SUASANA hening dan sepi. Pendengarannya hanya tertangkap
bunyi erangan-erangan dan dengkuran yang amat asing. Hidungnya terhidu bau yang
luar biasa. Tubuhnya terasa dingin. Kedinginan bukan disebabkan air tetapi
udara sekelilingnya.
“Ya Allah! Aduh! Sakitnya! Mak!Mak! Sakitnya mak!” Nurlisa terus merintih
kesakitan sebaik sahaja matanya dicelikkan. Sedikit demi sedikit dia melihat ke
persekitarannya. Semuanya serba putih.Seluruh tubuh badannya terasa sengal.
Pandangan matanya agak berpinar seketika.
“Aku di mana ni? Rumah siapa ni?” Bibirnya
bergetar sewaktu mengemukakan pertanyaan. Tangannya menggenyeh-genyeh mata yang
agak kabur pandangannya. Sekelilingnya berwarna putih. Di siling, kipas angin
berputar seligatnya. Perasaan yang
bergemuruh dan hairan semakin merimbun apabila melihat wanita yang berada di
sisi bukan ibu yang dikasihi.
“Mak! Lisa di mana? Sakit!” Suaranya serak
menahan sebak. Walaupun tahu, wanita yang berada disisi bukan emaknya yang
dikasihi, di saat diri berada di dalam kesakitan begitu, emak juga yang dicari.
Dalam keadaan yang berbaring itu, tubuhnya cuba digerak-gerakkan ke kiri ke
kanan.
“Alhamdulillah... dah sedar anak ni! Nak!
Sabar nak! Anak kena langgar. Mak cik terjumpa anak tergolek di tepi jalan.”
Datin Rabiatul menerangkan dengan nada yang lembut. Kepala Nurlisa diusapnya
perlahan. Hampir empat jam Nurlisa tidak sedarkan dirinya. Sewaktu di luar
sedarnya, para jururawat dan doktor bertungkus lumus merawatnya. Mujurlah kecederaannya dapat dirawat dan
keadaannya stabil.
“Sekarang ni, anak di hospital.”Datin Rabiatul memberitahu dengan lembut dan wajah yang
tenang. Tangannya masih mengusap
ubun-ubun gadis itu, persis mengusap dan membelai anak gadis sendiri.
“Kena langgar? Oh...” Nurlisa cuba mengingatkan sesuatu.
Segalanya cuba
diimbas kembali di fikirannya. ‘Allah Hu
Akhbar. Syukurlah aku selamat,’ bisik hati kecilnya. Dia teringat kepada ibu
dan adik-adiknya di rumah yang tentunya sedang risau menantikan kepulangannya.Dia cuba bergerak dan turun dari
katil. Hatinya meronta-ronta untuk
segera pulang ke rumah. Bukankah pagi tadi dia telah berjanji untuk membelikan
beras, gula, kopi dan ikan kering untuk keperluan keluarganya. Sudah Beberapa
hari bekalan makanan di rumah mereka hampir putus. Semuanya tinggal sedikit
sahaja lagi.
Lagipun malam ini, malam Ahad dan
seharusnya dia telah berada di tapak pasar malam yang berada di simpang jalan
masuk ke kawasan setinggan tempat keluarganya menetap. Di tapak pasar malam itu
juga, Nurlisa harus mencari rezekinya untuk menampung keluarga mereka.
Sekurangnya pada malam ini, jika dia membantu Pak Hasan yang menjual
barang-barang runcit, ada jugalah pendapatannya. Sekurangnya-kurangnya dia akan memperolehi 20
ringgit untuk malam itu. Ada ketikanya, jika banyak jualan Pak Hasan akan
mengupahnya sebanyak 25 ringgit. Di situlah juga dia akan membeli barangan
dapur dengan harga yang murah.
Kadangkala Pak Hasan yang berbudi mulia memberinya percuma walaupun Nurlisa
kerap menolak.
Nurlisa tiba-tiba menangis teresak-esak
sambil mengesat hidungnya dengan hujung baju.
Tiba-tiba dia rasa keseorangan dan kesedihan yang bergelombang deras di
jiwanya seolah melemaskannya.
“Nak balik...” Dia merintih perlahan dan
cuba turun dari katil sekali lagi.Namun kakinya rasa terlalu berat. Nurlisa menyelak kain selimut yang
menutupi kakinya. Hatinya menjerit apabila melihat kaki kirinya berbalut rapi
sehingga ke peha.
“Nak ke mana ni nak? Anak tak boleh
bangun. Kaki anak patah. Semuanya sudah
dirawat sewaktu anak pengsan tadi.”
Datin Rabiatul menerangkan dengan nada lembut.
“Beritahu mak cik di mana rumah anak? Mak cik pergi cari keluarga anak. Tentu
mereka sedang risau!” Datin Rabiatul menyambung kembali bicaranya yang terhenti
sambil memandang ke wajah Nurlisa. Gadis di hadapannya berkulit cerah. Wajahnya
bujur sirih dan berkulit licin. Nasib baik kemalangan tadi hanya mencederakan
kakinya.
“Terima kasih! Minta maaf, saya menyusahkan
mak cik!” Dalam gelora kesedihan Nurlisa cuba tersenyum dan memegang lengan
wanita berhati mulia yang tidak dikenali, namun telah sudi untuk membantunya.
Wanita yang berwajah lembut itu tersenyum memandangnya.
“Itu tanggungjawab mak cik terhadap insan
lain yang memerlukan nak! Insya-allah...
semua ini telah diaturkan oleh Allah!” Datin Rabiatul berasa lega apabila gadis
itu tidak lagi merintih kesakitan walaupun dia tahu, kesakitan itu masih ada.
“Nama anak siapa?” ujar Datin Rabiatul
lagi. Matanya lembut memandang ke wajah Nurlisa. Gadis bermata lembut dan redup
itu menarik perhatiannya.
“Nurlisa...” Nurlisa menjawab dengan sopan dan
perlahan. Dahinya dikerut-kerutkan kerana menahan
kesakitan yang sesekali datang.Hatinya berasa pilu mengenangkan nasib malang yang datang menimpa
dirinya.
Puas diminta akhirnya Nurlisa memberikan
alamat dan nama ibu bapanya kepada Datin Rabiatul. Wanita itu telah berjanji
akan mencari keluarga Nurlisa dan memaklumkan hal kemalangan itu.
“Saya tinggal di rumah setinggan saja mak
cik!” Nurlisa berterus terang dengan
nada sebak. Dia terbayangkan rumah yang daif. Kehampaan mencerut hatinya
apabila melihat kecederaan di kaki.
Kalaulah kemalangan tadi menyebabkan dia kehilangan kakinya, hancur
musnahlah segala impiannya untuk memperbaiki kehidupannya sekeluarga. Musnahlah
cita-citanya untuk membalas budi emak yang telah melahirkannya. Cita-citanya
untuk memberi kesenangan kepada emak yang selama ini, hidup dibelit keperitan
dan kemiskinan.
“Tak apa, Lisa! Di mana-mana pun serupa saja.
Asalkan ada tempat berteduh. Mak cik akan cari keluarga Lisa. Tentu mereka risau
menanti kepulangan Lisa!” Datin Rabiatul menepuk-nepuk lengan Nurlisa. Cuba
mententeramkan hati gadis itu.
“Terima kasih, mak cik!” Nurlisa bersuara
seakan berbisik. Sedu sedannya disembunyikan. Matanya mengiringi langkah kaki
Datin Rabiatul yang beredar meninggalkannya.
Sebaik sahaja tiba di bahagian hadapan wad
hospital itu, Datin Rabiatul cuba menghubungi suaminya Datuk Haris, namun tidak
ada jawapan. Berkali-kali dia mencuba.
Akhirnya setelah hampir sepuluh minit mendail, barulah Datuk Haris menjawab
panggilannya.
“Helo, bang... Tolong ambil saya di hospital
nanti.” Datin Rabiatul terus menghubungi
suaminya lagi sebaik sahaja keluar dari perkarangan wad. Matanya melihat jam di lengan. Sudah
hampir 10.00 malam.
“Mana kereta awak? Kan saya ada mesyuarat
penting sekarang ni! Mengapa di hospital pula.” Datuk Haris berbisik-bisik
ketika menjawab panggilan telefon daripada isterinya. Bimbang didengari oleh
orang lain yang sedang asyik
membincangkan perancangan untuk menambah projek yang boleh mendatangkan
keuntungan kepada syarikat. Mesyuarat
berlarutan selepas waktu isyak tadi. Badannya terasa letih benar, tiba-tiba
pula isteri menelefon dan memberitahu sesuatu yang tidak boleh diterima
akalnya. Bukankah waktu itu sudah hampir tengah malam? Ke mana pula arah tujuan
Datin Rabiatul? Dahi Datuk Haris berkerut, meneka dan memberi jawapan kepada
persoalan yang timbul di benaknya.
“Nanti saya cerita. Assalamualaikum.” Datin
Rabiatul terus menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan. Langkahan kakinya diteruskan menuju ke balai
pelawat yang terletak Beberapa meter di situ. Hampir 20 minit dia menunggu,
barulah ternampak kereta Datuk Haris berhenti di tempat parkir kereta. Datin
Rabiatul cepat-cepat berjalan menuju ke kereta. Dia masuk ke kereta lalu menghenyakkan
pinggulnya di kerusi, sebelah pemandu.
Datuk Haris memandu dengan berhati-hati.
Datin Rabiatul yang duduk di sisinya hanya membisu. Sebaik tamat sahaja mesyuarat tadi, Datuk
Haris terus menjemput isterinya itu di hospital.
“Isteri Wak Dollah masih belum sihat ke, Tun?
Dah banyak hari dia bercuti.” Datuk Haris bertanyakan tentang pemandu mereka
kepada isterinya itu.
“Biarlah, bang! Wak Dollah tu bukannya selalu
bercuti. Bukan isterinya saja yang
sakit. Anak-anaknya pula kena demam campak.”
Datin Rabiatul bercerita sambil tersenyum. Faham benar dengan perangai Datuk Haris yang tidak suka memandu sendiri.
“Betul ke alamat yang diberi oleh budak tadi?
Puas kita berpusing-pusing ni, simpang mana yang hendak dimasuk. Banyak simpang yang ada. Tak nampak pun macam
kawasan rumah setinggan. Ni semua taman perumahan.” Datuk Haris mula memBibikl. Matanya melingas
ke kiri dan kanan.
“Malam-malam begini, macam mana nak nampak!
Kawasan rumah setinggan mestilah gelap!”Bebelan Datuk Haris masih belum berhenti.
“Esok-esok sajalah kita cari.Kalau tidak pun kita pergi buat laporan ke
balai polis, minta pihak polis saja yang carikan keluarganya.Awak dah tolong bawa dia ke hospital pun dah kira baik.” Datuk
Haris bersuara agak kuat apabila dilihatnya Datin Rabiatul seolah tidak
mendengar segala leterannya.
“Cuba
awak perlahankan kereta di persimpangan depan tu. Nampak macam tapak pasar
malam tu. Hmm... yalah. Mungkin di sini jalannya.” Datin Rabiatul menunjukkan
jarinya ke kawasan lapang di sebelah kanan jalan.
Kereta Datuk Haris meluncur perlahan memasuki ke lorong yang di
kiri kanan jalannya terdapat rumah papan yang didirikan rapat-rapat.
“Cuba
tanya wanita yang sedang menunggu di pondok menunggu bas itu.” Datuk Haris
mencadangkan kepada Datin Rabiatul. Keretanya diberhentikan, namun enjinnya
masih dihidupkan.
Datin Rabiatul segera keluar dari kereta dan menuju kepada wanita
bertubuh kurus yang sedang memeluk tubuh di bawah pondok itu. Dari jauh dia
telah mendengar kokohan batuk yang amat keras dari wanita tersebut.
“Assalamualaikum, kak.” Dengan mesra dia
memberi salam. Wanita itu agak terkejut, namun menjawab salamnya dengan
perlahan. Matanya menyorot ke wajah wanita yang sedang berjalan ke arahnya.
Wanita itu mungkin sebayanya, namun dia lebih cantik dan bergaya. Wajahnya
nampak berseri walaupun hanya lampu jalan sahaja yang menyuluhi wajahnya.Berpakaian moden, berseluar panjang putih,
dipadankan dengan blaus merah muda serta berkasut tumit tinggi. Mungkin wanita
ini dari golongan orang berada. Begitu
fikir Mak Cik Hasnah yang sedang menunggu di bawah pondok bas itu.
“Kak dah lama ke di sini?” Datin Rabiatul
memulakan pertanyaan. Jika wanita itu sudah lama tinggal di kawasan itu, sudah
tentu dia kenal dengan keluarga Nurlisa. Tangannya dihulurkan kepada Mak Cik
Hasnah untuk berjabat tangan.
“Lama, sejak isyak tadi.Saya menunggu anak gadis saya yang belum
balik-balik lagi.” Mak CikHasnahmenjawab
lambat-lambat. Patah-patah perkataannya diselangi dengan batuk-batuk yang amat
keras.
“Kuat batuk kakak ni.” Datin Rabiatul
merenung wajah cengkung itu dengan penuh simpati.
“Hmm... beginilah cik,” ujar Mak CikHasnah perlahan.
Kepalanya digelengkan berkali-kali. Mungkin lehernya terasa lenguh.
“Tapi saya bimbangkan Lisa. Dia belum balik dari petang tadi. Tak sihat pun
saya kena tunggu dia di sini juga. Hari sudah malam, saya tak mahu sesuatu yang
buruk terjadi kepada dia. Kami sekeluarga bergantung kepadanya.”
Penerangan Mak Cik Hasnah membuatkan hati
Datin Rabiatul semakin tersentuh. Dia juga berasa serba salah. Jika benarlah wanita yang sedang berada di
depan matanya ini ialah emak kepada Nurlisa, apa perasaan wanita itu jika
mendengar kecelakaan yang telah menimpa anak gadisnya itu? Bagaimana jika
wanita itu juga mengidap sakit jantung?
“Kakak! Rumah kakak di mana?” Datin Rabiatul
cuba berhelah. Lebih baik memberitahu perkhabaran yang mendukacitakan di rumah.
“Belakang sana! Lebih kurang 20 meter dari
sini!”
“Boleh saya minta sedikit air untuk kereta
kami, kak.” Datin Rabiatul bersuara agak
perlahan. Tiba-tiba sahaja idea itu
muncul di fikirannya.
“Tangkinya hampir kekeringan!” Datin Rabiatul
menyambung percakapannya yang terhenti. Rasa bersalah mengintip di kalbu.
Pembohongan yang sengaja dilakukan.
“Boleh! Jika setakat air kosong tu bolehlah!
Nanti saya ambilkan! Nak banyak mana? Satu baldi?” tanya Mak Cik Hasnah sambil
merenung Datin Rabiatul.
Datin Rabiatul merenung Mak Cik Hasnah kembali. Dia rasa bersalah kerana berbohong apatah
lagi apabila melihat ada cahaya keikhlasan yang terpancar di wajah Mak Cik
Hasnah yang ditemuinya di bawah pondok itu. Seketika kemudian, wanita itu terus
berjalan keluar dari pondok itu dengan langkah yang perlahan. Datin Rabiatul cuba
mengekorinya.
“Cik tak payahlah ikut! Jalannya tak elok! Musim hujan ni banyak
lecak bertakung di sana
sini. Nanti habis pakaian cik kotor! Tak apa... biar mak cik ambilkan dan bawa
ke mari.” Seraya menoleh ke arah Datin Rabitul, Mak Cik Hasnah bersuara lembut.
“Tak apa! Saya ikut ke rumah! Nanti saya beritahu suami saya
dulu!” Datin Rabiatul berpatah balik ke kereta untuk memberitahu Datuk Haris
masalah yang sedang dihadapinya.
“Hai! Awak ni betul-betul mencari masalah, Tun! Apa salahnya kalau
awak beritahu saja dia di situ. Sekarang ni dah malam. Pukul 11.00 malam,
bukannya pukul 11.00 pagi!” Datuk Haris
merengus.Marah benar dia
dengan perangai isterinya yang dirasakannya tidak tegas itu.
Datin Rabiatul menutup hidung sewaktu mengekori Mak Cik
Hasnah. Bau hancing, masam dan segala macam bau yang tidak enak menerjah masuk
ke hidungnya. Bau yang datang dari limbah-limbah serta parit yang tidak teratur
itu meloyakan.Tandas
dibina di sana dan di sini.
“Minta maaflah, cik.Hanya jalan ini saja yang ada.Maklumlah,
kawasan setinggan begini, parit, longkang, tandas merata... busuk.” Mak Ck
Hasnah juga menutup hidung. Beberapa
minit berjalan, mereka tiba di sebuah rumah yang ada sebatang parit kecil di
hadapannya. Bagaimanapun parit itu masih mampu dilangkah oleh kedua wanita itu.
“Inilah rumah tempat saya tinggal. Minta
maaflah, cik. Rumah ini buruk dan uzur.
Masuklah dulu. Saya ambil air kejap.” Mak cik Hasnah meninggalkan wanita yang
baru dikenalinya itu di muka pintu.
Rumah berdinding papan. Berlubang di sana
sini. Ternampak cahaya dari rumah orang
lain melalui lubang-lubang di dinding. Datin Rabiatul membandingkan rumah itu
dengan rumah arnab di belakang banglonya. Mungkin rumah arnab itu lebih kukuh
buatannya.
Mata Datin Rabiatul terus memerhati keadaan
di dalam rumah itu. Semuanya amat menyedihkan. Lantainya separuh simen dan
separuh tanah beralas dengan tikar getah yang sudah buruk benar. Lantai rumah
arnabnya pun diperbuat dengan simen dan mozek.
“Assalamualaikum! Hasnah!”
Terkejut Datin Rabiatul apabila mendengar
suara lelaki tiba-tiba memberi salam dari belakangnya. Lelaki tersebut membawa
Beberapa beg plastik dan sekampit beras.
“Lisa ke mana Hasnah? Demam ke dia?” Lelaki
itu bersuara lagi sebaik ternampak muka Mak Cik Hasnah yang muncul dari
belakang rumah.
“Tak tahulah Pak Hasan. Dari tadi dia tak balik. Saya risau sangat.”
Mak Cik Hasnah merenung ke arah barang-barang yang dibawa oleh lelaki separuh
abad itu.
“Ini aku bawakan barang-barang dapur. Beras
pun ada. Selalu Lisa membeli barang-barang dua minggu sekali. Aku risau dia
sakit ke... demam ke, tak datang ke pasar malam ni. Nanti kau kehabisan barang-barang di dapur
pulak.” Pak Hasan menyerahkan barang-barang yang dijinjitnya kepada Mak Cik
Hasnah sambil disambut oleh wanita itu.
“Tapi saya tak ada duit nak bayar ini semua
Pak Hasan. Saya ada sepuluh ringgit sahaja. Itupun buat
belanja sekolah budak-budak tu hari Isnin nanti.”Mak Cik Hasnah berterus terang dengan suara
sedih. Matanya digenangi air, mengenangkan nasib badan. Malu rasanya jika hidup
mengharapkan ihsan daripada orang lain.
“Tak payah sebut tentang duit Hasnah.Ambillah. Aku ikhlas. Lagipun Lisa itu kerja
dengan aku walaupun seminggu sekali. Rajin dan amanah budaknya. Anggaplah ini
hadiah daripada aku. Lisa mana?” Lagi
sekali Pak Hasan bertanyakan tentang Nurlisa.
Mak cik Hasnah merenung ke arah jalan sambil
mengelengkan kepalanya. Di wajah tuanya terpamer kebimbangan.
Datin Rabiatul terdiam. Dia tidak tahu untuk memulakan bicara tentang
berita yang ingin disampaikannya. Butir-butir percakapan antara Pak Hasan dan
Mak Cik Hasnah yang didengari menjelaskan tentang kesusahan keluarga itu. Sudah tentu Nurlisa menjadi tunggak dan
tempat keluarga itu bergantung harap.
Kini, gadis itu pula terlantar di rumah sakit kerana kemalangan. Lebih sulit
lagi, kakinya patah dan sudah tentu tidak dapat berjalan untuk mencari rezeki
bagi menampung keluarga itu. Mungkin untuk waktu yang lama juga.
“Cik ni siapa?” Pak Hasan tiba-tiba menoleh
ke arah Datin Rabiatul yang berdiri terpacak seperti tiang lampu. Pada ketika
itu, Mak cik Hasnah membawa barang-barang dapur pemberian Pak Hasan ke
belakang, mungkin menghantarkannya ke dapur.
“Encik... sebenarnya saya datang ni nak bawa
berita tentang Nurlisa! Saya terjumpa Nurlisa pengsan di tepi jalan. Dia telah
dilanggar oleh kereta. Tapi saya tak sampai hati untuk memberitahu emaknya lalu
saya berpura-pura meminta air untuk mengisi tangki kereta saya.” Datin Rabiatul
berterus terang dengan suara yang agak berbisik.
Pak Hasan yang terkejut terus menghampiri
Datin Rabiatul untuk mendapatkan penjelasan. “Sekarang dia di mana? Cedera?
Teruk ke? Dah sedar ke belum?” Bertubi-tubi Pak Hasan bertanya. Jelas lelaki
tua itu sangat terperanjat dan bimbang mendengar cerita tentang Nurlisa.
“Di hospital. Kakinya patah. Tapi sebelum
saya keluar dari wad tadi, dia dah sedar. Dia yang beritahu alamat ini. Encik tolonglah beritahu emak Nurlisa. Saya
tak sampai hati.” Datin Rabiatul
bersuara perlahan. Terasa ringan bahunya kini apabila berita itu telah
disampaikan kepada Pak Hasan. Pada fikirannya, sudah tentu Pak Hasan dapat
memberitahu kepada Mak Cik Hasnah dengan cara yang baik.
“Cik ini airnya! Minta maaflah kerana
menunggu lama. Air paip di sini terlalu
sikit. Kadangkala hendak memenuhkan satu
tempayan pun sampai satu hari menadahnya!” Mak Cik Hasnah menerangkan sebaik
sahaja muncul di muka pintu sambil menjinjit sebuah baldi berwarna biru yang
sudah buruk.
“Biar Mak Cik tolong hantarkan sampai ke tepi
jalan.Mak cik pun nak menunggu anak mak cik si Nurlisa itu.Entah mengapa dia belum balik-balik lagi” Mak Cik Hasnah
bersuara tulus.
Datin Rabiatul memandang ke wajah Pak Hasan
yang masih berdiri di situ.
“Hasnah! Tak payah pergi tunggu Nurlisa!
Sebenarnya begini, cik ini ingin menyampaikan berita tentang Nurlisa...” Pak Hasan memberitahu apa yang didengarnya
daripada Datin Rabiatul.
Mak Cik Hasnah terlopong. Wanita yang meminta
air tadipun sudah meninggalkan rumah itu tanpa disedari oleh Pak Hassan dan Mak
Cik Hasnah.