Pusat Perubatan
Damansara One, Petaling Jaya
PAGI ini Fariz Zafar diarahkan untuk mengambil
Faryna dari hospital untuk dibawa pulang ke rumah. Rasa malas mula menyelinap
di hatinya sebaik sahaja menerima arahan itu dari Tan Sri Daud.
Kakinya melangkah
perlahan seolah-olah diheret sebaik sahaja memasuki foyer pusat perubatan ini.
Bila pintu lif terbuka, Fariz sengaja membiarkan orang lain memasuki lif. Dia
tidak mahu berebut-rebut. Lagi ramai orang berasak-asak hendak memasuki lif,
lagi bagus kerana bolehlah dia menunggu lif seterusnya supaya dia lambat tiba
ke wad Faryna.
Untuk apa segera
bertemu dengan Faryna, gadis celupar yang tidak pernah ada adab bahasa itu?
Buat apa cepat sangat berdepan dengan gadis yang boleh menyakitkan hati dan
menurunkan rasa sabar di hatinya? Apa sebab hendak lekas memperbodohkan diri
dan berpura-pura patuh dengan arahan gadis itu padahal hati memberontak dan
fikiran membantah dengan perangai buruk gadis itu?
Ya. Setiap kali
Fariz berdepan dengan Faryna, darahnya
akan mula mendidih. Telinganya akan terasa panas dan berdesing. Dadanya akan terasa terhimpit bila dia cuba
bernafas perlahan agar tidak mengeluarkan asap kemarahan andainya dia mendengus
tatkala mendengar bebelan gadis itu.
Bila mengingatkan semua
itu, Fariz berasa amat meluat. Bibirnya tiba-tiba tercebir bila tanpa disedari
dia kini sudah berdiri di ambang pintu bilik wad Faryna. Fariz menghela nafas dalam-dalam untuk menambah
oksigen di paru-parunya agar fikirannya tenang. Di layar mindanya, wajah Faryna
terbayang-bayang merenungnya dengan pandangan
yang tajam menikam.
Pintu diketuk perlahan.
Tiga kali. Tiada jawapan. Pintu diketuk lagi dengan lebih kuat. Kali ini empat
kali. Tiada juga jawapan.
’Mungkin dia masih
tidur lagi,’ kata hatinya.
Tombol pintu dipulas
perlahan. Sebaik sahaja Fariz hendak
menolaknya tiba-tiba ia ditarik dari dalam.
“Opps..” Lafaz itu sama-sama terlahir dari bibir
Fariz dan Faryna!
Nyaris Fariz
terdorong ke hadapan dan berlaga kepala dengan gadis itu kerana Faryna membuka pintu ini dengan
mengejut.
“Sori...” kata Fariz perlahan lalu berdehem untuk menghilangkan
rasa tersekat di kerongkongnya.
“Kenapa awak buka pintu sendiri, ha? Kenapa tak
suruh jururawat yang bukakan? Awak nak mengintai saya, ya? Dah tu, awak sampai
lewat! Dah berjam-jam saya tunggu, tau tak? Ha, cepat! Pergi ambil beg saya tu.
Saya tunggu di foyer. Jangan lambat ya? Kalau lambat, saya adukan pada papa
saya!”
Semburan leteran itu membuatkan fikiran Fariz berserabut. Apa yang dijangka berlaku telah
terjadi. Namun dia tetap bersabar dan berselawat di dalam hati. Perlahan-lahan
dia mencapai beg pakaian gadis itu. Kemudian lekas-lekas dia menuruni tangga ke
kawasan parkir di bawah bangunan.
Ketika
menonong, Fariz mula berasa tertekan
dengan kata-kata gadis itu. Hati kecilnya tidak boleh menerima kata-kata kasar
dari seorang gadis seperti Faryna. Siapa dia hendak memerintah? Jika tidak
kerana berselindung di sebalik kehebatan bapanya, Faryna hanyalah budak mentah
yang sepatutnya ditempeleng sahaja bagi menutup mulut celuparnya.
Tetapi Fariz
lekas-lekas menepis perasaan itu bila teringatkan jerit tempik dan
herdik pegawai latihannya sewaktu dalam latihan para-militeri ~ sebahagian dari
silibus kursus perisikannya. Ia jauh lebih kasar dan kesat berbanding dengan
apa yang diluahkan oleh Faryna.
Kerana itu, Fariz
memujuk hatinya agar bersabar. Banyak-banyak bersabar dengan
beristighfar dan berselawat. Mudah-mudahan ia menjirus rasa ketenangan di
hatinya yang mendidih geram.
Serene Apartments, Kuala Lumpur
BRUCE membaca manual untuk memasang alat Silent Dead dari cetakan
komputer. Sebentar tadi Willem mengirim
manual itu melalui e-mel. Matanya berlari-lari membaca baris demi baris
keterangan yang tersusun. Mulutnya terkumat-kamit membaca dengan perlahan.
Jejarinya memangku kepala bila cuba mengingat cara-cara memasang alat itu.
Willem memandangnya sambil tersengih-sengih.
“Hei, cepat sangat kau lupa, Bruce. Bukankah alat
itu, kau yang cipta,” usik Willem.
“Aku tahu,” jawab Bruce tanpa menoleh ke skrin
komputer untuk memandang Willem yang muncul di kamera web. “Aku sedang cuba
ingat. Sekejap lagi memori itu akan datang semula,” kata Bruce lagi. Tak mahu
kalah.
“Kau hendak
aku tolong kau?”
“No! Don’t...” bantah Bruce. Tapak tangannya terus
tersua ke skrin komputer. Menyebabkan Willem mengelak secara spontan kerana
terlupa tangan Bruce yang dilihatnya hanyalah imej di skrin komputernya.
Kening Willem terangkat dan dia tersenyum kerana
reaksi spontan yang bodoh itu. Lalu dia mengambil keputusan mendiamkan diri
sahaja kerana tidak mahu mengganggu konsentrasi sahabatnya itu. Memerhati Bruce
dengan penuh asyik. Bagai seorang guru seni melihat anak muridnya membuat alat
permainan.
Kini Bruce sudah mengeluarkan kesemua komponen
Silent Dead dari kotaknya. Komponen-komponennya diasing-asingkan agar tidak
bercampur aduk supaya mudah dia memasangnya. Cetakan kertas manual itu
diletakkan berhampiran sebagai rujukan pemasangan.
“Willem...” Tanpa menoleh, Bruce memanggil.
“Hmm...”
“Silent Dead ini senjata membunuh. Siapa yang nak
guna senjata ni?”
“Err...” jawab Willem. Dia teragak-agak hendak
memberitahu sesuatu rahsia.
“Aku tahu kau tahu, Willem. Tak perlulah
sembunyikan dari aku,” pujuk Bruce.
“Erm...”
Bruce mendongak. Dia memandang Willem. Mendesak
sahabatnya melalui pandangan yang tajam.
Willem jadi serba salah dibuatnya.
“C’mon... aku bukannya nak beritahu sesiapa.
Lagipun, kalau aku tak tau kepada siapa senjata ini patut aku berikan... apa
jadi, kalau ia sampai ke tangan yang salah?” Bruce berhujah. “Willem... kalau
kau...”
“Tobias...” Willem memintas. Rimas mendengar
cecehan Bruce.
“Tobias? Siapa Tobias?”
“Seorang jackal.”
kata Willem lagi.
“Apa? Jackal?”
Keningnya terangkat. Bruce faham jackal adalah gantinama bagi pembunuh
upahan. Dalam modus operandi organisasinya, economic
hitman atau EHM sepertinya akan digunakan terlebih dahulu untuk mengumpan
organisasi atau negara agar berhutang melalui projek-projek mega yang kononnya
untuk melengkapkan prasarana sesebuah negara.
Bila ia berlaku, ketua organisasi atau negara akan
terpaksa tunduk di bawah telunjuk EHM. Segala hasil mahsul organisasi atau
negara akan tergadai untuk membayar hutang. Biasanya, bila pemimpin sesebuah
organisasi atau negara mula tersedar dia dicengkam, dia akan cuba melawan. Pada
ketika inilah tugas EHM akan diambil alih oleh jackal.Nyawa pemimpin itu akhirnya akan melayang.
“Hei! Tugas aku di Globest baru nak bermula.
Semuanya okey. Semuanya ikut perancangan. Kita tak perlukan jackal!” bentak Bruce.
Biasanya jackal
dihantar bila sesuatu usaha menemui jalan kegagalan. Sebab itulah Bruce berasa
kehadiran jackal seolah-olah
memperkecilkan kebolehannya.
“Kedatangan Tobias tak ada kena mengena dengan kau
sebagai EHM mahupun Pengerusi Globest!” jelas Willem.
“Jadi... dia dipanggil ke mari untuk buat apa?
Untuk bunuh siapa?”
“Abu Afdhal!”
“Abu Afdhal? Siapa pulak Abu Afdhal?”
“Kau carilah sendiri di Google...” jawab Willem.
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...