Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
67,468
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Bab 1

Aku membuang pandangan ke arah luar tingkap kafe bernama Glow Yourself itu. Titisan air hujan yang gugur di atas jalan berbatu di luar membuatkan aku termenung seketika. Sungguh dengan memandang ke arah titisan air itu mampu menghadirkan ketenangan di dalam diriku walaupun cuma sementara. Aku bukannya seorang wanita yang mempunyai wang simpanan yang banyak atau yang mempunyai kerjaya yang hebat yang membolehkan aku untuk melancong ke luar negara bagi menghilangkan tekanan atau bagi menghadirkan ketenangan di dalam diri. Berapa banyaklah gaji seorang yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kafe untuk memasang cita-cita tinggi seperti itu.

Kalau dulu ketika ibu dan ayahku masih hidup, aku tidak pernah putus wang. Apa sahaja yang aku mahukan pasti akan dipenuhi. Aku tidak mahu mengingati tragedi kemalangan jalan raya yang telah meragut nyawa kedua-dua orangku ketika aku berumur lapan belas tahun  itu kerana seringkali itu jugalah airmataku tidak mahu berhenti menitis.

Sebuah keluhan terlepas dari kerongkong dan sejurus itu sebuah senyuman terbit di bibirku. Aku kembali menyuntik aura positif dan ceria ke dalam diri dan tanganku kembali lincah mengelap meja di hadapan kerana sebentar lagi masuk jam 10.00 pagi waktu operasi kafe akan bermula dan pemilik kafe ini, Ikmal akan sampai untuk memulakan perniagaan.

“Atelia!” panggil Kak Zaliha, rakan sekerjaku berusia tiga puluh lima tahun yang bergelar janda solo itu. 

Aku menoleh dan tergelak tatlaka melihat jari telunjuk Kak Zaliha sedang bersedia untuk memainkan lagu K-Pop di butang radio yang terletak bersebelahan kaunter pembayaran. Memang kebiasaannya setiap pagi sebelum memulakan tugas kami yang seramai enam orang pekerja di dalam kafe ini akan membuat tarian ala kumpulan K-Pop sebagai senaman pemanas badan. Abang Naim, Izam dan Danny Ng yang bertugas di bahagian dapur juga turut tidak akan ketinggalan untuk membuat tarian ala-ala aerobic bersama.

“Aku nak lagu K-pop masa zaman Girl Generation, Super Junior tahun 2009 macam tu. Baru aura nak bekerja tu makin naik. Lagu-lagu K-Pop sekarang ni sesuai untuk budak-budak We Chat macam Icha dan Danny aje.” Aku sempat mengejek Icha, gadis yang bertugas di kaunter pembayaran yang berumur lapan belas tahun itu.

“Akak kenalah ikut trend sekarang, kami berdua mana kenal Girl Generation...sekarang tengah in the hottest Blackpink tau,” sampuk Danny Ng yang disokong oleh Icha.

“Korang apa tau pasal K-Pop. Akak ni sekarang umur dua puluh enam tahun. Akak ingat lagu-lagu waktu zaman muda akak je. Korang jangan mengaku K-Pop fans kalau tak kenal queen of K-Pop, Girl Generation,” tambahku yang telah pun berdiri di sebelah Kak Zaliha. 

“Cepatlah nak menari lagu apa ni,” sampuk Abang Naim yang sedang bergelek di bahagian dapur.

Mereka semua ketawa melihatnya. “Amboi pak cik ni dah tak sabar nampaknya,” usik Kak Zaliha pula.

“Genie by Girl Generation je lah. Lagu yang dah hampir setiap minggu kita dengar tu. Izam pun dah ingat steps tarian tu,” sejurus itu Izam menggoyangkan kaki kanannya ke hadapan seperti yang dilakukan oleh Girl Generation di dalam persembahan mereka.

“Okay! Semua ambil ruang masing-masing. Kak Zaliha...dalam kiraan 3...2...1 play,” teriakku keriangan.

“Sowoneul Malhaebwa... I Genie for your wish. Sowoneul Malhaebwa... I Genie for your dream...” 

Riang kami berenam menari mengikut lenggok tari seperti di dalam klip video kumpulan popular tersebut.

Keasyikkan kami yang sedang membuat ‘senaman’ itu sebenarnya telah menjadi perhatian Ikmal yang sejak tadi sudah tiba di hadapan pintu masuk kafe. Lelaki kacak itu tersenyum lebar dan ketawa dengan perangai ‘over happy’ pekerjanya yang digambarkannya sebagai penghidup dan penyeri suasana di kafe ini. Kata Ikmal akan sepilah kafe ini jika tiada pekerjanya yang ‘gila-gila’ seperti kami terutamanya aku. Ikmal berdiri seperti patung cendana kerana aku tahu dia tidak mahu kami menyedari akan kewujudannya di sana. Dia rela berdiri diam daripada dipaksa untuk melakukan ‘tarian senaman’ bersama kami. Bukan aku tidak pernah memaksanya mengikuti sesi senaman tersebut dan setiap kali kesudahannya pasti Ikmal akan menjadi bahan ketawa kami dek kerana badannya yang keras seperti kayu ketika mengikut gerak tari. Ikmal kata dia tidak ada masalah dengan aktiviti itu asalkan ianya tidak menggangu waktu kerja kami. Malahan dia berasa senang kerana dapat melihat senyuman dan keceriaan di dalam diri pekerjanya. 

“Ikmal! Jom bersenam bersama,” teriakku apabila aku menyedari kelibat majikanku yang sedang tersengih-sengih di satu sudut.

Ikmal melambai-lambaikan tangannya tanda menolak sebelum dia segera melarikan diri keluar daripada kafe itu ketika aku dan Izam berlari ke arahnya. Ikmal tahu kami pasti akan menarik tangannya dan memaksanya untuk menari tarian K-Pop yang baginya begitu ngeri itu.

 “Selamat datang!” ucapku kepada pelanggan yang baru melangkah masuk ke dalam kafe itu. 

Tugas utamaku di kafe ini adalah mencatat pesanan dan menghantar makanan kepada pelanggan yang turut dibantu oleh Kak Zaliha. Namun wajahku berubah  tatkala aku mengecam pemilik wajah pelanggan yang sedang tersenyum mengejek terhadapku iaitu Alisha dan Sandra yang merupakan bekas kawan baikku ketika di alam persekolahan dulu. 

Selepas sahaja ibu dan ayahku meninggal dunia, secara automatik aku turut jatuh miskin dan hanya aku dan kakakku, Nadia hidup berdua berbekalkan sedikit wang simpanan yang ditinggalkan arwah ayah. Ketika itu jugalah rakan-rakanku turut menjauhiku dan menghinaku kerana bagi mereka aku tidak lagi berada di dalam kategori ‘sangat kaya’ yang sekufu dengan mereka.

Aku meletakkan sebuku menu di hadapan mereka dan berusaha untuk terus mengekalkan senyuman.

“Hai Atelia. Kitorang nak pergi shopping kat Pavillion, kau nak ikut?” ujar Sandra yang jelas cuba untuk mempersendakanku.

Aku menggeleng. “Aku tengah kerja,” balasku ringkas kerana aku sedar mereka berdua pasti mempunyai rancangan untuk mengenakanku. 

Bukan tidak pernah mereka datang ke kafe ini semata-mata untuk memalukanku di hadapan orang ramai. Entahlah sehingga kini aku sendiri tidak tahu mengapa mereka melayaniku sebegini sedangkan aku tidak pernah pun mengusik mereka berdua.

“Ops! Aku terlupa. Kau kan mana ada duit...mana mampu nak ikut kitorang beli beg berjenama.” Sandra menambah.

Aku mengepal penumbuk yang aku sembunyikan di belakang badan. Aku cuba menahan sabar dari terus dipersendakan oleh bekas teman baikku itu.

“Tapi kan kalau kau teringin sangat ikut boleh aje. Boleh kami upah kau untuk angkat barang-barang yang kami beli,” kali ini Alisha pula yang menyampuk. 

Pap! Aku menghempas kuat buku menu di hadaapan Sandra dan Alisha yang membuatkan mereka berdua tersentak.

“Dah habis idea nak malukan aku? Cepatlah order makan.” Aku mempamerkan wajah selamba yang membuatkan Sandra bengang kerana jarumnya untuk memalukanku seakan tidak menjadi apabila aku langsung tidak ambil pusing dengan kata-kata persendanya.

“Patutlah Hairi ceraikan kau, perangai kasar macam ni,” perli Sandra.

“Eh korang ni apa hal? Nak ungkit pasal Hairi pulak dah kenapa? Apa yang kau sakit hati sangat dengan aku ni...aku ada kacau hidup korang ke?” jerkahku yang telah hilang kesabaran saat nama bekas suamiku meniti di bibir Sandra.

Sandra bangun. “Aku sakit hati sebab dulu masa kau kaya, masa bapak kau masih hidup kau sombong. Kau selalu memperlekehkan dan menghina kami walaupun kami ni kawan baik kau.”

“Padan muka kau bila kena cerai dengan Hairi,” tambah Alisha pula.

Aku menahan airmata yang hampir menitis. Senangnya mereka mempersendakanku dengan mengatakan Hairi menceraikanku kerana sifatku yang kasar. Walhal tidak mereka ketahui betapa menderitanya hidupku setiap hari selama hidup dan bergelar isteri kepada seorang kaki pukul. Aku sedaya upaya tidak mahu mengingati kisah hitam yang pernah meninggalkan duri di dalam diri sejak enam tahun yang lalu itu.

Kak Zaliha datang menghampiriku dan mengambil pen dan nota kecil yang berada di tanganku.

“Cik berdua yang cantik...nak makan apa?” ujar Kak Zaliha lalu sejurus itu dia menghantar isyarat mata kepadaku untuk beredar kerana Kak Zaliha bukan tidak kenal pada dua orang ‘monyet’ yang sering kali datang ke kafe ini untuk mencari masalah denganku. 

Kata Kak Zaliha kepadaku sebelum ini, kalau ikutkan hati mahu sahaja Kak Zaliha mengheret mereka berdua keluar dari kafe ini namun apabila mengenangkan Ikmal yang pernah berpesan untuk tidak menimbulkan kekecohan di dalam kafe ini, terus dibatalkan hasratnya itu.

Aku berjalan menuju ke arah bahagian dapur dan bilik rehat menjadi tujuanku. Aku duduk di atas bangku di dalam bilik itu sambil mengesat airmata yang mengalir di pipi.

“Aku tahu...aku sedar dulu aku memang ego. Aku sombong pada semua orang termasuk kawan-kawan aku. Aku ingat semua kesalahan yang aku lakukan...tapi mereka tidak tahu apa yang aku lalui sepanjang aku hidup bersama Hairi.” Aku berbisik perlahan dalam esakan.

Ingatanku terbang mengingati kehidupan lalu. Pada mulanya aku ingat Hairi adalah lelaki yang ditakdirkan untukku yang akan menjagaku dengan baik sehingga ke akhir hayat. Namun impianku itu rupa-rupanya adalah sebuah mimpi ngeri yang bagaikan tiada berpenghujung.

Hairi menikahiku kerana lelaki itu menyangka arwah ayahku meninggalkan harta yang banyak kepadaku namun sebaliknya apabila aku terpaksa hidup susah tanpa sesen peninggalan harta. Semenjak itu Hairi melayaniku dengan buruk dan menjadikan aku seperti orang gaji di rumah keluarganya. Keluarga mertuaku juga tidak menerimaku dengan baik dan mereka merasakan aku yang telah memaksa Hairi mengahwiniku di dalam usia muda. 

“Sakit Hairi! Lepaskan saya...” Aku menangis teresak-esak sambil memeluk tubuh menahan kesakitan apabila Hairi melibasku dengan tali pinggang.

“Kau buat apa kat rumah ni? Apa yang kau masak sampai mama aku sakit perut? Kau memang dah rancang nak bunuh mama aku kan?” teriak Hairi sambil menunjal-nunjal kepalaku.

Di dalam suara yang terketar-ketar aku masih cuba mempertahankan diri. “Saya masak macam biasa, Hairi. Semua kerja di dalam rumah ini saya yang lakukan. Mama duduk sahaja dan hari ini mama sepanjang hari tiada di rumah. Mesti makan di luar dan itu yang menyebabkan mama sakit perut.” Aku menjawab.

Pang! Aku terasa pipiku ditampar kuat. Airmataku semakin lebat menitis. Sayu hatiku apabila membayangkan hidupku akan berkesudahan seperti ini. Kalau ikutkan hari ini merupakan ulangtahun perkahwinan kami yang pertama dan seharusnya seperti pasangan lain pasti hari istimewa ini akan disambut dengan penuh cinta dan kasih sayang. Tetapi diriku disambut oleh Hairi dengan kesan lebam, luka dan darah yang mengalir daripada celah bibir.

“Kau memang pandai menjawab sekarang. Kau ingat ya, kau kat rumah ini layak seperti orang gaji aje tau! Aku ni kahwin kau dengan kau kerana tersilap perhitungan. Aku ingatkan bapak kau yang dah mati itu tinggalkan jutaan ringgit pada kau tapi sebenarnya habuk pun tak ada! Sekarang ni aku pulak yang nak kena sara hidup kau? Memang tak lah.”

Semakin kuat esakaku tatkala aku mengingati akan arwah ibu dan ayahku. Aku amat menyesal kerana memilih dan menerima Hairi sebagai suami. Hendak diadukan kepada kakakku, Nadia yang sedang menuntut di sebuah universiti di Pulau Pinang aku tidak sampai hati. Aku khuatir masalah rumah tanggaku akan menganggu fokus Nadia di dalam pembelajaran.

Akhirnya pilihan yang aku ada hanyalah menadahkan tubuhku untuk menjadi ‘punching bag’ Hairi hampir setiap hari. Aku tahu ibu mertuaku memang sengaja mereka cerita yang tidak benar pada Hairi kerana dia puas melihat aku menjadi mangsa dera Hairi.

“Atelia...” panggilan Ikmal yang datang dari arah belakang mematikan lamunanku dan segera aku kesat airmata yang sedang mengalir di pipi.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.