Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
66,283
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Aku memandang jam yang tersarung di pergelangan tangan yang sedang menunjukkan angka dua petang. Namun kelibat Aydin di pusat membeli belah itu masih tidak kelihatan. Aku telah menghantar pesanan kepadanya untuk memberitahu yang aku menunggunya di ruangan G di hadapan kedai farmasi Watson. Belum sempat aku mengeluarkan telefon bimbit daripada beg galas, suara seseorang kedengaran menyapaku.

Aku menoleh. “Aydin...akhirnya kau sampai juga,” kataku.

Aydin merapatkan kedua-dua belah tangannya. “Maaf lambat, maklumlah hari Ahad macam ni susah nak cari parking.”

Hari ini aku telah mengaturkan pertemuan dengan Aydin sebagai permulaan kelas pertama. Aku memilih tempat yang menjadi tumpuan ramai bersesuaian dengan tajuk pembelajaran Aydin hari ini iaitu observation. Tujuan aku memanggil Aydin ke pusat membeli belah ini kerana aku mahu mengetahui ciri-ciri wanita idaman Aydin sementelah di sini terdapat pelbagai jenis fesyen, karakter dan ciri-ciri wanita yang mungkin salah satunya menepati citarasa Aydin. 

“Tak mengapa. Aku pun baru aje sampai ni,” balasku seperti biasa di dalam senyuman.

Aydin memandang ke kiri dan kanan sebelum matanya beralih ke wajahku. “By the way...kita buat apa kat sini?”

“Kita datang untuk belajar. Hari ni aku akan ajar kau perkara pertama dalam mencari pasangan. Tapi...sebelum itu ada benda penting yang aku perlu tahu tentang ciri-ciri wanita idaman kau.”

Aydin  mempamerkan raut terkejut. “Wanita idaman aku? Aku tak faham apa yang kau maksudlkan ni.”

Seperti biasa Aydn yang blur akan bertanyakan bermacam-macam soalan kepadaku. Begitulah dia sejak aku mengenalinya di bangku sekolah lagi.

“Maksud aku...setiap orang pasti ada ciri-ciri lelaki atau wanita idaman yang diimpikan. Jadi tujuan aku panggil kau ke sini kerana di celah-celah manusia yang ramai di tempat ini, pasti salah seorangnya menetapi ciri-ciri wanita yang kau idamankan. Contohnya yang muslimah, yang tinggi, yang putih dan sebagainya. Hah...lepas aku tahu apa yang kau inginkan, barulah senang untuk aku rangka pembelajaran yang seterusnya,” lebar aku memberi penerangan dengan harapan Aydin berjaya menangkap mesej yang aku cuba sampaikan kepadanya.

Aydin menggeleng laju. “Tak nak lah. Aku nak balik,” ujarnya seraya memusingkan badannya untuk meninggalkanku.

Seperti tindakan refleks aku menangkap lengan bajunya untuk mengalang Aydin pergi. “Aydin...relaks lah, macam mana nak belajar...err nak cari pasangan hidup kalau kau sentiasa mengelakkan diri.”

Aku melepaskan lengan bajunya sebelum melepaskan sebuah keluhan. “Aydin...kadang kala kita memerlukan keberanian yang luar biasa untuk lari dari kebiasaan. Aku tahu susah untuk kita ambil tindakan yang tidak pernah dilakukan seumur hidup ini. Namun kalau tindakan yang kita ambil itu akan membuatkan kita menjadi seorang yang lebih bahagia...tidak ada salahny.

 Maaflah...aku bercakap ini berdasarkan pengalaman aku yang memberanikan diri masa nak tinggalkan Hairi dulu.” Aku cuba membuka mata dan hati Aydin dengan mengaitkan situasinya kini dengan tindakan berani yang pernah aku ambil suatu masa dahulu.

Aydin membetulkan cermin matanya. “Apa yang kita kena buat tu?”

Aku tersenyum kerana aku berjaya memujuk Aydin. Aku mengajak Aydin untuk masuk ke dalam sebuah restoran dan kami memesan minuman. Aku sengaja memilih tempat duduk yang berdekatan dengan bahagian laluan orang ramai supaya lebih mudah untuk aku melihat dan mengenali ciri-ciri wanita yang diminati Aydin.

“Aydin...sekarang ni kau pandang kat tempat orang lalu lalang ni. Kau tunjuk pada aku ciri-ciri wanita yang kau minati ya,” ujarku yang bersedia mencatit maklumat yang penting ke dalam buku notaku.

Aydin sekali lagi tergamam dengan arahanku. Aku tergelak melihatnya yang tidak berkalih dari merenung wajahku. “Aydin, pandang sana bukan pandang aku lah.”

Aydin segera mengalihkan matanya ke arah orang ramai yang sedang lalu lalang. Aku berharapan besar agar ada di kalangan gadis-gadis yang melintasi kami menepati citarasa Aydin. Selang beberapa minit aku membiarkan Aydin menjalankan sesi observation, aku membuka mulut.

“Macam mana...dah dapat ciri-ciri wanita yang kau berkenan? Tunjuk pada aku yang mana satu,” ujarku yang teruja.

Aydin memandangku bersama wajah yang sedikit serba salah. “Err...aku tak ada suka sesiapa di sini. Atilea, aku rasa malulah pandang ramai perempuan. Aku rasa tak baik buat macam ni.”

Aku menepuk dahi. Aku mula berasa tertekan dengan karakter lurus Aydin itu. Namun aku memujuk hati supaya bersabar dan positifkan diri dalam mencari jalan penyelesaian bagi masalah pencarian cinta lelaki itu.

Aku senyum menampakkan barisan gigi dan lesung pipit di bahagian pipi kananku. “Aydin...aku rasa tak salah pun, anggap aje ini sesi pembelajaran. Okay macam ni lah, sekarang ni kau beritahu aku ciri-ciri wanita yang kau inginkan untuk dijadikan pasangan hidup.” Aku bersedia untuk mencatitkan maklumat berkenaannya ke dalam buku nota.

Tiada respon walaupun beberapa saat telah berlalu. Aku mengangkat wajah untuk memandang gerangan teruna di hadapanku yang entah mengapa menyepi dan membatu. Hanya matanya sahaja yang terpaku ke arah wajahku dan bibirnya dikatup rapat.

“Aydin!” panggilku yang bagaikan menyedarkannya daripada lamunan yang mungkin sudah sampai ke bulan itu.

Aydin melarikan matanya ke arah lain. “Err...aku tak pasti ciri-ciri wanita macam mana yang aku idamkan sebab aku tak pernah bercinta,” ada rasa rendah diri di dalam nada suaranya itu.

Aku bukan berniat untuk membuatkannya terasa hati namun sesi ice breaking ini penting untuk aku meneruskan tugasku membantunya sebagai dating coach sehingga Aydin menemukan wanita dambaannya. Kalau tugas pertama ini aku tidak berjaya mendapat informasi asas, nampaknya aku perlu bekerja lebih keras untuk membentuk diri Aydin menjadi seorang lelaki dambaan wanita-wanita di luar sana.

“Macam ni...kau suka wanita yang bertudung atau tidak? Yang cantik atau tidak? Err...yang bekerjaya atau tidak? Haa...aku nak tahu maklumat asas macam tu aje. Senang aje kan?” kataku dalam nada ceria.

Aydin nampak bingung. “Aku tak pasti aku suka wanita yang mana satu.”

“Mestilah wanita yang ada rupa paras yang cantik, berasal dari keluarga yang baik dan ada kerjaya. Takkanlah pula kau suka perempuan macam aku yang biasa-biasa, yang berkepala gila-gila dan yang tak ada kerjaya.” Aku membalas dalam nada gurauan.

Aydin senyum. “Bagi aku kau bukan biasa-biasa,” perlahan ayat itu meniti di bibirnya.

“Apa kau cakap?” tanyaku inginkan kepastian. Gelengan Aydin membuatkan aku ketawa. 

Tiba-tiba mata aku dan Aydin terpandang ke arah yang sama. Aku perasan sejak aku dan Aydin masuk ke dalam restoran ini, ada seorang gadis bertudung yang duduk berseorangan di sebuah meja berdekatan kami. Gadis itu sering kali menjeling ke arah Aydin. Sebuah senyuman meleret di bibirku apabila sebuah idea melintas dibenakku dan sejurus itu mataku beralih ke wajah Aydin.

“Nampak tak? Gadis itu macam berminat pada kau. Aku perasan sejak tadi tak lekang matanya merenung kau,” kataku kepada Aydin.

“Tak adalah, dia pandang semua orang aku rasa.”

Aku tergelak. “Aydin...ini peluang terbaik untuk kau. Pergi dekati dia!”

Membulat mata Aydin. “Aku tak nak,” balasnya segera belum sempat aku menghabiskan kata-kata.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.