Bab 26: Rumah Tradisi
"Marina.... Inikah tempatnya?" Tanya Miss R.
"Ya. Aku rasa inilah rumahnya. Cuba kau tengok apa yang ada di sana?" Aku menunjukkan Miss R papan tanda sepanjang sepuluh kaki yang tertera perkataan ‘Rumah Tradisi’ di hadapan rumah tersebut.
Ternyata sangkaanku mengenai Rumah Tradisi meleset sama sekali. Rumah Tradisi bukanlah rumah papan buruk yang ditelan zaman tetapi rumah itu ialah sebuah rumah kayu utuh tiga tingkat sebesar Galeri Seni Lukis Negara.
"Turunlah semua! Inilah dia Rumah Tradisi keluarga aku," kata Miss B.
Kami segera turun dan membawa keluar beg dari kereta.
"Miss B. Inikah rumah keluarga kau?" Tanya Miss R.
"Ya. Inilah rumah keluarga aku," jawab Miss B dengan penuh teruja. "Ha... Apa lagi?! Jom kita bergerak ke pintu hadapan!"
"Cantiknya..." kata kami semua dalam kekaguman. Miss D mula melopong. Miss R mengingatkannya untuk menutup mulut.
"Tetapi susah hendak jaga. Perlu sentiasa dikemas dan dibersihkan," jelas Miss B. Dia kemudiannya memicit loceng rumah itu.
Beberapa minit kemudian, seorang lelaki berbaju Melayu warna biru laut keluar dari rumah itu. Dia diekori oleh tujuh ekor kucing pelbagai warna.
"Pak cik..." Miss B bersalaman dengan lelaki itu.
"Zubaidah. Mana baju kurung kamu?"
"Ada di dalam beg. Tidak sempat hendak pakai."
"Masih lagi macam dahulu. Kalau datang ke Rumah Tradisi, jarang-jarang pakai baju kurung," kata lelaki itu. Nadanya seperti marah tetapi wajahnya tersenyum.
"Eh. Pak cik suka salah sangka. Saya tidak sempat salin tadi. Selepas sahaja habis kelas aerobik, kami terus datang ke sini. Oh ya! Ini semua kawan-kawan saya pak cik."
"Miss B ini pak cik sendiri pun dia hendak bohong. Ops! Zubaidah nama dia. Lupa pula," bisik Miss R kepadaku. Kemudian kami berdua ketawa kecil.
"Ajak kawan-kawan kamu semua masuk Zue..." kata Pak Cik Lan kepada Miss B.
"Jomlah semua!" Miss B mengajak kami masuk ke rumah.
"Selamat datang ke Rumah Tradisi semua. Mari saya tunjukkan bilik tidur kamu. Jangan harapkan si Zubaidah ini. Dia selalu sesat di dalam rumah ini," kata Pak Cik Lan.
Kami dibawa ke tingkat tiga. Oleh kerana aku dan Miss R datang dengan kereta yang sama, mereka menyuruh kami untuk tidur juga di dalam bilik yang sama.
Aku memerhatikan kawasan sekeliling rumah itu. Tidak dapat dinafikan, Pak Cik Lan memang pandai menghias. Katil, meja solek, bunga, lukisan, pasu dan hiasan lain nampak begitu cantik dan senada. Seluruh rumah nampak sangat cantik sekali. Tingkat pertama menempatkan ruang makan, ruang tamu, dapur dan dua bilik tidur. Bilik bacaan, studio lukisan dan tiga bilik tidur pula terdapat di tingkat dua. Manakala tingkat ketiga pula menempatkan bilik tidur yang berjumlah tiga buah kesemuanya.
Aku berbaring di atas katil sebaik sahaja habis berkemas. Miss R ketika itu sedang mandi sambil bernyanyi riang. Aku mengambil beberapa majalah tentang dekorasi dan melihat-lihat gambar yang tersiar. Tiba-tiba, aku terdengar bunyi petikan piano yang kedengaran sayup-sayup entah dari mana.
'Wow! Sedapnya bunyi piano itu,' kataku sendirian. Aku meletakkan kembali majalah yang sedang dibaca dan menumpukan perhatian kepada muzik yang bermain. Apa yang membuatkan aku tertarik bukanlah kerana muzik yang dimainkan itu hasil karya Beethoven atau pun Chopin, tetapi kerana yang bermain ketika itu ialah lagu-lagu kegemaranku seperti lagu 'One Sweet Day' dan 'Love You Like a Love Song'. Pada mulanya, aku sangkakan Pak Cik Lan memainkan cakera padat di bilik bacaan. Namun, ketika aku sedang asyik mendengar petikan lagu 'Love You Lika A Love Song', petikan terhenti seketika. Bunyi batuk seorang lelaki kedengaran sebelum bunyi piano itu kembali dimainkan.
"Jadi itu bukannya daripada CD. Ada orang main piano. Siapa agaknya?" Tanyaku sendirian.
Jiwaku dipenuhi dengan perasaan ingin tahu. Aku ingin mencari dari manakah datangnya bunyi petikan piano itu.
Aku menuruni tangga menuju ke tingkat dua. Kemudian, aku menjengah ke bilik bacaan. Namun, bilik itu kosong. Aku cuba mendengar petikan piano itu dengan teliti. Langkahku yang perlahan membawa aku mendekati satu bilik lapang yang penuh dengan lukisan. Di situ, terdapat seorang lelaki yang sedang bermain piano dengan asyik sehingga memejam mata. Aku tergamam. Tetapi sekarang bukan kerana muzik yang dimainkan tetapi kerana orangnya.
"Marina?" Dia menghentikan petikan pianonya. Matanya tidak berkelip untuk seketika. Tercengang melihat aku yang sedang berdiri di pintu. "Marina... Apa yang awak buat di sini?"
"Saya... Saya ikut Miss B..."
"Miss B?" Dia mengerutkan keningnya.
"Masuk saya, Zubaidah... kami satu tempat kerja sebenarnya. Awak pula buat apa di sini?"
"Pak cik saya yang suruh saya balik."
"Pak cik? Maksud awak Pak Cik Lan?"
"Ya..." jawabnya mengangguk.
"Pak Cik Lan itu bapa saudara awak?"
"Ya, Marina.."
"Jadi. Awak dan Miss B. Maksud saya, awak dan Zubaidah ialah sepupu?"
"Ya Marina. Dia sepupu saya..."
'Oh Syam...' Beberapa kali aku menyebut nama lelaki yang berada di hadapanku itu dalam hati. 'Adakah ini suratan atau kebetulan?' Aku bersoal itu dan ini buat seketika. Aku merenung wajahnya, cuba mencari persamaan antara dua bersaudara itu. Pertemuan yang mengejut itu pantas mengingatkan aku akan apa yang terjadi di antara kami bermula dari Festival Anime itu.
Selepas pertemuan kami di festival, Syam tidak putus-putus menghubungiku dan atas ajakannya, aku juga keluar beberapa kali dengannya. Pada mulanya, aku berasa seronok. Biasalah, itu satu keterujaan yang biasa timbul apabila dua kawan lama yang tidak bersua muka bertemu semula. Tetapi lama kelamaan, aku berasa kurang selesa. Aku tahu tiada salahnya apa yang Syam lakukan. Lagi pula, perbuatannya tidak pernah melampaui batas-batas persahabatan. Namun, andaian Gina dan Ally tentang hubungan yang mungkin terjalin antara aku dan Syam membuatkan aku sedikit berhati-hati. Kebimbanganku itulah yang membuatkan aku mula mencipta jarak antara kami. Sering kali aku menggunakan alasan kesibukan kerja untuk tidak berjumpa dengannya. Jika dia menghubungiku melalui mesej-mesej pendek yang selalu dihantarnya kepadaku, aku sengaja bertangguh untuk menjawab. Aku tahu itu kedengaran agak kejam. Namun, aku perlu berhati-hati dan cuba memperlahankan rentak perhubungan untuk kebaikan kedua belah pihak.
"Tidak sangka boleh jumpa awak di sini..." kata Syam kepadaku.
"Ya. Er... pandai awak main piano ya, Syam?"
"Alah. Biasa-biasa sahaja..."
"Lagu-lagu yang awak mainkan tadi semuanya kegemaran saya awak tahu?"
"Betul?" Soalnya bagaikan tidak percaya.
"Ya..." aku mengangguk. "Mesti awak pandai main muzik klasikal bukan?"
"Bolehlah sikit-sikit... " Syam malu-malu untuk mengakui kebolehan.
"Cubalah mainkan satu Syam..."
"Apa yang saya hendak mainkan untuk awak ya Marina?" Syam berfikir untuk seketika. "Awak dengar ya Marina..." kata Syam sambil tersenyum. Dia memulakan petikan pianonya dan memainkan satu lagu gubahan Janusz Olejniczak. Aku mengetahui tentangnya melalui filem The Pianist. Runut bunyi filemnya selalu aku dengar.
"Awak suka filem itu Syam?"
"Ya," Dia mengangguk.
"The pianist!" Kami sama-sama menyebutnya.
"Gitar pun ada di sini..." aku mengambil gitar yang disandarkan pada dinding.
"Pak Cik Lan memang suka kumpul alat-alat muzik."
"Awak pandai main gitar Syam?"
"Bolehlah sikit-sikit. Awak hendak dengar saya mainkan gitar itu Marina?"
"Apa salahnya. Kalau awak sudi mainkan untuk saya."
"Okeylah. Lagi pun bukan selalu kita dapat peluang untuk berjumpa. Awak pun asyik sibuk sahaja."
Kata-kata Syam membuatkan aku terdiam. Aku tahu dia menyedari yang aku cuba mengelak daripadanya.
"Saya tujukan lagu ini khas untuk awak Marina," kata Syam. Dia mula memetik gitar.
Kau masih cantik seperti dulu....
Saat pertamaku jumpa denganmu…
Sepanjang Syam menyanyikan lagu 'Aku dan Kamu' itu, aku menghayati lirik lagu Flop Poppy yang dinyanyikannya. Aku tidak tahu sama ada dia benar-benar maksudkan lirik lagu yang dinyanyikannya atau pun itu sahaja satu-satunya lagu yang dia tahu mainkan. Apa yang pasti, aku terbuai dengan petikannya yang begitu mengasyikkan.
"Hebat...!" Aku bertepuk sebaik sahaja dia membuat petikan terakhir.
"Saya tahu awak pun boleh main gitar bukan? Awak pernah beritahu saya..." tanya Syam.
"Saya sudah lama tidak sentuh gitar Syam," aku memberi alasan.
"Cuba sahaja. Apa-apa kod yang awak ingat," dia menyerahkan gitar itu kepadaku.
Sejujurnya, aku tidak mahu bermain gitar di hadapan Syam dalam keadaan tidak bersedia. Namun, aku cuba mengingati kod-kod lagu Britney Spears, 'Don't Let Me Be the Last to Know', yang pernah Ally ajarkan padaku dahulu.
"Ini sahaja yang saya tahu. Kalau sumbang maaf ya..." kataku sebelum mula menyanyi dan memetik kod-kod lagu itu dengan penuh perasaan.
"That’s amazing!" Syam bertepuk sebaik sahaja aku habis bermain. Harapnya dia betul-betul maksudkan apa yang dikatakannya dan tidak sekadar mahu mengambil hatiku.
"Ehemm...!" Satu suara tiba-tiba muncul di ruangan itu. Kami berdua berpaling ke arahnya. "Di sini rupanya kau Marina. Amboi-amboi, mesranya kamu berdua. Sudah berkenalan dahulu nampaknya. Tidak sempat tunggu malam ini untuk makan malam."
"Kami sudah lama kenal sebenarnya Zue..." kata Syam.
"Ha?! Sudah lama kenal?" Miss B terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Syam. Selepas ditanya itu dan ini, aku dan Syam pun bercerita dengan lebih lanjut lagi kepada Miss B mengenai hubungun kami. Aku tidak menyangka kedatanganku ke Rumah Tradisi membuka satu lagi cerita yang tidak pernah aku duga.
Namun, apa yang menghairankanku ketika itu, bagaimanakah Miss B tidak pernah berkata apa-apa tentang Syam sedangkan Hey pernah menyiarkan cerita mengenai Syam semasa liputan tentang Festival Anime itu? Entahlah, barangkali penampilan Syam yang berbeza pada ketika itu menyukarkan Miss B untuk mengecamnya.
"Marina. Ada baiknya kau bersiap sekarang. Miss R baru sahaja habis mandi," kata Miss B.
"Em... okey" Aku berlalu meninggalkan Syam dan Miss B.
"Jangan lupa pakai baju kurung..." pesan Miss B.
"Okey," balasku ringkas. Nasib baik Miss B mengingatkan aku tentang baju kurung tersebut. Jika tidak, mungkin aku akan memakai skirt Bohemian labuh malam itu.
Aku bergegas ke bilik mandi dan menghabiskan masa lima belas minit untuk membersihkan diri dan memperbaharui solekan. Walaupun ditegah oleh Miss R, aku berkeras untuk mengenakan baju kurung berwarna putih kerana aku tidak berkesempatan untuk menggosok baju lain yang kebanyakannya renyuk. Namun, aku berjanji kepadanya yang aku tidak akan keluar rumah malam itu. Kalau terpaksa keluar pun, aku akan mengenakan jaket hitam untuk mengelakkan orang yang melihatnya berasa takut.
"Mari turun semua!" Kata Miss B. Dia tersenyum melihat kami yang cantik dan berseri dengan berbaju kurung. Oleh kerana aku terlupa untuk membawa minyak wangiku sendiri, aku mendekatkan diri dengan mereka semua serapat-rapatnya sebelum sampai ke ruang makan dengan harapan bau wangi mereka akan melekat denganku.
Semasa sedang menuruni tangga, kami dapat melihat lima budak lelaki yang lengkap berbaju Melayu sedang duduk di situ. Syam, Pak Cik Lan dan seorang lagi wanita berusia lanjut yang digelar Mak Som juga telah mengambil tempat. Mereka kelihatan bersedia untuk menjamah makanan.
"Mereka berlima itulah yang hendak kena ‘potong’ malam ini," bisik Miss B. Kami berhenti sebentar di tangga untuk mendengar kata-kata Miss B.
"Maksud kau mereka akan 'dipotong' di situ nanti? Bukan di klinik?" Tanya Miss D.
"Ya. Betul. Di ruang tamu itulah nanti mereka semua akan 'dipotong'. Doktor akan datang sekejap lagi. Selepas sahaja mereka makan, satu persatu akan 'dipotong'. Selepas kena 'potong' nanti mereka tidak boleh makan sedap-sedap seperti biasa. Mereka perlu berpantang dalam dua minggu begitu."
"Eh? Apa yang kamu semua buat di tangga? Mari turun makan.." kata Pak Cik Lan apabila melihat kami sedang berborak-borak di tangga.
Kami semua turun dan mengambil tempat. Sambil duduk bersila, kami menikmati makanan yang dihidang. Lauk pauk yang Pak Cik Lan sediakan memang sangat sedap sekali. Ada lima jenis kesemuanya. Semua yang berada di situ tidak bercakap walau sedikit pun. Terutama sekali kelima-lima budak lelaki itu. Aku tidak pasti sama ada mereka menikmati lauk-lauk yang sedap itu atau pun sedang gementar memikirkan nasib mereka selepas makan malam itu. Hanya Pak Cik Lan saja yang selalu bersuara memecah sunyi. "Tambah lagi... Jangan malu-malu... Ada banyak lagi di dapur..." itulah ayat-ayat yang diulang-ulang olehnya sepanjang makan malam itu.
Beberapa minit selepas kami semua habis makan malam, doktor yang dipanggil khas untuk mengkhatankan mereka pun tiba. Mereka dibaringkan di atas sebuah katil dan kain seperti kelambu dipasang untuk menutup bahagian dada sehingga ke kaki. Kelima-lima mereka diasingkan di dalam sebuah bilik menunggu.
Kami berempat kembali duduk di tangga sambil mendengar cerita Mak Som. Sebenarnya kami bukanlah berminat sangat untuk mendengar cerita Mak Som. Tujuan kami hanyalah untuk melihat reaksi mereka berlima. Kami hendak lihat bagaimana muka budak-budak itu berkerut apabila kena ‘potong’.
Aku pergi sebentar ke atas untuk ke bilik air. Semasa turun, aku terlihat sebuah ruang bacaan yang terletak di tingkat dua. Aku mencuri sedikit masa dan melangkah masuk ke ruangan itu bagi melihat-lihat apa yang ada di dalamnya, mataku liar memerhatikan buku-buku yang tersusun di ruangan itu. Kemudian, aku terpandang sebuah potret kecil yang mana dalamnya, terdapat seorang budak lelaki sedang bergambar di dapur sambil memakai topi chef tinggi berwarna putih. Dalam gambar itu juga, kelihatan seperti dia sedang membancuh adunan di dalam sebuah mangkuk besar di dapur rumah itu.
"Itu gambar saya semasa umur saya sebelas tahun," tiba-tiba satu suara kedengaran. Pantas aku menoleh.
"Syam..."
"Maafkan saya Marina. Saya mengejutkan awakkah?"
"Tidaklah," aku meletakkan kembali potret itu perlahan-lahan.
"Topi yang saya pakai itu ialah topi Pak Cik Lan," terang Syam. Dia mengambil salah sebuah buku resipi yang terdapat pada salah satu rak buku di situ.
“Cuba lihat ini Marina,” Syam menunjukkan kepadaku gambar kek coklat yang terdapat dalam buku itu. "Kalau awak hendak tahu, kek coklat inilah yang saya buat dalam gambar itu."
"Betul Syam?"
"Betul... Kenapa? Awak tidak percaya?"
"Percaya. Cuma...."
"Cuma apa Marina?"
"Apa kata kalau awak buat untuk saya satu?" Kataku bercanda.
"Boleh. Tiada masalah. Awak hendak bila?"
"Bila-bila pun boleh. Tetapi awak serius hendak buat satu untuk saya? Saya tidak paksa awak okey. Saya bergurau sahaja tadi."
"Bagaimana kalau saya buat malam ini juga? Saya rasa, semua bahan-bahannya ada di dapur."
"Malam ini Syam? Awak serius?!"
"Ya!" Kata Syam.
Setelah mempertimbangkan cadangan yang diutarakan Syam, aku bersetuju. Kami turun ke bawah dan meminta izin dengan Pak Cik Lan untuk menggunakan dapurnya. Dengan hanya menggunakan riak muka, Miss B, Miss R dan Miss D yang masih lagi berada di tangga bertanya kepadaku apa yang aku dan Syam ingin lakukan pada ketika itu. Aku hanya tersenyum dan mengenyitkan mataku kepada mereka.
Setelah mendapat keizinan daripada Pak Cik Lan, kami segera ke dapur dan mula menyukat bahan-bahan yang diperlukan untuk kek coklat itu.
"Sekarang, awak lihat sahaja. Jangan sentuh apa-apa pun," kata Syam sebaik sahaja kami selesai menimbang sukatan.
"Berapa biji yang awak hendak buat Syam?"
"Dua biji sahaja," jawab Syam. Dia nampak sangat fokus. Sememangnya, resepi kek coklat itu memang sudah berada dalam kotak memorinya. Sepanjang proses itu, dia langsung tidak merujuk kepada buku resepi yang ditunjukkannya kepadaku. Perlahan-lahan, dia memasukkan satu persatu bahan-bahan yang telah kami sukat bersama ke dalam mangkuk kaca berwarna putih. Dia menggaul sebati ke semua bahan-bahan itu sehingga akhirnya menjadi satu bancuhan pekat yang sedia untuk dibakar.
Segala apa yang aku lihat pada malam itu mengingatkan aku tentang sesuatu yang telah aku lupakan untuk sekian lamanya. Aku mula mengingati saat kami berada di sekolah dahulu. Ketika itu, Syam selalu sahaja membawa kuih dan kek ke sekolah. Kemudiannya dia akan kongsikan dengan kami semua yang berada di dalam kelas.
"Syam... awak masih ingat lagi dahulu semasa di sekolah? Awak selalu bawakan kami kuih dan kek."
"Mestilah... Saya masih ingat lagi semua itu."
"Jadi awaklah yang buat semua kuih dan kek itu dahulu ya?"
"Ya. Tetapi ada ketikanya emak saya yang buatkan."
"Saya tidak sangka dahulu yang semua itu sebenarnya hasil tangan awak Syam. Kalaulah saya tahu..."
"Kalaulah awak tahu, apa yang awak hendak buat?"
"Sudah lama saya suruh awak buatkan kuih dan kek untuk saya."
"Sekarang awak sudah tahu bukan? Habislah saya!" Kata Syam sambil ketawa.
"Seronok bukan apabila terkenangkan memori-memori lama? Rasa hendak kembali sahaja semula ke masa lalu," kata Syam. Daripada cara percakapannya, aku tahu dia ingin mengatakan sesuatu. Namun, hasratnya itu tidak diteruskan. Enggan menyoal lanjut, aku hanya tersenyum melihat gelagatnya.
Selesai sahaja membakar adunan itu, Syam segera mengeluarkan kedua-dua loyang dari ketuhar. Aku begitu teruja sekali untuk melihat hasilnya.
"Wow! Nampak cantik. Mesti sedap rasanya," kataku apabila melihat dua biji kek coklat yang baru sahaja dikeluarkan dari ketuhar itu. Syam memotong satu daripada kek itu dan memberikan sepotong kepadaku.
"Sedapnya Syam..." pujiku selepas menyuap sesudu kek itu ke dalam mulutku. Sememangnya rasa kek itu sangat sedap dan aku tidak hanya ingin mengambil hati Syam.
"Betul?"
"Ya, Syam. Sedap sangat rasanya. Awak hendak hidangkan malam inikah?"
"Eh. Tidaklah. Satu kita beri pada budak-budak yang baru kena 'potong' itu dan satu lagi boleh dijadikan bekalan untuk awak semua mandi sungai esok."
"Bolehkah budak berlima itu makan kek ini?" Tanyaku mengenangkan mereka yang bakal berpantang.
"Mestilah boleh. Sebab kek ini tiada telur," jawab Syam.