Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
67,476
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

“Ati, kau nak ke mana? Bukan cuti ke hari ni?” tegur Kak Nadia ketika aku melintasi bahagian ruang tamu.

Aku tersenyum nipis. “Ada hal nak jumpa kawan kejap.” Aku membalas ringkas.

“Nanti dulu,” halang Kak Nadia yang bangun dari sofa dan berjalan mendekatiku.

Aku memandang wajah kakakku itu dam menanti perkara yang ingin disampaikan kepadaku keluar daripada mulutnya.

“Err...kau marah pada akak ke tentang akak minta kau pindah dari sini? Akak tak bermaksud untuk halau kau keluar,” ujar Kak Nadia dalam riak bersalah.

Aku menggeleng kecil. “Kau jangan risau, aku dah jumpa rumah sewa lain. Hujung minggu depan aku pindah. Ada apa lagi?” soalku yang sebenarnya sudah berjauh hati sejak kakakku menyoal tentang keberadaanku dirumahnya.

Aku mengerti Kak Nadia berasa tidak selesa sepanjang aku tinggal di rumahnya. Mungkin selama ini dia hanya memendam rasa dan kesabarannya itu hilang sejak akhir-akhir ini. Aku tidak marah padanya malahan aku berterima kasih kerana kakakku itu menyediakan tempat tinggal untukku sejak aku berpisah dengan Hairi. Cuma aku agak terkilan dengan cara Kak Nadia yang nampak tergesa-gesa mahu aku keluar sedangkan dia tahu yang pendapatanku sebagai pelayan restoran tidak sebanyak mana. 

“Ati...tak payah pindah. Aku minta maaf sangat. Aku terlalu ikut perasaan sebelum ini,” pinta Kak Nadia sambil lenganku dipengangnya.

Aku tersenyum. “Aku faham. Lagipun aku dah lama menumpang di rumah ini. Mungkin sekarang masa yang terbaik untuk aku hidup berdikari. Aku akan tinggal dengan kawan sekerja aku. Aku dah lambat ni, gerak dulu.”

Aku menahan sebuah bas yang melalui jalan raya yang tidak jauh dari hadapan rumah Kak Nadia dan destinasiku adalah perpustakaan yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan ini. Aku sengaja keluar awal agar aku dapat memilih tempat duduk yang selesa untuk aku menelaah buku tentang cinta sepanjang hari ini. Tambahan pula hujung minggu seperti ini pasti perpustakaan akan dipenuhi dengan ibu bapa yang membawa anak-anak untuk belajar sambil beriadah. Tidak sampai dua puluh minit kemudian, aku tiba di hadapan perpustakaan dan aku terus menuju ke tingkat yang menempatkan bahan bacaan dewasa.

“Banyak juga buku tentang cara memulakan hubungan cinta...cara memotivasikan diri untuk mendekati cinta...ish macam-macam jenis buku ada,” omelku sendirian sambil tanganku lincah menarik buku-buku yang aku rasakan bersesuaian keluar daripada raknya. 

Aku mengendong sepuluh buah buku ke sebuah meja berhampiran. Aku duduk dan mengeluarkan buku nota dari beg sandang untuk aku mencatat maklumat-maklumat penting yang seorang ‘dating coach’ perlu tahu. 

Aku membuka buku pertama dan memulakan pembacaan. Tajuk buku berjudul “How to fall in love in 30 days?” itu menarik minatku untuk terus membaca. Aku terleka sehinggakan aku tidak sedar yang jarum jam di dinding sedang menunjukkan pukul dua petang.

Aku bingkas bangun dari kerusi empuk itu apabila aku teringat akan tugasan di kafe. Namun beberapa saat kemudian, aku menarik nafas lega tatkala mindaku menghantar isyarat bahawa hari ini aku bercuti rehat. Aku kembali kepada pembacaan buku yang seterusnya sambil aku mencatatkan informasi penting berkenaan dunia percintaan.

Jujur aku akui yang aku sebenarnya malu untuk mengambil langkah berani bagi mendekati Aydin dan memujuk lelaki itu supaya mengupahku untuk menjadi jurulatih cintanya. Ini kerana tujuan aku mendekatinya adalah kerana aku mahu mendapatkan wang demi meneruskan kehidupan bukannya kerana aku benar-benar mahu membantunya.

“Hipokritkah aku menggunakan Aydin demi wang? Tapi aku ada cara lain ke untuk mencari duit tambahan bagi membayar hutang Along? Tidak mengapalah Atilea...tebalkan muka kau demi meneruskan hidup di atas dunia ini,” hatiku berbicara sendirian.

Aku menutup buku di tangan. Aku mengangkat buku-buku yang terletak di atas lantai bersebelahan denganku lalu aku susun semula ke atas rak seperti sediakala. 

Malam itu aku tidak keluar bilik walaupun telah beberapa kali kedengaran ketukan di pintu. 

“Ati...turun makan sama jom.” Kak Nadia yang memanggilku untuk turun makan malam bersama.

“Aku tak lapar lagi. Nanti bila aku rasa lapar...aku turun bawah,” teriakku kepada Kak Nadia.

“Janganlah merajuk lagi, dik,” suara Kak Nadia memujuk.

Aku menghentikan penulisan di atas buku nota dan memandang ke arah daun pintu. Lalu sebuah keluhan terlepas daripada anak tekakku.

“Aku tak marah kau. Aku okay aje ni...sibuk sikit ada kerja nak buat. Kau makan dulu ya,” balasku.

Aku kembali menarik buku berkenaan cara memulakan hubungan yang ditulis oleh seorang pakar cinta dari negara barat. Aku berasakan yang tips yang diberikan oleh penulis itu agak berguna buat Aydin yang tidak pernah mempunyai hubungan cinta dengan mana-mana wanita. 

Aku bangun dari pembaringan. Aku menarik nafas dalam sebelum menghembuskannya dalam keadaan tenang. Kini aku bersedia untuk memulakan tugas sambilan sebagai jurulatih cinta kepada Aydin.

Tiba-tiba aku terfikir akan sesuatu. “Tapi ada satu masalah? Boleh ke aku yakinkan Aydin untuk hire aku sebagai dating coach dia? Alamak!” Aku mulai resah memikirkan akan kemungkinan akan ditolak oleh Aydin.

Keesokkan harinya tamat sahaja syif kerja di kafe, aku terus menukar baju untuk bertemu dengan Aydin. Aku mengeluarkan kad nama lelaki itu yang tertera nombor telefon dan alamat tempat kerjanya.

Aku keluar dari bilik persalinan dan bersedia untuk berjumpa Aydin, namun teguran Ikmal mematikan langkahku.

“Aik...cepatnya kau nak balik hari ni? Emm...nampak lain je pakaian kau hari ni?”

Aku tergelak mendengarkannya. “Yang mana satu aku nak jawab dulu ni? Aku nampak lain macam mana pulak?”

Ikmal mengaru kepalanya. “Err...nampak lebih feminin,” ujarnya dalam senyuman.

“Habis selama ni aku tak macam perempuan ke?” sergahku sengaja mahu mengusik majikanku itu kerana aku sedar selama ini cara pemakaianku santai dan boyish. 

“Wei! Siapa wanita terakhir ini?” tegur Abang Naim yang datang dari arah dapur.

Aku tidak salahkan mereka berdua yang ternyata nampak terkejut dengan penampilanku yang mengenakan blaus dan skirt labuh itu kerana memang sepanjang aku bekerja di sini tidak pernah sekali pun aku mengenakan pakaian yang menggambarkan diri seorang wanita. Aku lebih selesa dengan hanya memakai t-shirt dan seluar jeans sahaja. Tapi hari ini berlainan kerana aku berasakan sebelum aku menjadi jurulatih cinta kepada Aydin aku perlu memastikan penampilan diriku nampak elegan, segar dan menyakinkan. Barulah terserlah ciri-ciri seorang dating coach...cewah!

“Okaylah...wanita terakhir ni nak gerak dulu ya. Bye...see you two tomorrow.” Aku melambaikan tangan persis seorang ratu cantik yang terus membuatkan dua orang lelaki itu tercengang-cengang.

Aku tiba di hadapan bangunan pejabat Aydin lebih kurang pukul lima petang. Sebelum tiba tadi aku ada menghantar pesanan melalui aplikasi WhatApps kepada Aydin bagi memaklumkan yang aku ingin berjumpa dengannya selepas waktu bekerja di hadapan bangunan pejabatnya. Aydin bersetuju dengan pelawaanku dan memberitahu waktu kerjanya tamat pada jam lima petang. 

Aku duduk di sebuah bangku sambil menunggu ketibaan Aydin. Aku yang leka sejak tadi tidak perasan bahawa ada beberapa orang lelaki sedang memandang ke arahku. Aku mula berasa tidak selesa dan resah. Resah apabila mindaku menghantar isyarat supaya memasang rasa syak bahawa kemungkinan lelaki itu adalah ahli kongsi gelap yang mengekoriku. 

Namun setelah aku mengasah fikiran dengan memerhati cara pemakaian mereka bertiga, aku berasa sedikit lega. Pakaian yang tersarung di badan mereka adalah uniform sebuah syarikat pengiklanan dan itu terus membuang rasa curiga yang timbul di dalam diriku sebentar tadi.

“Ada apa ya pandang-pandang saya dari tadi? Ada masalah ke?” tegurku dengan tegas kerana aku berasakan perbuatan mereka yang memerhatikanku dari atas ke bawah itu adalah tidak beradap. Mungkin berasa segan dengan teguranku itu, mereka bertiga mula beredar dari sana. 

“Assalamualaikum Atilea. Lama ke tunggu aku?” suara lelaki yang datang arah kiriku itu membuatkan aku terus menoleh.

Tercalit senyuman di wajahku tatkala wajah Aydin berada di hadapan mata. “Aku baru aje sampai.”

Aydin mengangguk dalam riak wajah segan. “Jom kita ke kafe depan sana,” ajaknya yang membuatkan aku mengangguk.

Kami berdua berjalan seiringan menuju ke kafe tersebut. Aku memandang Aydin yang sejak tadi menunduk.

“Kenapa dengan kau hari ni? Ada masalah ke? Kau tunduk aje dari tadi aku tengok.” Aku bertanya.

Aydin menggeleng dalam senyuman. “Tak ada apa-apa. Aku macam biasa.”

Aku mula faham apabila aku kembali mengingati yang lelaki di sebelahku itu pemalu orangnya dan kerana itu sejak tadi dia tunduk memandang lantai sahaja.

“Sebab aku nampak lain ke hari ni?” Aku memusingkan badanku dihadapannya bersama senyuman mekar di bibir.

Namun aku tidak menyangka tindakan spontanku itu telah membuatkan beberapa orang pejalan kaki menumpukan perhatian terhadapku termasuklah Aydin. Aydin bagaikan tergamam melihat aksiku itu dan kedua-dua belah matanya terpaku memandang wajahku. Aku mula berasa segan kerana telah menimbulkan suasana yang kekok di antara kami. Aku berdehem untuk menghilangkan rasa malu yang hadir di dalam diri. 


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.