Februari 2013
Pagi itu merupakan satu pagi yang indah. Gina yang berada di sebelah kananku sedang memandu dengan kadar 60 kilometer sejam. Arah tujuan kami ketika itu ialah Kafe Dr Love yang terletak di Petaling Jaya.
Sambil berbual-bual dengan Gina, aku menyelak helaian jurnal berwarna merah yang berada di tanganku. Aku telah menghabiskan malamku dengan menelaah jurnal itu. Dalam jurnal itu, aku coretkan segala yang aku lalui sepanjang lima tahun yang lalu. Saat suka, duka, pahit, manis dan tragis semuanya aku catatkan di situ.
Menyelak jurnal itu membawa aku lari sebentar daripada realiti yang mengelirukan dan kembali ke masa lampau. Aku sebenarnya berada dalam dilema. Aku perlu membuat keputusan. Berkali-kali kata-kata ini bergema dalam fikiranku, 'apa jua yang berlaku pada masa akan datang adalah daripada apa yang aku putuskan pada hari ini'. Seseorang pernah memberitahuku bahawa kehidupan merupakan guru yang terbaik bagi setiap orang. Berbekalkan jurnal yang dipenuhi dengan memori itu, aku menoleh ke belakang untuk membantu aku mencari jawapan. Dalam kata lain, aku merujuk kepada guru yang selama ini setia berada di belakangku.
Jam ketika itu menunjukkan pukul sembilan lima minit pagi. Kebiasaannya, Dr Love dibuka pada jam sembilan setengah pagi dan Ally, si tuan kedai akan datang satu jam awal untuk membersih dan mengemas apa yang patut.
Aku selalu datang ke Dr Love apabila ada masa lapang. Kebetulan pula, aku kenal rapat dengan Ally, pemilik kafe yang sentiasa menanti kehadiranku dan rakan- rakan. Selain memberi sokongan kepada kafenya, aku dan yang lain selalu datang ke situ kerana menyenangi persekitaran kafe itu. Rekaannya menarik dan yang paling penting, makanan dan minuman yang dihidangkan di situ kena dengan selera kami. Harga yang dikenakan juga berpatutan.
Aku dan Gina sudah merancang untuk menikmati secawan teh panas dengan tenang pada pagi itu di Dr Love. Namun, rancangan itu nampaknya terganggu apabila kawan kami yang bernama Julia datang bersama-sama dengan ceritanya yang menggemparkan.
"Habislah aku Ally! Habislah aku Gina! Habislah aku Marina!" Kata Julia sebaik sahaja dia datang ke meja kami. Wajahnya nampak runsing.
"Kenapa? Apa yang terjadi sebenarnya Julia?" Tanya Ally. Kami bertiga menunggu penjelasan daripada Julia.
"Ally. Aku pernah beritahu kau tentang Sam dan bisnesnya yang baru bermula itu. Kau masih ingat?" Tanya Julia.
"Ya," jawab Ally mengangguk. "Kenapa Julia? Ada apa-apa yang tidak kena?"
"Baiklah. Aku sebenarnya ada pinjamkan sejumlah wang kepada Sam..."
"Berapa banyak yang kau beri kepada Sam?" Tanya Ally.
"Adalah dalam... satu ratus ribu."
"Wow!" Aku, Gina dan Ally saling berpandangan.
"Banyak sangat jumlah wang yang kau berikan itu Julia..." kata Gina. Julia terdiam. Dia menunduk. Kerisauan nampak jelas pada wajahnya.
"Aku hanya ingin membantu dia Gina. Aku yakin dengan idea Sam. Aku mahu jadi rakan kongsi Sam demi masa depan kami bersama. Sebab itu aku sanggup dahulukan wang sebanyak itu untuk Sam."
"Sam sendiri yang minta kau pinjamkan wang sebanyak itu kepadanya?" Tanya Gina lagi.
"Tidak, Gina. Pada awalnya, semasa Sam cerita tentang idea bisnes dia, aku sendiri memang minat untuk jadi rakan kongsi. Dia kata kalau aku berminat, aku boleh sumbangkan modal dalam dua puluh peratus. Tetapi, aku dengan sukarela beri modal sebanyak itu kepada Sam sebab aku benar-benar yakin dengan idea dia. Aku yakin idea Sam dapat direalisasikan!"
Melihat kepada situasi itu, aku terfikir bagaimana agaknya Julia boleh terjerumus ke dalam permasalahan itu. Mengenali Julia, aku tahu dia melakukannya kerana percaya dan sayang kepada Sam. Sepanjang aku berkawan dengannya, aku dapat melihat yang kadang - kala dia lebih mementingkan orang lain daripada dirinya sendiri. Terutama sekali mereka yang istimewa dalam hidupnya.
"Okey. Jadi apa yang berlaku? Apa yang buatkan kau runsing sebegini Julia?" Tanyaku pula.
"Beberapa hari yang lalu, selepas sebulan perniagaan itu dibuka, aku dengar cerita daripada kawan Sam, katanya pihak berkuasa akan kenakan tindakan ke atas Sam."
"Kenapa pula?" Tanyaku lagi.
"Kerana dia melanggar undang-undang. Aku pun kurang pasti apa dan kenapa. Aku perlu dapatkan penjelasan Sam," jelas Julia. Dia berhenti seketika sebelum menyambung penjelasannya. "Jika apa yang aku dengar itu betul, ada kemungkinan yang perniagaannya itu akan ditutup dan dia bakal berdepan dengan tindakan undang- undang. Dia mungkin akan disaman. Jika itu berlaku, Sam sudah pasti tidak dapat pulangkan semula wang yang dia pinjam dalam masa yang terdekat. Habislah aku. Wang yang aku bagi sebenarnya ambilan daripada perniagaan aku. Habislah aku! Wang lebihan yang ada pula hanya cukup untuk perbelanjaan harian sahaja..."
"Huh!" Ally mengeluh. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia nampak sukar untuk mempercayai apa yang baru didengarnya.
"Kau sudah bincang dengan Sam tentang perkara ini?" Tanya Gina.
"Belum lagi. Aku tunggu Sam beritahu hal ini daripada mulut dia sendiri," kata Julia.
Aku bersimpati dengan Julia. Aku faham akan kerisauannya. Kehadiran Julia pada pagi itu secara tidak langsung membuatkan aku terfikir akan nasib diriku.
Aku mengambil buku jurnalku itu dan membaca ayat-ayat terakhir yang aku tulis sebelum aku menyambung catitanku tentang Julia.
Jika aku kurang jelas dengan konsep takdir sebelum ini, menyelak kembali jurnal ini membuatkan aku mula memahami bagaimana segalanya berputar dalam kehidupan kita. Takdir ditentukan, keinginan dan harapan diluahkan, petanda diberi dan tindakan perlu diambil. Takdir punyai banyak sisi yang memungkinkan kita untuk memilih. Kita sentiasa diberi pilihan dan setiap seorang daripada kita bertanggungjawab ke atas kehidupan kita dalam realiti yang penuh misteri ini.
By : Kid Haidér / KidHaider / Khidir M. Yazir / Mohamad Khidir Bin Mohamed Yazir