Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
67,463
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

“Dia nampak berminat pada kau, orangnya pun cantik. Tak salah kalau kau pergi menegur dia dulu, mana tahu ini jodoh kau. Anggap aje ni pembelajaran pertama untuk mendekati seorang wanita,” tambahku.

Aydin nampak tidak senang duduk. Ditambah pula apabila aku menyuruhnya mendekati wanita bertudung yang sedang duduk tidak jauh dari kami. Menurut pandanganku, gadis itu agak cantik dan umurnya pula aku agak lebih kurang awal 20-an. Amat sesuailah dengan Aydin.

“Err...aku nak cakap apa dengan dia?” kekalutan Aydin mula menggelikan hatiku.

“Kau berilah salam....kenalkan diri. Kau cakap macam ni, Hai, saya Aydin....boleh saya duduk sini? Tunggu sampai gadis itu kata ya atau mengangguk, baru kau duduk.” Aku mengajar Aydin akan perkara paling asas mendekati gadis itu.

Aydin membetulkan kolar bajunya. “Lepas tu aku kena cakap apa?”

Aku menepuk dahi. Aduh...Aydin benar-benar polos sehinggakan dia tidak tahu langsung bagaimana untuk berbual-bual buat kali pertama dengan seorang gadis. Nampaknya aku kena membuat kajian tambahan berkenaan tips berkomunikasi dengan pasangan berlainan jantina.

“Kau ada kawan-kawan wanita di pejabat? Pernah berbual dengan mereka?” soalku.

Aydin mengganguk. “Tapi tak sama dengan gadis ini.”

Berkerut dahiku.” Tak sama macam mana?”

“Kat ofis biasanya mereka yang tegur aku dulu. Aku pun jarang berborak dengan staf wanita.” Aku kira jawapan Aydin itu sudah cukup menjelaskan yang dia adalah seorang lelaki yang tidak pernah mendekati wanita. Nampaknya aku perlu bermula dari sifar untuk mengajarnya berkenaan cara-cara memikat.

“Kau tanyalah siapa nama dia? Umur berapa? Seorang sahaja ke? Lepas tu berbuallah.. go with the flow dan keserasian di antara kau dan dia akan wujud. Senang aje, kau cubalah dulu. Tak cuba tak tahu.” Aku menyakinkannya.

Aydin nampak berbelah bagi dengan suruhanku. Dia seakan-akan berfikir lama dan punggungnya seakan sudah melekat di kerusi sahaja lagaknya. Takut perempuan betul! Aku sempat mengata di dalam hati.

“Go Aydin! Jangan lepaskan peluang ini. Bangun!”

Aydin bangun dan melangkah perlahan menuju ke arah gadis yang sedang melemparkan senyuman kepadanya. Gadis itu aku perasan sejak tadi seakan sedang menunggu Aydin mendekatinya. Bukan main berseri wajahnya aku lihat. Agaknya dia memang benar-benar meminati Aydin. Aku memasang telinga untuk mendengar akan perbualan Aydin dan gadis itu.

Aydin duduk di hadapan gadis itu.”Assalamualaikum, err...apa khabar? Nama saya Aydin. Nama awak siapa? Seorang sahaja ke?” tegur Aydin.

Aku senyum dan menunjukkan ibu jari tanganku kepadanya ketika lelaki itu menoleh ke arahku.

“Waalaikumsalam. Saya Ina, aah...saya datang seorang sahaja,” jawab gadis itu.

Aydin senyap. Dia seakan kaku dan gadis itu pula sedang menanti Aydin membuka mulut untuk terus berbual-bual. Aku menepuk dahi sekali lagi apabila aku lihat Aydin menunduk memandang meja. Reaksi wajah gadis bernama Ina di hadapannya itu turut berubah. Mungkin bosan dengan situasi yang sedang berlangsung, gadis itu menggalas beg tangannya dan beredar meninggalkan Aydin.

Aku jatuh kasihan pada lelaki itu. Kasihan kerana Aydin tidak mempunyai keyakinan diri untuk berhadapan dengan wanita. Kalau beginilah sampai bila-bila dia akan terus membujang. Aydin bukanlah lelaki yang biasa-biasa. Pada aku Aydin nampak hebat kerana dia mempunyai kerjaya sebagai soerang arkitek di sebuah firma yang terkenal, berasal daripada keluarga yang berada serta memiliki harta seperti kereta, rumah dan sebagainya. Lelaki itu hanya ada satu kelemahan sahaja iaitu tiada keyakinan di dalam mencari cinta di dalam hidup.

Aku tekad untuk benar-benar membantunya mengatasi masalah ini. Sebelum ini aku hanya menyuarakan hasratku untuk menjadi jurulatih cinta kepadanya kerana aku terdesak memerlukan wang, namun kini aku rasa bersalah pula kerana telah memasang niat yang tidak ikhlas kepada Aydin. Kini aku benar-benar mahukan Aydin menemui seorang gadis yang boleh membahagiakannya untuk sepanjang hidup ini.

Aydin duduk di hadapanku semula. Wajah kecewanya jelas menggambarkan dia sedang menanggung malu kerana dirinya tidak dapat atau lebih tepat lagi tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik bersama gadis tadi. 

“Tak mengapa Aydin...lain kali kita cuba lagi ya.” Aku memujuk.

Aydin masih seperti tadi menunduk memandang meja. “Aku rasa keputusan kau untuk jadi jurulatih cinta aku ini tak betul. Aku rasa kita hentikan...”

Belum sempat Aydin menghabiskan kata-katanya, aku segera memintas. “Jangan cakap macam ni Aydin. Ini baru langkah pertama kita, jangan putus asa ya. Aku janji akan buat apa sahaja untuk bantu kau, Aydin.”

“Kau tak salah Atilea, aku ni yang bermasalah,” jauh hati benar bunyinya.

Aku menggeleng. “Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Tindakan kau tadi tu pun aku kira berani tau. Itu langkah pertama yang bagus sebenarnya. Aku puji keberanian kau. Insya Allah...untuk perjumpaan kita yang seterusnya kau akan lebih berkeyakinan.” 

Aydin senyum nipis sebelum mengangguk lemah.

“Alah...come on lah Aydin, jangan lemah macam ni. Kau ada potensi untuk dapatkan gadis yang lebih cantik dari Ina tadi. Bagi aku kan...kau ni dah cukup kacak orangnya cuma cermina mata tu sikit menggangu wajah kau,” ujarku bersahaja sebelum menyedut minuman di tangan.

Aydin tergelak. “Aku kacak? Kau biar betul? Tak pernah ada perempuan puji aku macam tu,”

Aku turut ketawa. “Aku cakap benda yang betullah. Kau berkulit cerah, gigi putih tersusun...err cuma aku rasa gaya rambut dan cara pemakaian kau kena ubah sedikit. Lepas tu pasti kau akan nampak lebih muda.”

“Ohh...jadi sekarang ni aku nampak tua ya,” Mood Aydin mula berubah menjadi ceria. Aku berasa lega kerana soal dia mahu menghentikan khidmatku sebagai dating coach telah hilang.

“Kau tak tua tapi baju-baju yang kau selalu pakai yang buat kau nampak lebih berumur. Kau selalu pakai baju kot, seluar slack dengan tuck in t-shirt berkolar...dah macam pak cik aku tengok.”

“Aku macam tu ya? Patutlah selalu orang panggil aku pak cik.” Aydin turut tergelak.

“Kau jangan risau, lepas ni aku akan buat kau kelihatan sepuluh tahun lebih muda. Sebab...kau ada seorang jurulatih cinta yang hebat seperti aku,” kataku ceria.

Aydin mengangguk. 


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.