
Sesungguhnya
Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya)
ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah
bagi umat manusia. (Surah Ali Imran, Ayat 96)
Khamis
5 Mei 2013 adalah acara bebas. Tiada jadual yang ditetapkan oleh mutawif. Semua
Jemaah bebas bergerak di sekitar Kota Mekah. Bagaimanapun rutin harian tetap
solat fardhu di Masjidil Haram, seboleh mungkin dan melakukan tawaf sunat.
Kota
Mekah, kota yang sentiasa sibuk dan paling barakah dari mana-mana tempat di
muka bumi ini. Ini kerana dua perkara penting yang terdapat di sana iaitu: (i)
Terdapat Baitullah atau Kaabah dan (ii) Mekah adalah tempat kelahiran Junjungan
Nabi Muhammad SAW.
Sejarah
Kaabah berkait dengan Sejarah Nabi Ibrahim A.S. yang membina Kaabah bersama
anaknya Nabi Ismail. Juga berkait dengan kisah percintaan Nabi Ibrahim dan Siti
Hajar. Bagaimana Siti Hajar ditinggalkan di lembah gersang tanpa penghuni,
kemudian air Zam-Zam ditemui dan selepas itu Suku Jurhum mula membuat
penempatan, penduduk bertambah.
Nabi
Ibrahim kembali kepada anak dan isterinya Siti Hajar, dikatakan selepas 13
tahun. Kemudian Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim membina Baitullah
(Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail a.s
"Sesungguhnya
Allah SWT telah memerintahkan aku satu perkara" Lalu Nabi Ismail a.s
berkata: "Lakukanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada
kamu" Nabi Ibrahim a.s bertanya: "Adakah kamu akan menolongku?"
Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku akan menolongmu" Lalu beliau berkata:
"Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku supaya membina sebuah
rumah (Kaabah) di Mekah, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang
lebih tinggi dari kawasan sekitarnya."
Mengikut
sirah Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam dilahirkan pada 12 Rabiul Awal
Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masehi, di suatu tempat yang dinamakan
lembah Abi Thalib, dikatakan terletak 200 meter dari Masjidil Haram. Ketika
Nabi berhijrah ke Madinah, rumah tersebut ditinggalkan kepada Aqil bin Abi
Thalib.
Kemudiannya
anak-cucu Aqil mendiami rumah tersebut sehingga rumah tersebut dibeli oleh
beberapa orang termasuk Harun Al-Rashid. Harun Al-Rasyid membangunkan sebuah
Masjid yang dinamakan Al-Khaizuran. Oleh kerana ianya terletak berhampiran
Masjidil Haram, Masjid tersebut dirobohkan oleh Syaikh Abbas Qatthan, wali Kota
Makkah pada tahun 1370 Hijrah atau 1950 Masihi, dan didirikan sebuah
perpustakaan.
Ketika
melakukan ibadah Sa’i boleh melihat tapak bangunan yang sedang diubahsuai
sebuah perpustakaan yang dinamakan sebagai ‘Perpustakaan Makkah” atau “Maktabah
Makkah Al Mukarromah”. Ia terletak di sebelah timur Safa dan Marwah. Kawasan
itu adalah kawasan larangan, dan tidak dibuka kepada Jemaah walaupun di musim haji.
Ini
mungkin bagi mengelakkan amalan-amalan khurafat yang mungkin dilakukan oleh jemaah.
Perkara ini amatlah dilarang. Sebuah papantanda besar diletakkan di situ yang
bertulis “Tidak dibenarkan dan tidak ada dalam dalil dalam Islam untuk
menjadikan perpustakaan atau tempat kelahiran Nabi untuk mencari berkat. Tidak
ada dalil dalam Islam menjadikan gedung perpustakaan ini sebagai tempat ibadah.
Rasa cinta kepada Nabi hendaknya dilakukan dengan melaksanakan sunnahnya."
Kesempatan
yang ada diambil untuk berjalan-jalan di sekitar Kota Makkah. Aku menemani
isteriku mengunjungi pusat jualan yang terletak di kompleks perniagaan sekitar
kota Makkah. Mencari barang keperluan dan hadiah untuk dibawa pulang seperti
jubah dan pakaian kanak-kanak. Isteriku mendapatkan beberapa helai jubah
kanak-kanak dan jubah dewasa untuk dihadiahkan kepada saudara-mara di tanahair.
Hampir
semua peniaga yang kami kunjungi di kompleks Safwa Tower itu menegur dan cuba
beramah mesra dengan anak istimewa kami, Iris. Namun mereka gagal untuk
bermesra. Iris akan menarik-narik tangannya ketika dipegang dan memanjatku.
Mereka
yang melihat keadaan iris, ada yang faham ada yang kurang faham dengan perangai
Iris. Bagi yang faham akan berkata kepadaku “Sabra, U’du ni Insya-Allah.” Yang bermaksud Sabar, berdoalah! Insya-Allah.
“Ladaika ibna khasah,” kata seorang
penjual di sebuah gerai tekstil yang bermaksud, kamu ada seorang anak istimewa.
Azan
Asar berkumandang dari Masjidil Haram, aku kemudiannya cepat-cepat meninggalkan
isteri dan anak-anakku di Safwa Tower,
aku perlu bersegera ke masjid untuk solat Asar berjemaah. Insya-Allah sebanyak
100 ribu ganjaran pahala menanti di sana.


Selesai
solat aku bergegas mendapatkan isteri dan anak-anakku di Safwa Tower,
kemudiannya Iris ku gendong di belakang dan kami berjalan balik ke hotel
penginapan. Sekali lagi perlu melalui jalan yang berdebu serta berbatu kasar
kerana di sepanjang jalan menuju ke hotel, kerja-kerja merobohkan bangunan
sedang giat dijalankan.