Ketukan beberapa kali di luar bilik Faizal membuatkan dia mendongakkan
kepala ke muka pintu. Masuk Sarjan Mejar Baharom lalu terus memberi tabik
hormat kepadanya. Faizal mengangguk sedikit.
“Tuan, kita dapat satu kes baru. Ada orang
melaporkan jiran mereka jalankan aktiviti menjual dadah,” jelas anggota polis
itu sambil menghulurkan catatan mengenai panggilan telefon yang dibuat.
“Di mana?” tanya Faizal.
“Di Pasir Puteh, tuan,” jawab Sarjan Mejar
Baharom.
“Baik, suruh Inspektor Borhan masuk jumpa saya
sekarang,” arah Faizal. Dalam keadaan seperti ini, dia perlu bertindak cepat.
Jika lewat, kemungkinan barang kes akan dilupuskan atau dipindahkan keluar dari
kawasan bidangkuasa mereka.
Setelah mendapat arahan, Sarjan Mejar Baharom
terus keluar untuk memanggil Inspektor Borhan. Tidak lama kemudian, seorang
pegawai polis berumur dalam lingkungan 28 tahun masuk ke bilik Faizal.
“Borhan, kita dapat maklumat aktiviti pengedaran
dadah. Saya nak awak aturkan pasukan untuk buat intipan dulu. Jika betul ada
aktiviti pengedaran, maklumkan pada saya dan kita akan buat serbuan,” terang
Faizal berkenaan laporan yang diterima.
“Baik, tuan. Saya akan aturkan intipan dengan
segera,” ujar Inspektor Borhan sambil membuat catitan ke dalam buku nota kecil
yang dibawanya.
“Awak ambil laporan ni dan maklumkan pada saya
perkembangan selanjutnya dari masa ke semasa,” arah Faizal lebih lanjut.
Sebelum Inspektor Borhan masuk menemuinya dia telahpun membuat catitan rasmi
mengenai laporan yang dikemukakan oleh Sarjan Mejar Baharom. Arahan-arahan
lanjutnya juga dan tindakan yang dirancang juga dicatitkan untuk rekod rasmi.
“Baik, tuan.” Inspektor Borhan memberikan tabik
hormat kemudian meninggalkan pejabat Faizal setelah mendapat arahan tugas yang
diperlukan.
Faizal kemudian mengambil beberapa fail berwarna
kuning air yang berada di atas meja. Diselaknya beberapa muka surat, membaca
sepintas lalu kemudian membuat beberapa minit ringkas di atas kertas kosong
yang sedia ada di dalam fail tersebut.
Apabila selesai, dia menyandarkan sebentar
tubuhnya ke kerusi. Dia melemparkan pandangannya ke luar bilik. Memerhatikan
beberapa anggota polis yang kelihatan agak sibuk dengan tugas masing-masing.
Ada yang beruniform dan ada yang hanya berpakaian preman. Tubuhnya yang agak
lenguh kerana sudah begitu lama duduk di kerusi digerak-gerakkan sedikit.
Kakinya yang panjang dan sasa dilunjurkan dan ditegangkan untuk melancarkan
perjalanan darah beberapa ketika.
Faizal mengambil mug berisi air Nescafe
yang sudah hampir suam di sudut kiri meja. Diteguknya Nescafe itu beberapa kali
kemudian mug itu diletakkan semula di tempat asal.
Faizal menggerakkan pula bahu kirinya beberapa
kali kemudian perlahan-lahan jari-jemarinya meraba-raba lengan atas kirinya.
Ada benjolan panjang seperti parut di situ. Dia memegang parut itu agak lama
dan pandangan matanya seolah-olah begitu jauh menghilang entah ke mana.
Berkerut-kerut bibirnya seolah-olah ingin mengatakan sesuatu.
Ah... Faizal mengeluh panjang. Amira Saira...
nama itu meniti di bibirnya lagi dan ketika itu juga jantungnya berdegup
kencang. Dia menoleh semula ke luar
cermin.
‘Panjang umur kau,’ bisik hati Faizal.
Seketika dia terlihat kelibat Inspektor Mira
sedang berada di luar pejabatnya, sedang berbual dengan beberapa orang anggota
polis wanita. Sesekali kelihatan Inspektor Mira ketawa seolah-olah cerita
mereka begitu lucu. Melihat gadis itu ketawa, mengingatkan Faizal kepada Mira
yang ketawa terbahak-bahak setiap kali mengenakannya di sekolah.
Faizal tersenyum.
Apabila difikirkan semula, tidak berbaloi dia mendendami gadis itu sehingga
sekarang. Cerita semasa zaman sekolah adalah satu kenangan manis sebenarnya
yang sukar diperolehi lagi di dalam hidup mereka. Memang benar setiap yang
berlaku dalam hidup manusia mempunyai hikmah-Nya.
Dan kini dia juga telah mendapat hikmah-Nya
daripada ujian yang diterimanya satu waktu dulu.
Sesekali pernah juga terdetik di hatinya,
mungkin Mira ditakdirkan hadir untuk menyedarkan dirinya bahawa dia boleh
berubah dan buktinya adalah kejayaan yang dimilikinya sekarang. Jika Mira tidak
melakukan begitu, mungkin sehingga kini dia tidak akan dapat menjawat jawatan
besar begini. Mira... Faizal tersenyum lagi apabila nama itu meniti di
bibirnya.
Faizal menggeleng perlahan. Sukar sebenarnya
untuk dia mentafsirkan perasaannya sendiri. Ada satu persoalan yang sering
bermain di fikirannya. Adakah kerana perasaan dendam menyebabkan dia mencari
Amira Saira sehingga ke Ipoh atau perasaan rindu yang sekian lama terpendam
sebenarnya yang ingin diluahkan? Sehingga kini Faizal masih cuba merungkaikan
persoalan ini dan dia benar-benar berharap pertemuan ini akan menjawab segala
persoalan yang belum sudah antara mereka.