Kartini bersandar di kepala katil. Adik dan emaknya
telah lama lena, maklumlah waktu telah menunjukkan pukul 11.30 malam. Beg besar
di tepi dinding rumah direnungnya dengan senyuman.
Esok dia akan bertolak ke Kuala
Lumpur untuk mendaftar di Universiti Malaya.
Isma juga akan bersama-sama keluarganya
mendaftarkan diri di universiti yang sama. Kartini benar-benar gembira.
Hasrat mereka untuk sentiasa bersama akan termakbul.
Isma dan Tini sememangnya kawan yang sangat rapat dan
mereka telah belajar di sekolah yang sama sejak di darjah satu lagi di Sekolah
Kebangsaan Padang Rengas. Keserasian wujud diantara mereka sejak mula lagi
sehinggalah kini. Dan esok mereka akan meneruskan tradisi itu dengan menyambung
pelajaran di universiti yang sama juga dalam jurusan yang sama. Memang ini
adalah impian mereka bersama dan sering mereka bualkan apabila berada di air
terjun
“Eh Tini, nanti kalau kita dah ada pengalaman jadi
peguam, lepas empat lima
tahun, kita bukak firma guaman sendiri nak? Tentu nanti kita jadi kaya. Lepas
tu kalau kita kahwin, dapat anak. Kita suruh anak-anak kita pulak teruskan
persahabatan kita ni. Tak pun, kalau kau dapat anak lelaki dan aku dapat anak
perempuan, kita kahwinkan pulak dia orang tu. Boleh kita jadi besan pulak,”
Senyuman melatari di bibir Isma tatkala mengatakan
tentang impiannya. Anak matanya merenung jauh. Jarinya memintal-mintal hujung
rambutnya yang agak berombak kasar. Tini hanya tergelak kecil. Memang sejak
dari dulu Isma kuat berangan. Ingin jadi kaya, ingin kahwin dengan orang kaya,
ingin ada kereta besar, rumah besar dan anak yang ramai.
Isma sesungguhnya seorang gadis yang cantik. Bermata
bulat dan hitam. Alis matanya juga hitam dan cantik tersusun rapi. Kulitnya
putih kemerahan dan apabila waktu tengahari, kemerahan pipinya semakin ketara.
Rambutnya ikal mayang dan lebat. Pendek kata segala-galanya ada pada Isma. Dia
sememangnya boleh dinobatkan sebagai gadis tercantik di Padang rengas ini. Sebab itulah juga
keluarganya begitu menyayanginya. Dia ditatang bagai minyak yang penuh
lebih-lebih lagi dia anak bongsu di dalam keluarga. Kedua ibu bapanya dan
abang-abangnya amat mengambil berat tentang dirinya. Dengan siapa dia berkawan
dan tentang apa yang dia lakukan.
Abang-abang Isma semuanya berjaya di dalam hidup mereka. Yang sulung bekerja sebagai
guru di sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan manakala abangnya yang kedua
bekerja sebagai Jurutera di Syarikat Petronas di Kuala Lumpur. Kebanggaan jelas
kelihatan di wajah kedua ibu bapa Isma. Lebih-lebih lagi apabila Isma pula
bakal mengikuti jejak langkah anak-anaknya yang lain dan bakal bergelar seorang
peguam.
Tini pula seorang yang sederhana. Anak kampung yang
hidup bersama adik dan ibunya yang bekerja di sebuah kedai makan di kampung
mereka. Gaji ibu tidaklah berapa banyak
namun masih cukup untuk menampung kehidupan seharian mereka. Selain itu, ibu
juga ada membuat kuih muih untuk dijual di mana ibu tumpang letakkan di kedai
makan tempat dia bekerja. Penat lelah ibu membesarkan mereka berdua amat Tini
hargai dan sanjungi. Dan dia nekad untuk memberikan kesenangan hidup kepada ibu
apabila dia habis belajar nanti.
Tini bangun dari katil, menggeliat beberapa kali
kemudian berdiri tegak merenung wajahnya di cermin. Dia mengulum senyum apabila
melihatkan imejnya sendiri yang turut membalas senyumannya. Tini mengusap
pipinya sendiri. Dia juga berkulit putih dan wajahnya bersih bebas dari jerawat
dan jeragat. Hidungnya juga mancung dan dia juga bertubuh langsing. Jika rambut
Isma lebat dan hitam, rambutnya juga begitu, cuma dia tidak mendedahkannya dan
lebih selesa bertudung kepala. Wajahnya tidak pernah disentuh dengan sebarang
alat solek. Kecantikannya adalah semulajadi. Tini tersenyum. Jika sekali imbas,
kecantikannya tidaklah banyak bezanya daripada Isma.
Mungkin juga kerana cara penampilan mereka berdua
menyebabkan kecantikan Isma lebih terserlah di mata yang memandang. Isma tidak
bertudung kepala. Rambutnya yang hitam dan lebat menyerlahkan lagi
kecantikannya. Isma juga pandai berhias diri. Setiap hari minggu apabila mereka
keluar berjalan, pasti secalit gincu akan memerahkan bibirnya. Pakaiannya pula
memang cantik. Selalu sahaja dia mendapat baju baru kerana abang-abangnya amat
menyayanginya memandangkan dia juga adalah anak perempuan tunggal di dalam
keluarga.
Selain itu, Isma juga pandai bergaul dengan sesiapa
sahaja manakala Tini lebih pemalu dan pendiam. Dari segi status keluarga, Tini
tidak semewah Isma. Kadang-kadang hanya track-suit dan T-shirt lengan panjang
sahaja yang membaluti tubuhnya. Namun dia bersyukur dengan segala apa yang dia
perolehi sekarang. Selalu dia mengingatkan dirinya sendiri bahawa ada orang
yang lebih susah dari dirinya. Walaupun dia tidak kaya harta dan wang, namun dia masih mampu tidur lena di
rumah yang sempurna dan dapat makan setiap hari untuk mengalas perut. Dia juga
masih mempunyai ibu dan adik untuk dia bergantung hidup dan kasih sayang.
Tini melihat jam yang tergantung di dinding rumah. Sudah
hampir pukul 12.30 malam. Matanya masih belum mengantuk. Dia memandang semula
beg besar yang sudah siap diisi dengan pakaiannya. Dia mencongak-congak.
Rasanya semua keperluan yang diperlukan sudah dimasukkan ke dalam beg tersebut.
Tini pandang pula ke arah sepasang baju kurung baru berwarna biru muda yang tergantung
di belakang pintu biliknya. Baju itu dijahit sendiri oleh emak yang memang
pandai menjahit baju kurung. Entah mengapa tiba-tiba perasaan sebak bertandang
di hati Tini. Mengingatkan emak dan Nazrin yang akan ditinggalkan menyebabkan
perasaan gembira sebentar tadi terasa pudar.
Tini bangun dari katil kemudian berjalan keluar dari
bilik tidurnya. Dia melangkah ke arah bilik emak dan menolak daun pintu yang
tidak pernah berkunci. Tini memandang
wajah emak yang sedang lena beradu di atas katil. Bibir emak yang nipis
seolah-olah sedang tersenyum. Adakah emak sedang bermimpikan kejayaannya? Hati
Tini berbisik sendiri. Tiba-tiba Tini terasa air matanya mengalir di pipi.
Cepat-cepat Tini mengesatnya. Apabila Tini melihat tubuh emak bergerak, dia
terus berpusing dan melangkah masuk ke biliknya semula.
Perlahan-lahan Tini merebahkan tubuhnya ke atas katil.
Dia perlu tidur segera kerana esok awal-awal pagi dia akan bertolak ke Kuala Lumpur. Mak…..Tini
tak akan hampakan mak….bisik Tini sebelum dia terlena.