Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
67,467
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Kenapa pipi kau tu?” Aydin bertanya ketika kami berdua berjalan seiringan untuk menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari kafe.

Aku memegang pipiku. “Tak ada apa-apa. Tercalar sikit aje ni masa aku buat kerja kat dapur,” sekali lagi aku terpaksa menipu apabila ditanya soalan yang sama oleh Ikmal dan Kak Zaliha tadi.

Aku tersenyum hambar. Entah mengapa aku berasa kekok tatkala berjalan berdua-duaan dengan Aydin dan aku lihat Aydin juga begitu. Aku tergamam tatkala Aydin berhenti di hadapan sebuah kereta dan membuka pintu masuk penumpang untukku. 

“Kenapa?” soal Aydin.

Aku tergelak. “Wei besarnya kereta kau, Aydin. Beruntungnyalah kau dan kawan-kawan kita yang lain. Habis sekolah je terus belajar ke luar negara. Balik sini...kerja bagus dan boleh pakai kereta mahal.”

Aku tersenyum namun di dalam hati sedikit terasa cemburu dengan kejayaan Aydin.

“Tak bertuah mana pun. Lebih mewah kereta...lebih mahal harganya,” balas Aydin merendah diri.

Aydin memulakan pemanduan dengan cermat. Sesekali dia menoleh ke arahku bagaikan ada sesuatu yang sedang mengetuk benaknya. Aku tahu dia pasti mahu bertanya tentang kesan luka di pipiku kerana aku perasan sejak di dalam kafe lagi dia asyik memandang ke arahku. Bukan aku tidak perasan setiap kali aku mengangkat wajah pasti akan bertembung mata dengannya dan Aydin yang pemalu itu akan segera mengalihkan pandangannya ke arah lain apabila aku perasan tentangnya.                                                  

“Atilea?” suara bernada lembut itu memanggilku.

Aku menoleh. “Err...kenapa dengan pipi kau tu?”

“Oh...aku terjatuh tadi. Tak ada hal lah, sikit aje ni.” Aku berpura-pura baik sedangkan rasa berdenyutnya hanya aku seorang yang tahu.

Aydin mengangguk. “Lain kali kau kena lebih berhati-hati ya. Kau tinggal kat mana?” 

“Aku tinggal kat rumah Kak Nadia di Shah Alam,” ujarku tanpa berselindung.

“Rumah Kak Nadia? Dengan Hairi sekali lah ya?” soalnya lagi yang entah mengapa mahu tahu benar akan hal kehidupanku. Aku pula entah mengapa seakan-akan berasa selesa untuk membuka rahsia kehidupanku kepada Aydin. Mungkin kerana perwatakannya yang lembut dan tenang itu membuatkan hati aku berasa sedikit lega atau mungkin juga kami pernah rapat suatu masa dahulu di mana segala rahsia akan aku kongsikan kepadanya.

Aku menggeleng. “Aku dah lama tak jumpa Hairi.”

Berkerut dahi Aydin ketika mendengarnya namun pemanduan yang cermat tetap diteruskannya. Aku lihat lelaki itu seakan-akan sedang memikirkan sesuatu yang mendalam namun mulutnya itu masih berkunci. Mungkin dia khuatir soalan sensitif berkaitan rumah tangga akan membuatkan aku terasa. Akhirnya aku membuat keputusan untuk membuka mulut dan bercerita dengannya.

“Dah tiga tahun aku dan Hairi bercerai. Sejak tu aku dah tak ambil tahu tentang dia lagi. Aku rasa bebas dan selesa hidup seorang diri macam ni,” senyuman lebar terukir di wajahku kerana memang benar aku berasa begitu bahagia selepas berpisah dengan Hairi. Bagaikan seutas rantai besi yang berat terlepas daripada membelenggu kakiku.

Wajah Aydin jelas nampak terkejut dengan kenyataan yang keluar dari mulutku. “Err...maaf aku hanya tahu kau dengan Hairi berkahwin setelah aku ke luar negara. Apa yang berlaku pada kau selepas itu aku langsung tidak tahu kerana aku tak ada di sini. Tahun lepas baru aku balik sini dan mula berkerja.”

Aku menggeleng dalam senyuman. “Dah nasib aku dapat seorang suami yang panas baran dan kaki pukul.”

“Hairi pukul kau?” soal Aydin di dalam nada suara yang bengang.

Aku mengangguk. “Selama tiga tahun aku bertahan dan menadah badan aku menjadi mangsa amukan Hairi. Begitu juga dengan keluarga mertua aku yang melayani aku dengan buruk gara-gara arwah ayah dan ibu aku tidak meninggalkan harta sebelum mereka meninggal dunia.

Aku masih ingat sejurus sahaja kes penceraian kami selesai dan secara sah Hairi menceraikan aku, di hadapan orang ramai di luar mahkamah itu Hairi telah menampar wajahku. Katanya dia akan terus menghantui hidup aku sehingga ke akhir hayat dan dia tidak akan membenarkan aku merasai kebahagiaan.”

Wajah Aydin semakin nampak bengang dan aku lihat dia menggengam kuat stereng di tangannya. 

“Tak guna Hairi. Sepatutnya seorang wanita perlu dilindungi lebih-lebih lagi yang bergelar anak yatim piatu. Aku tak sangka dia akan bertindak sejauh itu pada kau sedangkan kau adalah gadis yang dia cintai sejak di sekolah lagi. Hairi memang seorang kaki buli dan dia selalu memukul aku di belakang bangunan makmal komputer bila kau tiada. Tapi aku tak pernah mengadu pada kau sebab aku tak nak hubungan kau dengan dia rengang.”

Pengakuan Aydin itu mengejutkanku. “Hairi selalu pukul kau masa kita di sekolah dulu?”

Aydin mengangguk. “Itu dulu....sekarang kalau dia berperangai macam tu lagi, tahulah apa nasib dia. Ya Allah....sampai hati dia pukul kau Atilea, itu dah kes dera. Jadi Hairi ada menggangu kau lepas kau dan dia bercerai?”

Aku menggeleng. Aku menipu tentang itu. Walaupun Hairi sudah tidak memunculkan dirinya di hadapanku namun dia telah meninggalkan satu masalah besar kepadaku. Aku terpaksa menanggung hutang lintah darat yang tidak pernah aku inginkan. Namun aku tidak mahu menceritakan akan hal ini kepada Aydin kerana aku tidak mahu dia terlibat di dalam masalah ini sementelah samseng-samseng yang selalu mengugutku boleh melakukan apa sahaja untuk mencederakan ahli keluarga dan juga teman-temanku. Aku rela hanya diriku sahaja yang terkorban di dalam pergelutan ini.

“Dia tak ganggu aku lagi. Lagipun aku ni bukannya ada duit...ada harta yang boleh dia kejarkan. Begitu juga dengan lelaki-lelaki lain di luar sana tu. Aku selesa macam ni.”

Ketika kereta yang dipandu Aydin berhenti di satu persimpangan lampu isyarat, tiba-tiba ada satu hal yang terbit di mindaku berkenaan dengan dirinya.

“Kau dah ada teman istimewa? Mesti dah ada kan? Takkan tak ada sesiapa yang jatuh hati pada kau? Kau ada kerjaya hebat...kereta mahal, mustahil tak ada gadis-gadis yang menggila?” soalku yang sengaja mahu mengusiknya dan di dalam masa yang sama aku mahu memulihkan mood suasana yang suram dengan kisah silamku sebentar tadi.

Aydin tergelak yang menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi. Aku ketawa melihat akan pipinya yang nampak kemerah-merahan. Pasti dia sedang berasa malu dengan soalanku itu. 

“Come on Aydin. Aku tahu ada seseorang di dalam hati kau tu,” desakku dalam gurauan.

Aydin menggeleng-geleng dan dia menekan pedal minyak bagi meneruskan pemanduan.

“Aydin!” panggilku yang tidak sabar dengan kebisuannya.

Aydin memandang ke arahku sekilas dan agak lama sebelum matanya kembali fokus ke cermin hadapan. “Aku tak ada teman istimewa. Siapa lah yang nak pandang aku yang tak menarik ni,” ujarnya malu-malu.

“Hei! Jangan terlalu merendah diri, Aydin. Semua manusia dijadikan Tuhan itu sempurna, cantik dan baik. Kau kena yakin diri. Tapi...tak kan kau tak ada menaruh hati pada mana-mana wanita sekali pun?” Aku mengecilkan mataku ketika memandang ke arah wajahnya.

 Aydin menggeleng lagi. “Kau minat lelaki ke?” sergahku selamba tidak berselindung.

“Wei! Aku masih waras. Terkejut aku kau cakap macam tu.” Aydin memegang bahagian dadanya.

Aku ketawa geli hati. Aydin memang mudah melatah apabila diusik. Begitulah dirinya sejak dulu. “Kau memang sejak dulu sampai sekarang...memang senang menggelebah bila aku usik. Comel betul tau tak,” kataku di dalam ketawa yang masih bersisa.

Aydin turut ketawa mendengarnya. Itu kali pertama aku melihatnya selepas sekian lama. 

“Jadi ada mana-mana wanita? Aku masih tidak berpuas hati.

“Err...aku ada suka pada seorang wanita ni. Dia kerja di dalam satu bangunan dengan aku. Aku selalu nampak dia waktu lunch di restoran di sekitar tempat kerja tapi aku tak berani nak menegur dia.” Akhirnya Aydin membuka mulut untuk bercerita tentang kisah cintanya.

“Kenapa kau tak berani? Aku bertanya dalam minat.

“Sebab dia cantik sangat,” jawapan Aydin itu benar-benar menggeletek hatiku. Oh! Aydin yang polos.

“Siapa nama wanita bertuah itu?” soalku lagi usai ketawa.

Aydin memandangku lalu dia mengangkat kedua-dua belah bahunya. “Aku tak pernah tanya.”

“Aydin. Jangan tunggu lama-lama, nanti kau melepas.” Aku mengingatkannya.

Aydin menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Aku tak tahu nak mulakan macam mana. Aku tak reti pasal hal pikat perempuan ni dan err....aku memang tak pernah bercinta sepanjang hidup aku.”

“Sebenarnya kau takutkan apa?”

“Aku malu. Aku tak ada keyakinan. Aku takut diri aku akan ditolak sekali lagi,” kali ini aku perasan wajah Aydin nampak lain.

Tiba-tiba rasa bersalah menyerbu ke dalam diriku. Aku teringat akan kejadian yang berlaku lebih kurang sembilan tahun yang lalu ketika aku menolak lamaran cinta Aydin di hadapan rakan-rakan kami. Malahan aku juga telah menolaknya ke dalam kolam dan ekoran kejadian itu Aydin mula mengasingkan dirinya daripada rakan-rakan sekeliling. Aku adalah punca Aydin trauma untuk mendekati dan bercinta dengan wanita lain.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.