Home Novel Cinta Abang Driver!
Bab 1..... Pertemuan pertama

Kali ini hampir setengah jam dia menunggu Bas Nadi Putera. Nurul Abyannajah atau nama manjanya ‘Aby’ keluar agak lewat dari biasa. Ada saja halangan. Ketika bangun pagi tadi baru dia perasan baju tidak di gosok lagi. Terkocoh-kocoh dia menggosok baju batik yang berkedut seribu itu. Dua rakannya sudah siap bersolek. Hanya tinggal menyarungkan kasut saja dan terus keluar. Usai menggosok, tiba-tiba perutnya memulas. Tidak pernah lagi jadi begitu awal pagi. Kalau ya pun ingin mengeluarkan semula isi perut, pastinya selepas dia mengambil sarapan pagi. Agaknya makanan semalam yang agak pedas membuatkan perutnya sebu. Dia tahu makanan pedas sudah menjadi pantang nenek moyangnya. Tapi apakan daya, kecur liurnya melihat sambal sotong di kedai depan.

Ketika dia siap mahu keluar rumah, telefon bimbitnya pula tertinggal di dalam bilik. Itu pun nasib baik dia perasan. Kalau tidak, seperti orang hilang akal gamaknya bekerja tanpa telefon bimbit. Inilah masalah zaman semakin canggih. Zaman hanya di hujung jari. Sampaikan hilang kekasih tak mengapa, hilang telefon bimbit gila jadinya. Selepas puas menyelongkar bilik yang ala-ala tongkang pecah itu akhirnya dia jumpa juga Samsung Galaxy V yang baru sebulan dibeli. Lega hatinya melihat buah hati kesayangannya itu. Baru beberapa langkah menuju ke lif, baru dia sedar tapak kasutnya tercabut. Adoi! Nasib baik tak sampai pejabat lagi. Kalau tak mana nak letak muka. Akhirnya dia berpatah balik, dan menyarungkan kasut tumit 3 inci ke kaki putihnya. Itu saja yang tinggal. Tunggu gaji minggu depan baru beli kasut bertapak rendah, senang bila naik pengangkutan awam ni.

Selepas hampir sejam, muncul juga Bas Nadi Putera bewarna kuning. Berduyun-duyun semua penumpang naik ke perut bas. Pagi begini memang ramai sangat. Kalau nasib baik dapatlah tempat duduk. Kalau nasib tak baik, bergayutlah jawabnya sampai di pejabat yang terletak Presint 2 Putrajaya. Inilah masalahnya kalau dia sudah mengenakan kasut bertumit 3 inci. Naik tangga bas harus berhati-hati. Dia memang menunggu sehingga semua penumpang naik barulah dia naik. Sampai saja di tangga bas tersandung dengan beg galas sekolah yang diletakkan betul-betul di tepi tempat duduk. Nasib baik dia tidak tergolek! Ataupun jatuh tersembam di atas jalan. Mahu menyumpah juga rasanya tapi kesabaran masih ada apatah lagi melihat orang tua separuh abad menarik sedikit beg tersebut ke arahnya.

Memandangkan bas telah pun penuh, mengambil tempat berdiri hampir dengan pemandu bas. Sambil tangannya mencari duit 2 ringgit di dalam kocek, matanya melekap ke wajah pemandu bas yang memang biasa menjadi pengangkutannya semenjak bertukar ke sini. Mak oi, Handsome gila mamat ni. Siap pakai ray ban lagi. Macam tak percaya pula ada juga pemandu bas yang boleh dikategorikan sebagai wajah pelakon utama. Kalau nak di bandingkan dengan wajah-wajah pelakon yang ada memang sah lah mamat ni lagi cun.

“Cik, tiket dah ambil ke? Kenapa cik pandang saya macam tu ada yang tak kena ke?”

“Ha… oh, tiket….. ya… ya.. dah emmm … dah”

Malunya aku… kenapa pulak aku boleh pandang mamat driver ni macam tak pernah jumpa orang. Ish! Apa kena dengan aku pagi ni? Aby menyumpah sendiri. Hei mata ni, macam nak curi tengok lagi. Macam tak puas lah nak tengok muka dia. Hatinya berbisik lagi.

Selama ini dia tak pernah naik bas lewat begini. Selalunya Pak Cik Man yang memang rutin setiap hari dia jumpa. Semenjak dia kerja di sini, dia hanya kenal Pak Cik Man, lelaki itu selalu berborak dengannya bila tiada penumpang. Lama-kelamaan dia baik dengan pemandu yang separuh abad itu... Terkedu juga Aby, pagi-pagi disajikan dengan wajah sebegitu rupa. Terubat juga kekalutannya pagi ini, biar lambat tak mengapa asalkan dapat mencuri pandang wajah yang sedang tekun memandu.

“Cik, duduklah kat situ….. angkat beg saya tu, letak kat bawah”

Aby terpana sekali lagi…. ‘Ish dia bercakap dengan aku ke?’

“Cik…. Ooo cik adik manis…. Duduklah kat situ tu. Beg saya tu cik boleh letak ajek at bawah ni”

“Oh… ye ke… errr terima kasih yer” Perlahan-lahan Aby mengalihkan beg sandang yang agak berat itu. Entah apalah isinya. Tapi demi untuk duduk, dia buang segala malu yang ada. Hmmm baik nye abang driver ni, siap bagi aku duduk lagi.

“Lain kali kalau dah tahu nak naik bas awam, janganlah pakai kasut tumit tinggi. Kalau tergolek tadi siapa susah? Awak juga susah!”

Merah padam muka Aby memandang mamat yang masih tekun memandu. Walaupun suaranya tenggelam timbul dengan deruman bas yang agak bising tapi masih jelas di telinganya kata-kata lelaki itu.

‘Ish suka hati aku lah! Macam tak biasa tengok perempuan pakai kasut tinggi. Hei… nak aku cilikan juga mamat ni. Melampau! Tak sedar diri! Tak pernah lagi aku kena tegur macam ni. Apatah lagi dengan driver bas!...... Baru saja dipuji baik, tapi………fuh tak sangka!’

Nasib baik destinasinya sudah sampai. Walaupun hanya dua puluh minit ke tempat kerja, tapi disebabkan ‘abang driver’ yang tak sedar diri tu, bagai dua puluh jam duduk di dalam bas.

“Esok datanglah awal sikit, tak lah lambat pergi kerja….. jadilah contoh penjawat awam yang baik”

Hatinya yang berbunga melihat ketampanan pemandu bas tersebut akhirnya lenyap dengan perasaan menyampah tiba-tiba. Suka hati dia nak tegur penumpang…. Ingat dia tu hebat sangat…. Setakat pemandu bas je dah berlagak! “Ish awak ni…. Suka hati sayalah nak datang pukul berapa! Nak pakai kasut apa! Yang awak kisah sangat ni kenapa ha!” Perlahan suara Aby dihamburkan. Kalau menjerit nampak sangat dia kurang sopan berada di tempat awam begitu. Masam mencuka wajah Aby menuju ke tempat thumb print. Zaman sudah berubah mengikut peredaran semasa. dulu masa dia mula bekerja mereka semua hanya menggunakan kad saja yang dimasukkan dalam mesin perakam waktu. Kalau lewat terteralah warna merah di kad tersebut. Hari-hari lewat, memang cantiklah rupa kad yang berwarna kuning air tu. Namun semenjak teknologi sudah berkembang pesat, kad perakam waktu ditukar kepada sistem cap jari. Lebih sistematik dan senang diselenggara. Mengurangkan risiko kesilapan atau penyalahgunaan. Kalau pakai kad, kawan-kawan yang sekufu boleh tolong ‘ketuk’ bila datang lewat. Tapi semenjak menggunakan cap jari, tiada lagi kedengaran komplen sesama staf yang melanggar etika penjawat awam.

“Wei minah! Masam aje muka kau pagi ni. Dah lah datang lewat. Kau tau tak, pagi-pagi lagi Encik Azfar cari. Kau dah siapkan report yang dia nak semalam?” Arissa yang juga merangkap sahabat baik Aby terus menongkat dagu menjenguk sabatnya itu yang baru mengatur nafas sambil menyandarkan tubuh di kerusi. Bulan ini sudah beberapa kali sahabatnya itu lewat ke tempat kerja. Dia sendiri pelik, orang lain berpusu-pusu membawa kereta masing-masing, manakala Aby masih gemar bersesak-sesak di dalam pengangkutan awam.

“Kejap lah aku siapkan… kau tak nampak ke muka aku ni. Ish menyampah betul aku dengan mamat driver bas pagi tadi. Ada ke dia tegur aku macam-macam. Jangan pakai kasut tinggilah, jangan lewat pergi kerja lah…. Dia ingat dia tu siapa ha! Boyfriend aku?”

“Kau ni, apa kes pulak ni bergaduh dengan driver bas. Ramai umat dalam bas tu sempat juga kau bergaduh dengan driver? Hmmm ok lah tu dia nasihat kau jangan lewat pergi kerja, kau tak perasan ke kali ini dah masuk empat kali kau datang lewat. Kalau keluar nama kau bulan depan dalam report aku jangan marah pulak ye”

“Aku taulah…” Kendur suara yang tadinya mahu meluahkan rasa marah meluap-luap. Terkenang namanya akan naik bulan depan dan terpaksa menjawab surat tunjuk sebab. Kecut perutnya menghadap Encik Azfar. Bosnya itu nampak saja lembut. Muka comel aje. Tapi tegas yang amat. “Nak buat macam mana… aku dah siap awal pagi. Tapi ada ajelah yang tak kena. Pagi ni tetiba aje sakit perut. Kalau aku tak kenangkan report yang nak hantar tu, rasanya aku terlantar kat rumah aje. Dah lah! Aku nak siapkan report ni dulu. Bagi dekat Encik Azfar awal-awal. Tak lah dia memekak aje telefon aku”

“Ye lah… aku nak turun café jap. Kau nak kirim apa-apa ke?”

“Hmm kau belikan aku teh panas dengan karipap dua biji”

Arissa berlalu meninggalkan Aby yang terkulat-kulat menyemak setiap lembaran kertas di hadapannya. Hanya tinggal sedikit saja lagi. Kerjanya yang merangkap pembantu Encik Azfar memerlukan dia untuk menyediakan setiap report unit untuk dibentangkan dalam mesyuarat bulanan Jabatannya. Setiap unit akan menghantar report kepadanya, tugasnya adalah untuk mengasingkan mengikut kategori yang disediakan dan memasukkan segala data menjadi satu laporan ringkas dalam format yang disediakan.

Seharian dia berhadapan dengan PC. Ketika waktu rehat tengah hari tadi, dia sekadar memesan nasi goreng kampung kepada Arissa. Itu pun sempat makan dua tiga suap sahaja. Selebihnya masih elok di dalam bekas polesterin putih di sisinya. Seleranya mati bila dia menyemak semula laporan tersebut. Ada beberapa kesilapan dalam kiraan bajet yang diberikan tempoh hari. Kesilapan kecil itu membuatkan semua data tidak selaras dengan data yang unit berikan kepadanya. Dia terpaksa meneliti beberapa laporan tahun lepas sebelum menjumpai hasilnya dan akhirnya laporan tersebut siap walaupun jam sudah menunjukkan pukul 8 malam.

“Yes! Siap juga akhirnya. Nasib baik Encik Azfar ada meeting kat luar hari ni. Kalau tak, jenuh aku menjawab soalannya” Jelas senyuman kepuasan terpamer di wajah Aby yang letih. “Wei… thanks sebab temankan aku hari ini” Pandangannya beralih ke wajah Arissa yang duduk di sebelahnya.

“Tak pe, hari ini engkau punya. Esok-esok kau pula yang temankan aku. Lagipun aku kena siapkan laporan kehadiran ni. Nak bawa ke kes tatatertib. Dah dekat sebulan tak hadir. Ramai pula tu yang”

“Ye ke… ada masalah peribadi kot. Ataupun dah dapat kerja lain, gaji lagi besar”

“Ye la kalau dapat kerja sekalipun, buatlah surat berhenti. Ni tak main hilang macam tu aje. Ramai lagi orang kat luar tu yang berebut nakkan kerja kerajaan” Sambung Arissa panjang. Geram juga dia kalau mengenangkan sikap segelintir kakitangan yang tidak mematuhi peraturan. Kalau ada masalah sekalipun, datanglah jumpa bos masing-masing. Minta pandangan. Lagipun rata-rata bos di sini semua baik-baik belaka. Banyak lagi jalan yang boleh di pohon contohnya cuti tanpa gaji. Tapi tidak semua tahu menghargai. Ada masalah hilang terus. Kononnya hal peribadi, tidak mahu dikongsi dengan orang lain. Tapi tidak pula terfikir kerja-kerja yang ditinggalkan menuntut untuk diselesaikan segera. Itu pun tanggungjawab juga. Ramai orang di luar sana yang komited dengan kerja dan masih tertunggu-tunggu untuk menjadi penjawat awam. “Eh, kau balik terus ke? Aku ingat nak ajak kau pergi makan”

“Alamak… sorrylah malam ini aku kena siapkan skrip. Penerbit nak hari ni. Dah banyak kali aku tangguh. Janji minggu lepas, tak sempat aku nak siapkan”

“Rajin betul kau ni… skrip, novel, cerpen, ish macam-macam kau buat. Tak pe, lain kali kau kena belanja aku makan. Penat tau aku temankan kau hari ini”

“Eh.. mengungkit pula. Elok-elok dapat pahala dah hilang pahala tu”

Arissa hanya tersengih. Sengaja dia nak mengenakan sahabatnya itu. Aby memang rajin bekerja. Dia bukan wanita yang suka duduk goyang kaki. Setiap hujung minggu ada saja aktiviti yang boleh mendatangkan duit. Mungkin sebab dia dari golongan susah. Emaknya pula memanjang meminta duit dari dia untuk menanggung adik-beradiknya seramai lima orang yang masih bersekolah. Ayahnya pula lelaki yang tidak rajin bekerja. Bekerja kalau ada mahunya saja. Kalau datang malasnya, melepak di rumah sajalah dia walaupun beras sudah habis. Abylah tempat emaknya bergantung harap.

Kasihan juga dia mendengar cerita hidup gadis yang periang ini. Kalau dilihat dari luar seolah-olah Aby gadis yang lincah. Tiada masalah. Tetapi selepas kenal dari dekat baru dia tahu, banyak kisah duka dalam hidupnya. Namun begitu Aby amat sayang keluarganya. Katanya dulu dia senang. Ayahnya bekerja sebagai Supervisor disebuah kilang terkemuka. Gaji banyak kerana sudah kerja lama. Emaknya suri rumah. Segala-galanya emaknya uruskan. Emaknya hanya tahu dapat duit saja. Namun ujian Allah datang untuk hambaNya, Ayah Aby di tangkap kerana bersubahat dalam kes kecurian. Walau hakikatnya lelaki itu tidak bersalah, tetapi kerana rakan baik sendiri yang menganiaya, akhirnya ayah Aby di buang kerja. Selepas itu mulalah episod duka dalam hidup Aby. Ayahnya sukar mendapat pekerjaan. Nasib baik ketika itu Aby baru saja tamat SPM dan dia terus memohon kerja kerajaan. Dia diterima kerja tidak lama kemudian. Bermula detik itu, gadis inilah yang menyara keluarganya.

“Ok lah, jumpa esok… jangan lambat pula esok”

Lambaian Arissa di balas dengan Aby. Mereka berpisah di Lobi dan Aby terus menapak ke hentian bas.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.