Home Novel Alternatif Sfera
Bab 6

Bab 6: Signal


Sambil menunggu Norman yang tidak lagi muncul-muncul di hadapan pintu masuk Sunway Pyramid, aku membelek-belek album Beck bertajuk ‘Sea Change' yang baru sahaja dibelikan oleh seorang kawanku yang baharu pulang dari luar negara. Cakera padat itu untuk Norman, tunanganku yang sudah hampir sebulan tidak aku temui.

Aku duduk berfikir untuk seketika. Memikirkan bagaimana hubungan aku dan Norman boleh bertahan selama ini walaupun banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh itu. Aku kembali seketika ke masa silam kami. Perlahan-lahan, aku menyelak satu-persatu memori yang tertulis di halaman mindaku. Lantas, aku berkonklusi bahawa hubungan aku dan Norman berkekalan sehingga hari ini kerana halwa telinga kami. Maksud aku di sini ialah muzik. Ya! Kerana muzik. Sejak dari dahulu lagi kami suka bercakap mengenai muzik. Carta US Billboard, Anugerah Grammy, siapa pecah rekod siapa dan macam-macam lagi yang berkaitan dengan muzik.

Sepanjang perkenalan kami, aku selalu menghadiahkan rekod-rekod muzik kepadanya. Kadangkala, dia juga menghadiahkan rekod-rekod muzik kepadaku tetapi diselang-selikan dengan buku atau pun novel. Kemudian, kami akan bercakap mengenainya secara mendalam. Itulah yang seringkali menjadi topik perbualan utama kami sejak dari mula lagi. Aku masih ingat lagi rekod pertama yang aku hadiahkan kepadanya iaitu 'Bounce' daripada Bon Jovi. Ketika itu, aku sangkakan dia menyukai kumpulan muzik itu dan juga jenis muzik yang dibawa mereka, tetapi rupanya Bon Jovi bukan citarasanya. Norman nyata boleh layan lagu-lagu mereka yang rata-ratanya sedap didengar dan menarik. Tetapi pada pendapatnya, kumpulan itu tidak berevolusi dan tidak suka dengan cabaran. Namun, itu hanya pendapat Norman, kenyataan bahawa Bon Jovi merupakan sebuah kumpulan yang hebat tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Sejak itu, aku terus dapat menangkap apa yang diinginkan Norman secara muzikal.

''Hmm...'' aku mengeluh sendirian. Norman masih lagi belum sampai. Aku cuba menghubunginya tetapi tiada respon yang diberikan. ‘Huh! Memang beginilah perangai dia. Boleh jadi dia terlupa selok belok jalan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya’ kataku dalam hati. Tetapi itu suatu yang mustahil melainkan dia disihir atau dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan gegaran otak kerana baru sahaja sebulan dia meninggalkan ibu kota, bukannya setahun. 

Norman sebenarnya pada ketika itu baru sahaja pulang dari Seychelles atas urusan kerja. Dikenali sebagai seorang pengurus restoran yang cekap, Norman ditugaskan untuk memantau sepasukan tukang masak yang ditempah khas bagi menyediakan makanan selama sebulan untuk kru-kru Baby Bath Production yang terlibat dalam penggambaran filem Seruan Pulau (di peringkat antarabangsa filem itu dikenali sebagai The Island) arahan pelakon dan pengarah terkenal Hanida Hasry. Hanida juga merupakan pelakon utama dalam filem itu. Filem itu ialah projek pertama arahannya yang mendapat publisiti meluas daripada pihak media.

Apa yang membuatkan aku beria-ia untuk berjumpa dengan Norman malam itu adalah kerana rasa ingin tahuku yang membara untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di Seychelles. Terutama sekali, Hanida Hasry. Faktor utama ialah minat dan faktor kedua adalah kerana cemburu. Ya. Aku mengaku yang aku berasa cemburu. Yalah. Siapa yang tidak cemburu jika tunangannya diminta oleh seorang wanita cantik dan terkenal seperti Hanida semata-mata untuk memantau sepasukan tukang masak!

 “Tidak salah kalau kau menaruh perasaan syak. Jika aku jadi kau, aku juga akan rasa begitu,” kata Gina kepadaku tempoh hari apabila aku memberitahunya mengenai hal ini. Walaupun tunang Hanida iaitu Danish Fikri berada di Seychelles kerana dia turut membintangi filem itu, aku masih lagi belum berpuas hati. Tahu-tahu sahajalah, macam-macam boleh terjadi di sana dalam masa sebulan. Tambahan pula, Hanida sendiri yang meminta Norman untuk menemaninya. Bayangkan! Hanida sendiri yang memintanya! Jadi, memang sepatutnya aku mendapatkan penjelasan daripada Norman. Aku rasa semua itu tidak keterlaluan bukan?

“Hai Marina...” kata Norman. Akhirnya dia muncul juga setelah sembilan puluh minit lewat dari masa yang dijanjikan. Wajahnya kelihatan selamba. Seperti tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Sampai juga awak akhirnya. Kenapa lambat?''

“Maaflah. Saya ada hal sedikit tadi. Awak pun tahu yang saya mesti lambat seminit-dua bukan?” Kata Norman. Dia hanya tersenyum. Seolah-olah dia memang lewat hanya seminit-dua sahaja. 

       Aku tidak mampu berkata apa-apa. Sememangnya aku berasa sedikit geram apabila mendengar perkataan 'seminit dua' yang terkeluar daripada mulutnya itu dan apabila memikirkan tentang dia yang mempunyai hal tetapi memilih untuk tidak menghubungi dan memberitahuku mengenainya. Aku menarik nafas dalam-dalam.

        'Elakkan daripada bergaduh. Mari fokus pada perkara lain. Jangan beratkan sesuatu yang ringan. Lebih baik tamatkan isu siapa lambat? Siapa cepat?' Aku cuba memujuk diriku sendiri. Mengubah topik panas kepada topik yang lebih 'sejuk' atau 'menyelerakan' ialah helah yang selalu aku guna.

“Jadi, awak hendak bawa saya makan ke mana?” Walaupun pada awalnya kami merancang untuk ke Bubba Gump, aku tetap bertanya juga kepada Norman kerana dia kadang-kala terlupa tentang rancangan yang dibuatnya sendiri.

“Apa kata kalau awak yang tentukan di mana kita patut makan,” cadang Norman.

Inilah kodnya. Ini ialah cara Norman meminta maaf. Beri aku hadiah atau belanja aku makan.

“Saya yang pilih?” Aku bertanya untuk kepastian.

“Ya,” dia mengangguk.

Dengan pantas, aku menggesa peti memoriku untuk menyemak senarai makanan yang sudah tujuh bulan setengah tidak aku jamah. Aku berfikir seminit dua dan akhirnya aku memutuskan bahawa kami berdua akan makan makanan Jepun. Apa yang aku suka tentang Norman ialah dia tidak begitu memilih dalam bab makan. Dia telan apa sahaja kecuali kayu, batu dan beberapa material di atas muka bumi yang haram atau pun tidak logik untuk dimakan. Dia bersetuju dengan cadanganku. Kemudian, kami (terutamanya aku) dengan gembiranya terus pergi ke Sushi King.

Sambil menikmati makanan yang dihidangkan, aku menanyakan soalan-soalan yang telah aku fikirkan dan yang bermain-main di kepalaku sejak keberangkatannya ke Seychelles.

“Bagaimana dengan Seychelles? Bagaimana dengan pengambaran filem The Island? Apa cerita Hanida? Bagaimana hubungan awak dengan Hanida? Adakah Hanida melayan awak dengan baik? Adakah dia sekejam yang dilaporkan? Pernahkah dia mengapa-apakan awak?” Soalan demi soalan keluar daripada mulut aku seperti peluru. Bang! Bang! Bang!

“Banyaknya soalan awak. Sudah habis atau belum?” Tanya Norman kepadaku yang nampak belum puas.

“Banyak? Maaflah, hari ini saya jadi polis pula. Bukan apa. Saya dengar macam-macam cerita tentang Hanida di Seychelles. Saya cuma mahu pastikan apa yang saya dengar itu betul atau pun tidak. Itu sahaja. Saya tiada niat lain.”

Norman tersenyum mendengar kata-kataku. Dia memberi pandangan yang nakal kepadaku. Renungannya seolah-olah memberitahu ‘Marina. Awak sebenarnya cemburu bukan?’.

''Oh ya. Saya dengar awak sudah berhenti kerja? Betulkah?” Tanya Norman kepadaku. Aku sebenarnya belum habis lagi bertanya mengenai Hanida tetapi memandangkan Norman sudah mula bertanya mengenai hal yang berkaitan dengan hidupku. Hatiku terdetik mengatakan 'Inilah yang aku mahukan. Dia bertanya tentang diriku. Yang mana sebelum ini jarang sekali dilakukannya. Jadi nikmatilah saat- saat ini. Ambil peranan yang selalu kau pegang dalam hubungan ini. Lupakan tentang Hanida! Lupakan sekarang!'

“Ya. Betul… bagaimana awak boleh tahu? Saya baru sahaja terfikir untuk memberitahu awak mengenainya”

“Saya baca blog…''

“Oh. Blog?”

“Ya,'' jawab Norman. ''Apa yang saya hendak tahu sekarang ialah kebenaran laporan blog tersebut. Awak perlu beritahu saya yang mana satu betul dan yang mana satu exaggeration.”

Itu bukan satu topik yang seronok untuk dibualkan. Faham-faham sahajalah. Zara, La Nona, tarik rambut, Norah, itu dan ini. Tetapi itu lebih baik daripada dia langsung tidak ambil tahu, bukan? Ini permintaan Norman. Sebagai tunanganku, dia memang patut tahu mengenainya. Jadi terpaksalah aku bercerita mengenai apa yang berlaku daripada A ke Z dan sepanjang aku bercerita, dia asyik tertawa sahaja. 

''Jadi semuanya betul? Saya tidak sangka bahagian Zara simbah air ke muka Shazlin dan tarik rambut itu betul,'' tanya Norman. Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

''Itu betul Norman,'' kataku. Cuba meyakinkan Norman.

''Jadi semua blogger-blogger itu tidak mereka ceritalah ya?''

''Tidak. Semua yang ditulis adalah betul. Cuma nama saya sahaja yang tidak dimasukkan ke dalam cerita itu''

''Awak pun hendak tumpang glamor juga rupanya ya?'' Norman tertawa lagi. Aku hanya tersenyum melihat Norman yang kelihatan begitu gembira sekali mendengar cerita mengenai Zara dan Shahzlin. “Oh ya! Apa yang awak bawa? Ada CD baru untuk saya?” Tanya Norman. Dia menunjuk kepada plastik yang berisi cakera padat Beck itu.

“Ya. Baru sahaja saya beli. Tetapi album ini telah lama diterbitkan. Tahun 2002.”

“Single atau album?”

“Album,” kataku sambil menyerahkan cakera padat itu kepada Norman.

“Wow. Sea Change daripada Beck. Ini magnum opus dia. Awak sudah dengar?”

“Ya. Saya sudah dengar lebih kurang lima kali.''

“Apa pendapat awak?”

“4 bintang daripada 5,” kataku dengan yakin. Momen-momen seperti ini ialah momen-momen yang sangat aku gemari. Kami berdua duduk bercakap tentang muzik dan segala perkara buruk yang pernah berlaku kepada kami akan dilupakan begitu sahaja.

Norman tidak pernah memberitahunya kepadaku tetapi aku rasa salah satu sebab yang membuatkan dia mula tertarik kepadaku adalah kerana muzik. Aku juga tidak tahu sama ada apa yang aku rasakan betul atau pun tidak tetapi dengan tidak disengajakan, aku juga menarik perhatian Norman dengan muzik.

Ini semua terjadi apabila signal yang aku balas kepada Norman tidak dibalas kembali dengan respon yang aku harapkan. Apabila itu berlaku, aku mula memikirkan cara untuk menarik perhatian Norman. Pada pendapatku, untuk menarik perhatian seseorang, aku perlu memahami dunianya dan membuatkannya kagum dengan pengetahuanku tentang perkara-perkara yang menarik dalam dunianya. Sebelum terjalinnya hubungan kami, Norman memang pernah memberi aku signal seolah-olah dia tertarik denganku tetapi sejurus sahaja aku membalas signal itu, dia seolah-olah menjauhkan dirinya dariku. Respon yang sebegitu rupa membuatkan aku beranggapan bahawa dia hanya bermain-main sahaja denganku. Mungkin, aku memberi signal yang salah dan dia tidak menerimanya sebagai satu signal. Mungkin juga aku telah menakutkannya dengan signal-signal itu. Walau apapun sebabnya, apa yang Norman lakukan benar-benar mencabar diriku. Aku merasakan seperti dia sengaja melakukannya. Aku tahu ada sesetengah orang yang menganggap perkara itu seperti suatu permainan yang menyeronokkan dan ketika itu, tidak mustahil Norman juga boleh melakukannya kepadaku. Jujur aku akui, aku berasa tercabar dan malu. Namun, adakah benar Norman berfikiran sebegitu rupa? Adakah dia sengaja memberikan aku signal itu dan tidak mengendahkannya apabila menerima balasan daripadaku? Adakah dia memang sengaja bermain-main? Aku tiada pilihan, aku perlu lenyapkan persoalan-persoalan itu dan aku perlu meneroka ke dalam kotak fikiran Norman dan juga rakan-rakannya. Aku mahu tahu siapa sebenarnya Norman dan dunianya. Yang paling penting, aku mahu tahu apa yang difikirkannya tentang diriku.

Oleh kerana kami tidak mempunyai peluang untuk kerap bertemu, hanya ada satu cara sahaja yang boleh aku lakukan ketika itu iaitu dengan menghendap Norman dan rakan-rakannya di bengkel kemahiran hidup yang menjadi tempat lepak Norman dan lima lagi kawannya selepas mereka selesai menghadiri aktiviti sukan. Rancanganku ketika itu adalah untuk mendengar apa yang mereka bualkan. Manalah tahu kalau-kalau mereka ada memperkatakan tentang diriku. Aku tidak bersendirian ketika itu, rakan karibku semasa di sekolah iaitu Tia dengan penuh semangat menawarkan diri untuk membantu dan menemaniku. Pada permulaannya, aku berasa gementar juga. Namun, kami bersedia untuk segala kemungkinan dan dalam diam tidak diam, hampir sebulan aku melakukannya. Macam-macam yang aku dengar daripada perbualan mereka. Mereka bercerita mengenai hal sekolah, bola sepak, jerawat, rambut, syampu rambut, perapi rambut, serum rambut, warna rambut, minyak wangi, hal budak-budak perempuan (namaku tidak disebut), hal orang lelaki (Tia berusaha keras untuk tidak gelak apabila mendengar mengenai hal ini semasa kami sedang menghendap mereka dan ini merupakan topik yang paling dia sukai) dan macam-macam lagi. 

Tetapi yang paling menyeronokkan sekali adalah ketika aku mendengar Norman bermain gitar sambil menyanyikan lagu-lagu Pearl Jam. Bukannya lagu-lagu Pearl Jam yang popular seperti Last Kiss, tetapi lagu-lagu seperti Love Boat Captain daripada album Riot Act. Aku kurang meminati Pearl Jam sebenarnya, tetapi apabila aku mendengar Norman menyanyikan lagu-lagu kumpulan itu, sifat ingin tahu aku tentang Pearl Jam terus meningkat. Sepupu aku pernah memainkan rekod itu semasa kami sekeluarga mengunjungi rumahnya dan daripada situlah aku tahu lagu-lagu yang dimainkan Norman itu ialah lagu-lagu Pearl Jam. Daripada itu, aku dapat membuat kesimpulan yang mudah mengenai diriku, aku mula tahu apa jenis orang yang aku lihat setiap hari di hadapan cermin. Apabila aku tertarik pada seseorang yang lain, aku juga ingin mengetahui dan merasai apa yang disukai olehnya. Tarikan yang kuat kepada Norman telah menjadikan aku seorang peminat Pearl Jam. Aku mula mendengar lagu-lagu Pearl Jam daripada internet dan kemudian membeli kaset Pearl Jam satu persatu.

Aku membawa kaset Pearl Jam itu ke hulu dan ke hilir dengan harapan aku akan berjumpa dengan Norman dan aku boleh pura-pura terjatuhkan kaset-kaset Pearl Jam itu di hadapannya. Kemudian kami boleh mula bercakap. Sehingga sekarang, aku pasti akan mentertawakan diriku sendiri apabila mengingatkan apa yang aku cuba lakukan. Aku sebenarnya cuba untuk merealisasikan apa yang pernah aku lihat dalam filem. Tetapi filem hanya memberikan aku visi. Malang sekali visi itu tidak disokong oleh realiti. Realiti juga penuh dengan kejutan dan selalu membawa aku ke tempat atau situasi yang tidak aku sangka.

Cerita aku, Norman dan Pearl Jam mungkin bermula ketika aku mendengar nyanyian Norman di bengkel Kemahiran Hidup. Namun, segalanya mula terjalin ketika aku terserempak dengannya di kedai buku MPH di City Square, Johor Bahru. Malang sekali, aku tidak membawa kaset-kaset Pearl Jam itu pada hari itu. Aku menjerit-jerit dalam hati. Memarahi diri sendiri kerana tidak membawa kaset-kaset itu sekali bersama-sama denganku. Aku bingung seketika. 'Apa yang perlu aku buat? Perlukah aku menegur Norman? Atau jangan hiraukan kehadirannya dan buat muka selamba?' Hatiku berkata-kata. Seperti si bijak Jimmy Neutron yang ingin mencari akal bagi menyelesaikan masalahnya, aku segera menggesa neuron-neuronku menjalankan tugasnya. Akhirnya aku memutuskan untuk menyanyikan lagu 'I Am Mine' dengan perlahan sambil berpura-pura memilih buku. Relevannya? Supaya Norman menyedari bahawa aku juga banyak mengetahui tentang Pearl Jam. Itulah relevan di sebalik rancanganku itu. Norman yang ketika itu berada selang empat rak dariku menyedari kehadiranku. Kami bertentangan mata. Norman terkebil-kebil memandangku. Aku pula berpura-pura terkejut dengan kehadirannya. Kemudian dia tersenyum. Diambilnya senaskah majalah Rolling Stone daripada rak dan berlalu pergi.

Malam itu aku menghadapi kesukaran untuk melelapkan mata, berbagai-bagai premonisi hadir ke dalam mindaku. Apa yang Norman fikirkan pada ketika itu, maksud di sebalik senyumannya, kemungkinan untuk dia mempersoal minatku terhadap Pearl Jam dan... Ah! senarai premonisiku tidak berpenghujung.

Esoknya, aku menerima mesej daripada nombor yang tidak dikenali dan apabila pengirim itu selesai berteka-teki denganku, dia memperkenalkan dirinya. Berdegup kencang jantungku apabila dia memperkenalkan dirinya sebagai Norman. Kencang jantungku itu bercampur dengan rasa gembira yang amat mengasyikkan. Inilah butir-butir mesej yang masih aku ingat.

''Hai Marina! Awak sedang buat apa?''

''Sedang baca komik''

''Sin Chan?''

'Sin Chan? Apa yang buat dia fikir yang aku suka baca Sin Chan?'

“Tidak. Komik Paul Auster''

“Oh, Paul Auster. Si absurd itu,” kata Norman. Ketika itu timbul perasaan kagum terhadapnya kerana dia kenal siapa itu Paul Auster dan karya-karyanya yang absurd itu.

“Awak tahu tentang Auster? Awak minat dia?"

“Tidaklah."

"Jadi. Apa obsesi awak sekarang?"

"Maksud awak selain daripada baca tentang perang dan politik dunia?" Tanya Norman.

"Ya. Selain daripada perkara-perkara itu," kataku disertai dengan tawa kecil. 

"Pearl Jam...” jawab Norman.

“Oh. Pearl Jam.. Album apa yang awak dengar sekarang?”

“Riot Act…”

“Saya sukakan album itu.”

“Betul awak suka?” Tanya Norman. Keterujaannya kedengaran jelas daripada suaranya.

“Ya, betul. Saya sudah dengar keseluruhan album itu."

"Jadi berapa markah awak boleh beri untuk Riot Act?"

"Saya beri empat bintang daripada lima," kataku penuh yakin.

"Wow. Banyak juga itu Marina."

"Jadi Norman... Lagu apa yang awak suka daripada Riot Act?”

“Saya suka Love Boat Captain, I Am Mine dan Bush Leaguer. Awak pula Marina?''

''Saya suka Love Boat Captain!''

“Pilhan yang bagus. Gitar Stone Gossard berhantu bukan?”

“Gossard sahaja? McCready pula bagaimana?”

“Oh ya! Siapa boleh lupa tentang Mike McCready?'' Kata Norman menyatakan kekagumannya. Kami terus bercakap mengenai Crodpuster, Ghost, Wanted To Get Right, 1/2 Full dan beberapa lagi lagu daripada album Pearl Jam itu. Sejak itu, maka bermulalah hubungan kami. Semuanya kerana 'Pearl Jam'. Walaupun sudah bermula lama dengan signal-signal yang salah tetapi Pearl Jam membantu mempercepatkannya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.