah anak muda di hadapannya.
“Apa lagi
yang saya nak jawab cikgu? Saya bukannya buat apa-apa. Usik-usik je. Bukannya
luak pun. Dia orang tu yang manja sangat....,” jawab Faizal selamba. Sama
seperti jawapannya dalam kes-kes yang lain.
“Itu kata
awak....awak mendefinasikan perbuatan awak sebagai usik sahaja, tapi tidak bagi
pelajar tersebut. Mereka merasakan usik-mengusik awak tu dah keterlaluan
sehingga memalukan mereka. Awak panggil orang dengan gelaran yang tak
sepatutnya, bubuh katak, usik barang-barang mereka...semua ini memberikan
tekanan kepada pelajar tersebut...,” tegas Cikgu Hasnol. Nada suaranya agak
tinggi kerana dia mahu Faizal sedar bahawa perbuatannya adalah salah.
Katak?
Gelaran yang mengaibkan? Ha! Dia sudah tahu siapa yang membuat aduan kali ini.
Tentu budak gemuk bernama Amira itu. Faizal mahu tergelak apabila kejadian Mira
menjerit kerana gelikan katak bermain semula di matanya. Tetapi apabila
melihatkan wajah Cikgu Hasnol yang masih serius, sedaya upaya Faizal cuba
menahan perasaan geli hatinya. Huh! Padan muka kau! Kau tak kenal siapa Faizal!
Getus hati Faizal bangga kerana telah berjaya mengenakan Amira.
“Faizal?”
panggil Cikgu Hasnol dengan suara yang tinggi apabila dilihatnya Faizal tidak
mengendahkan kata-katanya.
“Errr..ya
cikgu?” Tergagap-gagap Faizal menyahut. Kecut juga perutnya apabila mendengar
nada suara Cikgu Hasnol yang tinggi.
“Kenapa awak
tak jawab?” tanya Cikgu Hasnol dengan pandangan yang tajam.
“Saya nak
jawab apa lagi cikgu? Saya main-main aje,” jawab Faizal selamba. Malas dia
hendak bertekak dengan Cikgu Hasnol tentang apa yang telah berlaku.
“Saya nak
awak minta maaf dengan dia.” Tiba-tiba sahaja Cikgu Hasnol membuat keputusan
tanpa sebarang pertimbangan lain lagi.
“Dengan siapa
cikgu?” tanya Faizal pura-pura tidak tahu.
“Awak jangan
buat-buat tak tahu, Faizal,” ujar Cikgu Hasnol. Geram sungguh dia melihat sikap
Faizal yang langsung tidak bertanggungjawab. Sementara itu tangannya menulis
sesuatu di dalam diari tugasannya di sekolah.
“Betul
cikgu,” serentak itu juga Faizal mengangkat tangan kanannya seolah-olah sedang
bersumpah.
“Jangan nak
bersumpah-sumpah pulak. Lepas ni saya nak awak minta maaf dengan Amira,” ujar
guru kaunseling itu dengan wajah yang serius.
Faizal
tersenyum. Betul tekaannya. Amira Saira yang telah membuat aduan mengenainya.
Minta maaf? Mungkin boleh tapi aku tidak akan mengalah dengan engkau semudah
itu Amira....bisik hati Faizal geram.
“Baik cikgu,
saya janji akan pergi mintak maaf dengan dia nanti,” ujar Faizal dengan wajah
yang disedihkan penuh kepura-puraan.
Tetapi
ternyata guru yang telah mempunyai banyak pengalaman mengendalikan kerenah
pelajar-pelajar sekolah tidak mudah tertipu dengan sekadar reaksi luaran. Cikgu
Hasnol mengulum senyum di hujung bibir.
“Tak semudah
itu Faizal...,” ujarnya dengan senyuman sinis. Faizal mendongak - hairan.
“Pukul 11.00
pagi, saya akan panggil Amira ke bilik kaunseling dan awak akan meminta maaf
kepadanya di hadapan saya,” jelas cikgu Hasnol. Dia memandang wajah Faizal cuba
mencari reaksi anak muda itu.
Ada tanda
kejutan terpamer di wajah anak muda itu. Reaksinya seolah-olah cuba membantah
tetapi gelengan kepala cikgu Hasnol memberikan jawapan tersirat bahawa dia
tidak boleh membuat apa-apa rayuan. Dengan longlai Faizal keluar dari bilik
cikgu Hasnol. Entah berapa banyak sumpah seranah yang dihamburkan dalam hatinya
terhadap Amira Saira. Dia tidak menyangka begitu berani sekali gadis itu
mengadu kepada cikgu Hasnol tentang perbuatannya. Nantilah kau...sekali lagi
Faizal berbisik geram.
“Apa cikgu
Hasnol cakap?” Aswazi yang telah begitu lama menunggu di dalam kelas terus
melontarkan soalan.
“Ah! Diamlah
kau!” marah Faizal. Wajahnya masam mencuka. Pelajar-pelajar lain yang turut
berada di kelas hanya menjeling dan berbisik-bisik dari jauh. Faizal
menghempaskan punggungnya ke kerusi dengan kasar. Meja kayu yang hampir penuh
dengan contengan dan lakaran akibat vandalisme diketuk beberapa kali. Marahnya
terhadap Amira Saira semakin menggunung. Laharnya seolah-olah menunggu masa
untuk meletup.
“Eh, apahal
ni kawan....” Aswazi masih tidak puas hati. Dia menarik kerusi di sebelah
tempat duduk Faizal kemudian menariknya rapat ke meja Faizal.
“Siapa yang
komplen pulak kali ni?” tanya Aswazi lagi masih ingin tahu.
Faizal malas
hendak menjawab soalan-soalan Aswazi. Matanya memandang tepat ke papan hitam
yang masih bertulis dengan beberapa angka dan pengiraan. Dia seolah-olah
terbayangkan wajah Amira Saira yang sedang ketawa dan mengejek-ngejeknya.
“Tummm!!”
Aswazi
terlompat apabila tiba-tiba sahaja Faizal menumbuk meja dan terus melangkah
keluar dari kelas. Pelajar-pelajar lain yang berada di dalam kelas itu juga
tersentak dan semua mata memandang ke arah Aswazi. Aswazi menjungkitkan bahunya
lalu bergegas keluar membuntuti Faizal.
“Kau ni
kenapa Faizal? Nak ke mana ni?” tanya Aswazi lagi sambil beriring berjalan
dengan Faizal.
“Aku nak cari
minah gemuk tu. Berani dia mengadu pasal aku kat cikgu Hasnol,” jawab Faizal
dengan geram. Jari jarinya digenggam erat tanda panasnya hatinya di waktu ini.
“Jangan buat
yang bukan-bukan Faizal. Nanti kalau kau kena buang sekolah lagi teruk.” Aswazi
cuba memujuk kerana dia sayangkan kawan baiknya itu.
“Ah!! Aku tak
peduli. Minah tu memang nak kena ajar sebab kurang ajar sangat,” bentak Faizal
lagi. Wajahnya semakin panas membakar. Aswazi hanya mampu menggeleng kepala
namun dia terus mengekori langkah Faizal.
Langkah
Faizal terhenti apabila dia dapati Cikgu Sharon berada di dalam kelas 5 Mawar.
Niatnya untuk bersemuka dan membuat perhitungan dengan Amira Saira sebelum
bertemu dengan Cikgu Hasnol terbantut. Faizal bersandar di koridor bersetentang
dengan pintu bahagian belakang kelas Amira.
Dia menunggu sekiranya Amira akan menoleh ke belakang sebentar. Jadilah
sekiranya dia dapat menunjukkan penumbuknya kepada perempuan gemuk itu sebagai
amaran. Lima minit berlalu tetapi Amira langsung tidak menoleh malah cikgu
Sharon pula yang merenungnya tajam beberapa kali. Akhirnya dengan berat hati
Faizal melangkah semula ke kelasnya.
“Cikgu Hasnol
suruh aku mintak maaf dengan minah gemuk tu pukul 11.00 nanti kat bilik
kaunseling,” beritahu Faizal perlahan tetapi penuh kemarahan.
“Berani ya
perempuan tu,” komen Aswazi, terkejut juga kerana buat pertama kali ada pelajar
yang berani mengadu tentang kelakuan Faizal.
“Itulah,
sakit betul hati aku. Selama ni bukan tak ada aku usik budak-budak lain, tapi
tak siapa berani report kat cikgu.
Ini...baru datang sini dah nak tunjuk besar kepala. Dia ingat dia tu siapa? Dia
ingat bapak dia Inspektor polis, aku takut??,” bebel Faizal tidak puas hati.
Genggaman tangannya semakin kuat mencengkam.
“Habis tu kau
kena pergilah ni?” tanya Aswazi lagi sambil menggaru kepala yang gatal.
“Memanglah....kalau
aku tak pergi nahas aku kena marah dengan cikgu Hasnol. Lagi teruk lalau dia report pulak kat bapak aku tu...,” jawab
Faizal gelisah. Dia merenung jauh kemudian meraup rambutnya yang terjuntai di
dahi ke belakang.
“Apa kau nak
risau. Bapak kau bukan selalu ada kat rumah pun. Kalau yang dapat tahu pun
mungkin emak kau je...,” pujuk Aswazi, cuba meredakan keresahan Faizal.
“Aku tak nak
tanggung risiko lah Zi,” luah Faizal dengan nada suara yang semakin mengendur.
Aswazi
mengangguk. Kasihan pun ada dengan Faizal yang telah menjadi kawan baiknya
sejak mereka di sekolah rendah lagi. Boleh dikatakan dia tahu semua perkara
mengenai Faizal dan keluarganya. Dia simpati pada Faizal dan dia faham kenapa
Faizal selalu mengusik pelajar-pelajar lain dan cuba menunjukkan kekuatan dan
kehebatannya. Itu semua disebabkan oleh sikap bapa Faizal sendiri yang panas
baran dan sering memukulnya sejak dari kecil sehinggalah sekarang. Perasaan
marah kepada ayah sendiri diluahkan dengan cara membuat apa sahaja yang
disukainya demi untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Mereka merokok,
mengusik pelajar-pelajar perempuan, melepak, menconteng dinding awam dan
adakalanya ponteng sekolah. Tetapi bagi mereka semua yang mereka lakukan masih
ada batasan. Mereka tidak sama sekali melakukan perbuatan jenayah yang lain
seperti merompak, meragut, dan menghisap dadah.
Aswazi
teringat kisah pada tahun lepas yang mana pada satu malam Faizal telah datang
ke rumahnya dengan wajah yang lebam-lebam.
“Apa kena kau ni Faizal?” tanya Aswazi sambil
menggeleng kepala. Nasib baik Faizal datang pada waktu malam ke rumahnya jadi
kesan lebam itu tidak begitu ketara di pandangan ibu bapa Aswazi yang menyedari
kehadiran Faizal.
Mereka berdua
duduk di halaman rumah Aswazi yang dipenuhi dengan pokok-pokok palm merah yang
ditanam oleh ibunya. Hanya cahaya dari lampu pagar sahaja yang menerangi kerusi
taman yang diletakkan di situ.
“Jom kita
duduk situ,” tunjuk Aswazi kepada kerusi batu yang berwarna putih. Faizal hanya
mengikut. Sesekali wajahnya berkerut menahan rasa sakit di bibirnya.
“Sakit?”
tanya Aswazi apabila dilihatnya Faizal memegang bibirnya yang kebiruan.
“Aku ambikkan
ais nak? Kau tuam kat situ,” tanya Aswazi lagi. Matanya memerhati setiap sudut
wajah Faizal.
“Boleh
jugak,” jawab Faizal walaupun bibirnya terasa amat sakit dan sengal.
Aswazi terus
bangun menuju ke pintu dapur. Tidak lama kemudian dia keluar dengan semangkuk
ais batu dan sehelai tuala kecil. Ketulan ais batu itu dimasukkan ke dalam
tuala kecil, dibunjutkan lalu diberi kepada Faizal.
“Tuam kat
lebam tu, cepat surut sikit,” arah Aswazi.
Faizal menuam
bibirnya perlahan-lahan. Air mata yang bergenang cuba ditahan dari mengalir.
Hatinya sebak. Di saat dia memerlukan keluarga, tetapi kawan baiknya pula yang
membantu.
“Apa dah
jadi? Kau gaduh dengan bapak kau lagi ke?” tanya Aswazi lagi walaupun dia sudah
tahu jawapannya. Dia menggeleng kepala memikirkan nasib Faizal.
Faizal
membiarkan sahaja soalan Aswazi tidak berjawab. Jika dia tidak menjawab pun dia
tahu Aswazi sudah dapat mengagak. Selalunya memang itulah sebabnya sekiranya
dia datang dengan bibir yang berdarah dan lebam-lebam di muka dan badan.
“Kali ni
pasal apa pulak?” Aswazi terus duduk berhadapan Faizal.
“Aku tegur
dia pasal apa lama tak balik. Mak aku tu pun isteri dia jugak. Bukan bini muda
dia aje. Lepas tu dia naik angin. Terus dia bukak tali pinggang besi dia dan
pukul aku,” jawab Faizal sambil sesekali dia mengaduh kesakitan.
Aswazi
menggeleng kepala. Kesal dengan sikap bapa Faizal yang sangat ringan tangan
memukul Faizal.
“Entahlah
Faizal, kesian jugak aku tengok kau ni. Bapak kau bila nak kahwin lain bagi
alasan nak ikut sunnah Nabi tapi bila dah kahwin tak ada pulak nak ikut
perangai Nabi dalam menjalankan tanggungjawab dia sebagai suami,” keluh Aswazi
agak kecewa.
Faizal hanya
mengeluh panjang. Bibirnya masih terasa sakit. Dia berat hendak balik ke rumah
kerana tidak mahu bertembung lagi dengan ayahnya. Sebentar tadi apabila dia
dipukul dengan teruk, ibunya hanya mampu menangis dan menjerit-jerit meminta
agar ayahnya berhenti memukul tetapi ayahnya langsung tidak mengendahkan. Oleh
kerana tidak tertanggung lagi sakit yang menghentam-hentam tubuh kurusnya,
Faizal nekad menolak ayahnya lalu berlari sekuat hati meninggalkan rumah. Dia
tidak tahu apa yang berlaku kepada ayahnya. Jatuhkah, terkejutkah,
marahkah....dia tidak mahu langsung ambil peduli. Apa yang dirasakannya
sekarang adalah perasaan marah yang meluap-luap terhadap lelaki yang mempunyai
pertalian darah yang amat rapat dengannya itu.
“Kau tidur
sini saja lah. Rumah aku pun bukannya ada orang. Aku dengan mak dan ayah aku
je. Adik-adik aku balik kampung, duduk dengan tok wan dua hari ni. Nanti aku
bagitahu mak ayah aku.” Seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiran Faizal,
Aswazi menawarkan pertolongan.
Fizal
merenung Aswazi agak lama. Air matanya bertakung di kelopak mata. Cepat-cepat
dia menoleh ke tempat lain apabila perasaan sebak semakin menebal di hatinya.
Aswazi menepuk bahu Faizal beberapa kali.
“Dah lah
tu...kita kan kawan. Jom masuk,” ajak Aswazi.
“Aku tak nak
mak ayah kau nampak muka aku macam ni. Nanti dia orang ingat aku bergaduh
dengan orang,” ujar Faizal sebak. Faizal
sungguh berasa malu dengan keadaannya
sekarang. Malu kerana dipukul teruk oleh ayahnya sendiri.
“Mak ayah aku
tahu pasal ayah kau. Maafkan aku sebab cerita pada mereka tapi aku nak ibubapa
aku tahu siapa kawan-kawan aku,” jelas Aswazi sambil mengangguk cuba
menyakinkan Faizal tentang keluarganya.
“Diorang
cakap apa pasal aku?” tanya Faizal ingin tahu.
“Mereka pun
kesiankan kau Faizal. Tapi mereka tak mahu campur tangan uruan keluarga orang
lain.....,” jawab Aswazi lagi.
“Aku
faham....,” balas Faizal dengan perasaan yang bertambah sedih.
Dan malam itu
Faizal tidur di rumah Aswazi semata-mata tidak mahu bertemu dengan ayahnya. Dia
benar-benar berharap ayahnya sudah pulang ke rumah isteri keduanya pada esok
hari. Sesekali apabila difikirkan, ada baiknya ayah berkahwin lain dan tidak
pulang ke rumah mereka. Apabila ayah tidak pulang, Faizal merasa bebas, bebas
melakukan apa sahaja di rumah dan bebas juga hendak keluar berjumpa kawan-kawan
pada bila-bila masa. Jika bapanya pulang, dia rasa bosan. Hendak keluar, takut
dimarah, hendak duduk menonton televisyen, dia bosan dan tidak mahu duduk
bersama dengan ayah di ruang tamu, hendak menghabiskan masa di dalam bilik
sepanjang hari, takut dilihat terlalu ketara kebenciannya terhadap ayah
sendiri. Ah! segalanya serba tidak kena.
Melihat
kemesraan keluarga Aswazi sewaktu mereka menjamah sarapan pagi, benar-benar
membuatkan Faizal cemburu dan sedih. Kenapa dia juga tidak punya ikatan
kekeluargaan seerat ini? Alangkah indahnya sekiranya dia sentiasa disayangi
oleh ayah memandangkan dia anak tunggal di dalam keluarga mereka.
“Kenapa
menung tu Faizal? Tambah lagi bihun tu....,” pelawa Halimah. Halimah iaitu ibu
Aswazi menghulurkan mangkuk berisi bihun goreng kepada Faizal yang hanya tunduk
sejak dari tadi. Kasihan pula Halimah melihatnya lebih-lebih lagi melihatkan
lebam-lebam yang masih kelihatan di muka dan badan Faizal.
Halimah dan
Mansur telah kenal dengan Faizal sejak Aswazi mula berkawan baik dengan Faizal.
Kalau tidak silap, sejak mereka di tingkatan satu lagi. Segala cerita mengenai
Faizal dan keluarganya mereka tahu kerana Aswazi selalu menceritakan kepada mereka.
Mereka sungguh kesian dengan nasib Faizal, tetapi untuk masuk campur urusan
keluarga Faizal, mereka rasa agak keberatan.
“Faizal nak
ke klinik ke? Boleh pakcik hantarkan. Lagipun hari ni pakcik cuti....,” pelawa
Mansur kerana risaukan keadaan Faizal. Manalah tahu sekiranya ada luka-luka
dalaman yang boleh menjejaskan kesihatan Faizal nanti. Mansur memandang wajah anak muda yang kurus
itu yang hanya mendiamkan diri sejak tadi.
Faizal hanya
menggeleng kepala.
“Tak apalah
pakcik. Sikit lagi hilanglah lebam dan sakit ni. Saya nak balik rumah. Takut
mak risau...,” jawab Faizal perlahan.
Perasaan
sebak datang lagi memenuhi ruang hati Faizal kerana yang mahu menghantarnya ke
klinik bukan bapanya sendiri tetapi orang luar yang lebih mempunyai perikemanusiaan
walaupun bukan sanak saudara sendiri.
“Faizal...pakcik
ni berat nak campur urusan keluarga Faizal tapi pakcik faham situasi yang
Faizal alami sekarang ni. Sebagai seorang pegawai di pejabat Agama Islam,
pakcik banyak kali berhadapan dengan masalah-masalah
macam ni. Tapi satu aje yang Faizal kena ingat. Seburuk mana pun sikap ibu bapa
kita, arahan mereka wajib kita patuhi selagi arahan tersebut tidak bertentangan
dengan agama Islam,” nasihat Mansur kepada Faizal. Dia tahu dalam keadaan sekarang,
Faizal amat marah kepada ayahnya.
‘Tapi
pakcik...sikap bapa saya ni memang dah bertentangan dengan agama. Dia berkahwin
dua tapi bersikap tak adil pada ibu saya. Dah lah tak bagi nafkah, bila balik
sekali sekala asyik nak marah aje.....” Faizal masih mempertahankan dirinya.
“Itu pakcik
tak nafikan. Tapi kita tegur lah cara elok. Mungkin Faizal terus menyerbu dia
dan marah-marah sebab itulah dia naik angin tak......” Mansur masih cuba memujuk dengan nada suara
yang perlahan. Dia tahu anak muda itu tidak boleh dipaksa kerana jika dipaksa
dia akan semakin memberontak.
“Siapa yang
tak marah pakcik......dulu masa dia nak kawin lain, mak izinkan. Mak redha.
Tapi ini balasan dia pada kebaikan mak selama ini,” bentak Faizal masih mahu
menegakkan rasa hatinya.
“Faizal.....anak
perempuan, tanggungjawab ibu bapa kepada dia hanya setakat dia belum berkahwin
sahaja. Bila dah berkahwin tanggungjawab itu akan bertukar kepada suami. Faizal
fikirkanlah kenapa mak Faizal begitu baik dengan ayah walaupun ayah Faizal buat
macam-macam kat mak Faizal. Sebab mak Faizal itu sudah berada di bawah
tanggungjawab suami dia kan....Jika dia menderhaka atau melawan suami dia, dia
akan berdosa, tak cium bau syurga. Itu yang mak Faizal mahukan dan bukan emak
Faizal sahaja, semua orang Islam mahu masuk syurga. Faizal tak bangga ke dapat
seorang emak yang begitu? Taat pada suami di dunia untuk jaminan tempat di
akhirat?” ujar Mansur lagi. Dipandangnya
dalam-dalam wajah Faizal cuba mencari rasa hati anak muda itu.
“Tapi
berbaloi ke taat pada suami macam tu pakcik. Itu taat membabi buta,” jawab
Faizal lagi dengan perasaan yang marah membara kepada ayahnya.
Mansur
menggeleng kepala beberapa kali dan beristighafar. Begitu dalam sekali
kebencian Faizal terhadap bapanya sendiri. Sebagai seorang yang mempunyai
pengetahuan yang lebih di dalam ilmu agama, Mansur rasa bertanggungjawab untuk
menasihati Faizal agar dia tidak terus berdosa kerana berperasaan begini. Dia
sedar semua ini bukan salah Faizal semata-mata tetapi sikap bapanya juga
menjadi punca perbalahan mereka. Isu poligami ini memang menjadi satu masalah
yang besar sekiranya si suami tidak bersikap adil dengan kesemua
isteri-isterinya. Ramai yang hanya mengikut nafsu semata-mata, pantang melihat
gadis jelita, hati meronta-ronta ingin memilikinya sehingga sanggup memejamkan
mata daripada melihat angka-angka di penyata gaji yang hanya cukup-cukup makan.
Selain itu ada antara mereka yang hanya mahu menunjukkan kehebatan mereka yang
masih lagi mampu memikat si jelitawan walaupun telah berkahwin dan mempunyai
anak. Sikap seperti inilah yang menyebabkan akhirnya rumahtangga yang dibina
porak peranda kerana nafkah isteri tidak mampu ditunaikan, kehendak anak-anak
tidak mampu dipenuhi dan yang menjadi masalah besar adalah apabila isteri muda
memonopoli suaminya sehingga menidakkan hak isteri pertama.
Mansur selalu
mengeluh apabila mendengar hujah para suami yang bersikap seperti tin kosong.
Bercakap besar tetapi tiada ilmu di dalam diri. Kebanyakan mereka menghafal
surah An Nisa, ayat 3 tetapi tidak sehingga akhir. Mereka hanya mengambil ayat
yang boleh menyokong tindakan yang mereka ambil iaitu ....
“Nikahilah oleh kalian
wanita-wanita (lain) yang kalian senangi dua, tiga, atau empat. ….,”
Ayat yang seterusnya mereka tinggalkan yang mana
sambungannya adalah……. “ …..akan tetapi jika kalian khawatir tiadak
akan dapat berlaku adil, maka nikahilah seorang saja atau nikahilah budak-budak
yang kalian miliki. Hal itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat
aniaya.”
Ayat inilah yang selalunya tidak dapat dipenuhi oleh
para lelaki yang suka berpoligami atau yang berpoligami hanya kerana nafsu.
“Faizal, pakcik sedar Faizal marahkan ayah
Faizal. Tetapi seperti yang pakcik kata tadi, walaubagaimanapun, mereka tetap
ibu bapa kita dan wajib kita menghormati mereka. Faizal cuba berbaik-baik
dengan ayah. Mungkin dengan cara itu dia akan sedar tentang keburukan sikapnya
selama ini. Api tidak boleh dilawan dengan api. Hanya air sahaja yang boleh memadamkan
api. Tetapi jangan pula dilemparkan air semasa api sedang marak menyala.
Tunggulah sehingga ia tinggal bara kemudian barulah disejukkan dengan air.
Untuk membuatkan ia menjadi bara, kita mesti biarkan api itu padam dulu dengan
sendirinya, kemudian perlahan-lahan kita datang dan memadamkannya. Faizal tentu
dapat menangkap maksud pakcik kan. Mulai saat ini, Faizal juga mesti
menunjukkan perubahan sikap. Kalau Faizal sendiri tidak suka dengan sikap panas
baran ayah Faizal, maka Faizal juga mesti menunjukkan perkara itu pada diri
Faizal sendiri. Faizal juga tidak
seharusnya menjadi seorang yang pemarah. Faizal mesti menunjukkan rasa hormat
dan sayang kepada ayah Faizal. Boleh tak Faizal buat perkara tu?” tanya Mansur penuh mengharap. Mansur
memandang Faizal yang hanya mendiamkan diri mendengar kata-katanya. Agak lama
dia menunggu untuk mendapatkan reaksi Faizal.
Akhirnya
Mansur lega dan rasa bersyukur apabila Faizal mengangguk walaupun jauh di sudut
hatinya dia tahu, perasaan marah Faizal
terhadap ayahnya masih terikat kuat di situ.