Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
115,566
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

"LIA, kamu tengok apa tu?” Suara Kak Hayati menampar gegendang telinga Adelia.

Kak Hayati baru saja turun dari biliknya di tingkat atas. Dia adalah sepupu ibu Adelia. Anak perempuannya, Sabariah yang baru saja habis SPM juga tinggal bersamanya. Jadi ini bermakna, Adelia dengan Sabariah berpangkat dua pupu. Seorang lagi teman serumah mereka adalah rakan baik Kak Hayati, Kak Maz.

Kak Hayati sudah lama bercerai dengan suaminya. Manakala Kak Maz yang berusia 36 tahun sedang bercinta dengan suami orang. Ya, bukan sesuatu yang aneh, kan? Yang sadisnya, suami orang itu juga mempunyai kekasih hati yang lain. Jadi, ia cinta empat segi dan bukan tiga segi. Cinta tiga segi sudah sangat klise. Pada zaman siber ni orang sudah semakin meminggirkan soal kasih suci dan cinta abadi.

“Ni blog masakan yang terkenal di Australia, Kak Yati,” jelas Adelia.

Kak Hayati menghampiri Adelia yang duduk di meja makan rumah teres empat bilik itu. Bilik Adelia bersebelahan dapur. Sementara pintunya menghadap ruang tamu.

“Joanna’s Bites. Nama pemilik blog ni, Chef Joanna,” cerita Adelia. “Emak dia berbangsa Australia. Ayah dia orang Melayu Malaysia.”

Kak Hayati yang berkaftan longgar membelek skrin laptop. “Mana foto chef tu, Lia? Mesti cantik orangnya sebab berdarah kacukan.”

Adelia menggeleng. “Takde foto, Kak Hayati. Dia jenis low-profile.

Kak Hayati menuding ke arah sebiji kek dengan aising berwarna-warni. “Eh, sedapnya kek tu. Bila kamu nak buat untuk akak, Lia?”

Adelia tergelak kecil. “Insya-ALLAH... satu hari nanti.”

Kak Hayati melangkah ke dapur. “Nanti akak dapat bonus, akak beli ketuhar. Boleh ler kamu ajar akak buat kek sekali, ya Lia.”

Adelia tersenyum. “Sab ke mana, Kak Yati?”

“Entahlah, malas akak nak tanya dia. Dia kata nak cari kerja sementara tunggu keputusan. Tapi, akak rasa diamelepak dengan kawan-kawan aje. Risau akak sebab dia selalu balik lewat malam.”

Adelia mengerling jam di kanan laptop.Sudah hampir 11.00 malam. Ada bunyi air mendidih di dalam cerek elektrik. Agaknya Kak Hayati membancuh minuman panas. Selalunya dia akan duduk di ruang tamu menonton TV hingga larut malam.

Telefon bimbit Adelia tiba-tiba berbunyi. Terus aje dia menjawabnya. Suara seorang wanita menyapanya di hujung talian.

“Adelia, sorrykacau malam-malam macam ni,” ujar Hajah Jarini. “Ni pasal majlis di galeri lukisan hujung minggu ni. Katerer yang saya ambil tu tak dapat sediakan panini. Frust sangat. Kay kata you pandai buat. Bolehlah, ya?”

“Panini? Saya...”

“You boleh datang malam tu, kan?”

Kebetulan memang Adelia offhari Sabtu itu. Dia ada cakap pada Kayla yang dia boleh pergi ke majlis itu. Ya, apa salahnya, kan... beri sokongan pada galeri lukisan Haji Ahmad Denil?

“Saya jemput you, kita pergi awal ke Bangsar. Boleh sediakan panini di situ sebab ada dapur dan perkakas lain. Apa-apa bahan yang you nak guna, saya belikan dulu.”

Kayla ni menjaja nama aku pula, fikir Adelia. Lepas peristiwa krim karamel yang pahit tu, Kayla masih terus percayakanku! Atau mungkin juga tiada orang lain yang sanggup buat panini dalam masa yang suntuk. Jika tahu membuatnya memang mudah. Hanya tekniknya saja yang sedikit rumit.

“Berapa orang yang nak datang nanti?” soal Adelia.

Kata Hajah Jarini, dalam 100 orang. Adelia terus memberitahu wanita itu apa yang perlu dibeli. Mereka berjanji untuk berjumpa pada hari Sabtu pagi. Selepas menamatkan perbualan, barulah Adelia perasan Kak Hayati sedang memerhatinya.

“Siapa tu?”

“Jiran Kay. Dia nak buat majlis.”

“Lia, akak risau dengan Sab tu. Bebas sangat ke sana ke mari.”

“Kan akak boleh nasihat dia, jangan kasi dia keluar?” Adelia pula membidas. Cewah, bajet suci aje kau ni!

“Nanti dia marah, dia tak nak tegur akak. Kalau dia lari dari rumah, siapa yang susah? Akak juga, kan?”

Adelia menutup laptopnya lalu bangun. Dia tak faham kenapa ada juga ibu bapa zaman siber ni yang takut pada anak mereka. Mungkin Kak Hayati terlalu manjakan anaknya itu.

Tiba-tiba terdengar kunci di pintu hadapan. Dengan tidak semena-mena, wajah Sabariah yang pucat lesi terpacul di situ. Kak Hayati dan Adelia saling berpandangan dengan penuh tanda tanya.

JAMUAN di galeri milik Haji Ahmad Denil berjalan lancar. Ada di kalangan tetamu yang sudah membeli beberapa buah lukisan. Yang lain cuma menikmati lukisan sambil menjamah finger foodyang telah disediakan. Haji Ahmad Denil dan Hajah Jarini melayani tetamu mereka dengan gembira.

Selain panini yang dibuat oleh Adelia, ada bebola tauhu berinti, mini pulut kuning dengan rendang, krim paf berinti tuna, jejari udang dengan bijan dan seumpamanya. Jus buah-buahan seperti kranberi, delima dan oren juga dihidangkan.

Adelia agak kecewa kerana Kayla tak dapat hadir. Sakit kepala, katanya. Sekitar jam 6.00 petang, katerer menghantar makanan. Adelia menyusunnya di dalam pinggan-pinggan besar. Hajah Jarini ke hulu ke hilir melayani tetamu suaminya sambil memastikan makanan dan minuman mencukupi.

Syed Idlan dan Razip tiba kira-kira pukul 9.30 malam. Mereka terus ke tingkat atas untuk membelek koleksi yang dipamerkan. Haji Ahmad Denil menjelaskan tentang aspek menarik lukisan-lukisan itu. Kemudian mereka bertiga turun ke taman kecil untuk menikmati hidangan.

Hajah Jarini yang sedang melayani rakannya berbual terus menyapa Razip dan Syed Idlan. “Jemputlah makan,” pelawa Hajah Jarini. “Royana, mereka ni jiran I.”

Syed Idlan dan Razip berbalas senyuman dengan Royana. Kemudian mereka mengambil beberapa jenis makanan. Manakala Haji Ahmad Denil meneguk jus delima.

“Sedaplah panini ni,” puji Syed Idlan sambil mengunyah perlahan-lahan.

“Selalunya kalau sedap macam ni dekat restoran Italy aje,” sahut Razip pula seraya mencapai kepingan yang ketiga.

Royana mencelah. “Hah, kan betul I cakap tadi, Jarini? I dah minta nak bawa balik, tapi rupa-rupanya dah tinggal sikit...”

Haji Ahmad Denil dan isterinya tergelak kecil.

“Roy, yang lain I boleh bagi tapi panini memang dah takde. Ni pun yang last...

“Ada name-cardkaterer you, Jarini?” soal Royana.

“Katerer yang I ambil ni buat semua kecuali panini. Yang tu istimewa sikit... tunggu kejap, ya,” jawab Hajah Jarini.

Wanita itu masuk ke bahagian dapur. Seketika kemudian dia muncul bersama Adelia. “Hah, kalau nak tahu, ni orangnya yang buat panini tu.”

Syed Idlan dan Razip menjeling sesama sendiri. Terlopong mulut Adelia melihat kedua-dua jejaka itu di situ. Dia langsung tak menyangka mereka akan datang.

Royana menghampiri Adelia lalu bersalaman. “Boleh buatkan untuk I tak? Minggu depan majlis cukur jambul anak saudara I.”

Adelia tersenyum kecil lalu mengucapkan terima kasih serta insya-ALLAH. Royana memberikan name-cardnya serta memohon agar Adelia menelefonnya.

“Semua orang puji panini yang you buat, Adelia,” kata Hajah Jarini. “Lebih-lebih lagi Syed Idlan dengan Razip ni...”

Adelia hanya mampu tersengih. Kalau di rumah Kayla pudingnya pahit, nampaknya di sini panininya berjaya menambat hati ramai. Hah, terbukti sudah keupayaannya. Gadis itu berasa gembira lebih-lebih lagi bila teringat air muka Syed Idlan sewaktu mata mereka bertentangan tadi. Nampak macam lelaki itu tak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Hajah Jarini.

Beberapa orang tetamu baru sampai. Kecoh seketika tatkala mereka mengelilingi Haji Ahmad Denil dan Hajah Jarini. Adelia segera berlalu ke dapur. Hasratnya nak menyudahkan kerja mengemas. Sewaktu sedang mengikat beg sampah, dia perasan seseorang mendekati. Argh, Si Konon Bijak tu, rupa-rupanya!

“Awak cari apa? Panini dah habis,” sindir Adelia tanpa menoleh ke arah lelaki itu.

Syed Idlan tergelak pendek. “Di mana awak belajar buat panini macam tu?”

Adelia ke singki membasuh tangan kemudian mengelapnya. Sengaja dia hendak mendera lelaki itu. “Tu rahsia saya.”

“Rahsia?” soal lelaki itu sebelum tergelak lagi. “Awak seorang yang fikir ia rahsia. Saya tahu, awak cilok resipi tu di internet, kan?”

Adelia membalas renungan Syed Idlan. “Kalau ya pun saya cilok, awak nak buat apa?” Huh, beraninya dia!

Hajah Jarini tiba-tiba muncul di ambang pintu. “Oh, you di sini rupanya, Syed Idlan... tu Razip tengah cari you. Dia kata nak balik dah. Oh ya, Adelia, tolong tambah jus kranberi.”

Adelia melangkah ke arah peti sejuk lalu mengeluarkan botol berisi jus itu. Selepas itu dia ke meja hidangan. Usai kerjanya mengutip gelas dan piring di situ, dia ke dapur semula. Bila mendapati Syed Idlan tiada di situ, dia bernafas lega. Entah kenapa hatinya tidak tenteram setiap kali lelaki itu ada. Dia berasa seolah-olah ada cemuhan dalam renungan mata Syed Idlan.

Menjelang jam 12.00 tengah malam, Hajah Jarini menghantarnya pulang ke rumah sewanya. Sebelum turun dari kereta, wanita itu menghulurkan sampul surat.

“Apa ni, Hajah Jarini?”

Pantas saja wanita itu menjawab. “Buat beli aiskrim.”

Adelia hanya tersengih lantas mengucapkan terima kasih. Tiba di bilik tidurnya, barulah dia membuka sampul itu. Alangkah terkejutnya dia kerana di dalamnya ada lima helai not seratus. Syukur alhamdulillah.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin