Zulqarnain
meraup wajahnya beberapa kali. Bukan mudah untuk melupakan peristiwa hitam itu.
Walau sudah hampir dua tahun berlalu, rasanya masih segar dalam ingatan.
Jeritan dan tangisan masih terngiang-ngiang di telinga. Tidur malamnya tidak
pernah lena. Ada kalanya semakin dia sukar melelapkan mata. Ada kalanya berjam
lamanya dia berteleku di atas sejadah meminta Allah memberinya kekuatan. Dia
tidak mampu menanggung sendirian. Dia tidak mampu…. Apatah lagi segala
impiannya, segala cita-citanya, kerjayanya….. musnah sekelip mata.
Ketika dia hampir melanggar Aby
semalam hampir saja dia menjadi gila. Sepantas kilat segala-galanya muncul di
depan mata. Jantungnya berdegup kencang. Namun melihat wajah gadis polos yang
menggegarkan hati lelakinya. Sedikit sebanyak dia mula bertenang. Dia cuba
tersenyum. Dia menyesal memarahi Aby begitu rupa.
Emak dan ayahnya merata mencari air
penawar. Pantang dengar saja orang pandai, pantas mereka pergi. Bermacam-macam
air di minum. Dari jernih sehinggalah keruh…. Di telan demi menghilangkan
ketakutannya. Akhirnya dia sendiri mengalah. Dia sendiri menegah kedua orang
tuanya mencari lagi air penawar. Dia baru tersedar, mungkin selama ini dia
alpa. Selama ini dia leka, Allah memberinya peluang sekali lagi untuk kembali
ke pangkal jalan. Dia akhirnya redha. Tapi jauh di sudut hati dia ingin bebas….
Melihat langit biru yang indah.
“Qar…”
Zulqarnain tersentak.
“Tak tidur lagi? Masih tak boleh
lena?”
Zulqarnain mengangguk perlahan.
keluhan berat di lepaskan. Si ayah sudah tahu. Tidak perlu di ceritakan lagi.
Tidak perlu di luahkan lagi. Mereka turut menanggung sekali. Mereka turut sedih
melihat dia berubah begini.
“Sabarlah
Qar, yang berlaku pasti ada hikmahnya. Banyakkan berdoa. Qar harus lebih dekat
dengan DIA. Dia yang maha mengetahui Qar. Apa yang penting Qar harus ingat, apa
yang berlaku bukan salah Qar”
“InsyaALLAH
ayah… Qar akan terima segala yang DIA berikan dengan redha. Qar tak minta untuk
perkara itu hilang dari ingatan Qar. Tapi Qar cuma mahu lebih kuat. Lebih
berani. Qar mahukan segala-galanya kembali seperti dulu. Qar rindu. Qar rindu
kerjaya Qar ayah…. Tapi yelah…. Qar belum cukup kuat untuk lakukannya sekali
lagi. Qar tak mampu lagi”
Pak
Man menepuk lembut bahu anaknya. Sakit jiwanya melihat anak lelakinya
menderita. Sakit jiwanya melihat Zulqarnain begini. Tapi bukan mudah untuk
kembali. Dia dan isterinya sentiasa berdoa, dia mahu Zulqarnain gembira kerana
dia tahu bukan tempat anaknya di sini.
“Ayah
sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak ayah. Qar…. Ayah pun tak sabar
tengok Qar kerja macam dulu lagi. Ayah tahu ini bukan tempat Qar”
Zulqarnain
sekadar tersenyum nipis. Memang mudah menyulam impian. Namun bila datang ribut
melanda, segala mimpi pun akan punah. Bukan senang mencipta harapan baru. Bukan
mudah dia mengharungi hidup selama dua tahun ini. Seksa batinnya meratapi air
mata yang tumpah dari wajah yang masih tidak mengerti. Di saat itu dia di buru
rasa bersalah. Bila teringat kembali wajah yang tidak berdosa itu, dia di
hambat seribu sesal.
Tidak
sedar pipinya sudah basah. Air mata lelakinya tidak mampu di bendung. Sehingga
ke hari ini, dia tidak mampu menemui seraut wajah yang meruntun jiwanya. Tidak
mampu bersemuka dengan ketulusan hatinya. Dia pasrah. Dua tahun hidup tanpa
arah. Dua tahun hidup tanpa mempedulikan apa-apa. Dia bersyukur, akhirnya dia sedar.
Kelekaan, kealpaan, keinsafan akhirnya membawa dia kembali ke pangkal jalan.
“Qar…
sudahlah tu. Usah ditangisi. Sudah ajal mereka begitu”
“Qar
rasa bersalah sangat ayah,…. Sampai hari ini Qar tak mampu menanggung rasa itu.
Bagaimanalah agaknya hidupnya tanpa orang tua di sisi. Bagaimana dia meneruskan
hari-harinya ayah….. Qar di sini masih ada ayah dan ibu, masih ada
adik-beradik. Dia…. Dia sebatang kara”
Pak
Man mengusap bahu anaknya. “Sabarlah Qar…. ALLAH ada, Qar kena yakin qada’ dan
qadarNya”
“Qar….”
Zulqarnain tidak mampu meneruskan kata-katanya lagi. Terketar-ketar bibirnya
menahan tangis yang semakin menghimpit jiwanya. Lemah, dia lemah…
“Sabarlah…
sabarlah Qar. Ayah tak sanggup tengok Qar sedih begini” Pak Man memeluk
Zulqarnain. Basah bahunya dibanjiri air mata lelaki itu. Dia sendiri puas
menahan setiap cerita yang mampu membuka cerita lalu. Dia tidak sanggup melihat
anak lelaki yang dulu banyak membuatnya ketawa merana. Bahagianya adalah
kebahagiaan anak-anaknya.
Di
sebalik daun pintu, Mak Seri menahan sendunya. Sudah beberapa kali dia menyeka
air mata dengan hujung bajunya. Dia sudah pasti mimpi itu berulang lagi. Dia
ibu yang melahirkan. Ibu yang membesarkan dengan setiap impian. Tatkala impian
anaknya musnah dialah yang paling sakit. Tapi dia harus kuat, dia mahu semangat
Zulqarnain pulih sepenuhnya. Dia mahu anaknya kembali tersenyum seperti dulu
lagi.
Memang
benar, dulu dia sentiasa berdoa anaknya kembali ke pangkal jalan. Dia sentiasa
berdoa anaknya berubah. Tapi siapa tahu apa yang ALLAH sedang rencanakan.
Lelaki itu berubah, lelaki itu kembali seperti yang di hajatkan tatkala dia
menadah tangan. Tapi kembalinya membawa seribu luka. Luka yang memuatkan dia
turut merasakan penderitaannya.