Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
106,425
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

"YANG kau tercegat kat situ, buat apa?” soal Kayla sebaik saja dia membuka cermin tingkap Honda City itu.

Adelia terkedu kerana Kayla tidak beritahu pun yang dia akan datang bersama... ya, siapa lagi kalau bukan Razip! Tapi, macamlah aku tak tahu mereka sedang berpacaran sekarang. Aku tahu pun daripada mulut Syed Idlan. Macam biasa Kayla bijak menyimpan rahsia.

“Hai...” sapa Razip yang memandu kereta warna perak metalik itu.

Razip kelihatan berbeza sekali. Lebih kacak. Mungkin sebab rambutnya agak pendek. Hei, entahlah. Yang dia sibuk-sibuk pasal pak we kawan baiknya sendiri, kenapalah agaknya?

Tanpa berlengah, Adelia terus membuka pintu belakang lalu mencampakkan beg sandang ke atas kerusi sebelum dia duduk dan menutup pintu kembali. Honda City itu terus meninggalkan kawasan rumahnya.

“Apa khabar?” soal Razip.

“Ba... baik. Maaf, tadi...”

Kayla tergelak pendek. “Sorry,aku tak cakap kat kau yang kita akan pergi dengan Razip.”

“Tak apa.”

“You pernah pergi Bagan Lalang tak?” soal Razip.

“Tak pernah,” jawab Adelia, jujur.

“Kalau tak silap, kat situ banyak restoran makanan laut, kan?” kata Kayla pula sambil memandang Razip. “Nanti bila-bila kita makan kat sana, nak?”

“Boleh aje, bila-bila you suka...”

Erk. Kayla bermanja dengan Razip! Itu sudah semestinya. Adelia berpura-pura tidak mendengar dialog cheesy mereka. Dia merenung ke luar tingkap dan cuba menghayati pemandangan lebuh raya, hutan menghijau dan bukit-bukau yang berbalam-balam di kejauhan.

Entah bila Adelia tertidur. Sedar-sedar saja dia terasa seseorang menggoyangkan tubuhnya. Rupa-rupanya mereka sudah tiba ke tempat perkhemahan. Petang sudah tua benar kerana langit berceloreng dengan warna-warna keemasan mentari yang semakin terbenam di ufuk barat.

“Kita solat dulu sebelum masuk ke tapak khemah tu,” ujar Kayla.

Adelia yang masih mamai cuma mampu mengangguk. Bangunan utama di kawasan perkhemahan itu dilengkapi dengan pejabat, kafetaria, dewan dan surau. Beberapa orang kelihatan berbual-bual di koridor menuju ke arah kedai runcit yang diterangi lampu kalimantang.

Usai solat, mereka mencari tempat yang sesuai untuk mendirikan khemah. Oleh kerana hari sudah agak lewat, tidak banyak tempat kosong lagi. Razip mencadangkan khemah Kayla dan Adelia tidak jauh dari tandas awam. Sedangkan khemahnya berada di hujung sebelah kiri berdekatan tangga yang menuju ke kawasan belukar.

Beberapa pengunjung lain sudah mula menyalakan unggun api tidak jauh dari khemah masing-masing. Suara kanak-kanak yang begitu teruja kedengaran dari hadapan beberapa khemah.

Bau ayam, daging, udang dan sotong yang dipanggang memenuhi udara. Perbualan dan gelak tawa dari sekeliling unggun api menjadikan suasana sekitar begitu mendamaikan jiwa.

“Aku nyalakan unggun api, ya...” usul Adelia setelah meletakkan beg di dalam khemah.

Razip dan Kayla baru saja memasang khemah itu. Sekarang mereka hendak bergerak ke tempat pilihan Razip pula. Bukan sukar memasang khemah itu sebenarnya. Seorang pun boleh buat. Namun, orang yang sedang dilamun cinta macam Razip dan Kayla itu pasti akan mencari peluang untuk bersama setiap masa. Oh, pleaselah...

“Kat mana nak cari kayu?” soal Adelia pula.

Razip dan Kayla tergelak bersama. Eh, kelakar ke soalan aku tu? Adelia bertanya sendiri. Hatinya berkata, mahu saja aku mengherdik mereka berdua. Tapi, Adelia tahu itu tentu tidak wajar. Dia hanya akan memusnahkanmood bahagia mereka.

“Nak cari kayu... nak cari kayu...” usik Razip yang menceduk dialog dalam filem klasik Seniman Tan Sri P. Ramlee iaitu ‘Labu Labi’.

Kayla tergelak manja. Aduh. Memang haru. Setiap kali Razip buka mulut, mesti Kayla ketawa. Hadoilah... parah! Mungkin inilah yang lazim dilalui oleh pasangan kekasih yang lain, agaknya. Bila ada konflik, mulalah jadi macam orang tak siuman. Takut Adelia bila melihat kesan cinta pada manusia.

Dalam suasana yang tidak begitu terang di situ, mereka berdua mungkin tidak perasan wajah Adelia sudah menjadi merah padam. Namun, dia tidak bersuara.

“You tahu guna portable stove, tak?” Razip bertanya sambil menuding ke arah sebuah beg tidak jauh dari pintu khemah.

Adelia mengangguk pantas. 

“Dalam beg kertas tu ada ayam dengan kentang frozen.Kita boleh goreng. Kuali pun ada. Kau carilah, ya. Hmm... Minyak pun aku dah letak sekali dalam plastik,” jelas Kayla.

Adelia mengangguklagi. Macam biasalah kalau ke mana-mana dia pergi, kawan-kawan akan meminta dia memasak. Mentang-mentanglah dia chef. Mereka ingat cheftidak ingin rehatkah? Apa salahnya kalau pergi berkelah atau berkhemah, dia pula yang datang melenggang dantidakperlu berbuat apa-apa kecuali makan dan tidur? Huh, kirim salam aje...

Di tengah-tengah keriuhan beberapa keluarga yang sedang makan di khemah berdekatan, Adelia membuka beg Razip untuk mencari dapur yang dimaksudkan olehnya tadi. Bezanya di situ agak gelap dan memanglah sukar mencari sesuatu di dalam gelap.

Satu-satunya lampu di kawasan itu terletak agak jauh dan malaplah pula. Mungkin sudah dikerumuni oleh beribu serangga malam. Mungkin tidak pernah diganti atau dibersihkan.

Kalaulah ada lampu suluh, mudahlah sedikit kerja aku! Dia mencari kelibat Razip dan Kayla. Memangtidaknampak langsung sebab dilindungi oleh beberapa khemah lain. Dia menyumpah dalam hati. Seronoklah pasangan kekasih itu dapat bersama, fikir Adelia. Cewah, kau dah kenapa Adelia? Cemburu pulak ke?

Patutlah Kayla beria-ia mengajak Adelia ke sini. Buat peneman tidur di dalam khemah. Kayla yang dia kenal memang tidak suka tidur seorang di tempat yang asing.

Adelia menghidupkan api. Dia meletak kuali dan menuang minyak. Selain ayam dan kentang, Kayla juga membawa coleslaw. Adelia membuat perhitungan, mesti coleslawdia buat sendiri sebab hendak menunjukkan bakatnya kepada Razip. Cececeh... Ala, bukan Razip tak tahu Kayla memang pandai memasak. Kan lelaki itu pernah makan di rumahnya?

Bila hendak meletakkan ayam di dalam minyak panas, barulah Adelia perasan yang sudip tiada. Macam orang gila dia melompat mencari di dalam beg Kayla. Weh, sudiptidak ada! Takkan dia nak terbalikkan ayam dengan tangan? Lainlah kalau dia ada menuntut ilmu kebal.

Mujurlah ada senduk. Nak terbalikkan ayam goreng dengan senduk? Apa boleh buat, sudah terdesak. Senduk pun senduklah!

Sekilo ayam sudah habis digoreng. Razip dan Kayla belum muncul lagi. Weh, pasang khemah atau cari kayu api? Sambil cuba untuk tidak memikirkan tentang mereka, Adelia mula menggoreng kentang pula.

Seseorang mulai memetik gitar tidak jauh dari situ. Beberapa orang menyanyi lagi ‘Pok Amai Amai’. Suasana memang meriah.

Kena makan dek harimau ke Kayla dengan Razip? Nahas mereka kalau datang sekejap lagi. Adelia mencapai paha ayam lalu mengunyahnya perlahan-lahan. Matanya melilau ke arah figura manusia-manusia di sekeliling unggun api yang sedang bergembira dengan nyanyian sumbang masing-masing.

“Hoi, makan tak ajak!” usik Kayla yang tiba-tiba saja muncul bersama Razip.

Sorry...kami terpaksa berjalan ke luar sana sebab kat sini takde line.” Lelaki itu menjelaskan dengan panjang lebar.

Dalam kesuraman itu, Adelia mengangguk. Mereka terus menyerang ayam goreng. Memang sukar untuk makan di dalam cahaya yang lebih gelap daripada terang itu tetapi itulah keseronokan berkhemah. Setiap hari makan dalam cahaya terang pun terasa bosan juga. Jika tidak, kenapa orang suka suasana romantis makan di dalam cahaya lilin?

Mereka bertiga berbual-bual kisah kampung masing-masing. Adelia tidak banyak bercakap sebab cerita kampungnya sama dengan cerita Kayla. Kan mereka duduk berjiran sedari kecil?

“Eh, torchlightada bawa tak?” soal Adelia tiba-tiba.

Mereka berdua menggeleng

“Mana boleh datang camping tak bawa torchlight?” rungut Adelia.

“Lain kali kita takkan lupa, okey?” Kayla menyedapkan hati rakannya.

Eik? Lain kali? Kan baru tiga jam di sini, dah plannak datang lagi? Mereng betul otak Kayla ni, getus Adelia di dalam hati. Tatkala itu dia hanya terfikir hendak gosok gigi dan tidur. Kalau Razip dan Kayla hendak melepak di luar ni sampai subuh, dipersilakan.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin