Home Novel Cinta Salwa Maisara
Salwa Maisara
Putri Iman Nasuha
29/5/2014 23:45:35
118,995
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

“Aku terima nikahnya Salwa Maisara Binti Abdul Malik dengan maskahwinnya dua ratus tunai...”

Itu sahaja yang dapat didengar dengan jelas di telinga Salwa Maisara. Air matanya tumpah laju mengiringi perkataan ‘sah’ daripada para saksi yang berada di dalam rumah mereka itu. Walaupun dia tidak mengenali siapakah suaminya yang sebenar, namun dia tetap bertekad akan menjadi seorang isteri yang baik dan membahagiakan suami.

Selepas sahaja pernikahannya, Salwa Maisara tidak keruan. Lelaki yang dinikahi pun tidak cukup dikenalinya, dia bagaikan kahwin paksa walaupun kedua-dua mereka telah pun bersetuju dengan pernikahan itu.

“Salwa, kenapa air mata tu jatuh lagi? Dah sah kamu jadi isteri orang, sepatutnya kamu dah senyum gembira,” mendengar bebelan mak andam itu, Salwa Maisara terpinga. Mak andam sibuk menyapukan bedak di mukanya. Salwa Maisara hanya menutup matanya.

“Kenapa tak suka?” soal mak andam lagi mula hendak menyibuk. Emaknya pula tidak tahu di mana. Salwa Maisara angguk.

“Suka mak cik, saya gembira,” jawab Salwa Maisara sebak. Dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mak andam mengerutkan dahinya. Percayakah mak andam itu dengan kenyataannya?

“Jadi kenapa nangis?” soal mak andam tidak puas hati dengan apa yang dilihatnya.

“Sejak tadi wajah pengantin murung. Jadi pengantin kena berseri, tak boleh bersedih!” bebel mak andam lagi. Dia angguk. Memang benar kenyataan mak andam itu. Mak andam tersebut ialah kawan baik emaknya. Salwa Maisara sudah lama mengenali mak andam.

“Kalau mak kamu tahu, tak tahu apa katanya,” katanya lagi. Dia diam dan kesat pipinya yang basah oleh air matanya.

“Jangan bagi tahu kat mak Salwa mak cik, nanti mak pun sedih,” pinta Salwa Maisara. Lagi mak andam hairan dengan kenyataannya.

“Ha, kalau macam tu senyum sikit! Pihak pengantin lelaki nak masuk dah tu! Senyum tau!” arah Salwa Maisara pula. Salwa Maisara mengangguk. Dia cepat-cepat bersedia walaupun dia tidak begitu suka.

“Salwa, pengantin lelaki mahu masuk bilik tu batalkan air sembahyang, sal jangan masam ya,” pinta Mak andam lagi. Kedengaran suara riuh-rendah apabila pengantin lelaki sudah menapak masuk ke biliknya. Salwa Maisara pun berasa dadanya bagaikan dipukul dengan pemalu gong.

Salwa Maisara cuba buat-buat tenang walaupun hatinya tidak lah setenang mana. Ibu pengantin lelaki Puan Norainah dan emaknya sendiri Puan Zuriah sudah mendekatinya. Tetamu yang lain juga sudah menghurungi biliknya. Jurugambar yang dibayar dan tidak dibayar juga sudah kelihatan di pintu biliknya. Ada yang sudah menyusup masuk ke dalam.

“Hulurkan tangan nak, pengantin lelaki nak sarungkan cincin,” bisik emak apabila pengantin lelaki sudah berada di depannya. Salwa Maisara tidak sedar bilakah emaknya masuk ke dalam biliknya itu.

Salwa Maisara tidak berani hendak angkat wajahnya. Sekilas sahaja tadi dilihatnya wajah lelaki itu masam semasamnya. Macam dipaksa kahwin dengannya. Entah benar atau tidak dia dipaksa, tetapi dari wajah itu telah memberikan jawapannya. Ha, Salwa Maisara malas mahu mengambil tahu hal itu. Bukan urusannya!

“Pengantin perempuan, angkat sikit muka tu! Asyik tunduk sejak tadi,” suara ibu kepada pengantin lelaki alias ibu mertuanya memberikan komen. Salwa Maisara terpaksa mengangkat mukanya dan memaniskan wajahnya. Betapa berdebarnya dadanya saat terpandangkan wajah tampan pengantin lelaki yang menjadi pasangannya. Sesusuk tubuh tinggi tegap dengan pakaian sedondon putih dengannya.

Tidak dapat dia gambarkan dengan kata-kata saat itu. Memang dia telah jatuh sayang tetapi layakkah dia berbuat demikian? Huh, Salwa, jangan pula kau mudah perasan dan jatuh cinta! Kau tak boleh buat begitu! Begitulah bisikan kata hatinya membuatkan dia terasa hati sedikit.

Selesai sahaja menyarungkan cincin, lelaki itu mencium dahinya. Syahdu terasa walaupun antara mereka berdua tidak ada perasaan apa-apa. Agak lama juga bibir lelaki itu berada di dahinya kerana hendak fokus kepada kamera. Agak lemas juga Salwa Maisara dengan apa yang baru berlaku.

“Salwa, cium tangan suami tu!” suara emak pula kedengaran setelah selesai lelaki itu mengucupi dahinya. Dia akur dengan arahan emaknya itu. Dia mencapai tangan pengantin lelaki lalu menciumnya. Sesaat, dua saat, sudah selesai. Ada kedengaran suara-suara nakal dan berdehem-dehem. Muka Salwa Maisara menjadi merah mendengar usikan itu.

“Ha, macam tu lah menantu mama, gadis yang manis,” kata suara tadi. Sah, memang dia adalah ibu mertuanya. Salwa Maisara hanya tersenyum manis dengan pujian itu. Bertambah-tambah manis senyumannya dengan lesung di pipi kanannya.

“Lepas ni salam dengan saudara mara di luar ya, Budriz, kamu pun sama,” arah Puan Norainah, ibu kepada pengantin lelaki. Dia mengangguk.

Selesai segala yang wajib, jamuan makan diadakan. Majlis persandingan akan diadakan pada waktu petang. Ayah sudah menguruskan semuanya untuk menjimatkan waktu. Esok dia akan dibawa bertandang ke rumah pihak lelaki pula. Lusa pula mereka akan balik ke Kota Kinabalu. Lelaki yang baru menikahinya mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan di situ. Salwa Maisara akur juga dengan arahan itu. Dia sudah menjadi isteri kepada lelaki itu.

Dia menerima mesej daripada Rosnah yang dia tidak dapat hadir ke majlis pernikahannya. Sedih pula dia seketika.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha