10,492
Kategori:
Genre:
BAB 3
BAB 3

Kakiku tertala ke luar pagar sekolah. Panas terik betul. Namun terserlah warna-warna kehitaman di dada sang langit. Mungkin sebentar lagi cuaca panas ini akan berganti dengan kedinginan dari sang hujan. Namun peluh renik tetap berlumba-lumba turun pelipis dahi. Kepanasanku meningkat dua kali ganda sebab aku masih berpakaian sekolah dan bertudung. Hmm…tudung lagi! Tapi jangan salah faham pulak. Bukanlah bermaksud aku nak langgar arahan sekolah. Pakai tetap pakai. Sampai rumah nanti baru aku tanggal.

Teriknya mentari seolah-olah menjilat segenap kulit. Bertambah legamlah kulitku nampaknya. Mujurlah kulit aku ni memang semulajadi gelap. Tapi takdelah gelap macam arang. Kira ala-ala Jennifer Lopezlah! Kelas gitu. Perasan? Memang aku perasan. Peduli apa aku. Kalau aku tak puji diri sendiri, siapa lagi nak puji?

Dari jauh kelibat sayup-sayup kelihatan kedai Pak Ali. Namun bukan itu yang menjadi tumpuan kornea mataku. Sesusuk tubuh tegap yang terpacak di hadapan pintu kedai yang menarik minatku. Super-duper kacak! Cuma nampak macam alim-alim aje. Dengan jubah bagai, siap pakai serban lagi. Ada iras-iras peserta Imam Muda gitu. Cuma yang ni versi muda remaja.

Derap kaki makin dekat. Sesopan mungkin aku melangkah. Kontrol habis! Sebijik macam gadis melayu terakhir. Nasib baik Eja, Zura dan Ayu takde kat sini. Kalau tidak mahu mati keras diorang gelakkan aku.

“Ehem…Assalamualaikum.”

Aku terus kejung. Kaku. Biar betul? Imam muda ni tegur aku?

Malu-malu aku jawab. “Err…waalaikumsalam.”

Imam muda tu senyum. Pergh!!! Manis seh! Mahu pitam aku di buatnya ni!

“Nak tumpang tanya, kat mana rumah Ustaz Bahri ya?”

Hmm…dia tanya Ustaz Bahri lah. Anak Ustaz Bahri kot? Nampaknya lepas ni keraplah aku lalu-lalang depan rumah Ustaz Bahri.

“Dekat aje dari sini. Nak saya tunjukkan ke?”

Dia senyum lagi. Ya Allah! Kenapalah manis sangat senyuman tu? Rasa nak tercabut dah jantung ni.

“Kalau sudi, saya sangat berbesar hati. Silakanlah. Saya menyusul di belakang.”

Aku kerut dahi. “Lah, jomlah kita jalan sama-sama. Tak boleh ke? Aha, lupa pulak. Tak sopanlah kalau orang tengok Imam Muda jalan berdua-duaan dengan awek cun macam saya ni, kan?”

Imam Muda terus tertawa. Namun terkawal. Confirm tak boleh lawan ilai tawa aku yang sipi-sipi lagi nak jadi macam Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.

“Masya-Allah...Ini memang kelakar. Saya bukan Imam Muda. Saya cuma insan biasa aje. Panggil saya, Syahmi.”

Patutlah nampak bijak dan berani orangnya. Makna nama Syahmi tu pun dah bermaksud seorang yang mulia, bijak lagi berani. Sesuai betul dia ni masuk list bakal suami aku ni.

“Oh, yeke? Sorilah ya. Muka awak memang ala-ala suci-murni macam Imam Muda kat dalam tv tu. Saya Jadira. Panggil Jad aje.”

Aku hulur tangan. Dia hanya senyum kambing. Aish! Lupa lagi. Dahi ku tepuk perlahan. Sah-sahlah Imam Muda ni takkan salam aku punya.

“Jad? Kenapa Jad? Kan manis kalau panggil Jadira aje? Setiap kali nama penuh kita di panggil, ianya seumpama rahmat dari Allah akan turun pada kita. Jadira tu dah cukup indah, cukup unik. Tak perlu nama glamour lagi.”

Aku tersentak. Ceh! Tak pasal-pasal kena tarbiah pula tengahari rembang ni. “Oklah. Tak kisahlah awak nak panggil apa. Panggil Jadira pun boleh juga. Eh, dah lewat ni. Jomlah kita pergi rumah Ustaz Badri sekarang. Tapi rasanya baik awak yang jalan kat depan. Nanti tak pasal-pasal kurang pula pahala awak.”

Giliran Syahmi pula yang tersentak. “Hmm...kurang pahala? Kenapa pula?”

Masuk juga dia dalam perangkap aku. “Yalah! Karang saya tergelek-gelek jalan, sedap aje awak cuci mata tengok punggung saya nanti.”

Terkebil-kebil Syahmi mendengar kata-kata tanpa tapisan dariku. Tulah, nak tarbiah orang konon! Kan dah terkena sebijik. Kemudian aku berpaling ke hadapan. Tanpa menghiraukannya, langkah kaki ku tala laju-laju. Terkial-kial Syahmi mengikutiku dari belakang.

“Jadira! Perlahanlah sikit. Tak terkejar saya!”

Aku sengih. Tahu pun penat. Tu belum lagi aku pamer skil larian ala-ala Usain Bolt. Mahu kena semput juga Imam Muda ni nanti!

“Awak tak pernah exercise ke? Kenapa teruk sangat stamina ni? Buat malu kaum lelaki ajelah.”

Syahmi mendekatiku. Nafasnya tersekat-sekat. “Kali terakhir saya exercise pukul enam pagi tadi. Saya yakin mesti awak pun sama.”

Biar betul dia ni? “Aik? Exercise apa pulak pagi-pagi buta camtu?”

“Dalam sehari kan wajib kita rukuk, sujud sebanyak lima kali. Pagi tadi bila saya solat Subuh, ianya suatu bentuk exercise juga. Kalori tubuh terbakar, minda juga lebih terpelihara.”

Aku mendengus. Dah mula balik dengan tarbiahnya tu. Malas aku nak dengar. Cepat-cepat aku pacu kaki ke hadapan. Alamak! Tiba-tiba mata aku ternampak adegan yang tak berapa nak menarik di tembok batu nun di depan sana. Erkk?! Pusing ke jalan terus? Pusinglah! Hmm...tapi kalau tak buat salah, buat apa nak takut? Ah, redah ajelah!

Previous: PROLOG
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.