Aku
termangu, pasti kecil hati Kak Ju. Walaupun dia bukan kakak kandungku, tapi
pengorbanannya cukup bererti. Kalau bukan kerana dia, aku tidak akan sampai di
sini. Kerana dia aku ke Australia, semenjak aku meninggalkan kampung dia
sajalah yang aku kenal di Kuala Lumpur.
Aku
bertemu dengan Kak Ju ketika aku sedang merayau di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Selepas hampir semua kedai aku masuki bagi memohon pekerjaan. Masa itu,
kebetulan Kak Ju sedang memilih kain untuk butiknya. Tiba-tiba aku pengsan di
sisinya. Mungkin kerana aku agak keletihan, sudah dua malam aku hanya menjamah
beberapa keping roti semenjak berada di sini. Kak Ju yang menghantar aku ke
Hospital. Setelah aku sedar, Kak Ju berada di sisiku.
“Amira
dari mana?”
Aku
terkebil-kebil melopong memandang wajahnya yang tersenyum manis. Aku hairan
bagaimana dia tahu akan namaku.
“Nama
akak Junainah. Panggil aje Kak Ju. Akak tengok kad pengenalan Amira tadi.
Doktor kata Amira keletihan dan kekurangan air dalam badan. Mungkin esok baru
boleh keluar. Amira tinggal di mana? Macam mana nak hubungi keluarga Amira?”
Aku
diam. Lalu aku menggelengkan kepala.
“Saya
seorang saja kak. Tak ada saudara. Saya datang sini sebab nak cari kerja”
Pandangan
Kak Ju sayu. Aku cerita serba sedikit mengenai aku kepadanya. Akhirnya Kak Ju
membawa aku pulang ke rumahnya. Rumah yang baru disewa beberapa bulan selepas
dia di halau oleh suaminya. Kak Ju yang menolong aku mencari pekerjaan.
Sementara, dia baru belajar untuk membuka sebuah butik. Selepas hampir dua
tahun aku kenal dengan dia, dia berhasrat untuk berhijrah ke Australia, katanya
bekas suaminya selalu mengganggu dan Isteri lelaki tersebut sudah berkali-kali
menyerangnya di tempat kerja. Aku sedih dengan apa yang Kak Ju alami.
Penderitaan yang aku lalui tidak seberapa berbanding penderitaan yang Kak Ju
hadapi sekarang. Aku mengambil keputusan untuk bersama-sama Kak Ju. Dengan
sedikit wang simpanan yang ada dan ditambah dengan wang simpananku yang
sebenarnya masih tidak cukup banyak, kami berhijrah, dengan keyakinan kami
pasti akan dapat mengubah kehidupan di sana nanti.
Sebulan
kami di Australia masih belum mendapat pekerjaan tetap, sedangkan permit kerja
kami hampir tamat sebulan lagi. Hampir seluruh Australia kami jejaki. Kami
hanya dapat kerja kontrak beberapa bulan sebelum berhijrah ke tempat lain pula
untuk kontrak kerja yang lain. Duit yang ada hanya boleh dikatakan cukup makan
saja. Sehinggalah Kak Ju bertemu dengan Abang Hamdan. Lelaki itu yang
memberikan kami kerja. Kebetulan Abang Hamdan ada kenalan di Australia yang
membuka syarikat perkhidmatan. Dengan pertolongan Abang Hamdan kami dapat
hidup. Kami menjadi pekerja pembersihan di beberapa buah hotel yang terkemuka
secara kontrak.
Akhirnya
Kak Ju berkahwin dengan Abang Hamdan. Walaupun lelaki itu duda dan sudah
memiliki anak yang ramai, tapi mereka semua tidak kisah. Lagipun anak-anak tiri
Kak Ju sudah berumah tangga. Mereka kata elok juga ayahnya ada yang menjaga,
mereka menerima Kak Ju dengan ihklas.
Aku
tidak jadi menyambung tidurku. Mataku terasa segar semula. Pantas aku
mengeluarkan towel dari dalam beg dan
mencari jeans beserta sehelai
t-shirt biar kelihatan sedikit kasual. Tepat pukul lapan malam Kak Ju
sudah datang. Pandai pula dia terus menuju ke tempat aku menginap.
“Sorrylah
Kak, saya bawa akak keluar makan yer….jangalah merajuk” Aku memeluk tubuhnya
lalu mencium pipinya yang masih nampak halus dan jelita. Tidak aku nafikan
kalau Kak Ju kata umurnya baru masuk tiga puluh pasti orang percaya walhal
sebenarnya dia sudah hampir separuh abad. Dia memang cantik.
“Kamu
bawa akak keluar?…… kamu tahu ke jalan kat sini?”
Aku
menjungkitkan bahu. Lalu ketawa kecil.
“Jomlah……
akak dah suruh Mak Teh masak sedap-sedap kat rumah. Kamu pun belum tengok lagi
rumah akak. Tak jauh dari sini”
Aku
pantas memeluk dia semula. Sepanjang perjalanan aku bercerita tentang
kehidupanku selepas dia pergi dan aku juga bercerita bagaimana aku boleh
pulang. Pulangku tanpa di pinta. Aku merasakan ingin kembali ke Australia.
Kalau boleh, mahu saja aku minta mereka yang menyelesaikan semua kerja di sini
untuk aku. Tapi itu sudah pasti tidak mungkin akan terjadi.
“Jadi
kalau kamu tak terpaksa kamu takkan pulang?” Kak Ju menduga aku.
Aku diam, merenung keindahan malam dari taman ciptaan Kak
Ju sendiri. Rumah Banglo yang terletak di Presint 14 itu adalah hadiah Abang
Hamdan untuk Kak Ju. Tapi hari ini Abang Hamdan berada di Perlis, ada urusan
kerja katanya. Sebagai seorang pengarah di Jabatan Kerajaan, Abang Hamdan
selalu keluar untuk menghadiri mesyuarat. Aku memandang wajah Kak Ju yang
lembut dan ayu. Wajah yang selalu menjadi sumber inspirasi untuk aku cekal
menghadapi hidup ini.
“Bukan
tak nak balik, tapi tak sampai seru lagi” Aku mengeluh kecil. “Hati belum
terbuka lagi, tapi tak sangka pula macam ni jadinya”
Kak
Ju tersenyum kecil. Lemah aku dengan senyumannya. Itulah senyuman yang memberi
aku kekuatan. Selembut orangnya, dan secantik budi bahasanya. Kak Ju pun tak
ada sesiapa lagi. Dia dibesarkan di rumah anak yatim. Katanya akulah satu-satu
adiknya dunia dan akhirat. Air mataku mengalir perlahan, hangat rasanya.
Kepulangan ini tidak pernah dirancang. Pada mulanya Mr Richard yang pergi tapi
dia membatalkan rancangan kerana terpaksa pergi tempat lain. Aku yang menjadi
mangsa, tapi entahlah…kesalkah aku kerana pulang ke sini. tempatku sendiri.
“Apa
yang terjadi itu ada hikmahnya. Walaupun kamu kata belum sampai seru, tapi dah
Allah kata ini jalannya. Kita hanya merancang. Tuhan yang menentukan”
Aku
mengangguk perlahan, itulah perkataan yang selalu aku lontarkan.
“Kamu
tak nak tinggal di sini ke? Lagipun bukannya jauh nak ke Hotel tu”
“Tak
apalah kak, nanti kalau cuti saya datang bermalam. Lagipun di sana senang kalau
ada masalah. Kerja macam saya ni tak tentu masa kak.. ada ketikanya entah di
mana saya harus pergi. Saya masih lagi harus ikut arahan orang atasan. Saya
cuba siapkan kerja tu cepat, lepas selesai semua kita boleh pergi bercuti kan?”
Kak
Ju mengangguk gembira.
Jam
menunjukkan pukul satu pagi ketika Kak Ju menghantar aku kembali ke Hotel. Rasa
tidak puas bersembang dengan Kak Ju.
Aku
menghempaskan badan di atas tilam. Seketika kemudian aku berdiri semula membuka
beg yang masih sarat dengan pakaian. Satu persatu aku keluarkan kemudian aku
susun di dalam almari. Setelah selesai, aku membuka beg kecil yang penuh dengan
barang-barang peribadi. Buku-buku rujukan yang sentiasa aku bawa dan beberapa
kelengkapan untuk diri sendiri.
Kemudian
aku keluarkan sebuah bingkai kecil, lama aku renung wajah dalam bingkai
tersebut. Aku tersenyum kecil. Wajahnya seiras wajahku, cuma hidungku lebih
tinggi. Aku ingat kata-katanya, hidungku seperti hidung ayah. Entahlah, aku pun sudah lupa bagaimana rupa
ayah. Selepas kejadian itu aku tidak pernah mengingatinya aku cuba
melupakannya. Bagiku seorang ayah harus menjaga anaknya, tambahan pula anak
perempuan. Tapi setelah dua belas tahun aku melarikan diri, kebencian itu
sedikit pudar. Kemarahan aku sudah tidak seperti dulu. Cuma aku tidak ingin
mengenang lagi kisah itu dan kisah itu yang membuatkan aku tidak ingin pulang.
Aku letakkan bingkai kecil itu di sudut meja. Ibu……Mira dah pulang.
Jam
menunjukkan pukul tiga pagi, aku seperti tidak mengantuk lagi. Aku bangkit
mengambil air sembahyang lalu menunaikan sembahyang dua rakaat. Aku memohon
kepada Allah agar segalanya mudah untukku, segalanya dapat aku tempuhi dengan
tabah.
Usai
sembahyang aku merebahkan badanku ke atas tilam. Tiba-tiba ingatanku kembali
kepada ayah……wajah tuanya datang bertandang diminda.
Masih
hidup lagikah dia. Ah biarlah! Dia ada Makcik Muna yang gedik tu. Kalau bukan
kerana perempuan kelab malam tu, aku tidak akan jadi begini. Ibu tidak akan
pergi dalam keadaan menderita. Aku memejamkan mata, cuba mengusir segala
kenangan yang bertandang. Aku hanya tersedar apabila jam loceng berbunyi
menandakan masuk waktu subuh.