Home Novel Alternatif Sfera
Bab 40

Bab 40 : Daniel :)

Beberapa hari kemudian, aku pergi ke pejabat seperti biasa. Di atas mejaku, terdapat sepucuk sampul surat bersaiz A4 yang mana tertulis namaku di atasnya.

Aku membuka sampul surat itu dan membaca tajuk surat yang diisi di dalamnya.


TAWARAN LANTIKAN PEMBANTU PENYELIDIK LATAYA FOOD


'Wow!' Kataku sendirian. Aku terduduk. Pantas aku  terus mengenang putaran hidupku. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Seperti baru sahaja aku menyaksikan pertarungan Zara dan Shazlin dan kini,' aku ketawa sendirian.

Hari ku berjalan seperti biasa. Aku berjumpa dengan Chan, the Urban Fruits, Daniel dan staf-staf yang lain sambil kepalaku ligat dengan soalan-soalan tentang kesanggupanku untuk meninggalkan segala-galanya yang telah aku bina di Hey untuk sesuatu yang baru.


"Aku rasa Diana sudah pasti mengupah penyiasat persendirian dan menyelidik latar belakang kau. Jika tidak. Masakan dia begitu berani menawarkan jawatan ini kepada kau. Tempoh perkenalan kamu singkat dan kamu hanya berhubungan secara elektronik sahaja," kata Gina kepadaku selepas aku memberitahunya tentang perkhabaran itu.

Secara jujurnya aku amat gembira apabila mendengar tawaran daripada Diana itu. Aku betul-betul gembira kerana aku tidak pernah menyangka peluang sebegitu datang secepat itu.

Tawaran itu merupakan satu peluang yang besar untuk aku.

Namun, untuk aku yang tidak pernah menjejakkan kaki ke benua yang asing, aku merasa sedikit gementar. Sekali lagi aku terpaksa memulakan sesuatu yang baru. Orang, persekitaran dan bermacam-macam lagi.

Tetapi bagaimana pula dengan Syam dan Norman?

'Berat,' keluhku sendirian.


****************


"Daniel," aku menjengah ke dalam pejabat Daniel. Ketika itu, dia sedang khusyuk meneliti beberapa helaian draf untuk isu terbaru.

"Hai, Marina. Masuklah," kata Daniel. Dia memandangku untuk seketika dan kemudian perhatiannya dialihkan semula kepada draf yang sedang ditelitinya.

"Awak panggil saya?" Perlahan aku bertanya sambil melangkah masuk.

"Ya, Marina. Ke sini sebentar. Saya hendak tunjuk sesuatu," kata Daniel. Lalu, aku merapatkan diri kepadanya dan bersedia mendengar apa yang ingin dikatakannya. "Marina. Saya sudah semak satu perempat daripada draf ini. Nanti, tolong beri pada Miss B dan minta dia semak semula, okey?" Kata Daniel selepas menunjukkan beberapa bahagian yang perlu diperbaiki pada draf itu kepadaku.

"Okey, baik. Nanti saya beritahu dia."

"Bagus."

"Oh ya. Bagaimana dengan penerbitan majalah baru, Daniel? Ada apa-apa perkembangan?" 

"Mereka belum beri apa-apa jawapan pun."

"Sudah beri pada mereka cadangan yang kita buat tempoh hari?"

"Sudah. Tetapi saya tidak pasti sama ada boleh lulus atau pun tidak. Pihak atasan perlukan maklum balas daripada pelabur dahulu dan awak faham-faham sahajalah kebanyakan mereka tidak faham pun tentang selok-belok penerbitan," Daniel menggelengkan kepalanya.

"Kenapa? Apa yang sebenarnya terjadi?" Tanyaku, risau. Rancangan Daniel untuk menambah bilangan penerbitan Harry Hans sememangnya diketahui ramai. Itulah perkara yang sentiasa dibangkitkan olehnya semasa bermesyuarat dengan pihak atasan di Harry Hans.

"Macam-macam yang terjadi Marina. Banyak lagi yang perlu difikirkan," jawab Daniel ringkas. Cuba mengelak untuk bercakap panjang lebar berkenaan dengan hal itu. Itu juga petanda bahawa aku perlu berhenti bertanya soalan itu dan ini berkenaan dengannya.

"Begitu," aku hanya mengangguk-angguk. Memberi isyarat faham.

"Marina, saya dengar awak dapat tawaran kerja di Amerika. Betulkah?"

"Tawaran kerja di Amerika?" Aku mengulang kembali soalan Daniel dan terpaku sebentar. Hairan bagaimana Daniel boleh tahu berkenaan dengan tawaran Diana itu. Setahu aku, hanya The Urban Fruits sahaja yang diberitahu tentang itu semua.

'Kamu semua.. Grrr...' terbayang wajah-wajah manja The Urban Fruits yang sedang mentertawakan aku. 

"Hey ini bukannya besar sangat Marina. Lebih-lebih lagi cerita macam ini," kata Daniel seperti mengejek. Namun dia tetap tersenyum.

"Baiklah," kataku dengan penuh berhati-hati. "Saya mengaku, saya memang ada menerima tawaran daripada Diana Sinclair."

Daniel memandangku dengan wajah yang serius. Daripada riak wajah yang ditunjukkan, dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

"Tunggu. Awak kata Diana Sinclair?"

"Ya," jawabku selamba. Tidak menduga respon itu yang diberi oleh Daniel.

"Saya sudah duga dari awal lagi. Daripada gerak-gerinya, saya tahu dia hendak curi awak daripada Hey!" 

"Curi? Sejak bila pula saya ini jadi hak milik Hey yang boleh dicuri-curi?" Soalku sambil tergelak kecil, lucu mendengar kata-katanya.

"Damn!" Daniel menyandarkan dirinya ke kerusi. "Jadi bagaimana Marina? Apa keputusan awak?"

"Saya masih belum lagi buat keputusan. Tawaran Diana itu memang menarik, tetapi ada banyak perkara yang perlu saya fikirkan. Kalau awak berada di tempat saya, adakah awak akan terima tawaran Diana itu?"

"Hmmm... Kalau saya pun, jawapan saya pasti sama sahaja dengan awak. Kenapa Marina? Awak berat hati untuk tinggalkan Hey?"

"Ya. Saya sudah mula sebati dengan Hey. Sayang untuk saya tinggalkan semua yang ada di sini. Terutama sekali orang-orang di Hey."

"Nama saya termasuk dalam senarai atau tidak?"

"Nama bos besar mestilah ada dalam senarai, Daniel."

"Jadi dalam senarai awak, saya ada di nombor yang ke berapa?" Daniel tersenyum nakal.

"Ha… Ha… Ha… No comment!" Aku cuba untuk bertenang dalam memberi respon kepada soalan Daniel itu. Namun aku tidak pasti tawaku itu nampak dibuat-buat atau benar-benar menjadi.

"Jadi. Saya mahu tahu Marina. Apa pendapat awak tentang Hey? Awak seronok bekerja di sini?"

"Ya. Saya seronok sekali bekerja di sini. Dari awal, saya tahu ini ialah tempat yang bagus untuk saya mulakan semula hidup saya setelah apa yang berlaku dahulu. Yang paling saya tidak boleh lupakan semestinya Harry dan H1N1."

"Jangan sebut lagi tentang Harry, Marina. Saya boleh tergelak sepanjang hari bila teringat bagaimana saya kenakan awak."

"Saya memang terkejut ketika itu, Daniel."

"Tetapi Marina. Saya memang tidak boleh lupa tentang H1N1. Fuh! Cemas dan menakutkan. Itu sahaja perkataan yang boleh saya guna untuk menggambarkan situasi itu. Sepanjang saya bekerja, saya tidak pernah hadapi situasi sebegitu."

"Ya, Daniel! Tetapi syukurlah kita semua berjaya menghadapi saat itu."

"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."

"Ya, Daniel. Tepat sekali," kataku mengangguk bersetuju.

"Jadi Marina. Sebelum awak terima tawaran Diana, awak pernah terfikir untuk bekerja di luar negara?"

"Tidak pernah pun. Sebab banyak yang perlu difikirkan. Tempat tinggal, suasana persekitaran, wang dan macam-macam lagi."

"Betul apa yang awak cakap itu. Awak ada kenal sesiapa di Amerika?"

"Selain Diana Sinclair?" Sengaja aku bertanya sesuatu yang pasti melucukan Daniel.

"Ya. Selain Diana," jawab Daniel. Dia tertawa kecil.

"Malang sekali. Tiada," aku mencemikkan bibirku.

"Susah juga itu Marina. Sakit pening awak siapa yang hendak tengokkan nanti?" Tanya Daniel.

"Alah! Kalau di sini pun macamlah ada orang hendak tengokkan. Semua tanggung sendiri, Daniel."

"Ha… Ha… Ha… Ya. Betul juga itu, Marina."

"Tetapi kalau saya setuju untuk terima tawaran itu, saya akan bawa Gina bersama untuk temankan saya dalam seminggu dua. Dia pun pasti suka kalau dapat ikut berjalan."

"Bagus juga kalau bawa dia. Dia pun pernah ke sana sebelum ini. Keluarga awak bagaimana pula, Marina?"

"Hmmm... Mereka berat untuk biarkan saya pergi."

"Pasti mereka risau," kata Daniel. Namun, dia terhenti sebentar sebelum menyambung kata-katanya.

"Marina…" Daniel memanggil namaku. Nada suaranya yang berubah membuatkan aku pasti bahawa rentak perbualan kami juga akan berubah walaupun aku tidak dapat mengagak ke mana arahnya.

"Ya, Daniel," sahutku dengan selamba. Cuba menyembunyikan diriku yang sedang menduga.

"Saya sekali lagi ingin meminta maaf atas apa yang terjadi di Asia Cafe tempoh hari."

"Daniel, itu semua…" aku cuba mengelak daripada topik yang cuba dibangkitkan. Namun, Daniel cepat mencelah.

"Sehingga sekarang, saya masih malu dengan apa yang berlaku," sambung Daniel. Melihat daripada air mukanya, aku tahu Daniel benar-benar ingin meluahkan rasanya, lalu aku membiarkan sahaja dia berkata-kata. "Cuma saya mahu awak tahu. Keberadaan awak di sini bukanlah kerana Jennifer. Maksud saya, awak berada di sini kerana awak memang berkebolehan. Jadi, saya tidak mahu awak salah anggap dengan apa yang saya katakan ketika itu. Saya benar-benar minta maaf."

"Tidak mengapa, Daniel. Saya faham," kataku memujuk, cuba meyakinkan Daniel. Walaupun begitu, Daniel kelihatan masih tidak berpuas hati. Dia seolah-olah tahu yang aku masih belum dapat melupakan apa yang terjadi di Asia Cafe. 

"Bagaimana pula dengan hubungan awak dan Jennifer?" Sengaja aku bertanya walau tidak pasti apa jawapan yang aku harapkan.

"Kami sudah putus."

"Hah? Kenapa?" Sebaik sahaja aku mendengar perkhabaran itu, wajah Jennifer yang menawan terus terbayang dalam fikiranku. Dalam hati, aku menyumpah-nyumpahnya kerana tidak tahu menghargai apa yang ada di hadapan mata. Aku sangkakan dialah yang memutuskan perhubungan mereka untuk kedua kalinya. Namun, sangkaanku meleset apabila Daniel menceritakan hal yang sebenarnya.

"Saya putuskan hubungan dengan Jennifer kerana saya dapat rasakan yang hubungan ini tidak akan berjaya," terang Daniel selamba. Langsung tiada rasa kesal.

"Bagaimana awak boleh begitu pasti? Bukankah awak benar-benar mencintai Jennifer?"

"Cinta sahaja tidak cukup kuat untuk menyatukan kami. Apa yang boleh saya katakan ialah, kami sudah tidak sehaluan lagi," terang Daniel. Dia tidak menunggu lama untuk menjawab. Tidak teragak-agak seperti selalunya. Dia nampak cukup yakin dengan keputusan yang diambilnya.

Aku sangkakan Daniel benar-benar mencintai Jennifer. Entahlah. Mungkin juga Jennifer berfikir dua kali untuk meneruskan hubungan dengan lelaki seperti Daniel. Mungkin.

"Bagaimana pula dengan Jennifer? Apa reaksinya?"

"Dia marah pada mulanya. Dia ingat saya sengaja ingin membalas dendam," kata Daniel sambil tersenyum. Nampak seperti begitu berpuas hati.

"Kalau saya berada di tempat Jennifer pun saya akan mengamuk," kataku walaupun aku tahu itu ialah perkara yang terakhir yang akan aku lakukan. Seperti mana yang berlaku ketika Norman memutuskan hubungan kami dahulu.

"Dia tidak boleh buat begitu. Sekarang kami seri satu sama."

"Jadi memang betullah awak sengaja melakukannya kerana dendam?" Aku cuba menyakat.

"Tidak sama sekali Marina. Awak pun kenal siapa saya bukan? Saya cuma bertindak awal sebelum sesuatu yang buruk berlaku di masa akan datan,g" terang Daniel. Kedatanganku ke bilik pejabatnya yang aku jangkakan sekejap menjadi lama apabila Daniel berterusan bercakap tentang dirinya, tentang aku dan juga tentang Hey. Sesekali aku menegurnya kerana aku merasakan tidak elok menghabiskan waktu pejabat dengan perbualan seperti ini. Namun, dia membalasnya dengan ejekan bergurau. Katanya, aku sengaja mencari alasan untuk mengelakkan diri darinya. Memikirkan statusnya di Hey, aku melayankan sahaja kehendaknya. Mungkin baginya, inilah sahaja masa yang ada untuk kami berkongsi cerita. Kesempatan yang ada turut aku gunakan untuk berkongsi cerita tentang Norman.

"Jadi, apa keputusan awak?" Tanya Daniel. Ada nada cemas daripada suaranya.

"Saya tidak akan menerima Norman semula Daniel," jawabku tegas. Cuba untuk meyakinkannya walaupun aku sendiri masih belum memutuskan apa-apa lagi ketika itu. Daniel tidak memberi sebarang respon. Dia hanya mengangguk perlahan apabila mendengar apa yang aku katakan.

"Marina. Secara jujurnya, sukar untuk saya lepaskan awak pergi. Tetapi kalau awak rasa ini jalan yang terbaik buat awak. Pergilah. saya tidak mahu jadi penghalang. Tetapi jikalau awak rasa tidak sesuai di sana dan ingin kembali. Pintu Hey sentiasa terbuka untuk awak."

"Terima kasih Daniel. Terima kasih banyak-banyak."

"Walau apa pun yang awak putuskan, saya harap keputusannya akan buat awak gembira Marina."

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.