Home Novel Cinta Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Farrah Izzlorna
6/8/2014 23:52:11
75,045
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 15

‘’ARIANA,Ariana…’’ Ketika aku mahu masuk ke bilikku,Marlia tiba-tiba memanggilku. Marlia terkocoh-kocoh menghampiriku dengan badannya yang sedikit gempal itu.

‘’Hai.’’ Marlia menghadiahkan senyuman nipis kepadaku.

‘’Hai.’’ Aku membalas dengan muka pelik.Tak pernah-pernah pun dia menegur aku sebelum ini sejak dia bekerja di sini.

‘’Awak okey ke?’’ Marlia tiba-tiba mengajukan pertanyaan itu kepadaku.

‘’Maksudnya?’’ Aku semakin hairan.

‘’Taklah,semalam lepas Encik Nazrul marah saya,dia terus panggil awak masuk dalam bilik dia.Jadi saya ingat,mungkin dia marah awak pulak ke lepas tu.’’

‘’Ohh… tak adalah.Dia tak cakap apa pun.’’ Balasku ringkas.Kalaulah Marlia tahu pasal apa yang terjadi antara kami. Aku tersenyum sinis.

‘’Betul ke? Ohh,kalau macam tu legalah saya.’’ Marlia menarik nafas lega.

‘’Kenapa aku tak kena marah,kau pula yang rasa lega?’’ Soalku hairan.

‘’Sebab saya takutlah,disebabkan dia marah kat saya,awak pula yang menjadi mangsa.Biar dia marah saya sorang saja tak apa.’’ Ujar Marlia jujur.

Baik betullah perempuan ni,desisku dalam hati.

‘’Ermm… awak ada temu janji tak tengah hari nanti? Kalau tak,saya ingat saya nak ajak awak makan sekali dengan saya dan kawan-kawan saya.’’ Pelawa Marlia seraya menudingkan jari ke arah kawan-kawannya.Antara lima orang kawannya itu,ada di antara mereka yang pernah mengutukku dahulu.Apabila menyedari aku memandang ke arah mereka,mereka berpura-pura memandang ke arah lain.

‘’Terima kasih sajalah,tapi aku dah janji nak pergi makan dengan kawan.’’ Balasku memberi alasan. Mana mungkin aku makan bersama manusia-manusia macam itu. Tak boleh hadam makanan nanti.

‘’Alah,sayangnya.’’ Riak wajah Marlia tampak kecewa. ‘’Tapi kalau lain kali,awak boleh kan?’’ Marlia kelihatannya begitu mengharap.Aku sendiri tak tahu kenapa dia begitu bersungguh-sungguh sekali.

‘’Mungkin.’’ Balasku pendek. Aku tak mahu berjanji sesuatu yang belum tentu aku kotakan.Marlia tersenyum.

Perbualanku dengan Marlia terbantut apabila hitler Nazrul keluar dari biliknya. Hitler… itulah nama gelaran yang aku berikan kepadanya. Idea itu tercetus apabila aku dan Nadia berbual-bual semalam.Nadia mencabarku agar memanggil Nazrul dengan nama ‘Hitler’ di hadapan lelaki itu sendiri. Dan bagiku,itu bukan satu masalah. Cuma haruslah dilakukan dengan ‘bijak’ agar aku tak akan dapat masalah.

Namun, malang tidak berbau. Hitler itu tidak keluar berseorangan,sebaliknya bersama seseorang. Terbeliak mataku apabila melihat gerangan lelaki berkemeja hijau yang berdiri di samping Nazrul itu. Firdaus! Apa yang dia buat di sini? Apabila melihat pakaiannya yang formal seperti pakaian orang yang bekerja di pejabat,aku mula berasa tidak sedap hati.

‘’Attention,please!’’ Suara Nazrul yang lantang meminta perhatian mematikan suara semua orang yang berada di dalam pejabat. Semua mata memandang kepada Nazrul dan Firdaus. Tidak terkecuali aku.

‘’Saya nak buat satu pengumuman. Seperti yang kamu semua sedia tahu, Encik Fazrin,penolong pengarah urusan di syarikat ni telah ditukarkan ke cawangan Cemerlang Holdings di Johor Bharu.Jadi untuk menggantikan Encik Fazrin,saya telah membawa masuk seorang pekerja baru untuk mengambil alih tempatnya,iaitu Encik Tengku Firdaus Amsyar, merangkap sepupu saya.’’ Terang Nazrul panjang lebar.

Jantungku berdegup pantas sebaik Nazrul menghabiskan kata-katanya. Aku rasa bagaikan mahu pengsan kala ini juga. Firdaus akan bekerja di situ?

Firdaus menghadiahkan senyuman kepada semua pekerja yang berada di situ, dan pandangannya terhenti saat matanya melekap pada wajahku. Dia merenung wajahku seketika sebelum melebarkan lagi senyumannya.

Aku betul-betul rasa macam separuh nyawaku sudah hilang. Kenapa semua ini harus terjadi kepadaku? Kenapa?

‘’KAU nak tahu tak,Encik Firdaus tu anak orang kaya macam Encik Nazrul juga tau! Bahkan aku dengar cerita,lagi kaya daripada bos kita tu. Siap ada cawangan syarikat sendiri kat luar negara lagi!’’

‘’Betul apa yang kau cakap tu.Aku pun ada dengar juga,lepas tamatkan pelajaran dia di universiti kat UK tu,terus dia uruskan syarikat ayah dia kat sana.Dia balik sini pun atas permintaan Tengku Yusrizal.Dulu masa kat UK,Encik Nazrul kerja sekali dengan Encik Firdaus untuk uruskan syarikat kat sana. Jadi sekarang ni,Tengku Yusrizal nak diorang lakukan perkara yang sama kat Cemerlang Holdings ni. Kiranya bos kita tu pinjam Encik Firdaus untuk sementaralah. Khas diimport dari UK.’’

‘’Ish,bertuahnya siapa yang dapat pikat Encik Firdaus tu. Dahlah kaya,bijak,baik pulak tu. Langsung tak sombong,ramah saja dengan kita yang biasa-biasa ni. Kita cakap apa pun dia layan saja. Tak lokek senyuman pula tu. Lain bebenar perangainya dengan Encik Nazrul. Kalaulah aku dapat Encik Firdaus tu,alangkah bahagianya!’’

‘’Heeh,jangan kata kau,aku pun sama. Sejuk perut mak aku mengandungkan aku kalau Encik Firdaus tu jadi menantu dia.’’

Itulah antara perbualan-perbualan mengarut yang aku dengar sepanjang aku berada di pejabat hari itu. Sampai aku rasa telinga aku ni boleh bernanah dibuatnya mendengar nama yang sama disebut setiap kali. Firdaus, Firdaus, Firdaus! Macam dah tak ada nama lelaki lain dah yang diorang nak sebut.

Aku pergi ke pantri dan menjerang air panas untuk membancuh kopi. Sambil-sambil itu aku berfikir. Kenapa dan kenapa dan kenapa ? Aku terus berulang kali menanyakan soalan itu pada diriku. Kenapa setiap kali aku mahu mengelak daripadanya, dia semakin dekat denganku. Bahkan sekarang bekerja dalam satu pejabat yang sama pula.

Aku tidak tahu bagaimana aku harus memandang wajahnya selepas ini. Aku takut. Takut tidak dapat menahan diriku ketika berhadapan dengannya nanti. Takut rasa bersalah yang terpendam dalam hati ini sekian lama akan membuatkan segala rahsia terbongkar. Dan ketika itu,bagaimana harus aku mengadap wajahnya nanti?

Dan yang paling aku takut,apakah reaksinya yang bakal aku terima kalau dia tahu aku adalah Ria,seorang gadis yang hampir ‘membunuhnya’ dahulu!

Aku menghempaskan keluhan. Dalam sekali.

‘’Cik Ariana,air tu dah masak.’’

Aku tersentak. Tanpa kusedari,Firdaus sudah berada di sebelahku. Seperti biasa,dia mengukir senyuman untukku. Aku tidak membalasnya. Aku segera menuangkan air panas itu ke dalam mug dan membancuh kopi kegemaranku.

‘’Macam tak percaya pula kan. Mula-mula kita jumpa dalam keadaan yang tak diduga. Dan sekarang kita berjumpa di bawah satu bumbung pula. Such a miracle. ’’ Firdaus memulakan perbualan denganku apabila melihat aku hanya berdiam diri.

Aku tidak mempedulikannya. Lagi cepat aku dapat keluar dari situ lebih bagus. Firdaus duduk di atas meja pantri dan merenung ke arahku. Dalam sekali renungannya.

‘’Tapi entah kenapa,saya dapat rasakan yang awak tak berapa suka dengan saya. Saya ada buat salah dengan awak ke?’’ Soalan Firdaus itu membuatkan aku terperanjat. Namun aku cuba bertenang. Jangan gabra Ariana. Relaks!

‘’ Aku memang tak suka bercakap dengan lelaki yang aku tak kenal.’’ Balasku ringkas.

‘’ Tapi sekarang kita dah kenal kan. Jadi apa salahnya kita berkawan?’’

‘’ Maaf,aku tak berminat nak jadi kawan sesiapa pun. Carilah orang lain.’’ Aku mengambil mug yang berisi kopi itu dan mengalihkan badanku. Terkejut aku apabila melihat Firdaus yang tadinya duduk di atas meja pantri kini berdiri di hadapanku pula.Mug yang kupegang terlanggar dadanya dan membuatkan air kopi yang berkocak akibat perlanggaran itu terpercik di atas bajunya. Aku tergamam. Sementara Firdaus ketawa apabila melihat keadaan itu.

‘’Nampaknya setiap kali saya pakai baju berwarna hijau,mesti awak akan tumpahkan air kopi ke atas baju saya kan.’’

‘’Kau yang salah. Siapa yang suruh kau tiba-tiba berdiri belakang aku macam tu.’’ Aku cuba mempertahankan diriku.

Firdaus ketawa lagi. ‘’ Dan seperti biasa,awak akan tetap mempertahankan diri awak. Menarik betullah awak ni. Such an interesting girl.’’

Muka aku merah padam. Terasa dipersendakan olehnya pula.

‘’Sudahlah,malas nak layan kau.’’ Aku berjalan ke tepinya,mahu pergi dari situ.

‘’Walaupun awak kata awak tak nak kawan dengan saya, tapi saya tetap nak kawan dengan awak,Ariana.’’ Kata-kata Firdaus itu membuatkan aku terkedu. Seraya langkahku terhenti.

‘’ And I will make sure, one day you will eventually accept me as your friend.’’ Firdaus menghadiahkan senyuman padaku sebelum keluar dari pantri itu sementara aku terus tercegat di situ. Aku terpaku mendengar kata-katanya.

‘’Kalaulah kejadian tu tak berlaku, mungkin sehingga kini kita masih menjadi kawan,Firdaus.’’ Desisku dalam hati.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.