Home Novel Alternatif Sfera
Bab 10

Bab 10: Eskapisme


“Kau bawa aku ke hari sukan Tia?” kataku sebaik sahaja kereta yang dipandu Tia menyusur masuk ke dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara. Pada pintu pagar sekolah yang pernah menjadi tempat kami menuntut satu ketika dahulu itu, tergantung satu kain rentang yang tertulis ‘Temasya Sukan Sekolah 2011’.

“Ha... Mesti kau seronok bukan? Ini pasti menjadi satu eskapisme untuk kau," kata Tia yang menjadi salah seorang tenaga pengajar di situ.

"Eskapisme?" Tanyaku hairan.

"Ya. Kau pun sejak pulang ke JB asyik terperuk di rumah sahaja. Sebab itu aku bawa kau ke sini."

"Tetapi aku masih tidak faham kenapa kau panggil ini eskapisme."

"Kau lihat sahajalah nanti Marina"

"Ada-ada sahajalah Cikgu Tia ini. Kau ada melatih mana-mana rumah sukan tahun ini?"

"Aku?" Tanya Tia sambil ketawa kecil. "Kau ini Marina. Macam baru kenal aku semalam. Aku jadi Biro Hadiah dan Cenderamata sahaja kali ini."

"Sukalah kau dapat buat kerja ini bukan?"

"Mestilah! Kau pun tahu aku ini macam mana bukan? Aku bukan suka sangat berpanas... berhujan...” terang Tia kepadaku. Semasa di sekolah dahulu pun, aku dan Tia tidak pernah menyertai apa-apa acara di sekolah. Tetapi, kalau hari sukan, muka kami berdualah yang sibuk menyelit. Ketika acara sukan sedang berlangsung, wajah kami pasti ada. Wartawan sekolahlah katakan. Kami berdua sebenarnya ahli kelab sidang redaksi sewaktu di sekolah dahulu. Jadi, setiap acara atau program yang akan diadakan di sekolah, kami pasti akan diundang. Setiap bulan, kami akan terbitkan risalah setebal tiga puluh muka surat yang berharga RM 1.50 setiap satu.

Aku memang kurang bersetuju dengan eskapisme yang dicadangkan oleh Tia itu pada mulanya kerana aku tidak tahu bagaimana datang menyaksikan acara sukan boleh membantu melegakan kepalaku daripada mengingati perkara-perkara yang menghantuiku pada ketika itu. Akan tetapi, selepas lebih dua jam berada di situ, aku mula bersetuju dengan Tia kerana berada di situ memang satu eskapisme. Dan jika aku pun turut serta dalam mana-mana acara, aku pasti boleh 'melarikan diri' dengan lebih jauh lagi. Selain menyaksikan acara-acara yang berlangsung, aku mengambil kesempatan yang ada untuk berbual pendek dengan guru-guru yang masih lagi mengajar di situ.

Buat seketika, aku membenarkan diri dan fikiranku melayang jauh ke tempat-tempat yang sebelumnya aku rasakan tidak perlu untuk aku jejaki dan kenangi untuk satu jangka masa yang agak lama.

“Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Ally dengan ‘menjengah sebentar ke masa silam’,” fikirku sendirian.

“Setiap orang ada masa silam,” kata Ally semasa kami berbual di Dr Love.

"Tetapi aku kalau boleh, tidak mahu hidup dalam masa silam Ally..."

"Aku bukan suruh kau hidup dalam zaman silam. Aku suruh kau menjengah kembali ke zaman silam kau."

“Susah hendak buat sebenarnya Ally.”

“Memang. Memang susah. Bukan kau sahaja. Malah semua orang merasakan begitu. Terutama sekali sesuatu yang kita mahu lupakan. Sebenarnya bagi aku, bukanlah sesukar mana. Cuma, kita takut untuk merasai kembali apa yang pernah kita rasa dan lalui dahulu. Tetapi aku rasa adalah penting untuk kau melakukannya terutama sekali di saat-saat sukar seperti ini.”

Aku berfikir sejenak. Kata-kata Ally ada benarnya. Aku sememangnya jarang sekali ingin melihat ke belakang. Bukan kerana aku kesuntukan masa atau pun banyak yang perlu difikirkan. Aku sememangnya enggan.

Aku melihat-melihat sekitar kawasan sekolah, mencari-cari seseorang. Selepas apa yang terjadi beberapa hari sebelumnya, aku sebenarnya mengharapkan kedatangannya sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sekolah.


*****

Beberapa hari sebelumnya...

Dush! Adui! Sakitnya! Aku mengusap-usap lengan kiriku. Mataku pantas mencari apa sebenarnya yang mengenai lenganku.

“Bola sepak takraw?”

‘Siapa pula yang yang main sampai terkeluar masuk ke jalan ini?’ Tanyaku sendirian. Aku menoleh ke belakang. Rupa-rupanya ada gelanggang yang baru sahaja aku lepasi dan sekumpulan lelaki yang ada di sana sedang asyik memerhatikanku.

Seorang lelaki datang meluru ke arahku. “Maaf cik. Minta maaf banyak-banyak. Ada apa-apa yang cedera?” Tanya lelaki itu sambil mengambil bola sepak takraw yang telah menyakitkan kulitku.

“Saya okey,” aku menjawab ringkas. Mata dan tanganku masih sibuk memeriksa dan membersihkan bajuku yang sedikit kotor dengan kesan tanah.

“Marina?” kata lelaki itu. Nadanya seperti menyoal. Aku memandang tepat ke arah wajahnya. Ada krisis dalaman yang berlaku pada ketika itu. Dia tahu namaku tetapi aku hanya dapat mengecam wajahnya sahaja. Tetapi apa namanya? Apa?! Apa?! Kepalaku ligat menyelak album yang mengandungi wajah-wajah orang yang pernah aku kenali. 'Cepat sayang. Cepat!' Aku menggesa diriku.

“Syam?” Harap-harap tekaanku mengena.

“Ya...” lelaki itu mengangguk, tekaanku tepat. Namanya Syam! “Bila awak balik Marina?”

“Semalam.”

“Wow! Tidak sangka dapat berjumpa awak hari ini Marina.”

“Betul...” Itu sahaja yang mampu aku katakan? ‘Betul’? Aku menyoal diriku.

“Masih kenal lagi awak pada saya rupanya. Ingatkan awak sudah lupa”

“Kenapa awak cakap begitu? Mestilah saya ingat. Bukannya lama sangat pun kita tidak berjumpa,” aku mentertawakan diriku sendiri. Aku yakin Syam beranggapan yang aku kurang waras kerana tempoh empat tahun aku anggap ‘bukannya lama sangat’. Kali terakhir kami bertemu, Syam masih lagi menuntut di kolej.

“Rajin awak bersukan pagi-pagi begini Syam?”

“Saya melatih anak-anak murid saya.”

“Oh... jadi cikgu rupanya awak sekarang...” kataku sambil mengangguk-angguk. Syam hanya tersenyum.

“Awak pula buat apa di sini Marina? Bukan sepatutnya awak ada di Kuala Lumpur? Awak bercutikah?”

'Ada tiga soalan yang dia tanyakan. Mana satu yang aku perlu jawab? Daripada soalan-soalan yang diajukan, nampaknya banyak juga yang dia tahu tentang diriku,' fikirku sendirian.

“Panjang ceritanya Syam....." aku mengeluh kecil. "Marilah ikut saya ke rumah Tia. Boleh kita berborak panjang di sana.”

“Oh. Mungkin lain kali Marina. Saya perlu sambung latihan saya dengan mereka. Ada apa di rumah Tia?”

“Tiada apa-apa pun. Borak-borak sahaja. Maklumlah. Lama tidak berjumpa.”

“Oh begitu...” Syam mengangguk.

“Syam. Saya pergi dahululah ya.”

“Ok. Baiklah. Hati-hati ya Marina. Jangan terkena buah kelapa pula!” Kata Syam sambil ketawa.

"Awak pun sama Syam! Kawal tendangan awak. Jangan terkena pada orang lain pula!"

"Okey Marina! Jumpa lagi!"


************************ 

Tia terkejut besar apabila aku menceritakan tentang Syam dan bola sepak takraw bertuah itu.

“Wah! Pasti memori-memori lama kembali datang bukan?”

“Memori apa pula? Mana ada!” aku menafikan tuduhan Tia yang sememangnya betul itu.

"Inilah yang dikatakan patah tumbuh hilang berganti," usik Tia sambil terkikih ketawa.

"Kau jangan hendak mengada-ngada ya Tia. Kau jangan hendak mula."

Bercakap tentang Syam, aku sebenarnya tiada apa-apa hubungan istimewa dengan dia. Cuma aku tahu yang Syam pernah menaruh hati padaku.

Aku bukannya perasan atau syok sendiri, tetapi memang betul. Kami pertama kali berkenalan ketika kami berada di tingkatan empat dahulu, kawan-kawan sekelasku memberitahuku yang Syam asyik memerhatikan aku sahaja sewaktu di dalam kelas (melainkan ketika cikgu sedang mengajar. Tetapi menurut kawan-kawanku kadang-kadang matanya meliar juga). Pada mulanya, aku berasa tidak selesa dengan apa yang dilakukan Syam. Tambahan pula, Syam merupakan seorang pelajar baru dan dia nampak sukar untuk bercampur-gaul dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Kerana sikapnya yang sebegitu, aku mula menyangkakan yang dia seorang yang pelik dan anti-sosial. Ada ketika, aku menggelarkannya 'psiko' kepada kawan-kawan perempuanku. Namun selepas mengenalinya,  barulah aku tahu yang Syam sama sahaja seperti budak-budak lelaki yang lain. Dia tidaklah sepelik yang aku sangkakan. Dia sangat baik dan sopan. Cuma sifatnya yang agak pemalu itu membuatkan dia lambat untuk bergaul mesra. Itu semua berlaku sebelum Norman memberikan 'signalnya' yang mengelirukan itu kepadaku.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.