Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
115,570
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

"CHEF dah tengok papan kenyataan pagi ni?” Chef Mohd Noor bertanya sebaik saja Adelia muncul dari ofisMalay Kitchen yang terletak bersebelahan dengan dapur yang luas.

“Belum. Kenapa, chef?”

“Ada pertandingan membuat manisan. Tak kiralah kuih-muih atau dessert. Terbuka pada semua kakitangan hotel.”

Adelia melangkah ke dapur yang sudah tersedia dengan beberapa buah kawah besar. Mengikut menu tengah hari ini, dia perlu menyediakan dalca dan ayam masak merah untuk 500 tetamu.

Commis chef Rozhan baru saja selesai memotong ubi kentang, terung, lobak merah dan sayur-sayuran lain. Dia sedang menggoreng ayam pula.

“Pemenang akan wakili hotel ke pertandingan antara hotel pula,” ujar Chef Mohd Noor.

“Macam MasterChef hotel.” Rozhan mencelah.

Adelia mencampakkan daun kari, kulit kayu manis dan bunga lawang ke dalam minyak panas. Kemudian menceduk tiga senduk bawang besar, bawang merah, bawang putih dan halia kisar. Seluruh ruang dapur harum dengan bau tumisan. Dari atas rak, dia mengambil bekas plastik berisi serbuk rempah kari dan serbuk cili.

“Syaratnya, satu kumpulan ada dua orang,” sahut Chef Mohd Noor yang sudah menghidupkan api dan meletakkan periuk di atas tungku.

Bekerja di dapur hotel mesti cepat, cermat dan cekap. Almaklum hendak memberi makan ratusan tetamu. Faktor terpenting pastilah kebersihan dan kesegaran bahan-bahan yang digunakan.

“Yang menang mestilah dari Pastry Kitchen,” balas Adelia dengan suara sedikit kuat untuk mengatasi bunyi air dari paip yang baru dibuka oleh Chef Mohd Noor. Dia sedang mengisi air ke dalam periuk untuk menyediakan sup ekor sebagai starterbagi jamuan itu kelak.

“Tak semestinya!” Chef Mohd Noor menjawab.

“Betul juga tu, chef,” tambah Rozhan. “Mereka tiap-tiap hari kerja menghadap kek dan manisan. Mungkin dah kering idea. Kita kat Malay Kitchenni mungkin boleh fikirkan manisanyang lain daripada lain.”

“Awak minat ke, Rozhan?” soal Adelia ingin tahu.

Sesekali dia menjeling dalca yang sudah hampir terbit minyak. Sebentar lagi dia akan masukkan daging cincang dan air rebusan daging. Bila naik minyak sekali lagi, barulah masukkan semua sayur-sayuran dimulai dengan lobak merah dan ubi kentang.

“Macam menarik, kan?” soal Rozhan pula.

“Kalau nak masuk, kita boleh bincang kejap lagi,” usul gadis itu.

Adelia menganggap Rozhan seperti adiknya kerana usianya 3 tahun lebih muda. Dia seorang yang rajin dan aktif juga dalam sukan terutama bola sepak. Dia juga sentiasa kreatif dalam menu masakan dan sering bertanya apa saja yang tidak difahaminya.

Pada telahan Adelia, inilah peluangnya untuk menunjukkan bakat. Dan mungkin kalau dia menang, dia dapat membenamkan semua sindiran Syed Idlan terhadapnya. Krim karamel pahit, konon! Dia serta-merta bertekad untuk masuk pertandingan itu dan membuktikan chef dari Malay Kitchen juga boleh menyediakan manisan.

Kata Chef Mohd Noor, dia sedia membantu apa yang patut. Semasa kecil dia pernah menolong ibunya memasak kuih-muih Melayu untuk dijual. Selalunya setiap chef ada cerita suka duka yang membawa mereka ke bidang tersebut.

“Tapi, kena bincang dengan Chef Syed Idlan atau Stella kalau nak guna Pastry Kitchen untuk buat testing,” kata Chef Mohd Noor. “Rumah chef ada oven?”

Adelia menggeleng. Berbincang dengan Syed Idlan? Kirim salam ajelah. Lebih menyemak kepala, buat apa?

“Habis tu? Kena buat manisan yang tak guna ovenlah?” soal Chef Mohd Noor pula.

Adelia mengangguk. Otaknya ligat berfikir. “Dessertyang dimasak atas api, dikukus atau didinginkan aje.”

Rozhan mencelah. “Chef, keluarga saya ada satu resipi pusaka nenek moyang. Mungkin kalau ubah suai sikit, guna platingyang sesuai... saya yakin kita ada peluang.”

Adelia dan Rozhan berbalas senyuman. Mereka sudah terbayang kemenangan di hadapan mata. Bagi gadis itu, wang atau pingat tidak penting. Yang penting dia mahu menundukkan Syed Idlan. Bagi Rozhan, ia adalah peluang keemasan untuk membuktikan bakatnya. Kelak mudahlah baginya untuk menjadi section chef.

“Kena rahsiakan resipi tu nanti,” pesan Chef Mohd Noor. “Kalau tak silap, kena buat tiga hidangan. Jadi, apa kata kalau you berdua buat lima dan kita sama-sama pilih. I boleh bagi komen.”

“Bila tarikh tutup?” Adelia bertanya.

Sempat dia mengerling ke dalam kuali. Kuah santan sudah mendidih. Dia perlahankan api dan biar ia merenih sehingga timbul minyak dipermukaan.

“I tak pasti, chef. Baik you tengok sendiri,” jelas Chef Mohd Noor. “Rasanya, you kena daftar nama secara onlinedengan nama resipi sekali.”

Adelia mengangguk. Kemudian, dia kembali menumpukan perhatian pada minyak di dalam kawah lain. Dia menumis bumbu untuk menyediakan ayam masak merah.

SELESAI tugas memasak, Adelia dan Rozhan berbincang di pejabat. Gadis itu mencadangkan Rozhan menulis resipi pusaka keluarganya dan memasaknya di rumah. Mereka juga menetapkan waktu untuk mencuba resipi manisan lainnya dan bawa ke hotel supaya boleh dirasa oleh Chef Mohd Noor.

“Saya daftar nama kita dulu dan letak nama resipi. Lagipun, penyertaan terhad. Kalau kita lambat, tak ada peluanglah,” kata Adelia.

Rozhan mengangguk tanda setuju. Dia memang jenis pendiam dan lebih banyak tersenyum. Adelia yakin mereka boleh bekerjasama dengan baik. Dia rimas kalau rakan sekumpulan terlebih peramah dan gemar membebel.

“Tarikh pertandingan sebulan lagi.” Adelia mengingatkan anak muda itu. “Jadi, kita mesti cuba secepat mungkin dan berulang kali sehingga kita dapat resipi yang benar-benar sedap.”

“Insya-ALLAH, chef.”

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin