Home Novel Cinta Kalam Cinta Buat Dhia
Kalam Cinta Buat Dhia
Laila Qaisara
31/10/2013 11:28:03
26,366
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
18


"Assalamualaikum, Hafiza,"

Tersenyum nipis Hafiza apabila mendengar suara itu. Perlahan dia membuka matanya.

"Awal kau sampai hari ni, Dhia,"

"Aku tak boleh tidur. Dah seminggu kau masuk hospital, dan sejak seminggu itulah aku tak boleh tidur,"

"Kau ingat aku ni bantal busuk kau? Tak boleh tidur pulak bila aku takde,"

"Tak la. Kau bukannya bantal busuk. Tapi kau tu jam loceng," jawab Dhia selamba.

Hafiza tertawa tertahan-tahan. Dia menekan-nekan lembut perutnya yang masih berbalut.

"Dah tau kau tu sakit lagi mahu gelak besar tu kenapa?"

"Dah kau buat lawak, aku gelak la. Karang kalau takde orang gelak nanti kau tak boleh masuk uji bakat Raja Lawak pulak. Adoi!" Hafiza menjerit kecil apabila sebiji bantal kecil hinggap di kepalanya.

"Tak padan dengan sakitnya," Dhia bersuara geram.

"Kau tak kesian dengan aku ke,Dhia?"

"Dengan kau tak payah nak kesian," sengaja Dhia menjelirkan lidah.

"Sampainya hati...," Hafiza mula menyanyi. Sumbang pula tu.

"Aku nak merajuk la dengan kau,"

"Berapa lama?"

"Dua minit,"

Tergeleng-geleng Dhia mendengarnya. "Sementara kau merajuk ni, aku nak pergi basuh pasu bunga ni. Nak tukar bunga baru. Boleh?"

Hafiza tidak menjawab.

"Alamak, aku lupa kau merajuk dengan aku," Dhia tersengih. "Aku pergi dulu,"

Cukup dua minit, Dhia kembali. Tanpa melihat wajah Hafiza, dia terus mengisi bunga segat segar ke dalam pasu.

"Apa jadi sebenarnya,Dhia?"

Dhia menoleh. Terkedu apabila melihat Hafiza dengan telefon bimbit di tangan.

"Aleeya cakap kau kena serang dengan Papa Niki di hospital. Betul ke?"

Dhia telan liur.

*****

Dhia melipat lembut kain telekung yang digunakannya tadi. Sebentar tadi, dia menunaikan solat Maghrib dan membaca surah Yasin sementara menunggu waktu Isyak. Kemudian barulah dia menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Sedikit sebanyak, Dhia kagum dengan pengurusan surau hospital itu. Sungguhpun kecil, namun ia bukan alasan untuk tidak merebut pahala solat berjemaah walaupun ahlinya sedikit.

Bukan sengaja dia meninggalkan Aleeya untuk menunggu Hafiza seorang diri. Tapi kenyataan yang dilontarkan oleh Aleeya sebentar tadi benar-benar meruntun perasaannya.

“Kau mengelak dari menjawab soalan aku,”

“Maafkan aku, Aleeya. Aku masih bingung dengan apa yang terjadi hari ini. Segala-galanya berlaku terlalu pantas,” Dhia mengesat air matanya perlahan. Kata-kata hina yang dilemparkan Datin Azura masih berbekas dalam hatinya.

Setelah memastikan bilik itu kemas dan bersih, barulah Dhia melangkah keluar dari surau itu. Namun sebaik sahaja Dhia melangkah keluar…

Pang!

Dhia tidak sempat mengelak. Dia terjelepuk di atas lantai.

“Anak haram tak guna! Kau tuduh anak aku? Kau tu siapa, anak aku nak buat pasal? Anak aku ni orang baik, takkan buat benda macam tu la!”

Kerana terlalu geram, Datuk Affandi menendang sehingga gadis itu mengerang kesakitan. Itupun, dia masih belum puas!

“Hentikan!”

Datuk Affandi terasa bahunya ditolak kuat ke belakang. Dia mendongak. Aleeya yang baru tiba dipanah dengan padangan menyinga. Aleeya tunduk, membantu Dhia untuk bangun.

“Ini hospital! Jangan jadi budak-budak!”

“Kau yang budak ke aku yang budak?”

“Kalau Datuk rasa yang Datuk tu dah besar, dah dewasa, Datuk tak sepatutnya buat begini di tempat macam ni! Ini kalau pesakit dengar ni, elok-elok dia dah sihat, boleh jatuh sakit balik!”

“Kurang ajar kau! kau tak kenal siapa aku!”

“Saya cukup kenal Datuk. Cukup kenal. Datuk adalah ayah kepada Niki Ardilla yang perasan diva tu, padahal namanya hanya Norkiah Tukiman!”

Terkedu Datuk Affandi mendengarnya.

“Aleeya,” tegur Dhia perlahan.

“Apa? Biar dia tahu yang perangai anak kesayangannya tu macam setan!”

“Kau memang kurang ajar kan?” tangan Datuk Affandi sudah mula naik.

“Datuk ingat saya ni Dhia Nadhira?” mata Aleeya sudah mula merah. Petanda dia sangat marah.

“Datuk ingat saya ni macam Dhia yang hanya diam bila Datuk sepak terajang macam tu je? Maaf Datuk, saya terpaksa berkurang ajar dengan Datuk. Tapi Datuk kena ingat, sekali Datuk cederakan saya, saya sendiri akan pastikan yang Datuk akan masuk penjara,”

“Aku ni Datuk Affandi! Berani kau nak penjarakan aku?”

“Aku peduli apa kau Datuk ataupun Tan Sri! Anak raja pun aku pernah penjarakan, inikan pula orang biasa macam kau ni!”

“Kau memang kurang ajar… aku nak ajar kau sikit! Eh??”

Terkejut besar Datuk Affandi apabila secara tiba-tiba, tangan nya dipulas ke belakang oleh dua orang anggota polis yang tiba di situ.

“Maafkan saya, Datuk. Kami terpaksa tahan Datuk atas dakwaan mendatangkan kecederaan kepada orang awam,”

“Eh, kau orang tak kenal aku ke? Aku Datuk Affandi la! Lepaskan aku,”

“Bawa dia pergi,” arah pegawai polis berpangkat Inspektor itu. Bunyi bising yang keluar dari mulut Datuk Affandi langsung tidak dihiraukan.

Aleeya menghela nafas lega. “Terima kasih, Hakim,”

“Sama-sama, Aleeya,”

Dhia mengerut dahi. “Kau orang memang kenal ke?”

Aleeya senyum. “Nanti aku ceritakan pada kau. Terima kasih sekali lagi, Hakim,”

“Sama-sama. Aku pergi dulu,” Inspektor Hakim berlalu meninggalkan mereka di hadapan surau itu.

“Er, Aleeya,”

“Iya?”

“Kau kata tadi, ‘Anak raja pun aku pernah penjarakan’. Betul ke?”

Aleeya tersenyum pahit.

*****

“Kenapa kau tak pernah bagitahu aku selama ni yang kau pernah dirogol, Comot?” marah Mikhail. Dia tidak menyangka yang Comot menyimpan rahsia sebesar ini daripadanya.

“Untuk apa? Untuk menagih simpati?” Comot bersuara sebak. Sedih dan terharu bercampur baur. Dia tidak pula menyangka sebegini respon Mikhail terhadapnya.

“Untuk apa, kau cakap? Aku ni siapa pada kau? bukan kawan baik kau ke?” Mikhail hentak meja yang berada di hadapannya.

Comot terangkat bahu. Terperanjat dengan jawapan berbentuk soalan yang diberikan Mikhail. Seketika kemudian dia tunduk.

“Sampai hati kau simpan derita ni seorang. Sampai hati kau tak nak kongsi dengan aku,” Mikhail sudah merendahkan nada suaranya. Sedih dia apabila melihat Comot begitu.

“Apa masalah aku, kau dengar je. Kau tolong aku selesaikan. Tapi kau…!”

Suara Mikhail kedengaran sedikit sebak.

“Aku tak tahu nak bagitahu kat siapa. Aku… aku….!”

Sudah terdengar esak tangis daripada Comot. Sakit hati Mikhail mendengarnya. Pertama kali sepanjang persahabatannya dengan Comot, gadis itu mengalirkan air mata.

“Aku malu. Aku takut…!”

“Sepatutnya kau bagitahu aku. Aku boleh lindungi kau,”

Tidak terdengar balasan daripada Comot. Hanya esak tangisnya yang kedengaran.

“Biar aku yang bertanggungjawab kali ni,”

“Tidak!” Comot bersuara tegas. “Jangan sesekali kau lakukan itu!”

“Ini soal maruah kau, Comot!”

“Jangan sesekali kau korbankan perasaan kau hanya demi aku yang memang dah tak ada apa-apa ni!”

“Comot!”

“Mikhail…,” suara Comot kembali kendur. “Aku tahu kau cintakan dia. Kejarlah cinta itu. Jangan buat macam ni. Nanti hati aku sakit,”

“Tapi, kau…!”

“Kau masih boleh lindungi aku walau kau bersama dia, kan? Kau kan kawan aku,”

Comot tersenyum nipis. Tidak mampu Mikhail membalas senyuman itu.

Previous: 17
Next: 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.