Ellyssa
lega kerana dimaklumkan kapalterbang terlewat dari dijadualkan. Jadi dia masih
akan dapat menyambut daddy dan mommy apabila mereka berjalan ke luar ke balai
ketibaan. Dia tidak sabar mahu berjumpa mereka berdua dan mendengar
cerita-cerita menarik semasa mereka di
sana. Selalunya begitulah. Apabila daddy dan mommy pulang dari percutian di
luar negara yang disertai bersama kawan-kawan mereka yang lain, pasti
panjanglah perbualan mereka di rumah. Mommy memang seorang yang pandai
bercerita. Apabila mommy mula membuka mulut, dengan hayunan tangan dan ekspresi
wajah semuanya serba lengkap sehingga Ellyssa tidak pernah jemu mendengarnya.
Ada masanya sehingga Ellyssa pula terasa seperti berada bersama mommy di tempat
tersebut.
“Lamanya
delay…,” rungut Ellyssa kerana jam di
tangan sudah menunjukkan pukul 9.45 malam tetapi papan kenyataan berkomputer
masih belum memaparkan pendaratan kapalterbang yang dinaiki oleh kedua ibu
bapanya.
“Banyak
kapal terbang nak landing hari ni
kot. Traffic jam kat udara. Tengok
kat skrin tu. Punyalah banyak flight
yang masih tak dapat mendarat sebab landasan penuh,” maklum Sarina.
“Ha…aku
nampak dah. Flight dari Jeddah tu,”
suara Ellyssa dengan senyuman lebar. Dia berjalan ke hadapan, dan
berhenti berdekatan pintu keluar di balai ketibaan. Kawasan itu turut
dikerumuni oleh orang ramai yang mungkin juga bertujuan yang sama seperti
Ellyssa iaitu menunggu keluarga atau kawan yang pulang dari luar negara.
“Ell…,
mesti banyak mommy kau beli jubah cantik-cantik kat sana kan. Maklumlah orang
kaya macam keluarga kau ni takkan tak shopping
kalau pergi oversea. Aku tengok kat
internet cantik-cantik betul jubah Arab ni. Bling-bling lagi. Kalau aku badan
tinggi cantik macam badan kau Ell, dah lama aku beli jubah-jubah tu semua. Tapi
tu la…, saiz badan aku ni susah betul nak beli baju ready made ni. Hari tu ada ke patut salesgirl kat shopping
complex tu suruh aku pergi bahagian kanak-kanak. Memang kurang asam pedas
betul.” Selepas habis merungut begitu panjang lebar, Sarina menarik nafas
panjang.
Ellyssa
melirik pandang wajah Sarina. Kemudian dia menggeleng.
“Eh,
kenapa kau tengok aku macam tu kemudian geleng-geleng pulak ni?” tanya Sarina.
“Kadang-kadang
aku terfikir, mak kau ni terbekenan kat siapa ya masa ngandungkan kau. Mulut
kau tu tak habis-habis bercakap. Ada je benda yang kau nak bebelkan. Tak penat
ke beb. Aku dengar pun penat tau. Kau ni sepatutnya jadi deejay radio la beb,”
jawab Ellyssa.
“Hehehhe…,
kalau aku jadi deejay nanti kesian pulak kat kau Ell. Siapa la yang nak bantu
kau kat butik tu kan Dan yang paling penting, siapa nak jadi driver kau,” jawab Sarina
tersengeh-sengeh.
Ellyssa
mengertap bibir. Geram dengan gadis kecil molek di hadapannya. Sarina mengekeh
ketawa apabila Ellyssa membuat aksi ingin mencekik lehernya. Tidak lama gurauan
mereka apabila tiba-tiba mereka mendengar pengumuman bahawa kapalterbang dari
Jeddah telah mendarat. Ellyssa terus memanjangkan batang lehernya ke pintu
keluar. Dia mahu melihat mommy dan daddy melangkah keluar dari balai ketibaan.
Pasti mommy akan kelihatan begitu cantik dengan jubah Arab yang dibeli di
sana. Sebelum berlepas tempohari memang mommy begitu teruja memaklumkan kepada
Ellyssa tujuannya untuk memborong pelbagai jenis jubah Arab dan kemungkinan
dia akan menjualnya pula kepada kawan-kawan yang berminat.
“Itu
dia mommy dan daddy kau Ell.” Agak terjerit Sarina apabila memaklumkan ketibaan
ibu bapanya. Ellyssa terus menoleh. Senyumannya lebar apabila terlihat kedua
orang yang dirinduinya. Tetapi senyumannya tiba-tiba mati apabila dia melihat
mommy disorong dengan kerusi roda. Wajah mommy juga pucat dan dia kelihatan
sangat letih. Sarina juga terdiam. Dia tahu pada waktu dan keadaan begini,
tidak sepatutnya dia meneruskan tabiatnya yang suka bercakap.
What happen?...,
bisik hati Sarina. Hampir bergenang air matanya apabila melihat keadaan mommy
yang kelihatan sangat lemah. Kenapa daddy tidak pernah memaklumkan apa-apa
apabila mereka berhubungan pada setiap malam sebelum itu? Semakin luluh hati
Ellyssa apabila melihat senyuman lebar yang terukir di bibir mommy apabila
pandangan matanya menangkap susuk tubuh Ellyssa. Apabila daddy dan mommy telah sampai
ke balai menunggu, Ellyssa terus menerkam mereka.
“Apa
yang dah berlaku? Kenapa mommy duduk di kerusi roda? Are you okey mommy?” tanya Ellyssa bertalu-talu.
“Ell…,
mommy dan daddy letih sangat-sangat. Kita balik rumah dulu. Nanti bila dah selesai
semua kita berbual ya,” ujar Datuk Aziz perlahan. Suaranya kedengaran sungguh
sayu. Datin Aini mengangguk sambil mengenggam erat tangan anak gadisnya.
“Mommy
tak apa-apa Ell. Cuma mommy letih saja,” jawab Datin Aini perlahan tetapi Ellyssa
semakin pelik apabila air mata mommy tiba-tiba mengalir.