Home Novel Cinta Salwa Maisara
Salwa Maisara
Putri Iman Nasuha
29/5/2014 23:45:35
120,677
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“Wa, hari Ahad ini kita turun ke bandar kau nak tak? Aku rasa nak beli barang,” kata Rosnah, kawan serumahnya itu. Namun lidahnya terasa kelu. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu kawan serumahnya itu. Mereka sama tempat kerja dan duduk serumah. Tiket yang ditempahkan oleh emaknya sudah dicetak sebentar tadi.

“Tak dapatlah Ros, saya nak balik kampung. Tu yang saya ambil cuti dua hari. Mak ada hal nak cakap,” kata Salwa Maisara. Dia duduk di kerusi kayu memegang kepalanya. Rosnah sudah ketawa melihat gelagatnya seperti hilang anak itu.

“Macam tiba-tiba pula. Baru dua minggu lepas kau balik,” kata Rosnah kehairanan. Balik ke kampungnya macam ke pasaraya. Mudahnya? Memang mudah kalau balik ke kampungnya ditaja. Ditaja oleh pama, papa dan mama.

“Entahlah, mak yang minta aku balik. Aku tak nak balik tapi dia paksa. Dia dah beli tiket sebenarnya. Banyak kerja nak buat ni, tapi mak aku tu, entah apa mimpi dia nak aku balik.” kata Salwa Maisara resah dengan permintaan emaknya. Rosnah pandang dia dengan pandangan pelik.

“Tak apalah, nanti aku bawa kawan kita yang lain saja yang jalan. Kau balik lah dulu,” kata Rosnah. Dia angguk. Rancangan Maharaja Lawak separuh akhir televisyen sudah tidak menjadi kesukaannya jika dia mengingati perbualannya dengan emak sebulan yang lalu.

***

“Ha? Kahwin? Buat apa kahwin? Belum sampai setahun saya kerja mak! Lagipun saya muda lagi lah mak!” kata Salwa Maisara membeliakkan matanya. selama ini dia mahu berbakti kepada ibu bapanya. Biar mereka merasa gajinya. Dia baru sahaja bekerja. Dia menelan air liur yang terasa kembang di kerongkongnya. Kejutan yang diberikan pada malam yang mulia itu bukan sekadar kejutan. Kejutan luar biasa yang bisa mematikan kepaman oksigen ke jantungnya. Harap-harap dia tidak pengsan. Tidak ada sesiapa yang larat hendak mengangkat tubuhnya. Semua kawan serumahnya perempuan. Kalau mati lagilah naya!

“Ya lah kahwin lah nak oiii! Mak tak sabar nak timang cucu!” kata Puan Zuriah memberitahunya dengan selamba. Sekali lagi Salwa Maisara menelan liur. Permintaan emaknya sungguh luar biasa. Abangnya seorang belum habis belajar. Jadi, dia pula menjadi mangsa dalam hal ini. Apa alasan yang terbaik diberikannya?

“Eh, buat apa nak kahwin awal-awal mak? Saya belum nak ada anak lagi ni!” kata Salwa Maisara pula. Dia tidak tahu sama ada alasannya diterima kali ini. Dia benar-benar tidak dapat menerima tawaran emaknya kali ini. Jika emaknya minta dia sambung belajar, barangkali dia gembira sampai terlompat-lompat.

‘Buat apa nak kahwin kalau belum ada jodoh pilihan hati? Orang ni bukannya tua sangat lagi ni!’ Salwa Maisara merungut dalam hati apabila mengetahui ibu bapanya sudah mempunyai pilihan sendiri untuknya. Malah, dia akan dikahwinkan pada pertengahan tahun nanti. Rupanya tinggal tiga bulan sahaja lagi! Huh, berpeluhnya rasa tubuhnya! Mengingati bakal suami yang tidak dikenali dan mengingati diri yang bakal ada suami tidak lama lagi. Huh!

“Eh Wawa ni mimpi! Muda kata Wawa? Dah berumur anak mak ni! Tinggal jauh pula dari mak! Susah hati mak! Mak dan ayah fikir lebih baik Wawa kahwin lah!” kata Puan Zuriah membebel di hujung talian. Sakit hati Salwa Maisara. Namun dia tidak mahu emaknya sakit hati. Jika perlu dia terpaksa mengikut permintaan emaknya.

“Tak apalah kalau macam tu mak. Mak dan ayahlah buat keputusan,” kata Salwa Maisara mengalah. Dia malas mahu bertekak dengan emaknya. Elok dia terima sahaja cadangan emaknya, kalau tidak seribu satu alasan yang emaknya akan berikan nanti.

Dengan berat hati Salwa Maisara terpaksa menerima. Salwa Maisara tidak ada pilihan lain selain daripada menerima cadangan ibu bapanya untuk menikahkannya pada hujung bulan ini. Semua persiapan disediakan oleh emaknya Puan Zuriah dan bakal ibu mertuanya.

Semua ini gara-gara dirinya yang tidak berjaya membawa seorang calon suami yang sesuai kepada ibu bapanya. Dia tidak pernah jatuh cinta apatah lagi mempunyai seorang kawan lelaki tetapi lelaki. Dia pasrah dengan apa yang telah ibu bapanya tetapkan. Mungkinkah ada hikmah di sebalik semua perkara yang berlaku kepada dirinya? Tetapi, kalau ikutkan hatinya, dia masih belum bersedia hendak bernikah dengan sesiapa. Dia lebih memilih hidup sendirian di kota ini.

“Mak bukan apa Wa, mak bimbang tengok kamu seorang diri di negeri orang. Mak mahu cepat-cepat tengok kamu kahwin dan ada jaga kmu. Lagipun tak lah kamu sunyi di sana,” luah hati emak, Puan Zuriah kepadanya suatu hari. Alasan itu terlalu klise dan memang sudah dijangkanya. Namun dia baru beberapa tahun di negeri di bawah bayu itu. Belum lama seperti yang dibayangkan oleh emaknya itu.

“Tak adalah negeri orang tu mak. Dah lama saya kat sana, tak ada apa-apa pun! Orang sana baik-baik belaka! Tak ganggu orang pun!” jawab Salwa Maisara. Terbuntang mata emaknya mendengar jawapannya. Lantas, Salwa Maisara memeluk emaknya. Dia terlalu rindu akan emaknya itu dan dia takut emaknya itu akan tersinggung dengan kata-katanya itu.

“Pihak keluarga lelaki memang sudah datang melamar dan menetapkan tarikh. Cuti sekolah ni mak nak kamu balik Salwa. Mak tak benarkan lelaki tu jumpa kamu di sana. Biarlah semuanya bermula selepas nikah nanti,” panjang lebar kata-kata emaknya, Puan Zuriah. Sedangkan dia hanya rela menadahkan telinganya sahaja. Dia tidak terbayangkan seorang lelaki yang tidak menerima pernikahan mereka kelak. Bagaimana jika ia berlaku? Soalnya kepada diri sendiri.

“Lelaki tu memang duduk di Sabah ke mak?” soalnya tetap ingin tahu terhadap lelaki yang kononnya hendak datang melamarnya. Namun dia tidak ada kuasa membantah.

“Aa’ah lah, kalau tak manalah ayah kau nak percaya. Mak ayah dia orang sini, dia uruskan perniagaan ayahnya di sana.” Salwa Maisara sudah mengangguk. Dia sebenarnya agak pening juga memikirkan permintaan yang terbesar dari ibu bapanya ini. Namun, dia tidak diberikan pilihan untuk membantah. Dia tidak mahu emaknya akan terkejut jika dia membantah nanti. Tak pasal-pasal emaknya akan masuk ke dalam hospital pula.

“Dia nak kan Wawa ke mak? Jangan-jangan dia kena paksa macam Wawa juga,” soalnya kepada Puan Zuriah. Puan Zuriah tersenyum.

“Mana mak paksa Wawa! Mestilah emak, ayah dan keluarganya yang uruskan hal ini,” terkejut hatinya. Ini bermakna lelaki itu juga dipaksa menerima dirinya. Ini yang parah, kata hatinya. Jangan-jangan lelaki itu sudah ada yang punya. Dia pula yang kacau daun.

“Saya tak kenal dia lah mak! Saya berat hati pula nak terima usul mak ayah ni,” Salwa Maisara memberikan alasannya.

“Nanti sebelum nikah, kamu jumpalah cuba berkenalan dulu! Baik budaknya! Mak memang dah jumpa dia! Mak berkenan sangatlah dengan dia tu!” puji Puan Zuriah.

Salwa Maisara tidak ada alasan hendak membalas kata-kata emaknya. Jangan-jangan lelaki yang emaknya nak jodohkan itu sudah ada pilihan sendiri. Banyak terjadi macam begitu. siapa yang patut disalahkan kalau lelaki itu nanti sudah ada pilihan hatinya? Nampaknya dialah yang bakal merana.

Sebenarnya sudah beberapa hari dia bingung memikirkan tempoh waktu yang ibu bapanya berikan. Waktu itu sudah tamat. Dan, pelik dia tidak mampu mendapat pilihan hatinya.

“Ya ke ni mak? Entah-entah depan mak saja dia baik, depan saya belum tentu lagi,” kata Salwa Maisara memberi alasan. Hatinya cuak.

“His, kenapa cakap macam tu? Kita doalah agar Wawa dapat suami yang baik yang soleh,” balas Puan Zuriah. Nada suara emaknya sudah berubah tinggi.

“Sebenarnya lelaki itu siapa mak?” soal Salwa Maisara yang tidak senang hati dengan cadangan ibu bapanya. Namun dia memang tidak ada alasan hendak membantah.

“Dia anak kenalan ayah kau! Ayah dia tu memang usahawan sejak dulu lagi. Anak dia pewaris perniagaan mak ayah dia,” kata Puan Zuriah. Salwa Maisara lebih suka menadah telinga. Sebenarnya dia memang hendak mengenali dulu calon suami yang dipilihkan emaknya untuk dia.

‘Saya tak pandai lah nak cakap macam mana mak, saya belum ada hati nak kahwin sebenarnya,’ kata Salwa Maisara dalam hati. Wajah manis emaknya dipandang. Sebenarnya dia benar-benar belum mahu menamatkan zaman daranya. Dia mahu memperkasakan kerjayanya. Dia mahu menyambung pelajarannya. Dia sudah merancang hidupnya dalam diam.

“Wawa ni macam tak ada hati nak kahwin. Wawa ingat, Wa bukan muda? Umur Wawa dah tua! Mak dulu, umur macam Wawa tu ada dua anak!” balas Puan Zuriah lagi. Salwa Maisara bertambah sedih. Usianya menjadi sandaran emaknya hendak menjodohkannya dengan lelaki yang bukan pilihannya. Malah tidak dikenalinya!

“Dulu lain mak, sekarang lain,” kata Salwa perlahan. Dia menundukkan pandangannya.

“Sama saja dulu dan sekarang, tak ada bezanya,” bantah Puan Zuriah yang sudah menaikkan darjah suaranya. mungkin emaknya sudah marah dengan ketidak setujuannya.

“Kalau baik bagi mak, baiklah bagi saya,” kata Salwa Maisara yang begitu berasa sedih dengan nasibnya.

Apatah lagi, Irham yang sama-sama bertugas dengannya tidak menunjukkan apa-apa perasaan selain perasaan sesama rakan sekerja. Mungkin Irham sama seperti dirinya. Saling berasa malu hendak meluahkan perasaan. Walaupun dia ada menyimpan sedikit harapan, namun lelaki itu tidak pernah menunjukkan harapan berlebihan kepadanya. Dia beranggapan Irham hanya mahu menjadi kawannya sahaja. Itulah yang mengecewakan dirinya.

Namun dia cepat-cepat tersedar yang jodohnya bukan bersama dengan Irham. Itulah yang telah ditentukan. Dia tidak seharusnya menyesali qada’ dan qadar Allah.

Tetapi esok petang, Salwa Maisara bertekad hendak bertemu dengan Irham dan menerangkan masalah ini. Mungkin dia yang harus berani meluahkan perasaannya. Dia seharusnya berbuat sesuatu. Jika Irham memberikan sesuatu yang positif dalam perhubungan mereka, dia akan menolak cadangan ibu bapanya menikahkannya akhir semester nanti.

‘Ah, Wawa memang belum nak kahwin! Aku belum sedia! Mak tolonglah Wawa!’ Bisik hati Salwa Maisara.

“Wawa, kalau kau nak tidur pun janganlah tidur di sofa tu. Baik kau tidur di bilik!” kata Rosnah mengejutkannya. Dengan terhuyung-hayang dia melangkah menuju ke biliknya.


Teruskan bacaan dengan melayari http:putrimanasuha.blogspot.com

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha