Bab
9Datin Aini baru selesai solat
tahajjud. Walaupun tubuhnya masih terasa penat akibat perjalanan pulang yang
mengambil masa yang lama namun dia tidak mahu melepaskan detik malam tanpa
bangun bersujud kepada Allah s.w.t. Selagi mampu dia akan cuba untuk bangun
mengerjakan solat malam. Dibandingkan dengan masa yang diambil selama beberapa
minit untuk mengerjakan solat sunat 2 rakaat itu dengan dosa-dosa yang telah
dilakukannya dia menjadi takut sekiranya amalan yang dilakukannya tidak cukup
untuk meringankan timbangan di bahagian dosa-dosanya apabila dihisab di akhirat
kelak.
Datin Aini beristighafar lagi. Dia
mahu meminta ampun kepada Allah atas segala dosa-dosanya. Air matanya memang
sudah terlalu murah. Sentiasa bergenang apabila dia mengimbas segala dosa-dosa
yang telah dilakukan.
“Abang…, adakah Allah akan
mengampunkan dosa-dosa saya selama ini?” tanya Datin Aini dengan rasa sayu
kepada suaminya.
Datuk Aziz senyum kemudian mengusap
lembut wanita yang melengkapi kehidupannya di dunia ini, rusuk kirinya. Dia juga
berharap wanita itu juga akan menjadi bidadari utama yang menemaninya di syurga
nanti.
“Sayang, tanggungjawab kita sekarang
ini adalah beribadah kepada Allah dengan sesungguhnya, bertaubat dan menyesali
di atas segala dosa-dosa kita dulu. Kita beramal dengan ikhlas dan sedaya yang
kita mampu. Allah terima atau tidak itu di luar kemampuan kita untuk memastikannya. Cuma apa yang kita perlu ingat
adalah…hanya ALLAH sahaja yang boleh mengampunkan segala dosa-dosa kita. Oleh
itu tiada tempat lain kita boleh meminta kemaafan melainkan kepadaNya. Bukankah
Allah telah berfirman bahawa ….Wahai anak
Adam! Andaikata dosa-dosamu mencapai awan di langit, kemudian kamu meminta
ampun kepada-Ku niscaya Aku akan mengampunimu….,” jawab Datuk Aziz.
Pandangan matanya redup merenung wajah isterinya yang masih dibasahi air mata.
Datin Aini tunduk kemudian bersalam menciumi tangan suaminya dengan penuh rasa
kesyukuran.
Datin Aini menarik nafas panjang.
Dia bersyukur kerana selepas pulang dari Mekah Datuk Aziz juga telah banyak
berubah menjadi suami yang lebih baik dan banyak menasihati dan membimbingnya
untuk berubah menjadi muslimah yang lebih baik akhlaknya. Datuk Aziz juga
banyak menghabiskan masanya di masjid untuk mempelajari ilmu agama dan
mendengar kuliah-kuliah yang diadakan.
Datin Aini memejamkan matanya.
Kerinduannya terhadap bumi Mekah menggamit diri walaupun baru beberapa hari
meninggalkannya. Perlahan-lahan kenangan dan segala apa yang berlaku di
sepanjang minggu mereka mengerjakan umrah terlayar di tabir ingatannya….
Imbas kembali….
Penerbangan yang dinaiki oleh
rombongan Datuk Aziz dan Datin Aini yang berlepas dari Bandar Madinah telah
selamat tiba di Bandar Mekah Al-Mukarramah. Setelah seminggu menghabiskan masa
dengan menziarahi dan melawat tempat-tempat bersejarah terutamanya Masjid
Nabawi dan Makam Rasulullah (s.a.w), mereka kemudiannya bergerak untuk
melakukan ibadat umrah di Mekah.
Keluar sahaja dari perut kapal
terbang yang berhawa dingin, cuaca panas mula menggigit kulit ahli rombongan.
Wajah Datin Aini berkerut-kerut menahan getir cuaca yang membahang.
“Kata sekarang ni sejuk, kenapa
panas jugak,” getus hati Datin Aini. Cermin mata hitam yang sentiasa ada di
dalam beg tangannya terus diambil dan dipakai untuk melindungi matanya dari
panahan cahaya matahari. Wajahnya berkerut, tanda tidak senang dengan cuaca
yang dialaminya.
Jika diikutkan mulutnya yang memang
laser, mahu sahaja rasanya dia menyuarakan rasa hatinya kepada mutawwif. Dia
rasa seolah-olah tertipu dengan penerangan ketua rombongan. Dalam hati, rungutan
dan rasa tidak puas hati sering bermain dan membakar perasaannya. Dia sangat
berharap, bas yang akan membawa mereka ke hotel nanti lengkap berhawa dingin
supaya perjalanan mereka nanti tidak menjadi satu beban kepada mereka dan
berbaloi dengan harga perkhidmatan yang telah dibayar.
“Kalau kat sana, you kena hati-hati
dengan percakapan you.” Itu pesan Datin Zainab kepadanya semasa kenduri yang
diadakan di rumah mereka.
“Orang cakap kat sana, semua
perbuatan kita dibayar cash. Cepat
sahaja ALLAH tunjukkan balasan dan juga cepat je ALLAH makbulkan doa kita
semua,” sambung Datin Zainab lagi. Datin Aini mengangguk. Cerita seperti itu
bukan pertama kali didengarnya malah acap kali. Semasa mengikuti kursus dan
penerangan oleh syarikat yang akan membawa mereka ini pun, mereka semua telah
dimaklumkan untuk menjaga tata kelakuan dan adab bicara semasa di Tanah Suci
ini. Bukan Datin Aini lupa, tetapi entah kenapa sepanjang tempoh mengikuti
rombongan mengerjakan umrah ini, hatinya sntiasa rasa gelisah. Dia selalu rasa
hendak marah dan memang dia sedar adakalanya punca perkara itu bukanlah begitu
besar sehingga dia perlu merungut sebegitu. Datin Aini bimbang, bimbang
sekiranya dia diuji ketika mengerjakan ibadah umrah ini.
Selesai urusan di lapangan terbang,
mereka semua berjalan menuju ke pintu utama. Lapangan terbang agak sesak pada
hari itu dengan manusia yang hadir untuk pelbagai urusan. Mutawwif, Saiful yang
mengetuai meminta mereka semua berkumpul di satu temat sementara dia
menguruskan mengenai pengangkutan mereka semua ke hotel. Kelihatan Saiful
mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi seseorang. Datin Aini tidak
faham butir-butir perbualan kerana Saiful menggunakan Bahasa Arab. Tetapi Datin
Aini dapat mengagak samaada dia menelefon pemandu bas ataupun syarikat yang
bertanggungjawab menyediakan bas untuk mereka.
Datin Aini tidak sedap hati apabila
melihat raut kerisauan di wajah lelaki itu. Seperti ada masalah sahaja
lagaknya. Datin Aini segera mencuit Datuk Aziz. Meminta suaminya melihat wajah
Saiful dan cepat-cepat menyuruh Datuk Aziz bertanya sama ada terdapat sebarang
masalah.
Datuk Aziz mengangguk kemudian
berjalan mendapatkan Saiful.
“Macam mana Saiful. Ada apa-apa
masalah ke?” tanya Datuk Aziz. Peluh kecil di dahi dilap dengan hujung lengan
jubah hitam yang dipakai.
“Errr.., tak ada apa-apa yang besar
Datuk. Cuma bas akan lambat sikit sebab tersangkut dalam jem. Sekarang ni ramai
pengunjung hadir untuk buat umrah, Datuk,” jawab Saiful.
Sebagai mutawwif yang
dipertanggungjawabkan untuk membawa rombongan ini, Saiful sedar tanggungjawab
yang perlu dipikul. Walaupun semuanya telah diuruskan dengan baik sebelum
tarikh rombongan, tetapi apa yang bakal berlaku semasa membawa mereka
adakalanya sukar dielakkan. Berada di Tanah Suci contohnya, berkemungkinan
semua masalah yang timbul adalah ujian dari ALLAH (s.w.t) untuk menguji
keimanan hambaNya yang datang mengunjungi rumahNya. Sekiranya hambaNya
benar-benar ikhlas hadir ke sini untuk merendahkan diri beramal ibadat
kepadaNya, sudah pasti setiap ujian dariNya dapat dihadapi dengan tenang dan redho.
Berbekalkan pengalaman membawa
rombongan Jemaah selama 10 tahun ke Mekah dan Madinah, telah sedikit sebanyak
membantu Saiful untuk mengendalikan dan menyelesaikan masalah yang timbul. Apa
yang selalu dinasihatinya kepada mereka adalah supaya menetapkan niat hadir ke
sini dan menjaga tata kelakuan dan percakapan kerana rombongan ini bukanlah
rombongan untuk bersosial tetapi tujuan utamanya adalah untuk mengerjakan
ibadah umrah di Mekah.
Melihatkan sikap boros ketika
ahli-ahli rombongan berada di Madinah sudah cukup membimbangkan Saiful.
Walaupun dia tahu itu bukan masalah dirinya disebabkan ahli rombongan ini
memang kesemuanya adalah golongan VVIP yang berkehidupan mewah, namun apa yang
berlaku di hadapan matanya melihatkan bahawa itulah tujuan utama mereka
sebenarnya.
Melihatkan jumlah barang yang begitu
banyak, Saiful terpaksa pula menguruskan penghantaran barang-barang tersebut ke
Malaysia terlebih dahulu melalui kurier.
Apabila diminta untuk pergi ke tempat membeli belah lagi keesokan
harinya, Saiful terpaksa memberi alasan yang terbaik supaya dapat diterima oleh
mereka. Ini adalah kerana banyak lagi tempat yang disunatkan untuk dilawati
oleh ahli Jemaah di Madinah sebelum mereka berlepas ke Mekah nanti. Apa yang
penting adalah untuk mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadah yang disunatkan
contohnya bersolat di Masjid Nabawi dan melawat pusara Nabi Muhammad (s.a.w).
Saiful bersyukur kerana ahli Jemaah
terutamanya wanita tidak begitu memaksa dirinya untuk mengikut kehendak mereka.
Akhirnya segala jadual yang telah ditetapkan dapat disempurnakan walaupun ada
serba sedikit acara yang terpaksa dianjakkan atau diubah kerana kesuntukan
masa.
Pada hari ini, dia diuji setibanya
di Mekah. Bas yang sepatutnya sudah sedia menunggu menghadapi beberapa masalah
dalam perjalanan untuk menjemput mereka. Dia dimaklumkan oleh syarikat sebentar
tadi bahawa pada mulanya enjin bas susah mahu dihidupkan walaupun bas tersebut
adalah bas baru dan tidak pernah ada masalah enjin. Apabila bas mula bergerak,
jalan begitu sesak sehingga bas langsung tidak berganjak di satu tempat hampir
setengah jam. Berkemungkinan besar mereka terpaksa menunggu agak lama di
lapangan tebang itu.
“Macam ni lah Datuk dan Datin semua.
Rasanya kita berehat dulu dan minum-minum kat café depan tu. Perjalanan bas ada
masalah sikit sebab jalan jem teruk.”
Akhirnya Saiful membuat pengumuman
kerana dia tidak mahu mereka terus menunggu di situ memandangkan kawasan luar
lapangan terbang itu agak panas berbanding di bahagian dalam. Kerisauan semakin
menguasai dirinya apabila melihat wajah Datin-datin yang berkerut tanda tidak
berpuas hati.
Datin Aini mengeluarkan kipas kertas
kemudian mengipas wajahnya yang semakin berpeluh. Panas sungguh hatinya kerana
terpaksa menunggu bas yang sepatutnya perlu menunggu mereka lebih awal. Puas
dia memujuk dirinya sendiri supaya bersabar dan menunjukkan wajah yang tenang.
Tetapi ternyata dia gagal. Wajahnya masam mencuka apabila mendengar pengumuman
tersebut.
“Nak buat macam mana..,” pujuk Datuk
Aziz apabila Datin Aini merungut berkenaan hal tersebut.
“Kita bukannya boleh tahu apa yang
bakal berlaku. Saiful tu dah arrange
semua dah. Kita kena banyak bersabar kat sini Aini,” jelas Datuk Aziz lagi.
“Ye la bang. Saya tahu la pasal bab
sabar tu. Tapi semua benda boleh dielakkan kan. Sepatutnya buat la persiapan
awal. Dah tahu sekarang ni memang musim ramai orang datang nak buat umrah. Of course la jalan akan sesak semua.
Kita bayar diaorang bukan sikit tau bang. Kita nak layanan first class punya.”
Datin Aini masih tidak berpuas hati.
Entah kenapa dia tidak boleh bersabar dengan masalah ini walaupun pada
hakikatnya dia bukanlah seorang yang cepat sangat marah apabila berlaku sesuatu
masalah. Menyirap darahnya hari itu walaupun untuk masalah yang begitu kecil.
“Sikit lagi bas sampai la tu. Jom
kita minum dulu. Abang tahu Aini dah penat. Tu yang nak marah aje kan.” Datuk
Aziz memujuk lagi. Dia bimbang darah tinggi isterinya akan naik dan menyebabkan
isterinya itu menghadapi masalah di situ.
Datin Aini hanya mendiamkan diri.
Dia mengikut sahaja langkah suaminya menuju ke sebuah meja yang agak jauh dari
rakan-rakan mereka yang lain. Datin Aini hanya memesan Teh O panas manakala
Datuk Aziz membeli Kopi O panas. Suasana di lapangan terbang itu masih sesak.
Pandangan mata Datin Aini sering sahaja terarah ke pintu masuk utama. Dia
sangat berharap bas yang mereka sepatutnya naiki akan tiba di situ secepat
mungkin.
Apa yang mahu dilakukannya sekarang
adalah mandi dan merehatkan tubuhnya yang keletihan selepas mengharungi
perjalanan yang agak panjang sebentar tadi. Kakinya sudah mula lenguh-lenguh
dan pinggangnya sudah sakit kerana terlalu lama duduk. Dia mahu tidur seketika
di atas katil empuk di dalam bilik yang berhawa dingin. Serta merta dia
teringatkan bilik tidurnya di Kuala Lumpur. Baginya bilik tidur mereka adalah
tempat yang paling selesa yang mahu dicarinya apabila tubuhnya terasa sangat
letih.
“Saya rindukan rumah kita, bilik
kita…,” tiba-tiba Datin Aini bersuara setelah mereka berdua mendiamkan diri
agak lama.
Datuk Aziz yang sedang memeriksa
mesej di telefon bimbitnya terus mendongak. Hairan juga dengan sikap isterinya
kali ini. Selalunya kalau mereka pergi ke luar negara, jarang sekali Datin Aini
akan menyebut hendak balik awal ke rumah. Wajah Datin Aini yang benar-benar
keletihan direnungnya penuh rasa kasihan.
“Sabarlah sayang. Sikit lagi bas
sampai. Nanti awak boleh rehat dulu kat bilik. Saya tahu awak penat. Kita semua
pun penat,” jawab Datuk Aziz. Tangan isterinya dicapai lalu dielus lembut.
Senyuman terus terukir di bibir Datin Aini. Dia pun tidak tahu kenapa dia
berperasaan begitu. Tiba-tiba sahaja hatinya dipagut dengan rasa yang tidak
keruan. Pelbagai perasaan silih berganti bermain di hatinya.
“Adakah aku diuji….” Tiba-tiba
sahaja terdetik persoalan itu lagi di hati Datin Aini.
“Takkanlah secepat itu. Aku tidak
ada buat apa-apa pun lagi di sini…,” tingkah hati Datin Aini. Dia semakin
gelisah. Tiba-tiba sahaja dia rasa takut. Mungkin juga dia diuji disebabkan
dosa-dosanya selama ini. Wajah Datuk Aziz direnung dengan pandangan yang penuh
kebimbangan.
Datuk Aziz mengenggam tangan Datin
Aini lebih erat. Seolah-olah tahu apa yang bermain di ruangan fikiran isterinya
itu. Tetapi apa yang Datin Aini tidak tahu adalah, dia juga sebenarnya takut.
Dia tahu dosanya sudah banyak. Dia banyak ingkar dengan perintah ALLAH dan
banyak juga melakukan perkara yang dilarang. Cuma, kerana dia lelaki maka dia
tidak menunjukkan dengan jelas kebimbangan yang bermain di dalam hatinya.
“Bas dah sampai.” Saiful datang
kepada mereka dan menyuruh semua ahli rombongan segera berkumpul untuk bertolak
ke hotel. Datin Aini dan Datuk Aziz berasa lega. Cepat-cepat mereka
menghabiskan minuman yang dibeli dan terus mengekori langkah Saiful menuju ke
pintu utama. Datin Aini berasa lega apabila melihat bas yang disediakan. Di
sepanjang perjalanan, Datin Aini dapat tidur dengan lena kerana kerusinya yang
selesa dan penghawa dingin yang berfungsi dengan baik.
Perjalanan mereka dari lapangan terbang
memakan masa lebih kurang 1 jam. Urusan pendaftaran di hotel juga berjalan lancar
tanpa sebarang masalah. Untuk hari itu, mereka diminta berehat sahaja di bilik
kerana Saiful faham semua ahli rombongan sudah kepenatan. Sebelum masuk ke
bilik masing-masing, Saiful sempat memberi penerangan ringkas kepada semua ahli
rombongan. Apa yang penting adalah untuk memaklumkan kepada beliau sekiranya
ahli rombongan hendak ke sesuatu tempat supaya mudah untuk beliau mencari
kemudian nanti.
Datin Aini tidak sabar hendak masuk
ke bilik. Dia mahu menyegarkan diri, mandi dan kemudian terus tidur. Kakinya
sudah semakin kejang. Tulang pinggangnya semakin sakit. Dia memang tidak mahu
ke mana-mana pada hari itu. Baginya esok masih ada untuk dia memulakan ibadahnya
di kota Mekah ini.
“Aini tak solat dulu ke. Solat la
dulu sebelum tidur,” pesan Datuk Aziz apabila dilihat isterinya sudah mula naik
ke katil dan menarik selimut.
“Saya penat sangat la abang. Saya
tidur kejap. Tengah malam nanti saya bangun solat maghrib dan isyak. Saya buat
qasar jamak,” jawab Datin Aini dengan mata yang sudah terpejam. Tilam yang
empuk dan penghawa dingin membuatkan dia cepat sahaja lena.
Datuk Aziz hanya menggeleng kepala.
Dia terus masuk ke bilik air semula untuk mengambil wudhuk untuk solat maghrib.
Usai solat, dia berdiri sebentar di cermin tingkap yang betul-betul berhadapan
dengan Masjidil Haram. Cahaya lampu dari bangunan masjid sudah mula dipasang.
Apa yang membuatkan tubuhnya menggeletar di saat itu adalah apabila
terpandangkan bangunan Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram.
Tiba-tiba air matanya bergenang…dirinya terasa sungguh kerdil.