Home Novel Cinta Kan Aku Dah Kata!!!
Kan Aku Dah Kata!!!
Aini Marisha Marisha
29/12/2013 16:20:01
145,848
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8
Bab 8

Tiba di rumah, Datin Aini terus meminta diri untuk berehat. Dia berjanji akan meluangkan masa dengan Ellyssa pada keesokan harinya kerana hari ini dia merasa begitu penat. Apabila masuk ke biliknya, Datin Aini terus memanjat naik ke atas katil besar yang telah ditinggalkannya hampir tiga minggu. Diciumnya bantal lembut yang sangat dirinduinya dengan deraian air mata yang sukar ditahan.

Datuk Aziz yang masih duduk di ruang tamu bersama Ellyssa hanya memandang sayu langkah isterinya sebentar tadi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dia hanya mampu mengeluh panjang. Kupiah putih yang masih tersarung kemas di kepalanya diambil lalu diletakkan di atas meja kopi.

“Kenapa dengan mommy tu daddy? Kenapa mommy macam tak happy je lepas balik dari umrah ni?” tanya Ellyssa semakin hairan. Memang kelakuan mommy kali ini amat berbeza. Selalunya apabila pulang dari bercuti pasti mommy akan kelihatan sangat gembira dan tidak sabar hendak mengeluarkan segala hadiah dan buah tangan yang dibelinya. Tetapi kali ini mommy langsung tidak menghiraukan barang-barang yang telah dibawa masuk ke rumah. Mommy seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri dan begitu berat hendak bercerita dengan sesiapa mengenainya.

“Berikan mommy masa untuk berehat dan bertenang. InsyaAllah bila mommy dah bersedia, pasti dia akan bercerita segala-galanya kepada Ell,” jawab Datuk Aziz dengan pandangan mata yang redup.

Walaupun Ellyssa masih tidak berpuas hati dengan jawapan bapanya namun dia terpaksa memujuk hati untuk bersabar. Ya, mungkin benar mommy terlampau penat. Dengan jet laglagi ditambah dengan cuaca panas di bumi Mekah dan bonus pula dengan umur mommy yang semakin meningkat mungkin menyebabkan mommy tidak dapat menahan semua dugaan itu.

“Errr… daddy, rumah Ell dah hampir siap. Hampir 80 peratus dah. Kalau dah siap semuanya, Ell ingat nak pindah. Nak berdikari.” Kali ini topik perbualan telah bertukar. Ellyssa memandang kejap wajah Datuk Aziz. Ada riak terkejut di wajah bapanya.

“Kenapa nak pindah? Rumah ni pun dah cukup besar untuk Ell tinggal. Mommy dan daddy pun bukannya ada anak lain. Tinggal saja di sini. Kalau Ell nak jugak duduk rumah tu, tunggulah sampai Ell dah kahwin nanti. Tak adalah daddy dan mommy risau Ell duduk seorang diri di sana nanti,” jawab Datuk Aziz perlahan lebih kepada memujuk.

“Bukan apa daddy, sayanglah kalau rumah dah siap tapi dibiarkan kosong. Lagi sayang kalau disewakan pada orang lain. Jadi lebih baik Ell duduk saja kat sana. Bukannya jauh pun dari rumah daddy kan. Kalau Ell nak balik sini hari-hari pun tak ada masalah,” jawab Ellyssa dengan wajah kelat apabila mendengar keputusan bapanya tadi.

“Nantilah kita bincang perkara ni. Lagipun ada dalam dua tiga bulan lagi kan sebelum rumah tu boleh diduduki sepenuhnya. Sekarang ni daddy penat sangat. Daddy nak naik solat Isyak kemudian nak tidur,” ujar Datuk Aziz perlahan. Suaranya kedengaran garau disebabkan batuk yang menyerangnya beberapa hari sebelum balik ke Malaysia.

Datuk Aziz mencapai semula kupiah putih atas di meja kopi kemudian melangkah menuju ke tangga. Sebelum tapak kakinya mencium anak tangga yang pertama, Datuk Aziz menoleh ke belakang ke arah Ellyssa yang sedang menukar siaran televisyen.

“Ell…,” panggil Datuk Aziz. Panggilan itu walaupun perlahan tetapi masih jelas ditangkap oleh gegendang telinga Ellyssa.

Ellyssa segera menoleh. “ ya daddy?”

“Sebelum tidur jangan lupa solat Isyak ya dan jangan lupa doakan mommy dan daddy supaya sihat,” pesan Datuk Aziz sebelum dia meneruskan langkahnya ke atas.

Ellyssa pula ternganga apabila mendengar kata-kata bapanya. Pelik! Itulah perkataan yang muncul di fikirannya. Kenapa daddy ni?...bisik hati Ellyssa. Solat Isyak? Berdoa? Seumur hidupnya inilah pesanan paling pelik yang pernah diutarakan oleh daddy. Selama ini tidak pernah pun daddy bercakap mengenai solat kepadanya.

‘Hmmm…., sekejap aje tu. Lepas dua tiga minggu nanti baliklah ke perangai asal…,’ getus hati Ellyssa beserta gelengan kepala dan senyuman pendek. Diambilnya semula alat kawalan jauh yang berada di atas meja. Kali ini cariannya berhenti di rancangan drama Cinta Pandang ke-2 yang diadaptasikan dari novel hasil tulisan Laila Kamilia. Sudah hampir separuh ceritanya.

‘Inilah agaknya cerita novel yang ramai orang kata best tu....,’ bisik hati Ellyssa lagi. Memang dia tidak pernah membaca novel-novel berbahasa Melayu sebelum ini kerana keluarganya lebih mementingkan penguasaan bahasa Inggeris. Mommy juga menunjukkan minatnya kepada cara Barat dengan menghias rumah mereka bertemakan modern English. Manakala di dalam bilik tidur mereka, mommy mahukan tema English cottage iaitu lebih kepada warna-warna pastel dan bercorak bunga mawar.

Disebabkan faktor ini, tidak banyak nama penulis Melayu di Malaysia yang dikenalinya. Tetapi kebelakangan ini ulasan demi ulasan hebat yang dibacanya di facebook tanpa disedari berjaya juga memancing hatinya untuk membeli dua buah novel berbahasa Melayu semasa ke ke kedai buku bulan lepas. Tiba-tiba Ellyssa teringat semula kepada sebuah buku agama yang dipegangnya...."Cintai dirinya kerana ALLAH". Ada debaran di hatinya setiap kali bayangan buku itu bermain di fikirannya.

"Ell tak tidur lagi?" Teguran dari makcik Normah betul-betul mengejutkan Ellyssa. Diurutnya dada yang terasa sesak seketika.

"Maaf Ell. Makcik tak berniat nak buat Ell terkejut. Ell termenungkan apa tadi sampai makcik datang ni pun tak sedar," tanya Normah lagi.

"Tak apa makcik. Ell pun nak naik tidur dah ni. Nanti makcik tutup lampu semua ya," jawab Ellyssa. Banyak termenung, jalan cerita drama tersebut pun tidak dapat dihayati sepenuhnya. Dia menguap beberapa kali. Mata semakin mengantuk. Jam di dinding baru sahaja berdenting 12 kali. Ellyssa bangun, menggeliat beberapa kali kemudian melangkah menuju ke biliknya di tingkat atas.

Rumah itu sudah sunyi. Bukan waktu malam sahaja, malah memang kebiasaannya sunyi. Tambah-tambah lagi apabila mommy dan daddy mengerjakan umrah dulu. Ellyssa pula, selagi langit masih ada cahaya usah harap lah dia akan memijak lantai rumah ini. Apabila pulang, dia akan terus naik ke bilik tidur. Jika mahu menonton televisyen, dia boleh menonton sahaja di dalam biliknya. Tetapi amat jarang sekali televisyen itu dipasang kerana dia lebih suka mengadap komputer riba dan berchatting yang kadangkala mencuri masanya sehingga lewat malam.

Itu lah dunianya jika dia tidak ada temujanji dengan kawan-kawan yang lain. Kesibukan mereka tiga beranak, tidak memungkinkan untuk mereka membuat perancangan untuk bercuti bersama. Mommy dengan dunia politik dan persatuannya. Daddy sibuk dengan perniagaan dan permainan golfnya dan Ellyssa pula dengan butik dan kawan-kawan serta aktiviti sosialnya. Akhirnya, mereka kurang berkomunikasi dan membawa hal urusan masing-masing sahaja.

Masuk ke dalam bilik, Ellyssa terus merebahkan tubuh langsingnya ke atas katil yang dilapik tilam yang empuk. Penghawa dingin yang sentiasa terpasang membuatkan dia menarik selimut tebal menutupi separuh tubuhnya. Ellyssa menoleh ke kanan. Sekeping potret dirinya berpelukan mesra dengan seorang lelaki tampan ditatapnya lama, penuh rasa rindu yang membuak. Perlahan-lahan bibirnya menyentuhi cermin gambar itu, tepat ke wajah lelaki itu.

“Ell rindu…, sangat-sangat rindu,” bisiknya sebelum melekapkan gambar tersebut ke atas dadanya. Ellyssa memejamkan matanya. Seperti malam-malam yang lepas, dia berharap tidurnya akan lena bertemankan mimpi bersama lelaki itu.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha