Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,108
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

BUNYI tapak kaki yang berlegar-legar di atas tanah di luar khemah mengejutkan Adelia daripada tidur. Dalam kegelapan ruang khemah itu, dia meraba-raba di sebelah. Alamak, mana Kayla?

Pukul berapa ni? Kepala Adelia pening sedikit kerana terbangun secara tiba-tiba tadi. Tapak kaki yang didengari itu sudah berhenti di hadapan pintu khemah. Gadis itu pasti ia bukan Kayla kerana bunyinya seperti kasut, bukan selipar.

Rasa cemas mulai menjerut kerongkong gadis itu. Mungkinkah orang itu berniat tidak baik? Barangkali nak mencuri atau... oh TUHAN! Jangan-jangan dia ingin lakukan yang lebih dahsyat lagi.

Tanpa berlengah, Adelia mengesot ke hujung khemah di mana ada beg berisi perkakas memasak tadi. Dalam kegelapan itu, dia terasa sesuatu yang panjang dan keras.

Hah, senduk! Sah boleh jadi senjata. Adelia memegang erat senduk itu sambil bersedia untuk menghayunnya ke kepala sesiapa yang berani menceroboh masuk ke khemah itu.

Bunyi zip khemah ditarik menambah rasa gemuruh di dalam dadanya. Dia menahan nafas dan mempersiapkan diri untuk ‘menyerang’ dengan senduk di tangan kanan.

Tunggu! Bukankah dia patut menjerit aje? Macam mana kalau jeritannya tak cukup kuat? Bagaimana kalau penyerang tu menutup mulutnya tiba-tiba? Sah-sahlah dia akan mati!

Sebaik saja bunyi zip berhenti, Adelia melihat bayangan satu lembaga muncul. Dengan sekuat tenaga, dia menghayun senduk itu ke arah lembaga tersebut. Hah, rasakan!

“Adoi!” Jeritan seorang lelaki membuat dia terpanar seketika.

Alamak, macam mana ni? Gadis itu terasa satu tangan menggagau di dalam kegelapan khemah itu. Tangan itu terkena pipinya. Tanpa berfikir panjang, dia melibas senduk itu sekali lagi. Huh, moga-moga terkenalah kepalanya!

“Hoi...”

Satu sergahan hinggap di telinga Adelia. Serentak dengan itu, dia terasa tangan lelaki itu menyentap lehernya. Sepantas kilat, dia cuba menepis tangan itu tetapi tanpa disedari, kakinya terpijak sesuatu yang licin dan dia terpelanting ke tepi khemah. Dalam kekalutan itu, lelaki tersebut sempat menarik bajunya.

Mereka bergelut seketika. Dalam kekalutan itu, khemah tersebut tiba-tiba roboh. Dengan tidak semena-mena lelaki itu terjatuh dan tubuhnya menghempap tubuh Adelia.

“Ya ALLAH!” Adelia menjerit kerana panik.

Apatah lagi nafas lelaki itu kedengaran begitu hampir dengan telinganya. Jantung gadis itu berdegup kencang bila menyedari tubuhnya tidak dapat berganjak.

“Shyy... jangan bergerak!” Lelaki itu memberi amaran.

Adelia cuba bangun tetapi tidak berjaya kerana seluruh khemah sudah jatuh menimpa mereka. Dia macam orang gila menampar-nampar tubuh lelaki tersebut sambil cuba menyepak kakinya ke kiri dan kanan.

“Saya kata cuba diam sekejap!” Suara lelaki itu bernada tegas.

Dalam kegelapan itu, Adelia cuba mengamati di mana dia pernah mendengar suara itu. Oh TUHAN! Dia semakin cemas. Benarkah apa yang disangkanya? Dengan seluruh kekuatan yang ada, dia menolak tubuh lelaki itu ke tepi.

“Awak ni degil, ya?” Kali ini suara lelaki itu kedengaran hampa. “Kalau awak tak duduk diam sekejap, macam mana kita... ”

“Syed Idlan?”

“Aa... awak?”

“Ya, saya Adelia. Awak boleh bangkit tak?”

“Saya tak jual kuih bangkit.” Selamba badak Syed Idlan menjawab.

“Saya serius... tangan saya... aduh...”

Sebelum Adelia mampu meneruskan bicara, kedengaran suara di sekeliling mereka. Orang-orang yang berkumpul itu cuba menegakkan khemah semula.

“Lia... kau okey ke?” soal Kayla di tengah-tengah keriuhan suara mereka yang cuba membantu.

Beberapa minit berlalu sebelum khemah kembali tegak seperti sediakala. Cahaya dua atau tiga buah lampu picit menyuluh ke arah muka Adelia. Adelia masih terkial-kial hendak bangun. Sedangkan Syed Idlan sudah merangkak ke luar.

Tangan kiri Adelia terasa kebas. Gadis itu mulai panik. Sambil bangun, dia mengurutkan tempat yang kebas itu. Dia mengesot ke pintu khemah yang sudah diselak oleh Kayla. Perlahan-lahan dia keluar lalu memerhati sekeliling.

Mereka yang membantu tadi sudah beredar ke khemah masing-masing. Razip sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Adelia rasa macam nak cekik Syed Idlan bila terkenangkan apa yang telah terjadi sebentar tadi.

“Bila kau sampai, Idlan?” soal Razip.

“Kau kata khemah warna kelabu, aku fikir yang ni...” Syed Idlan terus menempelak. “Tak sangka kepala aku benjol kena ketuk dengan senduk....”

Razip dan Kayla tergelak. Sementara Syed Idlan memegang bahagian kepalanya yang berbenjol itu.

Debaran di dada Adelia amat kencang bila teringat kembali saat-saat tubuh lelaki itu menghempapnya. Kalau hari siang, tentulah terserlah mukanya yang merah padam. Malu yang amat, oh TUHAN!

Adelia rasa sangat serba-salah. “Ss... sorrylah.”

Dalam suasana samar-samar di situ, Syed Idlan merenung ke arah gadis itu. “Bukan salah awak. Saya yang tersilap khemah... ”

“Razip beli khemah serupa. Inilah jadinya... Kan tadi dalam phone dah cakap kat you,Idlan. Khemah Razip dengan you kat pokok besar sana,” sampuk Kayla.

“Cik Kayla, dalam larut malam mana nak nampak semua tu?” Syed Idlan membela diri. Sinis nada suaranya. “Lagipun, I datang terus dari hotel tadi. Tak rehat lagi ni... ”

“Jomlah... ” ajak Razip.

Mereka lantas beredar dari situ. Adelia mengekori Kayla masuk ke dalam khemah semula.

“Lecehlah takde lampu picit.. ” Adelia berleter. “Mujur tak jadi apa-apa yang... ah, malas nak ingat. Yang kau tu pergi mana tadi? Tinggalkan aku seorang-seorang pula tu!”

Dalam sedikit cahaya lampu malap yang menembusi kanvas khemah, Adelia melihat Kayla sudah terbaring. Dia pula masih mencari bantal yang terpelanting entah ke mana.

“Aku sakit perut lagi... tak sempat nak gerakkan kau.”

“Tak sempat gerak aku... tapi, gerak Razip sempat?” Adelia sengaja menyakat rakannya itu.

Kayla mendengus keras. “Jangan kau memandai nak fitnah, Lia. Aku panggil dia lepas aku tengok khemah dah roboh. Aku nampak orang bergumpal dan khemah bergoyang-goyang...”

“Pengalaman ngeri.”

Rakan baik Adelia itu tergelak kecil. “Tidurlah. Esok nak bangun awal, masak sarapan.”

“Masak?”

“Yalah, Chef Adelia. Aku bawa roti dengan sardin. Ada keju lagi. Kita celup sandwic sardin dalam telur bercampur susu dan goreng dalam sedikit minyak.... fuh, memang tertambatlah hati Razip kat aku.”

Adelia hanya mengangguk.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin