BAB 5: PESAN USTAZ
Aku
cuba melupakan apa yang telah berlaku dan sekarang menumpukan perhatian kepada
perjalan ke tanah suci yang akan mengambil masa selama 13 hari 12 malam.
Mengikut jadual yang telah diberikan, sebanyak empat hari kami akan mengunjungi
Madinatul Munawarah dan baki
selebihnya akan mengerjakan umrah di tanah suci Makkah.
Pada
malam pemergian kami ke tanah suci, aku membayangkan bagaimana segala tempat
bersejarah yang pernah didengar dan dibaca selama ini akan berada di depan
mata, ketika di tanah suci nanti.
Pesan
Ustaz Bukhari padaku “Apa saja yang kita baca dalam sejarah Makkah ada di sana.
Kaabah, air Zam-Zam, Safa dan Marwah.”
Ustaz
Bukhari Md Akhir adalah seorang pegawai agama dari Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) yang ditempatkan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Kebetulan beliau berada di sebelah bilikku di pejabat. Jadi amatlah mudah untuk
aku bertanya dan berbincang serta mendapat sedikit pedoman berguna berhubung
perjalanan ke tanah suci.
Ustaz
Bukhari berpesan “Umrah dan haji adalah perbuatan, perbuatan kena betul baru
sah, kalau tak boleh hafal bacaan dalam tawaf pun tak apa yang penting niat,
jumlah pusingan dan bahu mesti mengadap Kaabah.”
Pesan
Ustaz lagi “Ada banyak tempat di mana doa mustajab di kawasan Baitullah dan
Masjidil Haram.”
“Kalau
boleh berdoa, minta apa sahaja yang baik di tempat-tempat mustajab doa,”
sambung Ustaz Bukhari lagi.
Ustaz
Bukhari kemudiannya menyebut tempat-tempat mustajab untuk berdoa di sekitar
Baitullah. Aku mendengar dengan penuh minat kerana inilah sebenarnya harapan
untuk kami sekeluarga menjejakkan kaki di hadapan Baitullah dan mengunjungi
Masjidil Haram.
Kami
perlu berdoa untuk kebaikan dan kesihatan anak perempuan kami yang mengidapi
autisma. Diantara tempat-tempat yang mustajab doa, seperti yang dimaklumkan
oleh Ustaz Bukhari adalah seperti berikut:
(i)
Multazam ialah satu kawasan di antara Hajar Aswad dengan pintu Kaabah. Jaraknya
adalah dalam lingkungan dua meter. Waktu mustajab adalah di antara pertengahan
malam dan azan Subuh.


(ii)
Di belakang Makam Ibrahim. Makam Ibrahim ialah satu kawasan yang terletak di
Dataran Kaabah, dan dikatakan tempat Nabi Ibrahim memijak sebuah batu ketika melengkapkan
bahagian atas binaan Kaabah bersama Nabi Ismail. Sekarang terdapat bekas tapak
kaki Nabi Ibrahim yang diletakkan dalam satu binaan. Waktu mustajab ialah di
antara azan Subuh dengan solat Subuh.


(iii)
Di belakang telaga Zam Zam. Kawasan ini terletak kira-kira 7.5 meter ke kiri
dan kira-kira lapan saf di belakang Makam Ibrahim. Masa yang mustajab ialah
bila-bila masa.
(iv)
Di Hijir Ismail dan di bawah pancuran emas. Hijir Ismail adalah satu kawasan
yang dianggap di dalam Kaabah. Jika menyentuh tebing atau masuk ke dalamnya
apabila melakukan tawaf, tawaf dikira batal. Manakala pancur emas adalah sebuah
pancur yang berkedudukan di bucu Kaabah dalam kawasan Hijir Ismail. Waktu
mustajab berdoa ialah selepas azan Asar dan azan Maghrib.


(v)
Dua meter sebelum Rukun Yamani. Lokasi ini adalah bertentangan Multazam,
sebelum Rukun Yamani. Waktu berdoa ialah bila-bila masa.
(vi)
Di Rukun Yamani, dikatakan tedapat 70 Malaikat yang mengaminkan doa yang
dipohon oleh jemaah.

(vii)Depan
Pintu Kaabah boleh berdoa bila-bila masa.

