Home Novel Cinta Salwa Maisara
Salwa Maisara
Putri Iman Nasuha
29/5/2014 23:45:35
120,712
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Bab 7

“Kenapa asyik menangis ni Zue?” Puan Zuriah menangis teresak-esak selepas pemergian anaknya. Dia tidak menyangka anaknya dan menantunya akan pergi selepas sahaja mereka bersanding. Sedih betul dia. Sedih mengenangkan anak gadisnya yang seperti dicuri orang. Baharu sahaja selesai menikah dan bersanding sudah dibawa balik ke Kota Kinabalu.

“Sedih lah bang. Anak orang lain lepas nikah, adalah ditengok-tengok dipandang-pandang. Anak kita apa? Bilik dah kosong, pelamin tinggal nak bongkar esok! Sedihnya saya bang!” ratapnya perlahan. Suaminya mana tahu kesedihannya. Mungkin suaminya juga sedih tetapi tidak akan sama dengan kesedihan yang dihadapinya. Dia tahu perasaan lelaki tidak sama dengan naluri seorang ibu sepertinya.

“Sudah-sudahlah tu, jangan terlalu sedih. Anak kita dah ditakdirkan begitu. kalau tahu hari tu, tak payah kita setuju kahwinkan dia dengan anak kawan abang tu,” kata Encik Abdul Malik dengan wajah tegang melihat dia yang masih bersedih. Bukan begitu maksudnya.

“Abang memang gitu! Asyik-asyik menyesali apa yang sudah kita buat. Saya sedih aje bang. Sedih melihat anak kita yang seperti dicolek tu!” katanya membetulkan persepsi suaminya. Suaminya ketawa. Mungkin kata-katanya agak lucu.

“Biarkanlah dia dicolek suaminya sendiri.” Kata Encik Abdul Malik. Geram Puan Zuriah dengan sikap suaminya yang sambil lewa itu. terkenang-kenang dia akan anaknya Salwa Maisara yang sudah meninggalkannya secara tergesa-gesa bersama suaminya petang tadi. sayu merantai hatinya saat ini.

“Tetamu kita masih ramai lagi di luar tu sayang mak Salwa. Sepatutnya kita ke luar lah, jangan nak macam ni! Tak lama lagi kita nak solat Maghrib lah pula. kenapa sayang nak menangis-nangis lagi ni! Sudah-sudahlah tu sayang!” kata Encik Abdul Malik lagi. Dia faham dan akur dengan arahan suaminya. Dia sendiripun menasihati anaknya agar menghormati suaminya. Dia sendiri pun memberitahu anaknya betapa isteri yang baik itu sentiasa di sisi suaminya. Itulah sebabnya anaknya Salwa Maisara itu memahami akan apa yang telah dia katakan. Ah anak gadisnya memang ikut cakap. Syukurlah dia kepada Allah kerana mendapat anak yang sungguh-sungguh mendengar cakap ibu bapanya. Dia tidak menyesal.

“Ya bang, saya faham. Tapi saya nak hubungi anak kita tu, dia sekarang dah sampai di mana,” katanya mengambil telefon bimbitnya di dalam beg tangannya.

Suaminya hanya menggeleng melihat gayanya. Dia bukan hendak mengingkari kata-kata suaminya itu tetapi dia sangat prihatin kepada anaknya yang seorang itu. dia berharap menantunya itu akan dapat menjadi suami yang terbaik kepada anak gadisnya tetapi pada masa ini dia belum dapat menyerahkan harapan itu seratus peratus kepada Syed Budriz.

Dia menggeleng-geleng pula. bertambah sedih hatinya mendengar balasan di telefon bimbitnya. Anaknya tidak dapat dihubungi. Sejam yang lalu anaknya ada memberitahunya yang dia akan berangkat ke Kota Kinabalu dalam sejam lagi. Sekarang dia tidak dapat dihubungi pula.

“Kenapa? Tak dapat?” soal suaminya yang masih memerhatikannya di bilik itu. Dia angguk. Memang anaknya tidak dapat dihubungi. Menantunya pula langsung dia tidak tahu apakah nombor telefonnya. Ah, benar-benar dia beranggapan yang anaknya itu seperti diculik oleh pengganas! Eh, minta dijauhkan malaikat 44.

“Tak dapat bang!” kedengaran ketawa kecil suaminya.

“Mereka masih dalam perjalananlah tu! Eh, sayang awak rehat-rehat lah dulu! Entah-entah mereka sedang berehatkah, dan sengaja matikan telefonnya,” nasihat suaminya. Bertambah sedih hatinya.

“Ya lah bang! Mungkin Wawa penat lah tu! Suaminya tu pun nampak penat juga saya tengok!” katanya sendiri. Suaminya mengangguk. Sebenarnya dia masih bersedih lagi. Namun, terkenangkan saudara-mara yang datang dari jauh dan dekat dan membantunya di rumahnya ini, dia segera keluar dari biliknya. Walaupun kepenatannya tidak dapat dikira dengan tangan, namun dia harus melihat-lihat juga saudara-maranya itu.

Dia terbayang lagi akan anak gadisnya itu. Kononnya suaminya ada hal penting di sana, hal kerja katanya. Kalau ikutkan hati tuanya yang sangat menyayangi anak gadisnya itu dia tidak mahu melepaskan anaknya itu mengikuti suaminya ke Kota Kinabalu. Dia mahu sahaja anaknya itu mengikut kemudian. Bukan hari ini, bukan saat tadi itu. Sekarang dia hanya memandang bilik pengantin berwarna putih dan merah yang sudah kosong, pelamin berlatar belakangkan putih dihiasi bunga-bunga putih dan merah yang sudah tinggal sebagai kenangan. Kenangan anaknya pernah duduk di kerusi pelamin indah itu bersama menantunya yang duduk bagaikan tunggul dan kaku bagaikan ais batu.

Ah, susah dia hendak mengata, lelaki yang bernama Syed Budriz itu anak menantunya juga, suami kepada anaknya dan kelak ayah kepada cucunya. Namun, nalurinya selalu tidak berbohong, dia tidak begitu berkenan dengan sikap menantunya yang agak keras macam kayu di hadapan para tetamu yang meraikan hari bersejarah mereka tadi. Nasib baik bukan anak lelakinya.kalau anak lelakinya sudah dipicit-picitnya dagu berbelah cantik itu agar tersenyum manis kepada tetamu. Namun apakan dayanya, Syed Budriz itu hanya menantunya. Menantunya yang pertama. Jadi dia hanya mampu memandang tanpa mampu bersuara.

“Kan bagus kalau keluar berbual-bual dengan saudara mara, taklah abang risau!“ kata Encik Malik. Dia geram dengan suaminya. Namun dalam diam dia berdoa agar anaknya itu akan selamat. Selamat dunia akhirat.

“Abang ni pandai je tau!” katanya perlahan ketika dia sudah di ambang pintu bilik mereka.

“Memang pandai! Kasihan lah saudara mara kita. Berikanlah makanan atau masakan apa yang patut. Kasihan mereka penat membantu kita!” kata Encik Malik. Dia angguk. Dia juga faham akan orang-orang yang telah membantu meringankan tugasnya semasa majlis pernikahan dan persandingan anaknya ini.

***

“Budriz dah balik?” soal besannya, Hajah Fauzianah di hujung talian. Kebetulan dia keluar, telefon rumahnya berbunyi.

“Ya Allah Kak Hajah, memang Budriz dah pergi ke Kota Kinabalu lepas bersanding tadi. lepas mereka solat Asar mereka pergilah!” jawabnya.

“Laa, awalnya. Ingatkan kami nak pergi sana semula nak lawat dia. rupanya dia dah balik ke KK tadi.” kata Puan Hajah Fauzianah.

“Kalau Kak Hajah nak datang, silakanlah, rumah kami ni masih terbuka,” katanya berbasa-basi.

“Salwa ada tak?” bulat matanya. mungkin menantunya tidak menghubungi ibu bapanya.

“Salwa ikut sama kak Hajah. Itu yang sedih sikit tu!” katanya berterus-terang dengan besannya. Ada ketawa kecil di hujung talian.

“Sabarlah Zue, nanti-nanti kita lawatlah mereka di KK tu. KK bukannya jauh. Terbang dua jam sampailah kita.” Kata Hajah Fauzianah seperti memujuknya pula. Dia turut ketawa kecil. Memang dia berjanji akan melawat anaknya itu nanti. Namun dia belum tahu bilakah dia akan pergi ke Kota Kinabalu. Belum terbayar rindunya kepada anak gadisnya itu.

“Ya Kak Hajah, nanti kita pergi ke KK sama-sama. Saya ni pun risaukan anak saya tu! Maklumlah dia tu muda lagi. Masak nasi pun tak berapa nak pandai!” Puan Hajah Fauzianah ketawa kecil lagi.

“Sabarlah Zue. Ada masa nanti kita akan sampai di depan pintu rumah mereka,” kata Puan Hajah Fauzianah seperti memujuknya.

“Ya kak. Sama-sama kita berdoa agar panjang umur kita dapat kita berjumpa anak menantu kita tu!” katanya pula.

“Elok kalau kita pergi sana selepas sebulan lebih mereka kahwin, jadi dapat lah kita tahu, kita dah dapat cucu atau belum!” pakat Puan Hajah Fauzianah perlahan seperti berbisik-bisik dengannya.

“In sha Allah kak Hajah. Mudah-mudahan ada berita gembira untuk kita dalam sebulan dua ni! Nanti kita rancang dulu perjalanan kita kak hajah,” katanya perlahan.

“Kalau macam tu esok-esok lah kami ke situ Zue. Zue pun mesti penat,” kata Hajah Fauzianah.

“Bila-bila aje kak hajah nak datang sini, pintu rumah kami ni sentiasa terbuka untuk kak hajah!” katanya perlahan. Setelah bersalaman di talian dia meletakkan gagang telefon rumahnya. Dia berharap dan berdoa agar anaknya dan menantunya akan memberikan khabar gembira nanti.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha