Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
106,412
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

DATUK TALHAH tersenyum kecil tatkala terpandang nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya.

“Helo, papa...” Satu suara girang menyapanya di hujung talian.

“Helo, Anna. Bila kamu nak balik ke sini?”

“Tak ada soalan lain yang papa nak tanya?” Gadis itu bertanya pula. “Soalan macam... erm, bila anak papa ni nak kahwin?”

Datuk Talhah tergelak besar. “Kamu diperlukan di sini, sayang. Sudah-sudahlah duduk di Sydney tu. Kalau kamu nak buka bakeri, bila-bila aje papa boleh tolong, tapi...”

“Tapi?” ulang gadis itu. “Papa tak berubah. Asyik bertapi-tapi, asyik bersyarat. Apa dia, papa?”

“Kamu kena kerja di hotel ni sekurang-kurangnya selama setahun. Lepas tu baru boleh buka bisnes. Kamu kena tahu selok-belok perniagaan dulu. Dan kamu kena ada followers barulah berjaya. Bila orang dah kenal, baru boleh dapat customersdengan mudah.”

“Setuju, papa.” Datuk Talhah bangun lalu melangkah ke birai tingkap. Pemandangan Masjid Shah Alam terbentang di hadapan mata. Cuaca cukup baik dengan gumpalan awan yang berlatar langit biru. Kenderaan berjejeran di jalan raya yang diseri rimbunan pokok-pokok renek oleander yang dijaga rapi.

“Ada kekosongan jawatan pastry sous chef... mungkin terbaik untuk kamu. Papa minta mereka tunggu kamu hantar resume,” usul Datuk Talhah. “Jangan lepaskan peluang ni, Anna.”

“Tengoklah nanti. Papa ni suka mendesak tau.”

“Ada sebabnya papa mendesak, sayang,” pujuk Datuk Talhah pula.

“Ya, papa selalu sudah bersedia dengan alasan yang macam-macam.”

“Sebagai chairman Board of Directors, papa sudah diminta untuk membuka cawangan hotel ini di Johor. Jadi, papa kena pastikan hotel di sini tiada masalah langsung. Kita juga sedang berbincang dengan pihak kerajaan untuk usahasama menaja konvensyen antarabangsa dan lain-lain.”

Di hujung talian, Joanna tergelak pendek. “Nanti bila Anna balik sana, papa cerita lagi, ya?”

Datuk Talhah ketawa gembira. “Bila tu, sayang?”

Pintu pejabat tiba-tiba terbuka. Datuk Talhah berpaling ke arah pintu. Tiada sesiapa yang berani masuk tanpa mengetuk dulu kecuali Datin Mona.

“Mama baru sampai ni...” ujar Datuk Talhah kepada anaknya.

Wajah Datin Mona yang bermekap cantik itu nampak ceria tatkala menyedari suaminya sedang bercakap dengan anak tirinya, Joanna. Dia segera memetik jari dan memberi isyarat bahawa dia ingin bercakap dengan gadis itu.

Datuk Talhah menghulurkan telefon tersebut kepada isterinya. Dia dan Datin Mona baru enam tahun mendirikan rumah tangga. Itu pun setelah lelaki itu menduda selama empat tahun. Dia lega kerana isteri barunya itu dapat menyesuaikan diri dengan Joanna.

Datin Mona yang lebih kerap ke Sydney untuk menjenguk anak gadis itu. Kadangkala dia membawa beberapa orang rakan-rakannya melancong dan membeli-belah.

“Helo, Anna. Mama nak tanya ni, kamu ada plans tak hujung bulan ni?” Datin Mona bertanya.

“Belum ada rasanya. Kenapa, mama?” soal gadis itu kembali.

“Kawan mama nak ajak pergi New Zealand. Kami nak singgah di Sydney dulu semalam dua. Kamu perlu bercuti juga, Anna. Lima hari aje... okey, ya, sayang?”

“Tengoklah dulu. Mungkin ada jemputan demo memasak.”

Cancel kalau ada. Bukan selalu kawan mama tu nak sponsor pergi bercuti,” pujuk Datin Mona. “Kamu baliklah ke sini. Papa dan mama rindukan kamu.” 

Datuk Talhah tersenyum mendengar isterinya memujuk Joanna. Mereka sudah lama berbincang dan mengatur strategi supaya Joanna mahu kembali ke tanah air. Banyak peluang untuk berjaya berbanding dengan bila berada di Australia. Di sana persaingan sangat hebat terutama dalam memasarkan hasil bakeri.

Kalau setakat mengambil beberapa orderdalam seminggu, sampai bila-bila pun tidak akan kaya atau hidup selesa. Bakat yang ada pada Joanna lebih baik diketengahkan di pasaran tempatan. Kemudian mudahlah untuk menembusi Singapura, diikuti Brunei, Thailand dan Indonesia.

“Okey, mama. Apa-apa hal nanti Anna call mama, ya?” janji Joanna sebelum memutuskan talian telefon.

Datin Mona menyerahkan telefon kepada suaminya semula. “Kawan saya, Puan Sri tu ada anak lelaki yang baru balik dari U.S. Dialah yang nak bawa saya dengan Anna bercuti di N.Z. dengan anaknya. Biar mereka berkenal-kenalan dulu. Kalau serasi, bolehlah kita berbesan dengan Tan Sri.”

Datuk Talhah cuma tersengih mendengar celoteh isterinya. Datin Mona duduk di sofa kulit warna perang. Sejambangan mawar merah menghiasi permukaan meja kopi. Datuk Talhah mencapai beberapa dokumen yang memerlukan tandatangannya. Sesekali matanya melirik ke arah Datin Mona yang tunduk membelek kukunya.

“Abang ikut aje yang mana awak fikir baik,” jawab lelaki itu. “Tapi, abang faham Anna tu... dia tak boleh dipaksa. Dia keras kepala macam emaknya.”

Sebarang kenyataan tentang bekas isteri Datuk Talhah akan membuat Datin Mona menggelabah. Paling ditakutinya bila Datuk Talhah menghubungi perempuan Australia yang berambut perang itu semula. Sementelah perempuan itu masih solo lagi. Ikatan kasih sayang mereka masih erat kerana kewujudan Joanna.

Apa yang membuat Datin Mona lebih gelisah adalah kerana Datuk Talhah dan bekas isterinya masih berhubungan di dalam Facebook.

Fikiran Datin Mona makin bercelaru kerana perempuan Australia itu kian hari kian jelita dan berjaya sebagai seorang ahli perniagaan di bumi Australia.

Setelah beberapa ketika berlalu dan Datin Mona masih membisu, Datuk Talhah membuka mulut. “Ada apa awak datang ni?”

“Saya nak buka butik,” balas Datin Mona.

“Kenapa tiba-tiba aje?”

“Kawan saya Datin Dayana dah buka spa. Jadi, saya fikir eloklah saya buka bisnes juga.” Datin Mona menjeling ke arah suaminya.

“Awak nak dapatkan supply dari mana?”

Datin Mona melepaskan keluhan panjang. “Beli kain di Indonesia, Vietnam, China... upah tukang jahit sini... yang penting, saya nak reka sendiri fesyen baju tu.”

Datuk Talhah memegang perutnya dan cuba untuk tidak ketawa. “Ingat senang ke nak reka baju?” tempelak lelaki itu.

“Saya tengok beberapa fesyen dalam majalah luar negara, ubah suai ikut cita rasa sayalah...”

“Kalau macam itu, baik awak aje yang pakai.” Datuk Talhah menyindir.

“Huh!”

Datuk Talhah bangun dari kerusinya lalu mendekati Datin Mona. “Abang cakap yang betul. Banyak sangat dah butik di merata tempat. Apa yang buat awak fikir, butik awak akan berjaya? Kalau tasteawak targetpada wanita 40-an atau 50-an, baik tak usah. Abang cadangkan awak buka butik tudung.”

Spontan Datin Mona memegang rambutnya. Terasa bagaikan suaminya menyindir. Sudah acap kali Datuk Talhah membelikan skarf dan selendang sutera, satin, chiffon, crepe dan entah apa-apa jenis lagi untuknya setiap kali pulang dari luar negara. Takkan dia tak dapat tangkap maksud lelaki itu lagi?

“Tudung?”

“Dengan modal RM50,000 awak boleh minta kilang buat beratus-ratus jenis tudung. Lepas tu awak bolehlah jual di butik, secara online atau cari agen-agen dropship...tapi, awak kena cari fesyen yang berbeza dengan Ariani, Pearl Haya, Fareeda atau Hajaba.”

Datin Mona mengerutkan kedua belah keningnya. “Macam mana abang tahu serba serbi ni?”

Datuk Talhah tergelak. “Girlfriend abang ada buka butik tudung.”

“Sejak bila abang ada girlfriend ni?” tempelak Datin Mona meskipun dia tahu suaminya cuma bergurau. Datuk Talhah memang suka bergurau bab-bab begitu.

“Kenapa, awak nak jumpa?” acah lelaki itu lagi sambil terus tersenyum lebar.

Datin Mona menjegilkan matanya sebelum mencapai beg tangan lalu keluar dari bilik itu.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin