Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
66,371
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Ketika aku sedang fokus membersihkan sisa makanan di atas sebuah meja, Kak Zaliha mendekatiku lalu lenganku disikunya.

 “Amboi sejak akhir-akhir ni akak nampak kau ni lain macam gembira?”

Aku tergelak. “Apa akak ni? Saya ini kan memang jenis manusia yang ceria sejak dulu. Apa yang lainnya?” Aku cuba mengalihkan perhatian Kak Zaliha kerana aku tahu pasti dia mahu mengetahui akan kisahku sebagai jurulatih cinta kepada Aydin.

Kini telah masuk dua minggu aku tinggal bersama Kak Zaliha. Aku amat berterima kasih kepada wanita itu yang begitu baik hati menawarkan aku tempat tinggal tanpa meminta wang pendahuluan seperti sewaan di tempat lain. Kata Kak Zaliha dia tidak kisah seberapa banyak yang aku mahu bayar pada setiap bulan kepadanya. Memadailah dengan aku membantu menjelaskan bil air dan elektrik serta membeli barang basah dan kelengkapan dapur.

Kak Zaliha tersengih. “Apa cerita perkembangan cinta anak murid kau? Dah jumpa jodoh ke?” soal Kak Zaliha sementelah dia mengetahui akan pekerjaan keduaku sebagai jurulatih cinta kepada Aydin.

Aku mengggeleng sambil tanganku semakin giat membersihkan sisa kuah kari di atas meja. “Saya masih dalam proses mengajar dia perkara asas berkomunikasi dengan wanita.”

“Akak tak sangka kau boleh jadi dating coach sebenarnya. Macam mana kau boleh terfikir untuk mengajar orang lain bercinta ya? Satu lagi...akak lagi pelik kenapa kawan kau Si Aydin tu bulat-bulat percaya pada kau untuk ajar dia tentang cinta,” tambah Kak Zaliha dalam senda.

“Memang saya tak ada banyak pengalaman bercinta, kak. Yang ada pun keperitan kegagalan rumah tangga lalu. Tapi saya yakin saya boleh bantu Aydin mencari cinta sejatinya. Memang sebelum ini niat saya jadi jurulatih cinta kepada Aydin semata-mata untuk dapatkan duit. Tapi selepas saya tengok betapa kasihannya Aydin yang langsung tak reti mendekati wanita, hati saya jatuh kasihan.” Aku berterus terang tentang perasaanku.

Sekali lagi Kak Zaliha menyiku lenganku. “Senang cerita apa kata kau aje yang jadi calon jodoh untuk Aydin.

”Aku tergelak. “Apa pulak saya? Saya ni janda kak...mana sesuai untuk Aydin yang bujang tu. Hah....apa kata saya calonkan akak?” Aku sengaja mengusik Kak Zaliha.

“Ish...akak yang tua ni pulak yang dikaitkannya. Dah...dah tu Ikmal, secret admirer kau asyik jeling-jeling kita sejak tadi. Korang berdua bergaduh ke?”

Aku menepuk lengan ‘kakak kepoh’ yang suka sangat mengusikku itu. 

“Mana datangnya secret admirer tu, wahai kakakku. Entah...rasanya saya dengan Ikmal okay je, tak ada masam muka ke apa. Dia datang bulan kut,” gurauanku itu mengundang tawa kami berdua.

Ketika aku melintas di hadapan kaunter pembayaran, Ikmal memanggil namaku. Aku menoleh dengan wajah yang manis. 

“Err...kau free tak petang ni? Jom teman aku tengok wayang?” ajak Ikmal yang jarang-jarang dilakukan itu.

Aku berasa pelik dengan ajakannya yang tiba-tiba itu. 

“Aku ada hal lah lepas waktu kerja ni. Maaf Ikmal tak dapat teman kau.” Aku menolak dengan baik.

Raut wajah Ikmal yang tadi ceria kini berubah kelat. “Aku tengok sejak akhir-akhir ini kau macam sibuk aje. Lepas waktu kerja...kau tukar baju dan terus hilang. Err...dah ada teman istimewa ke?”

Aku tergelak. “Ikmal...aku mana ada teman istimewa. Siapalah yang nakkan aku ini? Selain bergelar janda aku ni mana ada harta...kerja pun sebagai pelayan kafe aje.”

“Tak ada lah...aku nampak kau sibuk lain macam sekarang. Kau ada masalah ke? Hairi kacau kau lagi? Ati...kalau kau ada masalah, terus beritahu aku ya, jangan diam-diam aje. Kau tahu aku sentiasa ada untuk kau kan,” ucap Ikmal yang membuatkan aku berasa bersalah.

Ikmal adalah rakan yang sentiasa ada di sisiku di saat aku berada di dalam kesusahan. Lelaki itu tidak lekang membantuku dari pelbagai segi termasuklah melibatkan wang ringgit, masa dan sebagainya. Kadang-kala aku sampai naik segan dengan pertolongannya yang tidak mengharapkan sebarang pembalasan itu.

“Hairi tak ada kacau aku pun. Dah lama dia tak muncul. Aku tak ada masalah, Ikmal. Cuma...err aku sebenarnya buat kerja lain lepas waktu kerja di kafe ini. Aku buat dua kerja sekarang ni,” kataku berterus terang kepada Ikmal.

Ikmal nampak terkejut dengan pengakuanku itu. Lantas buku resit di tangannya di letakkan ke atas meja lalu matanya difokuskan ke arahku.

“Kau buat dua kerja? Ati....apa ni? Kau larat ke nak buat semua tu sedangkan kerja kat kafe ini pun dah cukup memenatkan.” Ikmal benar-benar mengambil berat tentangku.

Aku menggariskan senyuman buat lelaki kacak yang baik hati itu. “Aku boleh lakukannya, Ikmal.”

Sebuah keluhan keluar daripada kerongkongnya. “Kau ada masalah duit ke? Kongsilah dengan aku? Aku pasti akan bantu kau,” entah buat ke berapa kali Ikmal menawarkan pertolongan kepadaku.

Aku menggeleng. “Kau dah banyak sangat tolong aku, Ikmal. Aku dah naik segan dengan kau sebenarnya. Aku macam rasa aku mempergunakan kebaikan yang kau berikan kepada aku. Jadi mulai sekarang aku bertekad untuk berusaha sendiri menyelesaikan apa sahaja masalah yang aku hadapi.”

Ikmal menunduk. Pasti dia terasa dengan kata-kata penolakan daripadaku. Aku bukan sengaja untuk membuatkan dia berjauh hati denganku. Aku tahu Ikmal memang ikhlas selama ini membantuku. Namun aku berpendapat sampai bila aku perlu bergantung hidup dengannya sedangkan di antara kami tiada sebarang ikatan istimewa. Hubungan kami berdua tidak lebih dari sekadar kawan.

“Apa yang kau nak segankan? Kita kenal dah lama kan?” soal Ikmal.

“Betul kita dah kenal lama...tapi tetap di antara kita ada batasan, Ikmal. Aku sangat bersyukur dapat mengenali lelaki sebaik kau sebagai seorang kawan. Kau adalah sumber yang menjadikan aku kuat seperti hari ini. Kerana kau juga aku berani meninggalkan Hairi dan kehidupan aku yang lalu. Aku amat berterima kasih pada kau Ikmal,” ucapku ikhlas.

Wajah Ikmal seperti sedang menyembunyikan sesuatu. Adakah dia sedang menyembunyikan perasaannya terhadapku seperti yang didakwa Kak Zaliha? Ah! Tidak mungkinlah. Aku segera menyedarkan diri daripada berfikiran sehingga ke sana kerana tidak mungkinlah lelaki bujang, baik dan mempunyai kerjaya seperti Ikmal menaruh hati terhadap wanita bergelar status janda sepertiku.

“Kalau tak ada apa-apa, aku minta diri dulu. Ada pelanggan masuk tu.” Aku mohon pamit darinya.

Aku tidak menunggu respon daripada Ikmal kerana aku melihat lelaki itu sedang termenung jauh seakan memikirkan sesuatu yang mendalam. Aku berjalan ke arah tiga orang pelanggan yang telah pun duduk di satu sudut untuk mendapatkan pesanan makanan mereka.

Petang itu usai waktu kerjaku aku segera menukar baju untuk berjumpa dengan Aydin. Aku telah berjanji dengannya untuk  mengadakan sesi coaching seterusnya pada hari ini. Fokusku hari ini adalah untuk menukar penampilannya. Aku telah membuat sedikit kajian berkenaan fesyen bagi kaum Adam yang sesuai dengan personaliti, ketinggian dan perwatakan Aydin beberapa hari ini. Hari ini Aydin bersetuju untuk menggeluarkan wangnya untuk membeli pakaian baru yang akan menukar terus imejnya yang selama ini yang membuatkan dia kelihatan lebih tua daripada usianya.

“Atilea!” panggil Aydin.

Aku menoleh ke arah sebuah kereta yang berhenti di hadapan kafe. Aku melemparkan senyuman ke arah temanku itu. Hari ini Aydin beriya-iya benar untuk mengambilku di tempat kerja kerana katanya dia tidak mahu menyusahkanku untuk mengambil bas bagi menuju ke pusat membeli belah. Tambahan pula dengan kesesakan lalulintas pada waktu petang sebegini yang pastinya akan membuatkan aku terlewat sampai ke pusat membeli belah Mid Valley Megamall.

Aku membuka pintu tempat duduk penumpang dan memboloskan diri ke dalamnya. Aku senang dengan mood Aydin yang kelihatan ceria dan positif pada hari ini dan ianya semakin membuatkan aku berkobar-kobar untuk menukar imejnya sebagai permulaan awal bagi proses pencarian cinta sejatinya.

“Apa yang kau akan buat pada imej aku?” soal Aydin dalam senyuman yang nampak manis bagiku.

“Adalah....wait and see,” balasku dalam gurauan.

Kami sampai ke pusat membeli belah itu lebih kurang dua puluh minit kemudian. Aku telah menelefon dan menempah slot di sebuah salon rambut terkenal di sana untuk menggayakan rambut Aydin. Sampai sahaja di hadapan salon itu, Aydin tercengang-cengang memandangku.

“Tukar imej bukan sahaja baju tapi rambut dan juga cermin mata tu,” kataku sambil menuding jari ke arah rambut dan cermin matanya.

“Kenapa kau tak cakap awal-awal?” Aydin nampak cuak.

Aku tergelak besar. “Relax bro...gunting rambut aje pun. Chill...kau akan tersenyum lebar selepas keluar dari salon ni kejap lagi.”

Kami disambut oleh seorang pereka imej rambut bernama Jason yang begitu ramah. Jason kemudian membawa Aydin untuk duduk di atas barber chair bagi memulakan sesi ‘mereka’ fesyen rambut yang sesuai untuk Aydin. Aku duduk di sebuah sofa di ruang menunggu dan mencapai sebuah majalah bagi mengisi masa lapang sementara aku menunggu Jason ‘mempersiapkan’ Aydin.

Lebih kurang setengah jam kemudian, Jason yang berambut ungu itu muncul di hadapanku.

“You pasti akan terkejut. He looks so different!’ ujar lelaki berketurunan Cina yang kelihatan teruja itu kepadaku.

“Really? Where is he?” balasku.

“Mr. Aydin... please come out,” suruh Jason kepada Aydin yang berselindung di sebalik tirai.

Aku bangun dari sofa. Mata terpaku ke arah wajah Aydin yang tidak bercermin mata itu serta yang paling menarik mataku sebenarnya adalah fesyen potongan rambutnya yang kelihatan amat sesuai dengan wajahnya. Aydin kelihatan seperti ‘lelaki lain’ selepas dia keluar di sebalik tirai itu berbanding setengah jam yang lalu. Aku menunjukkan ibu jariku kepada Aydin sebagai tanda berpuas hati. Aydin tersenyum tersipi-sipu malu sebelum cermin mata disangkutkan kembali ke batang hidungnya.

“Itu adalah masalah kedua yang perlu kita selesaikan,” tunjukku kepada cermin mata di wajah lelaki itu.

“Kalau tak ada ni, aku tak nampak apa-apa nanti, Atilea.” Aydin bingung dengan suruhanku.

Aku ketawa mendengarnya. Setelah Aydin membuat pembayaran di kaunter, kami berjalan menuju ke butik seterusnya. 

“Jom kita ke kedai optik,” ajakku.

“Kedai optik? Beli cermin mata baru ke? Aku dah ada lima kat rumah,” sahut Aydin.

Aku menggeleng. “Kita bukan nak beli cermin mata baru, tapi nak beli contact lens baru untuk kau,” kataku yang membuatkan langkah Aydin terhenti.

“Aku....aku kena pakai contact lens? Bukan perempuan aje ke yang pakai benda tu?”

“Contact lens tu untuk unisex lah, Aydin. Sekarang kau dah ada rambut baru dan tadi aku tengok kau nampak kacak tanpa cermin mata tu. Jadi apa kata...untuk kali ini kau cuba pakai kanta lekap. Boleh?” pintaku.

Aydin menggeleng-geleng. “Aku tak pernah pakai.”

“Alah....bolehlah Aydin. Aku bukan suruh kau pakai yang berwarna-warni pun. Kau cuba pakai yang colorless ya.” Aku memujuk bersama keinginan membuak-buak untuk melihat kawanku itu berpenampilan baru.

Wajah Aydin kelihatan berbelah bagi. Namun aku tahu dan mengenali benar akan hati tisu kawanku itu yang pasti tidak akan menolak permintaan orang lain. Di dalam keterpaksaan, Aydin megekoriku masuk ke dalam sebuah kedai optik.

Setelah menerima konsultasi daripada pakar optik, Aydin mencuba untuk mengenakan kanta lekap di matanya. Aku yang berdiri di sebelahnya tekun memerhatikan tangannya yang nampak terkial-kial tatkala cuba memasukkan kanta lekap ke dalam anak matanya.

“Aydin....letak perlahan-lahan. Bila kanta tu lekat aje pada anak mata, kau kerdipkan mata,” arahku seperti pernah memakainya pula.

Aydin mengerdipkan matanya beberapa kali sebelum dia memandang wajahnya di biasan cermin. Sejurus itu matanya mendarat ke wajahku. Tercalit senyuman di wajah lelaki yang bagiku buat pertama kali kelihatan kacak itu.

“Kenapa?” tanyaku.

“Pandangan aku jelas,” sahutnya dalam senyuman.

Aku turut tersenyum. “Kan aku dah kata. Macam mana? Puas hati setakat ni? Rasa lebih konfiden?”

Aydin mengangguk perlahan.

“Lagi 40% saja aku akan jadikan kau a new Aydin. Sekarang kita pergi cari pakaian yang sesuai dengan imej terkini kau,” kataku yang benar-benar teruja.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.