9
Mei 2013. Hari ke 8 dalam perjalanan ziarah dan umrah.
Pagi
itu di dewan makan, Ustaz Zakaria mengumumkan bahawa satu majlis kenduri akan
diadakan. Bacaan Yaasin dan doa Selamat akan turut diadakan berserta aqiqah.
Perkara yang sama turut di maklumkan oleh Ustaz Zul dalam perjalanan ke
Hudaibiyah dan ketika kami meninggalkan Madinah.
“Siapa-siapa
yang nak buat aqiqah boleh ... seorang dikenakan sebanyak 450 riyal. Kita akan
terima kambing yang siap dimasak,” Ustaz Zul menambah makluman kepada jemaah.
“Kalau
siapa-siapa yang nak masuk boleh serahkan duit kepada Ustaz Zakaria. Lepas tu
kena wakilkan Ustaz Zakaria untuk uruskan sembelihan kambing aqiqah,” Ustaz Zul
menerangkan cara penyertaan aqiqah.
“Besar
ganjaran pahalanya siapa yang buat aqiqah di Tanah Haram. Setiap satu amalan
sunat akan digandakan sebanyak 100,000 pahala, “Ustaz Zul mewar-warkannya.
“Kita
akan buat kenduri aqiqah padapagi Selasa, 10 Mei nanti. Belanja untuk makan
tengahari hari itu kita gabungkan dengan kenduri aqiqah,” Ustaz Zakaria turut
menambah.
“Siapa
yang tak mampu nak buat aqiqah boleh sedekah berapa saja yang mampu. Kita
sedekah untuk buat kenduri, besar ganjaran pahalanya,” tambah Ustaz Zul.
Allah
s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 261:

“Bandingan (derma atau nafkah)
orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seumpama sebiji
benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100
biji. Allah melipatkan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha
Luas (kurnianya) lagi Maha Mengetahui"
Berdasarkan
kepada ayat di atas, satu amal kebajikan yang dilakukan oleh seorang hamba
dengan syarat bahawa amalan itu sah dari sudut syara', mengikut syarat dan
rukunnya, serta ikhlas kerana Allah s.w.t akan diberikan ganjaran paling minima
dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda, malahan lebih daripada itu dengan
izin Allah.