Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
66,370
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

“Assalamualaikum, Atilea. Lama ke tunggu aku?” teguran Aydin yang baru tiba di kawasan bukit itu membuatkan aku menoleh.

Aku menggeleng. “Aku baru aje sampai. Err...tapi kita nak buat apa kat sini? Kalau kata nak daki bukit, kau bawa apa pula dalam beg galas tu?” soalku bingung.

Malam tadi aku mendapat pesanan WhatApps daripada Aydin yang memintaku untuk datang pada awal pagi ke kawasan bukit yang terletak di Petaling Jaya ini sementelah dia mengetahui yang aku bercuti kerja pada setiap hari Ahad minggu kedua pada setiap bulan.

Aydin senyum yang menampakkan barisan giginya yang tersusun. Mataku menyorot ke arah pakaian sukan berjenama Nike yang tersarung ditubuhnya lalu ingatanku kembali mengingati akan kejadian beberapa hari yang lalu ketika aku dan Aydin keluar bersama membeli belah mencari pakaian baru untuknya. 

Bermula dari  hari itu sehinggalah ke hari ini hatiku enggan menidakkan aura yang Aydin tinggalkan kepadaku. Banyak kali imej lelaki itu muncul di dalam mindaku tidak kira waktu dan tidak kira di mana aku berada. Akhirnya aku sedapkan hati dengan membuat andaian yang aku terlalu memikirkan untuk membantu rakanku itu dalam mencari cinta sehinggakan bayangannya tidak mahu pudar dari ingatanku.

“Hah...selalu kau minta aku ikut kau, kan? Pagi ni kau pula yang kena ikut aku. Boleh?” ujar Aydin yang mula pandai berseloroh. Satu markah tambahan aku berikan kepadanya.

“Tapi ni awal sangat,” kataku seraya mengerling ke arah jam di pergelangan tangan yang menunjukkan jam 6.10 minit pagi.

“Lagi awal lagi bagus...kita aakan dapat view yang cantik,” katanya yang terus mendahuluiku untuk memasuki ke dalam kawasan pintu gerbang menghala ke arah bukit itu.

“Apa maksud kau view yang cantik?” teriakku sambil aku mempercepatkan langkah untuk merapatinya.

“Rahsia!” laung Aydin pula.

Aku memegang dahan sebatang pokok sambil termengah-mengah menyedut udara selepas lebih kurang dua puluh minit mendaki. Aydin pula aku lihat selamba sahaja lagaknya dan langsung tidak nampak keletihan sepertiku. Inilah akibatnya bila sudah terlalu lama tidak bersenam dan beriadah, badan rasa letih dan lemau. Aku mengomel sendiri di dalam hati. 

“Kau selalu ke mendaki macam ni?” soalku kepada Aydin di dalam suara yang kemengahan.

Aydin senyum lalu dia mengesat peluh yang menitik di dahinya. “Hampir setiap minggu. Tujuan aku selalunya ada dua. Pertama untuk mendaki yang membuatkan badan semakin sihat dan yang keduanya untuk melukis pemandangan yang cantik,” ujarnya lalu beg sederhana besar yang sedang disandangnya ditepuk.

Aku tertarik mendengarnya. “Kau boleh melukis?” 

“Kau teruja nak tengok lukisan aku?” 

Aku pantas mengangguk.

“Kalau macam tu...kita kena cepat sampai ke atas. Kau boleh daki lagi tak ni?” tanya Aydin. Anggukannku membuatkan dia terus berjalan mendahuluiku.

Aku semakin bersemangat untuk meneruskan pendakian apabila Aydin memancingku dengan mengatakan yang dia mahir melukis sementelah dia memang mengetahui yang aku gemarkan hasil lukisan tangan sejak dari bangku sekolah lagi namun tidak pula aku mengetahui yang Aydin mempunyai bakat di dalam seni lukisan.

Lebih kurang sepuluh minit kemudian, aku dan Aydin tiba di puncak bukit itu. Melihat akan pemandangan pagi di mana matahari sedang mula naik di kejauhan ufuk timur dan dihiasi dengan kabus pagi yang masih memutih terus membuatkan kepenatan yang sedang kau rasai tadi lenyap di bawa bersama angin sepoi yang meniup.

Aku menutup kedua-dua belah mataku untuk menikmati akan udara sedar pagi yang meyapa wajah. Sungguh sudah lama aku tidak merasai ketenangan seperti ini. Aku seakan hilang di dalam dakapan ketenangan sehinggalah ada satu suara yang menyapa mematikan keasyikanku.

“Kalau kau suka...boleh selalu ikut aku ke sini,” ujar Aydin.

Aku menoleh ke arah suara itu dan pandanganku terus tertarik ke arah Aydin yang sedang mengeluarkan kanvas, warna air, set berus dan beberapa alatan melukis lain. Aku melangkah mendekatinya yang mula fokus mencari pemandangan yang diinginkan. Aku tidak mahu menggangu konsenterasinya lantas aku duduk di atas sebuah batu berhampiran.

Aydin memulakan lakarannya dan tangannya aku lihat begitu bersahaja melorek ke atas kanvas putih itu. Dia seperti seorang pelukis profesional yang terus melarik berus sehingga terbentuknya imej pemandangan di atas kanvas. Aydin pandai bermain dengan warna-warna kerana aku lihat lukisannya itu kelihatan natural dan seperti hidup.

“Cantiknya...Aydin aku tak sangka kau ada bakat melukis macam ni. Bukan lukisan biasa-biasa ni. Kau ada banyak ke hasil lukisan macam ni di rumah?” Aku teruja untuk mengetahuinya.

“Banyak...aku suka simpan. Nanti ada masa kau boleh tengok koleksi aku.”

“Kau jual ke?” tanyaku lagi.

Aydin menggeleng. “Aku melukis sekadar hobi aje...tak sampai nak menjual. Lagipun lukisan aku ni biasa-biasa.”

“Aydin....lukisan kau ni tahap profesional tau. Ada nilai estetika bak kata orang seni,” pujiku ikhlas.

Malahan ada beberapa pengunjung yang berada di puncak itu turut memberi pujian kepada Aydin yang begitu berbakat. Aydin sekadar ketawa kecil mendengarnya. Tiba-tiba aku sesuatu melintas di benakku ketika mataku mendarat di wajahnya. Mungkin perasan diri diperhati, Aydin memandang wajahku.

“Kau nak tahu sesuatu?” soalku kepada lelaki itu.

“Apa dia?” senyuman masih lagi melekat di bibir itu.

“Kau sebenarnya adalah seorang lelaki yang menarik.”

Aku tidak sangka pujianku itu akan membuatkan lelaki itu tergamam. Aydin tunduk bersama wajah yang kemerah-merahan menahan malu.

“Hei Aydin...apa yang nak dimalukan. Aku puji ikhlas.”

“Aku biasa-biasa aje. Segan pula rasa bila ada orang puji lebih-lebih,” sahutnya perlahan.

Aku ketawa geli hati melihat akan reaksinya. “Aku puji ikhlas dari hati. Aydin kalaulah kau tunjukkan kelebihan yang kau ada ni, pasti ramai gadis-gadis di luar sana yang terpikat tau tak.”

“Ada-adalah ajelah kau ni Atilea.”

“Aydin kau kena lebih yakin diri lepas ni. Sekarang penampilan kau dah jauh lebih menarik sampaikan group gadis kat sana tu curi-curi rakam gambar kau tadi. Jadi aku yakin tak lama lagi kau akan berjaya menjumpai cinta hati kau.”

Aydin mengangguk.

 “Aku harap macam tu,” ujarnya sambil membalas pandanganku.

Tiba-tiba aku terfikir sesuatu lantas aku meminta Aydin untuk bangun. 

“Kau ulang apa yang aku cakap ya,” pintaku.

Aydin mengangguk-angguk.

“I am handsome!” kataku.

Aydin tercengang. 

“Kau ulang apa yang aku katakan,” suruhku lagi.

“Aku malu. Orang pandang tu Atilea.” Aydin menolak.

“Please Aydin...anggap ini sebagai pembelajaran baru.” Aku menyakinkannya lagi.

Aydin memandang ke arah kiri dan kanannya. “I am handsome,” perlahan ayat itu meniti di bibirnya.

“Kuat lagi. I am handsome! Laung dengan yakin, Aydin,” ujarku kuat bagi menaikkan rasa semangatnya.

Aydin tergelak seketika. “I am handsome! I am handsome!” teriaknya yang kemudian membuatkan kami ketawa gembira.

“Yes..that’s the spirit,” tambahku.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.