Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,199,891
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 22

22

"OH, Cikgu Iris! Jemputlah duduk."

Pelawa guru besar sambil tangannya menunjuk ke arah kerusi. Dengan berhati-hati Iris Suhayla menarik kerusi di hadapan ketua jabatannya. Iris Suhayla perasan ada sekeping kertas yang sedang dipegang oleh Puan Hajjah Aminah.

"Cikgu Iris faham tentang SKPM?"

"Emm...penilaian terhadap guru tu puan, ya?"

"Itu sebahagian sahaja dari SKPM sekolah. Kalau cikgu Iris cari maklumat tentang SKPM cikgu Iris akan faham. Sebagai ahli komuniti sekolah, kita semua saling bergantung untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah."

"Sebagai guru besar, saya dituntut untuk memimpin organisasi sekolah supaya mencapai misi dan visinya. Banyak aspek yang perlu saya beri perhatian, dan cikgu pula, sebagai guru di prasekolah. Cikgu perlu menghayati Standard 5 yang terkandung di dalamnya."

Ujar Puan Hajjah Aminah lantas menyerahkan kertas yang dipegangnya. Iris Suhayla menyambutnya dengan tanda tanya.

"Cikgu bertanggungjawab terhadap kemenjadian setiap murid di dalam kelas cikgu. Barangkali cikgu masih baru, cikgu sedang menimba pengalaman tetapi inilah yang perlu cikgu capai di akhir peringkat pendidikan prasekolah nanti. Sambil cikgu menimba pengalaman, fokus cikgu mestilah terhadap pencapaian murid secara menyeluruh. Dari segi komunikasi bahasa, sains, agama, jangan satu pun cikgu abaikan."

Pesan Puan Hajjah Aminah lagi. Antara faham dengan tidak, Iris Suhayla mengangguk. Tidak sekadar itu, mindanya sudah menyemat azam untuk menterjemahkan amanah ketua jabatannya sebagai kenyataan.

"Berat ke, Cikgu Iris?"

"Hah?"

Iris terkedu lantas mengangkat wajah. Dia mengamati wajah Puan Hajjah Aminah yang keibuan tetapi penuh dedikasi. Ada senyuman di hujungnya.

"Kita semua memikul amanah dan beratnya amanah yang kita pikul disebabkan produknya iaitu murid. Itu yang disebut kemenjadian murid Cikgu Iris. Adakah setiap murid yang kita didik menjadi? Menjadi dari segi apa? Menjadi dari segi akademik, sukan, sahsiah, sosial dan macam-macam lagi. Kalau setakat masuk ke sekolah awal tahun, di hujung tahun, murid yang tidak boleh membaca terus tidak boleh membaca. Murid sepatutnya boleh menulis tidak boleh menulis. Sepatutnya murid yang pakai kasut terbalik terus-terusan memakainya terbalik, tepuk dada dan tanya akal. Menjadikah murid cikgu itu?"

"Tetapi saya tahu potensi Cikgu Iris. Cikgu mampu menjadi seorang guru yang baik. Dan untuk pengetahuan cikgu, saya dah cerap cikgu untuk tahun 2014."

"Hah!"

Iris Suhayla hampir menjerit. Bila? Namun jeritan itu hanya bergema di dalam hati. Puan Hajjah Aminah tersenyum sahaja.

"Saya memang suka buat kejutan. Nanti cikgu hantar buku rekod cikgu untuk saya semak dan komen."

"Err...bila puan cerap saya?"

"Semalam. Masa sesi pelajaran bahasa. Murid diajar menggunakan lidah untuk merasa. Penat ke cikgu layan telatah murid prasekolah?"

Terang Puan Hajjah Aminah, tidak berselindung. Atirah menundukkan muka, terasa darah panas menyimbah ke muka. Terus memori semalam mengetuk jendela minda.

"Penat, puan! Lima belas tahun lagi boleh dapat penyakit tua."

Sahut Iris Suhayla. Puan Hajjah Aminah ketawa kecil. Mindanya cepat menangkap sesuatu.

"Eh, umur sekarang campur lima belas tahun lagi...memang awak dah tua kan? Boleh ganti tempat saya."

"Jauh lagi perjalanan saya, puan. Tak termimpi pun nak duduk di kerusi guru besar."


DIA memandu kenderaannya menuju ke butik pengantin Cinta de Hati. Janji temu bersama Mama Jiya dan perancang majlis telah dirancang pada pukul sebelas pagi. Ternampak saja dek penglihatannya parkir kosong di hadapan butik itu, dia membelok masuk dengan segera. Kereta Mama Jiya sudah berada di situ. Barangkali Mama Jiya sedang menantinya di dalam lantas dia bergegas keluar dari perut kereta. Pintu kedai ditolak dan dia memboloskan diri melalui pintu kaca. Seperti yang dijangka, Mama Jiya sedang menanti di atas sofa ungu sambil membaca majalah.

"Selamat datang!"

Sapa seseorang ketika dia melintasi patung dengan gaun pengantin anggun. Mama Jiya mengangkat wajah sedang dia mengurut dada, menghentikan langkah betul-betul di hadapan patung itu. Seorang wanita muda menghulur senyuman buatnya.

"Terkejut saya! Ingatkan patung ni yang beri salam tadi."

Ujar Izzul Haq, meluahkan perasaannya. Dada masih berombak dek kejutan tadi. Wanita yang duduk di sebelah patung tadi mulai berdiri. Dia ketawa seraya menutup mulut.

"Minta maaf kalau buat encik sakit jantung. Tengah duduk mencangkung ke, tengah duduk saja ke, bos kata, asal ada pelanggan masuk, mesti ucap selamat datang."

Jelas wanita itu lagi. Izzul Haq menyambutnya dengan senyuman. kemudian, dia meneruskan langkah lantas duduk berhadapan dengan Mama Jiya.

"Dah ada yang berkenan di hati Mama Jiya ke?"

"Kalau Mama Jiya yang kahwin, memang ada sangat yang berkenan di hati."

"Anggap aje Mama Jiya yang kahwin."

Usik Izzul Haq seraya menyambut katalog pelamin yang dihulurkan Mama Jiya. Mama Jiya hanya tersenyum. Tiada perbualan selepas itu. Izzul Haq menyelak sehelai demi sehelai, memerhati gambar-gambar pelamin yang mungkin menarik hati.

"Patutnya Iris yang buat keputusan tentang semua ni. Iz ikut aje Mama Jiya."

"Iz kan dah janji nak uruskan semua. Lagipun kita kekangan masa nak tunggu Iris, Iz."

Nasihat Mama Jiya. Ketika itu mereka didatangi seorang wanita, lingkungan usia empat puluhan.

"Macam mana, puan, encik? Dah ada keputusan? Kita pilih tema dulu, boleh?"

Soal wanita itu, bertubi-tubi. Mama Jiya hanya menunjuk ke arah Izzul Haq. Dia menyerahkan segala keputusan kepada Izzul Haq.

"Emm. Puan beri saya setengah jam. Saya nak bincang dengan tunang dan mama saya dulu."

"Untung Putri Ariyana. Cantik, berbakat, bakal bersuamikan usahawan kereta."

Puji wanita itu. Izzul Haq mengangkat wajah sedang Mama Jiya memandang tepat ke arahnya. Melihat perubahan riak pada wajah pelanggannya, wanita itu hilang senyuman serta merta. Barangkali pujiannya tersasar.

"Excuse me. Apa kaitan Putri Ariyana dengan saya?"

"Err...err... bukan dia tunang Encik Izzul ke? Semalam saya ada terbaca statementdia dalam surat khabar. Katanya dia bakal terima Porsche 911 tu. Gambar dia dengan Encik Izzul pun-"

"You are the first one to know and if these separates to outsiders, I know it was you who separates that. I dont have any relation with Putri Ariyana and she is not the person that I am going to marry with. And please, I pay for your job, not your gossips."

"Maafkan saya, Encik Izzul. Saya janji takkan terlepas cakap lagi dengan encik."


"MAAFKAN Iz, Mama Jiya."

Ucapnya ketika duduk di sebelah Mama Jiya. Wanita pertengahan usia mula menghidupkan enjin kereta. Tiada sepatah kata yang keluar dari mulut wanita yang banyak menguruskan kebajikannya semenjak dia mula tiba di Kuala Lumpur. Sepanjang mengenali wanita itu, Mama Jiya jarang sekali menunjukkan perasaan marah. Malah dia mengerti, diam wanita itu petanda marah sebenarnya.

"Betul ke Iz hadiahkan kereta pada Putri Ariyana?"

Soal Mama Jiya akhirnya. Barangkali itulah punca kesunyian Mama Jiya semenjak pemilik butik itu membuka cerita tentang Putri Ariyana. Izzul Haq menarik tangan Mama Jiya ke dalam genggamannya.

"Buat apa Iz tabur duit pada wanita yang belum tentu jadi isteri Iz. Iz bukan jenis lelaki yang suka berpoya-poya, Mama Jiya. Betul. Iz suka bersosial kerana dari situ Iz kembangkan bussiness tapi bukan untuk berpoya-poya. Mama Jiya tahu kenapa Iris calon Iz sejak mula, kan?"

Tanyanya pula. Mama Jiya mengangguk akhirnya. Lega. Dilepaskan perasaan itu perlahan-lahan.

"Sebab tu Mama Jiya tak suka Iz bertunang lama-lama. Mama Jiya harap Iz faham kenapa Mama Jiya minta Iz percepatkan majlis ni. Makin lama makin berlarut dan berkisah-kisah gosip Iz dengan Putri ni."

"Iz faham."

"Habis, Iz nak buat apa dengan gosip ni. Kalau dah keluar dalam akhbar, dah tentu satu Malaysia tahu kisah Iz ni."

"Iz tak bercadang nak bukak mulut pun. Dah tak lama pun majlis Iz ni Mama Jiya. Iz nak tumpu pada majlis ni aje memandangkan Iris sibuk kat Labuan."

"Baguslah kalau itu keputusan Iz. Mama Jiya nak balik ni. Kejap lagi adik-adik Iz balik dari sekolah pulak."

"Okay. Hati-hati bawa kereta tu. Sampaikan salam Iz pada adik-adik."

"InsyaAllah. Iz pun sama. Hati-hati."

Ujar Mama Jiya. Izzul Haq membalas dengan senyuman. Dia menyalami tangan Mama Jiya sebelum menolak pintu kereta. Dia berdiri di hujung kotak parkir, memerhati Mama Jiya mengundur keretanya perlahan-lahan.


"HI CEO, you buat apa depan butik pengantin ni?"

Sapa seseorang. Izzul Haq lantas menoleh ke arah sumber suara itu. Putri Ariyana sudah berdiri di hadapannya dengan senyuman. Izzul Haq membalas jua senyuman itu. Kali terakhir mereka bertemu ketika gambar mereka tersebar luas di internet, lebih kurang seminggu lepas. Kini mereka bertemu lagi, selepas gosip tentang Porsche pula terpapar di dada akhbar.

"I would like to ask you the same question."

"Owh, I di Balinese Spa tadi. Mandi bunga."

Jawab Putri Ariyana, berjenaka. Izzul Haq lantas ketawa. Dia tidak menyangka jawapan itu lucut dari mulut selebriti terkenal Malaysia.

"Serius?"

"Am I looks like a joker?"

" A little bit."

Balas Izzul Haq, mengusik juga. Putri Ariyana mendekati seraya menundukkan sedikit badannya. Sengaja digoda lelaki itu dengan aksi murahan. Izzul Haq menjeling orang yang lalu lalang di sekeliling mereka. Hatinya panasaran jika kerlipan lensa kamera tiba-tiba menghala ke arah mereka. Tidak sekadar lensa kamera, jelingan orang yang lalu lalang juga sudah membikin gundah. Putri Ariyana masih tersenyum sedang lelaki itu mempamer riak gelisah. Dia mengharap pertemuan tidak sengaja itu berlarutan lantas dia mengatur langkah.

"Emm, sebenarnya kereta I di bengkel minggu ni. Kebetulan I jumpa you, boleh you tumpangkan I balik?"

Ujarnya, berbisik ke telinga lelaki itu. Izzul Haq menggosok belakang lehernya walaupun tidak gatal. Aksi Putri Ariyana terus membikin resah.

"Err..I nak ke Port Klang ni. Ada urusan di sana."

"Tak apa. I boleh tunggu."

Balasnya tidak berputus asa. Terselak jadual fotografi di dalam mindanya namun dia tidak peduli. Sesi itu boleh ditangguhkan pada satu masa lain. Asalkan peluang bersama Izzul Haq dimanfaatkan sepenuhnya.

"I bukan nak mengecewakan you tapi jadual I penuh hari ni. I tak sempat singgah ke mana-mana."

"Tak sempat ke mana-mana? Habis you buat apa di sini?"

"An appoinment with my mum."

Balasnya lancar. Izzul Haq melihat jam di pergelangan tangannya. Kata Hakimi, kapal akan tiba pada pukul 1.45 petang dan dia perlu bergegas ke sana. Sesekali dia melirik ke arah Putri Ariyana.

"Tak apalah Izzul, I ambil cab."

Balas Putri Ariyana cuba memanacing lagi. Dia memusing badan, berjalan setapak dua sambil menanti reaksi Izzul Haq.

Izzul Haq melepas nafas, perlahan. Hendak diitinggalkan, tidak sampai hati. Jika dia membantu, masalah mungkin menimpa dirinya. Tak mengapalah. Barangkali ini pertemuan terakhir mereka.

"Rumah youdi mana?"

Tanya Izzul Haq, akhirnya. Putri Ariyana berhenti melangkah. Dia menahan perasaan gembira. Mata dipejam dengan penuh perasaan sebelum dia kembali memusing badannya.


"TUNGGU I di lobi ya."

Putri Ariyana menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit Suzianna, wartawan Majalah Glamor. Kemudian, dia menyimpan kembali telefon bimbit itu ke dalam tas tangan berwarna merah. Izzul Haq yang memandu tenang ditenung melalui cermin pandang belakang.

"Siapa agaknya wanita bertuah tu?"

Tanya Putri Ariyana, cuba menyelongkar isi hati lelaki idaman wanita itu. Izzul Haq menoleh seketika ke arah Putri Ariyana. Berdua-duaan di dalam kereta itu mengundang pelbagai rasa namun dia perlu berhati-hati. Jangan bermain dengan api.

"Wanita bertuah? Maksud you?"

"Siapa yang bertuah dapat menawan hati jejaka idaman Malaya ni? I ke?"

"Jejaka idaman Malaya? Tingginya penghargaan untuk I."

Balas Izzul Haq seraya ketawa kecil. Dia membelok masuk ke perkarangan Country House Club. Kata Putri Ariyana, dia ada sesi fotografi dan memintanya menghantar ke situ. Perlahan, dia memberhentikan kereta di hadapan lobi.

" Oh, finally I safely arrived. Ingatkan I tak dapat hadir sesi fotografi ni. Thank you so much Izzul. I akan set satu masa untuk kita dinner bersama, ya?"

"It's okay. I ikhlas tolong you. No need to treat me as a thank because I have a lot of dinner appoinment onwards."

Tolaknya dengan sopan. Ketika itu, seorang wanita berpakaian ringkas datang menghampiri kenderaannya. Dia menurunkan cermin kereta apabila dilihatnya wanita itu terbongkok-bongkok, seakan memeriksa isi dalam keretanya. Putri Ariyana melambai mesra wanita itu.

"Dah lama ke you sampai?"

"Baru jugak. Emm, ni Encik Izzul, kan?"

Tanya wanita itu, memerhati raut wajah Izzul Haq semenjak cermin kereta diturunkan. Izzul Haq memaksa dirinya untuk tersenyum. Timbul sesalan kerana menghantar Putri Ariyana ke sesi fotografi itu.

"Err.."

"Emm, yes. I tumpang kereta dia tadi sebab kereta I rosak. Okay, let's go dear. Thank you so much, honey."

Ucap Putri Ariyana, selamba. Dia menolak pintu kereta untuk keluar namun wanita yang sedang menanti Putri Ariyana masih berdiri di situ. Izzul Haq memandang ke hadapan. Terasa darah panas menyimbah ke muka. Dia bimbang jika ada salah tanggapan dari reaksi Putri Ariyana yang kelihatan seakan-akan mesra dengannya. Dia tidak lagi menoleh namun dari pandangan sisi, dia tahu ada seseorang sedang membongkokkan badannya. Ketika dia sedang menolak gear, namanya diseru. Izzul Haq menoleh ke sisi kirinya.

"Errr, boleh tak kalau Encik Izzul join sekali sesi fotografi ni. Untuk cover majalah Glamor bulan depan."

"I am so sorry but my answer is no. I am rushing to Port Klang. Please excuse me."

"Err, ini kad saya. Kalau ada kelapangan, saya nak aturkan satu sesi fotografi dengan Encik Izzul. Terima kasih. Jumpa lagi."

Kata wanita itu lantas menyerahkan kad namanya kepada Izzul Haq. Tidak mahu menghampakan, dia menyambut kad nama itu bersama senyuman.


IZZUL Haq menghabiskan masa melawat villa yang bakal didiami bersama Iris Suhayla kelak. Villa yang berkonsepkan Jepun itu sudah lama diminatinya. Proses pengubahsuaiannya berlangsung hampir setengah tahun dan kini ia hampir pada penghujungnya. Izzul Haq mengatur langkah menuju ke halaman rumah. Di sana, seorang pekerja sedang menyiram pokok bunga manakala seorang lagi sedang menacap kolam air. Replika seekor bangau baru sahaja diletakkan di tengah kolam tersebut.

"Encik Izzul, bila sampai?"

Sapa seseorang dari belakang. Izzul Haq pantas memusing badan, menghadap pemilik suara yang bernama Nur Ain. Dia menghulur senyuman cuma.

"Baru aje. Wah, cantik betul laman rumah saya ni ya!"

Pujinya. Nur Ain yang cantik dan muda itu membalas pujiannya dengan senyuman. Dia mempelawa Izzul Haq untuk melihat kerja pengubahsuaian yang hampir selesai. Mereka memijak stepping stone, menyusuri laluan kecil yang di sepanjangnya merupakan laluan air. Di dalamnya sudah dipenuhi dengan anak ikan emas. Di kiri dan kanan laluan tersebut merupakan sebuah bilik solat tetamu dan perpustakaan yang berdindingkan kaca. Kedua-dua bilik tersebut mengapit laluan utama ke dalam villa tersebut. Kini, mereka berdiri di tengah-tengah ruang tamu. Ruang tamu itu masih kosong. Izzul Haq terus menjejak langkah Nur Ain. Mereka mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas.

"Sekarang ni kita di peringkat akhir, Encik Izzul. Saya jangkakan kerja pengubahsuaian siap hari esok. Lusa, kita akan mula bawak masuk perabot."

"Means, by Jumaat kerja dah beres?"

Tanya Izzul Haq pula. Dia menolak pintu kamar utama yang bakal menjadi peraduannya kelak. Warna biru melatari ruang itu. Izzul Haq senyum tanda berpuas hati.

"InsyaAllah, Encik Izzul. ByJumaat rumah ni dah siap untuk diduduki."

Jawab Nur Ain, memberi jaminan. Mereka kembali menuruni anak tangga. Kali ini mereka menuju ke ruang dapur pula. Tiga orang pekerja sedang sibuk memasang kabinet dapur. Ketika itu, telefon bimbitnya berbunyi. Izzul Haq membaca pesanan ringkas di telefon bimbitnya.

"Parcel bos dah sampai. Saya letak atas meja bos tau."

"Okay Nur Ain. Saya nak balik ke office dulu. InsyaAllah, Jumaat ni, kita akan jumpa sekali lagi."

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.