Bab 41 : Ku Putuskan
Aku merancang untuk pergi ke Sarawak bersama-sama dengan Gina. Sebelum itu, aku berkesempatan untuk pergi ke majlis pertunangan Dilla adik Tia di Johor. Selepas sahaja selesai majlis itu, kami berdua bertolak ke Sarawak.
"Kau rasa jadikah adik Tina itu kahwin dengan tunang dia?" Tanya Gina. Tiba-tiba sahaja dia mengajukan soalan itu kepadaku. Ketika itu, pesawat baru sahaja berlepas.
"Kenapa pula kau tanya begitu?"
"Sebenarnya, aku tercuri dengar perbualan Tia dan Dila."
"Ha! 'Tercuri' dengar? Bagaimana pula kau boleh 'tercuri' dengar perbualan mereka?" Soalku, pelik.
"Sebenarnya semasa itu aku ada di bawah katil Tia."
"Apa pula yang kau buat di bawah katil Tia?"
"Cari subang aku. Hilang. Sampai sekarang aku tidak jumpa lagi," terang Gina sambil memegang telinganya.
"Okey biar aku teka. Semasa kau berada di bawah katil, mereka berdua masuk bilik dan berbual, bukan?"
"Ya! Betul! Pandai betul kau, Marina!"
"Jadi apa yang kau dengar?"
"Semasa itu Dilla masuk ke bilik dahulu. Aku rasa mungkin dia duduk-duduk berehat sebab aku dengar seperti dia mengambil dan menghembus nafas beberapa kali. Kemudian Tia pula masuk. Aku dengar pintu ditutup, kemudian mereka mula berbual," terang Gina dengan penuh berhati-hati.
"Apa yang mereka bualkan?"
"Sabarlah."
"Intro kau lama sangat."
"Tia tanya Dila sama ada dia betul-betul serius atau tidak dengan pertunangan itu sebab dia kata Dilla nampak terpaksa."
"Oh. Jadi apa kata Dilla?"
"Dia kata dia okey. Dia redha. Dia tahu pilihan ibu dan bapa dia semestinya yang terbaik."
"Hmmm. Apa kata Tia lepas dengar jawapan Dilla?"
"Kata Tia, tiada sesiapa pun yang memaksa dia. Jika Dilla tidak berasa senang dengan pertunangan itu, adalah baik jika dia suarakan sekarang. Tia minta Dilla untuk berfikir sebaik mungkin dan jangan buat keputusan terburu-buru. Dia masih lagi ada masa."
Terus terang aku katakan yang aku tidak terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Gina kerana aku kenal dengan Dilla. Dia anak yang patuh dan mendengar kata. Apa sahaja yang dicadangkan oleh ibu bapanya, dituruti tanpa banyak alasan atau bantahan. Kadangkala kelihatan seperti Dilla tidak pernah berfikir untuk dirnya sendiri. Tia pernah menyuarakan tentang hal ini kepadaku. Dia risau akan Dilla yang seperti terlalu menurut segala cadangan ibu dan bapanya.
Pada pendapat aku, tiada salahnya apa yang Dilla lakukan. Mungkin Dilla punyai visi yang sama dengan ibu dan bapanya. Mereka punyai cara yang sama dalam melihat kehidupan. Sebab itu dia kelihatan seperti menurut sahaja perintah ibu dan bapanya. Tetapi bagi aku, mereka sebenarnya sekepala. Mereka seolah-olah satu pasukan dan hingga saat ini aku lihat tiada apa yang dicadangkan oleh ibu dan bapa mereka itu membawa keburukan kepada Dilla. Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak bukan?
Tia pula mempunyai pemikiran yang berbeza. Baginya, apabila tiba satu tahap seorang anak perlu terbang bebas dan perlu menentukan hidupnya sendiri. Aku juga berfikiran begitu. Seperti majoriti anak-anak muda yang sebaya denganku, masing-masing membesar dalam generasi yang telah menerima konsep penentuan laluan hidup tanpa acuan ibu dan bapa apabila sampai saatnya. Malah aku akui lebih ekstrim tetapi aku tidak akan memaksa orang menerima caraku. Jika orang seperti Dilla tidak mahu menuruti konsep itu, aku masih okey. Aku tidak sibuk-sibuk risau kerana aku merasakan yang Dilla melihat hubungan dengan ibu bapanya seperti satu perkongsian.
Walau apa pun yang Dilla putuskan, itu ialah pilihan dia. Tidak semestinya jodoh pilihan keluarga itu membawa keburukan. Seperti mana yang aku katakan, ini ialah pertembungan pemikiran antara dua beradik. Tidak salah jika Dilla fikir jodoh yang dicadangkan oleh ibu bapanya baik untuknya. Hidup ini satu pilihan. Ada masanya realiti memaksa kita untuk memutuskan sesuatu yang tidak kita suka. Dalam memikirkan tentang Dilla, aku terus terfikir akan diriku yang juga perlu membuat pilihan. Itulah tujuan sebenar aku pergi ke Sarawak.
Semasa melawat Tia, aku sempat juga berbual dengannya tentang apa yang terjadi pada diriku.
"Aku ingat lagi sewaktu kau berpisah dengan Norman dahulu. Teruk betul kau! Semua yang kau ada hilang daripada hidup kau. Kerja, duit, cinta... Fuh!" Kata Tia sambil menggelengkan kepalanya apabila mengingatkan tentang situasi aku dahulu.
"Satu saat yang teruk! Kalau boleh aku tidak mahu kenang lagi."
"Tetapi itu rasa satu proses perubahan. Satu metamorfosis? Selepas tu kau terbang sebagai rama-rama yang bebas. Kau nampak betul-betul gembira dengan hidup kau dan kau mampu menentukan arahnya."
"Bagaimana pula dengan Daniel dan Syam, Marina? Mana satu yang kau suka?" Tia mengalih topik.
"Dua-dua," jawabku pantas.
"Gatal!" Tia memukulku dengan bantal kecil. "Okey. Yang mana satu cinta dan yang mana satu nafsu?"
"Bolehkah kita pisahkan keduanya? Semuanya bermula dengan nafsu kemudian cinta bukan?" Aku cuba berhipotesis.
"Okeylah. Tetapi yang mana satu yang kau betul-betul serasi?"
"Hmmm..."
"Kau sendiri tidak dapat menjawabnya, Marina. Mungkin kau hanya suka pada mereka. Tetapi untuk bersama ke akhir hayat. Kau sendiri tidak pasti."
"Tetapi mereka buat aku rasa gembira. Terutama sekali Syam. Kami betul-betul serasi. Kami dibesarkan dalam suasana yang sama dan pandangan kami juga sama."
"Jadi kau memilih Syam?"
Aku hanya tersenyum.
“Walau apa pun pilihan kau, aku rasa kau sudah faham isyarat yang diberikan kepada kau sekarang ini.”
"Isyarat?"
"Ya. Isyarat. Isyarat ini memberitahu yang kadang-kadang kehadiran seseorang dalam hidup kita itu bersebab. Aku rasa mungkin kau boleh teka sendiri."
"Dalam kisah aku ini, aku rasa sebab utamanya adalah supaya aku lebih memahami dan menghargai diri aku sendiri."
"Dari mana kau dapat kata-kata itu?" Tanya Tia. Wajah sangsinya yang penuh pura-pura itu sangat melucukan.
"Itu asli daripada aku! Tiada soal plagiat di sini!"
***************************
Semasa di Sarawak, aku menggunakan masa yang ada untuk merenung kembali perjalanan hidup yang aku lalui. Aku kini berada dalam persimpangan. Aku kehilangan sesuatu dengan tiba-tiba dan kini aku perlu memilih kerana apa yang ada di depan mata aku sekarang ialah pilihan-pilihan daripada gantian yang pernah hilang dahulu.
Sudah semestinya setiap kenangan yang diukir bersama dengan Norman aku soroti satu persatu. Sejak pertama kali aku mengenali dia di sekolah sehinggalah sampai lamarannya tempoh hari.
Begitu juga dengan Daniel dan Syam.
Ketiga-tiga mereka mempunyai sikap dan pandangan yang berbeza mengenai kehidupan. Juga tentang perhubungan.
Namun, jauh di sudut hatiku. Hatiku masih sukar untuk melupakan Norman. Mungkin kerana hubungan yang dijalinkan sudah terlalu lama sehinggakan nama itu sudah sebati dengan hidupku. Ya. Mungkin apa yang berlaku meninggalkan sedikit kesan psikologi kepadaku. Ternyata, impak Norman dalam hidupku amat besar.
Daniel dan Syam pula, walaupun baru aku kenali telah berjaya mengubah diriku dan membuatkan aku rasa bahagia dan dihargai. Sudah lama aku tidak merasakannya.
Apa yang pasti. Ketiga-tiga mereka mengajar aku mengenai kehidupan melalui cara yang berbeza.
Dengan Daniel, keyakinanku bertambah. Dia membantu aku mengenali potensi dalam diriku yang sebelum ini tidak pernah aku sedari.
Syam pula membuatkan aku rasa dihargai. Dengan dia, aku bukan orang lain. Apabila aku bersama dengannya. Aku bisa menjadi diriku sendiri.
Sememangnya gerak perubahan yang aku lakukan ke atas kerjayaku akan membawa impak yang besar dalam hidupku. Kerja bukan hanya untuk mencari sesuap nasi. Kerja ini aku anggap sebagai lambang jiwa dan identiti diri.
Jika aku setia bersama Hey, aku boleh jalinkan kembali hubunganku dengan Daniel. Setelah apa yang berlaku antara dia dan Jennifer, Daniel ku lihat cuba memperbaiki hubungannya denganku. Cuma dia tidak pernah melafazkan kata-kata yang bisa menjadi satu deklarasi akan hubungan kami. Aku memahami situasinya, dia takut. Trauma daripada hubungan lalu masih menikam. Walaupun dia menggalakkan aku pergi pada awalnya, gerak langkahnya menunjukkan yang dia enggan melepaskan aku daripada Hey. Jika difikir-fikirkan semula, Hey ialah satu tempat yang baik untuk aku. Apa perlunya aku meninggalkan Hey untuk ke Lataya yang masih belum pasti memberikan aku kepuasan kerja seperti Hey.