Bab
13Azrul sudah letih turun naik banyak
pejabat untuk mencari kerja yang sesuai dengan ijazah yang dimiliki. Tetapi dia
hampa kerana satupun tidak sangkut. Pelbagai alasan yang mereka beri untuk
menolak dirinya. Yang paling menyakitkan hatinya adalah apabila alasan yang
mereka berikan adalah mahu mencari calon yang berpengalaman dengan bidang kerja
yang ditawarkan.
Kalau macam tu sampai bila dia nak
dapat pengalaman sedangkan dia langsung tidak diberikan peluang untuk
membuktikan kebolehannya? Apa diorang ingat pengalaman tu boleh dapat dalam dua
tiga hari je ke? Cubalah dulu..., baru tahu dia boleh buat kerja atau tidak,
bebel Azrul sendiri.
Lama Azrul termenung sambil
menghabiskan teh ais yang dipesan di kedai mamak. Jam sudah menunjukkan pukul
12.30 tengahari. Perutnya semakin berkeroncong tetapi dia terpaksa abaikan
kerana duit yang ada di dalam dompetnya hanya cukup-cukup tambang untuk dia
balik ke kampung semula. Hasratnya untuk hadir temuduga terbuka pada pukul 2.00
petang terpaksa dibatalkan. Dia rasa terlalu penat pada hari ini.
Kertas suratkhabar yang dibentang di
atas meja sudah habis lunyai dengan contengan bulatan di ruangan iklan mencari
pekerjaan. Jika diikutkan perasaan dan masalah kewangan yang terdesak, mahu
sahaja rasanya dia menerima apa sahaja kerja yang boleh termasuk tukang cuci
pinggan di kedai-kedai makan. Rasa ringan sahaja kakinya hendak melangkah ke
kaunter untuk bertanya samada mereka memerlukan pekerja di restoran itu.
Azrul temenung seketika kemudian
cepat-cepat pula dia menghabiskan air yang masih tinggal suku di dalam gelas.
Dia telah membuat keputusan. Untuk sementara waktu ini dia akan mengenepikan
dulu ijazah yang dimiliki demi mendapatkan wang untuk menyara kehidupannya
untuk hari-hari akan datang. Itu yang paling penting buat masa sekarang. Emak
dan Melati lebih memerlukan wang dan dia bertanggungjawab untuk menyediakannya
buat mereka kerana dia anak sulung yang telah berikrar untuk menggalas
tanggungjawab ayah selepas ayah meninggal dunia tiga tahun yang lepas. Tahun
ini Melati akan menduduki peperiksaan SPM. Oleh itu banyak wang yang perlu
disediakan untuk bayaran yuran dan juga membeli buku-buku rujukan yang baik
supaya adiknya itu juga akan berjaya menyambungkan pelajaran ke universiti
sepertinya. Biarlah mereka miskin harta tetapi kaya dengan ilmu pengetahuan dan
budi pekerti yang baik.
Disebabkan pendirian inilah, emak
bertegas mahu Azrul menghabiskan pengajiannya selepas ayah Azrul meninggal
dunia akibat sakit jantung. Pada masa itu Azrul baru di tahun pertama pengajiannya
dan bernasib baik kerana dia mendapat tajaan biasiswa dari pihak MARA. Oleh itu
dalam kepayahan emak menggalas tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak, Azrul
meneruskan juga pengajiannya dengan berjimat cermat menggunakan wang biasiswa
yang diperolehi. Akhirnya segala pengorbanan mereka dibalas oleh ALLAH (s.w.t)
dengan kejayaan Azrul mengenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan
Ekonomi Kelas Kedua Atas. Hanya ALLAH (s.w.t) yang mengerti perasaan Azrul
tatkala melihat air mata kegembiraan yang mengalir membasahi pipi emak di hari
konvokesyennya pada bulan lepas.
“Alhamdulillah....mak rasa
sangat-sangat bersyukur dengan kejayaan Azrul. Ini adalah hadiah yang paling
bermakna buat mak dan arwah ayah,” ujar Rahimah dengan deraian air mata yang
sukar ditahan. Pelukan Azrul sangat erat sebagai menyalurkan rasa terima kasih
tidak terhingga di atas semua pengorbanan emaknya selama ini.
“Lepas ni mak boleh rehat. Abang
akan ambil alih tugas jaga mak dan adik. Abang akan cari kerja yang baik supaya
kita semua dapat hidup lebih senang dari sekarang.”
Kata-kata Azrul membuatkan Rahimah
tambah sebak. Sesungguhnya Azrul seorang anak yang baik dan bertanggungjawab.
Sejuk perutnya melahirkan seorang anak yang sebegini. Dia adalah contoh yang
sebaiknya bagi Melati yang akan menduduki SPM pada hujung tahun ini. Raut wajah
Azrul yang saling tidak tumpah seperti arwah suaminya direnung penuh kasih
sayang. Yang paling dibanggakan adalah,
Azrul juga mewarisi setiap kebaikan dan peribadi suaminya. Mungkin kerana
faktor jantina, Azrul banyak menghabiskan masa dan tumpuannya dengan melihat
setiap tindak tanduk arwah ayahnya sehingga akhirnya Azrul meletakkan ayahnya
sebagai idola. Sikap penyayang, penyabar, bertanggungjawab
dan mementingkan keluarga membuatkan Azrul tidak mudah lupa diri sehingga
mengabaikan pelajarannya.
Azrul sudah penat mengelamun. Dari
pukul 11.00 tengahari sampai sekarang tidak ada satu sen untung pun
diperolehinya dengan hanya bermenung. Dapat dosa adalah kerana sesungguhnya
ALLAH (s.w.t) tidak suka orang-orang yang suka membuang masa dengan sia-sia.
Bergegas Azrul bangun apabila dia teringat bahawa dia belum lagi solat Zuhur.
Niat di hati hendak singgah di mana-mana masjid atau surau yang dijumpainya
dalam perjalanan balik ke kampung nanti.
Azrul berdiri sebentar di hadapan
restoran mamak itu. Cuaca pada waktu tengahari
ini sangat panas lebih-lebih lagi sudah agak lama hujan tidak turun
untuk membasahkan bumi. Azrul menguap beberapa kali. Badannya sudah penat dan
perut masih lapar. Cermin mata berbingkai besar berwarna hitam yang meleret ke
bawah di tolaknya ke atas semula di tulang hidungnya. Rambut pendek yang
berminyak rapi diraupnya sekali lalu. Baju kemeja lengan panjang berwarna biru
muda dan seluar slack hitam yang dipakai memang membuatkan dia kelihatan
seperti orang yang akan masuk ke pejabat semula selepas waktu rehat tengahari.
Baru sahaja dia hendak melangkah
tiba-tiba matanya terpandangkan seorang lelaki tua sedang teragak-agak hendak
melintas jalan. Apabila melihatkan tongkat putih di tangan lelaki itu, barulah
Azrul sedar bahawa lelaki itu cacat penglihatan. Pada waktu tengahari begini
memang jalan sangat sesak dengan kenderaan berpusu-pusu di jalanraya.
Kebanyakan orang sibuk dengan mengejar urusan masing-masing dalam masa rehat
yang amat terhad ini. Kesian pula Azrul melihatkan pakcik tersebut yang hanya
berdiri di tepi jalan, mungkin menunggu sekiranya ada sesiapa yang boleh
membantunya untuk menyeberang jalan tersebut. Hampir lima minit memerhati,
Azrul berjalan pantas menuju ke arah lelaki tua tersebut. Dipegangnya lengan
lelaki kurus itu dan terus memimpinnya untuk melintas jalan.
“Terima kasih anak...... semoga
ALLAH (s.w.t) membalas budi baik anak ini dengan sebesar-besar rahmatNya,” ucap
lelaki itu berkali-kali.
Azrul hanya tersenyum sambil
mengangguk. Tetapi dalam hati dia mengaminkan doa lelaki itu. Apa salahnya
kan...memang kata-kata yang baik itu adalah satu doa. Oleh itu adalah baik jika
dia mendoakan semoga doa lelaki tersebut dimakbulkan oleh ALLAH.