Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,170
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

KATA-KATA Mr. Melvin beberapa hari yang lalu terngiang-ngiang di telinga Adelia tatkala dia menolak pintu ke bilik simpanan pakaian. Di situlah semua kakitangan Green Cove Hotel mengambil uniform mereka sebelum memulakan kerja.

“Selamat pagi, Aunty Soo,” tegur Adelia.

Aunty Soo perlu memastikan semua uniform digantung kemas mengikut saiznya. Bila ada function,dia mesti mengagihkan pakaian kepada pramusaji part time yang terlibat. Kakitangan yang sudah lama berkhidmat dan berkedudukan agak penting mempunyai rak penyangkut khas. Nama mereka dijahit pada uniform.

Di sebelah kanan bilik ada rak-rak khas untuk topi chef, apron dan keperluan lain. Manakala di atas meja ada mesin jahit untuk menjahit apa-apa yang terkoyak dan masih boleh diperbaiki. Ini tidak termasuk cadar, selimut dan lain-lain untuk kegunaan Housekeeping.

“Chef sihat?” sapa Aunty Soo, seorang janda anak dua yang masih maintain keayuannya meski pun sudah hampir 40 tahun.

“Sihat... esok ada function. Hari ni busysikit.”

“Ya, Mr. Melvin kata, semua dewan bankuasi penuh.”

Adelia terus menuju rak berpenyangkut untuk mengambil uniform. Semua raknya agak tinggi. Kalau berdiri di celah-celah baju itu, memang tiada sesiapa yang akan nampak.

Kasut yang khusus untuk kegunaan di dapur terletak di satu sudut. Memang tebal dan berat. Ia untuk mengelak kecederaan kalau pisau atau periuk terjatuh ke atas kaki. Tapaknya pula bergerigi supaya tidak tergelincir kalau memijak lantai yang licin.

I dengar ada hal tak kena di Malay Kitchen.Begitu kata Mr. Melvin. I dah tanya Chef Mohd Noor. Dia tak cerita apa-apa. I rasa you lagi tahu, Chef Adelia.

Adelia menyoal dirinya. Aku tahu? Tahu apa? Dan kenapa Chef Mohd Noor tak cerita? Adakah ia ada sangkut paut dengan dirinya? Bila Mr. Melvin tanya aku, adakah itu bermakna ia melibatkan diriku?

Mr. Melvin, I tak faham.Adelia berterus-terang.

Mr. Melvin berpura-pura tidak tahu padahal sebenarnya, dia tahu. Misinya adalah supaya Adelia membuat pengakuan. Bila Adelia mengaku, itu bermakna Mr. Melvin dapat mengesahkan apa yang dia tahu. Ini benar-benar mengelirukan, bukan?

Ada chef di Malay Kitchen bergaduh dengan chef di Western Kitchen. Macam mana you tak tahu? Mereka bergaduh sebab you.

Sebaik saja mendengar kata-kata Mr. Melvin itu, gadis itu tergelak. Bukan setakat tergelak kecil tetapi tawa yang berdekah-dekah, yang membuat lelaki itu tergamam.

Sebab I? Tak mungkin!Begitu luahan Adelia kepada Mr. Melvin. Cantik sangat ke I ni sampai ada orang boleh bergaduh?

Adelia masih ingat wajah lucu Mr. Melvin sebelum dia berkata bahawa mereka bukan bergaduh berebutkan dirinya. Tapi, mereka tak puas hati sebab dia selalu mendapat apa yang dia ingin daripada executive sous chef merangkap head chef iaitu Chef Razi.

Ooppss.

Chef Razi. Adelia terus terbayangkan penyanyi tersohor Anuar Zain. Memang Chef Razi ada iras-iras penyanyi itu. Gayanya berjalan dan berbicara pun saling tak tumpah. Wajah yang tidak dimakan usia walaupun kalau tak silap, sudah mencecah awal 40-an. Dia pula rajin ke gimnasium hotel yang terletak di tingkat empat.

Err... Chef Razi berminat dengan perempuan ke? Adelia tersenyum sendiri tanpa sebab. Ataupun dia sukakan dirinya dalam diam-diam? Suka sebagai adiklah, barangkali. Siapa dapat meneka hati orang, kan?

Chef Razi tu kira macam lelaki metroseksual yang suka fesyen, sentiasa wangi dan tinggal seorang di kondominium mewah yang dihias indah. Memang bertuah perempuan yang dapat memikat dan berkahwin dengannya.

Bak kata orang, hanya perlu cuci kaki saja. Rumah, kereta dan segala kelengkapan lain sudah tersedia. Apatah lagi dia seorang head chef. Cakap aje tekak nak makan apa, pasti dia dapat sediakan dalam sekelip mata.

“Chef, I nak keluar kejap. Ada apa-apa yang you nak ke?” soal Aunty Soo.

Kata-kata Aunty Soo mematikan ingatan Adelia terhadap Mr. Melvin dan Chef Razi. Di mana-mana tempat kerja pasti ada politik. Dia rasa hidup ini penuh dengan masalah. Sampai bila akan berakhir, entahlah. Jangan fikir sangatlah, nanti stress.

“I okey aje, aunty.” Adelia menjawab di sebalik deretan uniform yang bergantungan.

Suasana bilik itu terus sepi setelah Aunty Soo menutup pintu. Adelia membelek beberapa helai uniform. Pusing kanan, selak tengok saiz di kolar baju. Pusing kiri, selak lagi. Ke mana pula perginya saiz yang selalu dia pakai? Mustahil tiada. Kalau benar-benar tiada, dia perlu minta yang baru dari Aunty Soo. Lambatlah pula nanti sebab Aunty Soo baru saja keluar.

“Kenapa masih kotor baju ni?” Suara seorang lelaki tiba-tiba bergema dari arah hujung bilik.

Adelia langsung tak perasan rupa-rupanya ada orang lain sedang mencari baju juga. Entah bila dia masuk. Mungkin semasa Aunty Soo keluar tadi.

“Carilah yang bersih,” balas Adelia dengan nada selamba.

“Yang bersih dah jumpa tapi poketnya koyak pula!” tempelak lelaki itu. “Makan gaji buta...”

Adelia mulai rimas dengan sikap lelaki itu. “Awak ingat Aunty Soo jaga baju awak seorang?”

“Isy... awak budak baru pembantu dia ke?”

Adelia menikus di sebalik uniform yang tergantung itu bila menyedari lelaki itu melangkah ke arahnya. Dia cepat-cepat menjenguk ke bawah dan ternampak kaki lelaki itu semakin mendekatinya.

“Saya report awak kat orang atasan!” gertak lelaki itu.

Pantas gadis itu membidas. “Reportlah kalau berani!”

Lekas-lekas dia beredar ke bahagian belakang di mana ada ruang bertirai untuk menyalin baju. Namun begitu untuk sampai ke situ, dia perlu melalui rak di mana tergantung seluar-seluar panjang berwarna gelap. Otaknya ligat berfikir.

“Hoi, tak sayang mulut ke?” tengking lelaki itu.

Adelia mulai perasan dia pernah mendengar suara itu tetapi di mana, ya? Tanpa berfikir panjang dia terus menolak rak seluar, membongkok lalu mengeluskan badan ke dalam ruang bertirai. Perlahan-lahan dia menarik tirai sehingga menutupi ruang sempit itu.

“Oh, nak lari ya?”

Adelia makin menggelabah bila dia menyedari bahawa suara itu macam pernah didengarinya di rumah Kayla. Alamak, Si Konon Bijak yang ubah suai krim karamel pahit malam tu ke? Hisy, apa dia buat di sini?

“Saya tahu awak menyorok kat dalam tu!”

“Cubalah kalau berani datang dekat...”

Suasana sepi seketika. Adelia cuba mengagak sama ada lelaki itu sudah pergi atau masih berdiri di hadapan tirai dan bersedia untuk menyergahnya.

“Kalau awak buka tirai ni, saya menjerit!” Adelia mengugutnya pula.

Tiada jawapan. Adelia mengagak lelaki itu sudah keluar dari situ. Tapi, tiada langsung bunyi pintu. Argh, mungkin dia tidak dapat mendengar bunyi pintu tadi sebab degupan jantungnya terlampau deras.

Setelah benar-benar yakin dia bersendirian, gadis itu menolak tirai lalu keluar. Kemudian melangkah ke arah rak untuk mencari uniform. Mujur ada sehelai. Kenapalah tadi tak jumpa? Haru betul. Apron pula ada bersusun di rak belakang meja Aunty Soo.

“Oh, awak rupanya!”

Hampir pengsan Adelia bila mendengar suara itu lagi. Mereka berpandangan. Rupa-rupanya lelaki itu berdiri memeluk tubuh di rak berdekatan pintu. Rambutnya! Ada sesuatu tentang cara dia menyikat rambutnya yang membuatkan wajahnya lebih menawan. Lain betul dengan penampilan di rumah Kayla dan majlis Haji Ahmad Denil.

“Patutlah suara tu macam saya pernah dengar sebelum ni...” sahut anak muda itu. Air mukanya sinis.

Menyampah betul Adelia melihat gelagatnya. Terjumpa tiga kali dalam seminggu! Ini sudah kira nasib dirinya yang buruk, sebetulnya.

Di rumah Kayla dia dah buat kesilapan besar. Di tempat mengambil uniform ini pula, dia sudah dicabar oleh lelaki itu. Dia ingat dia siapa, huh? Cuma di majlis Haji Ahmad Denil, panini yang dibuatnya telah mendapat pujian lelaki itu.

“Apa... apa awak buat di sini?” Adelia menyoal seperti orang tolol walaupun dia dapat mengagak mungkin Si Konon Bijak itu seorang chef.

Syed Idlan merenung uniform chef di tangan Adelia. Kemudian melemparkan senyuman penuh sindiran. Adelia rasa macam nak tarik telinganya aje.

“Chef? Buat krim karamel pahit?” Si Konon Bijak mendera Adelia dengan ungkapan berbisa.

Adelia memalingkan tubuh ke arah lelaki itu. “Awak tak tahu apa yang terjadi sebelum saya sampai di rumah Kay? Saya sampai lambat, saya kelam kabut... tu sebabnya... Eh, kenapa saya kena cerita pada awak semua benda ni?”

“Sebab awak rasa bersalah! Hidangkan sesuatu yang tak boleh dimakan orang!” tempelak lelaki itu. “Sebagai chef, awak sepatutnya rasa dulu. Itu undang-undang pertama. Rasa.”

“Macamlah saya tak tahu.”

Lelaki itu mendengus. “Kalau awak tahu, kenapa awak tetap...”

Pintu tiba-tiba terbuka. Sederas kilat Adelia mencuri peluang itu untuk mengambil apron.

“Assalamualaikum, Chef Adelia,” tegur Chef Razi.

Terkejut beruk gadis itu! “Waalaikumussalam...” Adelia merenung chef itu dan kata-kata Mr. Melvin terus menampar mindanya.

Argh, kenapa Razi harus muncul pada saat ini? Di sini? Oh ya, mungkin dia juga hendak mengambil uniformnya. Atau ada pesanan untuk Aunty Soo.

“Dah kenal dengan Chef Syed Idlan? Dia baru joinkita,” jelas Razi. “Dulu dia kerja di Pulau Pinang.”

Adelia dan Si Konon Bijak berpandangan lagi. Macam mesra begitu. Semata-mata untuk mengaburi mata Razi.

“Chef Adelia di Malay Kitchen.” Razi memperkenalkan gadis itu. Suara dia lain macam aje pada pendengaran Adelia. Ataukah kerana kata-kata Mr. Melvin itu?

“Saya pastry chef,” kata Syed Idlan pula.

‘Hmm... Patutlah komplen pasal krim karamel yang aku buat,’ detik hati Adelia. Patutlah bijak sangat bab-bab ubah suai dessert.Adelia mengangguk sebelum berjalan ke pintu. “Chef Razi, Chef Syed Idlan... saya pergi dululah, ya.” Dia lekas-lekas membuat alasan sebelum berlalu.

Adelia mengingatkan dirinya agar mengelak daripada bertemu Razi. Dia tidak mahu chef lain menyalah anggap. Padahal dia langsung tidak rasa begitu. Malah dia rasa biasa saja. Mungkin pada pandangan orang lain, head chef itu memberikan keistimewaan kepadanya.

‘Oh, helo. Razi dah tualah walaupun nampak muda. Sedangkan dirinya baru 25 tahun. Langsung tidak logik kalau dia berminat dengan aku,’ fikir Adelia. ‘Ini bukan Hollywood, okey.’

Sorry,Adelia langsung tak berminat dengan head chef itu. Biar apa orang nak kata, katalah. Yang penting setiap hari dia masuk ke Malay Kitchen dan melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang chef. Dia nak tunaikan amanah TUHAN. Ini tentunya menjanjikan duit gajinya setiap bulan benar-benar berbaloi. Bukan makan gaji buta.

Noktah.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin