Home Novel Cinta Abang Driver!
bab 11, WAJAH YANG SENDU

Zulqarnain masih duduk di dewan solat mengerjakan solat sunnat walaupun hampir semua Jemaah sudah bersurai. Hanya tinggal beberapa orang lelaki yang turut mengerjakan solat bersamanya di ruang yang luas itu. Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Masjid Besi. Strukturnya yang diperbuat seratus peratus dari besi menyebabkan gelaran itu diberikan kepada salah satu masjid yang unik dan menjadi tumpuan di Putrajaya. Ruang solatnya dibiarkan terbuka luas, membolehkan udara bebas keluar masuk menyejukkan segala ruang. Rekaan kolam di sekeliling masjid menambahkan keindahan kerana jika sekali pandang seolah-olah bercantum dengan tasik di luar sana. Ianya bagaikan air terjun yang mengalir terus ke dalam tasik Putrajaya. Sungguh hebat pencipta reka bentuknya yang begitu unik.

Sudah menjadi kebiasaannya akan mengunjungi Masjid tersebut usai waktu bekerja. Kadangkala menjengah tengah malam baru dia pulang ke rumah. Tenang hatinya di situ. Jiwanya terasa terisi dengan alunan ayat-ayat alquran yang berkumandang dari imam Masjid yang indah itu.

Sudah hampir dua tahun berlalu. Bukan mudah untuk melupakan semua yang berlaku. Memang bukan salahnya tapi kejadian itu tetap menghantui dia selama ini. Di sinilah dia mencari dirinya semula. Di sini dia bertafakkur meluahkan segala rasa yang bermukim.

Kesejukan angin malam menyucuk ke tulang. Usai solat Zulqarnain terus menapak menuju ke anak tangga. Tiba di sudut, matanya terpandang susuk tubuh perempuan yang seakan dia kenali. Lama dia merenung wanita yang berdiri berhampiran kolam. Wanita itu leka memandang tasik yang beralun lembut. Langkahnya mati di situ bila wanita itu menoleh dan mata mereka bertaut. Masing-masing tergamam.

“Assalamualaikum”

Aby terpaku memandang lantai. Matanya yang bengkak menyebabkan dia tidak mampu membalas pandang lelaki yang berdiri sepuluh kaki darinya.

“Dah malam…. Awak tak balik lagi ke?” Zulqarnain tahu dari baju kurung yang dipakainya. Wajahnya yang di balut telekung biru muda bersulam bunga mawar merah begitu indah di pandang. Namun dia sedar, di tempat suci begitu tidak manis memandang wajah wanita yang bukan mahramnya. Pandangan di larikan selepas Aby menggeleng sebagai tanda jawapan kepada soalannya tadi.

“Ada orang ambil awak balik ke?”

Aby mendongak. Agakanya baru tersedar dia tiada kenderaan untuk pulang. Wajah Zulqarnain di pandang sekilas sebelum kembali merenung lantai. Aby sekadanr mengangguk. Dia yakin sebentar lagi ada teksi yang lalu di sini.

Terusik hati lelakinya melihat wajah sendu Aby. Dia tahu gadis itu baru lepas menangis. Melihat Aby masih membisu Zulqarnain perlahan-lahan melangkah pergi. Dia sedar pastinya dia tidak diperlukan ketika ini.

Sampai di tempat parkir kereta, Zulqarnain terus mendapatkan keretanya. Sebaik saja dia memandu keluar dari parkir, tiba-tiba dia terbayang wajah Aby yang sendu. Hatinya menjadi berat meninggalkan gadis itu sendirian. Jam di tangan dikerling sekilas. Sudah menunjukkan jam sebelas malam. Kelibat Aby masih belum lagi kelihatan. Kereta kembali di parkir di bahu jalan berhampiran pintu masuk masjid. Sambil mendengar lagu yang berkumandang di corong radio, Zulqarnain sabar menunggu.

Setengah jam berlalu. Zulqarnain masih berkira-kira untuk meninggalkan perkarangan Masjid. Muncul susuk tubuh yang di tunggu. Longlai langkah gadis itu di bahu jalan. Matanya memandang kiri dan kanan seolah-olah mencari sesuatu. Zulqarnain masih terus menjadi pemerhati.

Aby liar meninjau jalan yang semakin sunyi. Lenguh kakinya menunggu kelibat teksi. Tapi nampaknya hampa. Menyesal pula membiarkan Zulqarnain berlalu pergi tadi. Tapi dalam keadaan begini rasanya bukan masa sesuai untuk menumpang lelaki itu pulang ke rumah. Telefon bimbit di dalam beg di capai lalu tangannya pantas mendail nombor teksi yang selalu menjemputnya. Tiada jawapan. Keluhan kecil keluar dari bibirnya.

Kakinya melangkah perlahan. Cuba mencari kawasan yang terang dan ramai orang. Tapi waktu begini manalah ada lagi yang berkeliaran. Lainlah hujung minggu. Aby mengetap bibir. Sejuk angin malam mencengkam tulang. Rasa mahu menangis kembali. Tapi dia yang memilih untuk ke sini petang tadi. Sedangkan dia sudah tahu bukan mudah untuk mendapatkan kenderaan awam jika lewat begini

Matanya memerhati beberapa kereta yang lalu dihadapannya. Lenguh kakinya lama berdiri. Matanya mula berat. Sekali lagi dia memandang ke hujung jalan. Matanya menangkap silau lampu kereta yang berhenti di hadapannya. Jantungnya berdegup. Pelbagai tanggapan bermain di minda. Kakinya siap membuka langkah seribu andainya benar yang di teka.

“Jom…saya hantar awak pulang”

Aby tersentak. Matanya memandang ke dalam perut kereta. Gelap! Lama dia memandang lelaki yang mengajaknya pulang. Mindanya mentafsir seraut wajah. Tiba-tiba segala kerisauan hilang sekelip mata. Namun, kenapa lelaki itu. Lelaki yang dibenci. Memang benar, dia menyampah melihat wajah itu selalu tersenyum nakal ke arahnya.

“Dah lewat Aby….awak tak nak balik ke? Pukul berapa kawan awak nak datang?”

Aby tersentak sekali lagi. Bukan masanya untuk jual mahal. Bukan saat ini mahu berbalah. Aby membuka pintu kereta lalu melabuhkan punggungnya. Zulqarnain menekan pedal minyak. Akhirnya dia meninggalkan perkarangan masjid dan hanya beberapa minit saja dia sudah sampai di rumah.

“Terima kasih Qar” Aby tersenyum nipis. Rasanya inilah kali pertama senyuman yang ihklas dihadiahkan untuk lelaki itu.

“Sama-sama”

Pintu kereta di tutup. Aby tidak menunggu Zulqarnain berlalu sebaliknya dia terus melangkah perlahan.

“Aby…..”

Aby menoleh. Sekali lagi dia memandang wajah Zulqarnain. Pandangan bertaut. Ada getar di jiwa yang sukar untuk ditafsirkan.

“Aby…. Apapun yang berlaku pasti ada hikmahnya” Zulqarnain pasti gadis itu sedang menghadapi ujian yang berat. Walau tidak diluahkan, tapi dia dapat baca dari anak matanya yang redup. Ingin saja dia menawarkan diri untuk menjadi bahu tempat gadis itu menangis. Tapi siapa dirinya.

Aby tersenyum pahit. Dia cuba mengangguk perlahan. Walaupun dia sebenarnya malu kerana lelaki itu seakan-akan dapat membaca apa yang dilaluinya ketika ini. Sungguh! Dia tidak mahu meraih simpati. Aby melangkah pergi. Biarlah apa tanggapan lelaki itu, yang pasti dia sedang berjuang untuk meneruskan langkah yang masih panjang di bumi ALLAH ini.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.