RAZIP memandang tepat ke arah Syed Idlan. “Jom pergi
sekarang,” ajaknya.
“Aku rasa tak sedap badan... kau pergi seorang ajelah.”
“Mana seronok pergi seorang?”
Syed Idlan tersengih. “Selama ni kan kau biasa duduk seorang, apa
bezanya kau pergi seorang?”
“Sebab kau dah duduk sinilah, kau kena pergi tunjuk muka. Biar
mereka semua kenal kau...” Razip cuba meyakinkan sahabatnya itu.
“Esok aku mula kerja. Aku kena tidur awal.”
“Cis, alasan! Kalau tengok bola sampai pukul 3.00 pagi, sanggup
pula pergi kerja pukul 6.00 pagi.”
Syed Idlan bangun. “Hah, kau jangan nak startkomplen
macam nenek aku pula.”
Razip tersenyum kecil. Mereka terus keluar menuju ke kondominium
bernombor 6. Pintunya bertentangan dengan rumah Razip.
Demi terpandang ketibaan jirannya, Kayla bangun dari kerusi.
“Hah, Razip... masuklah. Ni kawan you yang baru pindah tu, kan?
Siapa nama dia, I lupalah pula.”
“Syed Idlan.”
Mereka berbalas-balas senyuman. “Mari I kenalkan dengan Siti
Hani, kawan ofis I. Yang tu jiran kita di hujung sana, Ismail dan Baharudin.
Hmm, yang kat dapur tu, Hajah Jarini dengan suaminya, Haji Ahmad Denil.”
Tetamu menjamu selera dengan hidangan yang ada. Agak meriah juga
suasana diselang seli dengan perbualan dan gelak ketawa. Adalah kira-kira 12
orang yang hadir. Hajah Jarini membawa lasagne sebagai buah tangan.
Manakala Ismail menghadiahkan sebiji kek coklat yang dibeli di Secret Recipe.
“Eh, Kay... mana krim karamel yang you kata nak buat tadi?” soal
Razip setelah dia menghabiskan sepinggan ubi rebus dengan ikan masin goreng.
“Kecoh datang rumah nak cari serbuk agar-agar.”
Syed Idlan mencelah, “nasib baik ada sepaket.”
Hajah Jarini menyampuk pula, “mujurlah ada orang yang minat masak
duduk dekat-dekat. Kalau datang rumah saya, habuk biskut ajelah yang ada.”
Mereka tergelak mendengar pengakuan wanita itu. Ahmad Denil turut
mengangguk tanda setuju. Mereka memang nampak seperti pasangan suami isteri
yang sangat romantis.
“Alamak, terlupa pula... mana Adelia ni? Tak nampak dari tadi?”
Kayla bingkas menuju ke dapur.
Siti Hani mengekori. “Masih dalam bilik, agaknya.”
“Mungkin dia tertidur. Siti, boleh you tolong kejutkan dia, tak?”
pinta Kayla.
Kayla membuka peti sejuk. Buat seketika dia menggelabah kerana
tiada puding krim karamel. Kemudian dia terfikir untuk membuka peti pembeku. Ya
ALLAH! Mujur Razip bertanya tadi. Kalau terlambat tentulah puding itu akan
keras seperti ais.
Kayla meletakkan krim karamel itu di atas meja hidangan. “Ni
dia... yang you tanyakan tadi, Razip. Jemputlah makan.”
Syed Idlan mengambil piring. Kayla meletakkan sepotong puding di
dalam piringnya. Lelaki itu duduk semula di kerusinya sebelum menyuapkan puding
ke mulut. Hampir-hampir saja dia hendak meluahkannya semula kerana rasa karamel
yang pahit itu.
“Kenapa, Syed Idlan?” Rupa-rupanya, Kayla merenung ke arahnya
sejak tadi. “Muka you berubah!”
Syed Idlan tersengih. “You ke buat puding ni?”
“Kenapa? Tak manis ke?” soal Kayla bertalu-talu.
Razip mengambil sepotong krim karamel lalu merasanya. “Kenapa
pahit?”
“Karamel tu dah hangus...” jawab Syed Idlan.
Ahmad Denil juga menceduk sedikit lalu memakannya. “Bahagian
kuning ni sedap pula.”
Tatkala itu, Siti Hani kembali ke ruang tamu. “Apa kecoh-kecoh
ni?”
Kayla deras bertanya, “Adelia mana?”
Sebaik terdengar namanya diseru, Adelia yang berada di belakang
Siti Hani terus menyoal. “ Kenapa Kay?”
Serta merta semua mata di ruang tamu itu tertumpu kepada Adelia.
Dalam keadaan termangu-mangu, gadis itu menggosok mata. Hamboi, kau sudah
kenapa Adelia? Di dalam hati dia mengakui selepas maghrib tadi dia tergolek di
atas sejadah dan terus hanyut ke alam mimpi. Letih kerja seminggu terhimpun
sekali gus.
“Kenapa?” tanya Adelia
lagi.
“Cubalah rasa krim karamel yang kau buat tu,” ujar Kayla dengan
mimik wajah lucu.
Adelia terpinga-pinga sejenak. “Kurang manis? Sorrylah,
ya. Kita memang kena kurangkan gula dalam...”
Hajah Jarini dan Razip tergelak kecil. Adelia makin keliru.
Sponton dia menjamah sedikit krim karamel itu. Fuh, terasa sungguh kepahitan
karamelnya. Padahal warna coklatnya tidaklah begitu gelap.
“Minta maaf semua...” Lekas saja Kayla nak selamatkan keadaan.
Senyum selamba saja dia. “Jom kita sambung makan kek yang Ismail bawa tadi.
Ni... ubi rebus pun banyak lagi.”
Dalam keadaan serba salah, Adelia mengangkat mangkuk puding ke
dapur. Terlintas pada fikirannya untuk membuang saja semuanya ke dalam tong
sampah. Rugi memanglah rugi sebab tidak boleh dimakan tetapi macam mana hendak
makan kalau karamelnya pahit?
“Sudukan bahagian kuning tu, letak dalam gelas,” seorang jejaka
tiba-tiba bersuara. “Tuangkan krim, tambah buah-buahan dalam tin. Hah, dah jadi
puding baru... tentu sedap.”
“Semua orang dah kenyang. Membazir aje kalau buat,” balas Adelia
tanpa memandang ke arah lelaki itu. Dia perasan lelaki itu berdiri di ambang
pintu menghala ke dapur.
Huh, macam berlagak pandai aje! “Kalau buang lagi membazir, Cik
Adelia. Nak kasi tong sampah tu gemuk ke?”
“Ada awak kisah?”
“Alamak, garangnya Cik Adelia ni.”
Adelia mendengus keras. “Awak peduli apa kalau saya garang atau
tak?” tingkahnya lantas keluar dari situ lalu menuju ke ruang tamu. Malas dia
nak melayan lelaki itu berbicara.
Hajah Jarini dan Haji Ahmad Denil amat peramah dan mesra. Mereka
bertanya tentang keluarga dan kampung halaman. Risau juga Adelia jikalau mereka
bertanya di mana dia bekerja. Tentu menjatuhkan maruahnya selepas merasai
puding krim karamel yang disediakannya tadi.
Haji Ahmad Denil turut bercerita tentang galeri lukisan miliknya
yang terletak di Jalan Maarof, Bangsar. Sesekali isterinya juga mencelah dengan
kisah-kisah lucu di sebalik kehidupan pelukis-pelukis yang mereka kenali.
“Hujung minggu depan, kami nak buat majlis sikit sempena pameran
koleksi terbaru,” ujar Haji Ahmad Denil. “Jemputlah datang, ya.”
Hajah Jarini mencelah. “Nanti you datanglah dengan Kay. Kejap
aje, makan-makan, tengok-tengok lukisan. Galeri itu banglo lama yang kami dah
ubahsuai. Ada taman tema Bali di halaman tengah-tengah. Di situ nanti kami
letak makanan... datang tahu?”
Adelia mengangguk. Pada telahannya, kalau Kayla pergi tentulah
dia akan pergi juga. Namun begitu, itu bergantung pada jadual tugasannya di
hotel.
Adelia menjamah ubi rebus dengan ikan masin goreng dan kelapa
parut.
“Rasalah puding yang dah diubahsuai.” Tiba-tiba lelaki di dapur
tadi muncul dengan gelas berisi puding, krim dan buah-buahan.
Hajah Jarini terus mencuba. Terbeliak matanya. Air mukanya
membayangkan kenikmatan pancaindera rasa.
“Hmm... sedapnya,” puji wanita itu sambil menyuap sesudu kepada
suaminya.
“Dah tak pahit dah...” kata Haji Ahmad Denil pula. “Macam mana
you buat?”
Tetamu Kayla berkerumun di sekeliling Syed Idlan untuk menikmati
puding krim karamel olahan terbaru. Semuanya memuji keenakan puding tersebut.
Adelia hanya memerhati dari jauh dengan rasa sedikit rimas. Huh, bajet hebat!
Pandai Si Konon Bijak bernama Syed Idlan itu mencuri tumpuan
ramai. Sahlah dia memang gemar memasak. Atau suka memperlekehkan orang lain.
Kata Hajah Jarini tadi, Syed Idlan baru pindah ke situ dan dia duduk dengan
Razip.
Dari ekor mata, Adelia nampak Siti Hani beria-ia berbual dengan
Syed Idlan. Mungkin sudah terpikat dengan kesedapan puding krim karamel yang
diubahsuai itu, huh! Sedangkan Razip lebih banyak berdiam diri dan memerhatikan
orang saja. Barangkali sudah demikian perangai dia.