Pusat Perubatan Damansara One, Petaling Jaya
PUAN
SRI SALWA sedang tekun melakar sebuah modul kursus pengurusan untuk kliennya.
Sebagai seorang perunding pengurusan berkelulusan sarjana dalam bidang
psikologi perniagaan dari The
Chicago School of Professional Psychology, dia telah membuka sebuah syarikat pengurusan yang mengendalikan kursus,
seminar dan pameran.
Bila suaminya mengambil keputusan
untuk pulang ke pejabat, Puan Sri Salwa membuat keputusan untuk menjaga Faryna.
Meskipun, anak gadis itu hanya lebam di pipi, dia tahu Faryna memerlukannya di
sisi.
Dia lebih suka Faryna
berehat di pusat perubatan ini. Lagi pun, di rumah bukannya ada sesiapa kecuali
pembantunya, Yanti. Biarlah pembantu itu menguruskan rumah. Tambahan pula,
menurut kata doktor, jika tiada apa-apa masalah, esok pagi, Faryna boleh
keluar.
Sesekali
Puan Sri Salwa tertoleh ke katil bila terdengar anak gadisnya itu merengek.
Faryna kerap berkalih walaupun suhu di bilik ini amat dingin. Tentu dia masih
trauma kerana insiden hampir diragut hingga mengganggu tidurnya. Begitulah
tekaan hati Puan Sri Atika.
Dia
teringat bagaimana seketika tadi, Faryna berbohong kepada Bruce mengatakan yang
dia pengsan kerana pitam akibat cuaca panas. Bukannya kerana ketakutan dan
lemah semangat. Bila Faryna berkata begitu, dia dan suaminya tidak boleh
berkata apa-apa meskipun mereka tidak bersetuju dengan auta gadis itu.
Lebih-lebih lagi Faryna telah memalukan Fariz
di depan Bruce. Dia dan suaminya nampak air muka pemuda itu berubah bila
mendengar apa yang diucapkan Faryna.
Walaupun Fariz hanyalah pemandu peribadi suaminya, Faryna
tidak sepatutnya berbohong begitu. Lebih-lebih lagi kata-katanya itu hanyalah
untuk mempermainkan perasaan Fariz. Suaminya ada menceritakan perihal Faryna
yang selalu sangat bercakap kasar dengan Fariz
di pejabat. Kenapa Faryna begitu, sedangkan dengan pekerja-pekerja yang
lain, dia lebih tertib?
Puan Sri Salwa melepaskan
keluhan. Rasa terkilan menyelinap di hatinya. Memang sukar membentuk peribadi
anak gadisnya ini. Agaknya kerana terlewat mendidik Faryna, dia jadi liat dan
degil. Dia tahu, Faryna menjadi anak yang terlalu manja kerana tinggal dengan
neneknya sejak berusia lima tahun.
Kemalangan jalanraya yang
menimpa Puan Sri Salwa ketika itu membuatkan dia berada di hospital lebih
daripada tiga bulan. Kerana itulah ibunya mencadangkan Faryna tinggal sahaja di
kampung. Bila dia pulih, neneknya pula tidak mengizinkan Faryna kembali ke
pangkuan keluarga sehinggalah dia menduduki PMR.
Setelah neneknya meninggal
dunia, baharulah Faryna dapat tinggal di
rumahnya. Namun, rebung telah menjadi buluh. Faryna sudah sukar dilentur.
Kadangkala dia terfikir, mengapalah dia sukar sangat membentuk anak gadisnya
itu padahal dia sendiri seorang pakar psikologi. Mungkin dia selalu mati akal
bila ibunya pula yang merajuk setiap kali dia meleteri Faryna. Mahu tak mahu
dia seolah-olah pasrah dengan apa yang dihadapi. Namun, dia kerap mendoakan
agar satu hari nanti anaknya dapat juga berubah menjadi seorang gadis yang sopan
santun, berbudi bahasa dan mendengar kata seperti anak gadis Melayu selain
sikap-sikap yakin diri, bijak dan berdikari sudah ada di dalam diri anaknya
itu. Bila? Entahlah…
“Mama…” kedengaran Faryna merengek.
Puan
Sri Salwa menoleh. Dia terpandang tangan anaknya yang terdepang. Seolah-olah
minta didukung. Terdetik di hatinya agar membiarkan sahaja Faryna bersendirian.
Biar dia tidak terlalu manja kerana dia sudah besar panjang. Namun Puan Sri
Salwa tak sampai hati bila anaknya itu merengek lagi. Lalu, wanita itu
tersenyum seketika melihat ulah anak manjanya. Dan dia bergegas menghampiri
Faryna.
“Ryna
dah jaga? Nak apa?” soalnya sambil mengusap rambut anaknya.
Dahi Faryna dikucup
lembut. Namun bila kedua-duanya bertatapan, Puan Sri Salwa kaget bila terpandang mata anaknya berkaca.
“Hei, kenapa ni, sayang?”
tanya Puan Sri Salwa bila terpandang bibir anaknya tercebir-cebir.
Faryna terus memeluk
ibunya bagai tidak mahu melepaskan. Anaknya kini tersedu-sedan. Petanda Faryna
telahpun menangis ketika dia asyik merangka modul kursus di komputer ribanya.
Tubuh Faryna diusap perlahan. Kemudian digoyang-goyangnya sambil memeluk erat.
Bagai mendodoi si anak kecil. Setelah esakan anaknya reda, baharulah Puan Sri
Salwa merenung kembali wajah anaknya. Menanti jawapan dari bibir mungil itu.
Dengan malu-malu, Faryna
menzahirkan mengapa dia bersedih, “Ryna teringatkan Smokey, ma…”
Wajah Puan Sri Salwa berubah
dari bimbang kepada ceria. “Oh… anak
mama gelisah dan bersedih kerana teringatkan Smoky rupanya…”
“Ala… mama ketawakan
orang, pulak,” kata Faryna dengan cebikan di bibirnya.
“Iya, lah. Apa yang nak
dibimbangkan. Bukan ke Kak Yanti ada? Mesti makan minum Smoky dijaganya,” kata
Puan Sri Salwa untuk meredakan kerisauan anaknya itu.
Dia tahu Faryna amat
sayangkan kucing yang berwarna kelabu asap itu. Kucing yang kecil itu kini
sudah tembam kerana dijaga dan dibelai bagai bayi. Kadangkala makan bersuap dan
tidurnya pun di hujung kaki anak gadisnya.
“Sudahlah, Ryna. Berehat,
ya? Mama nak siapkan kerja sikit,” kata Puan Sri Salwa seraya mengunjukkan
kertas-kertas yang bersusun di atas meja kecil di bilik wad itu.
Faryna mengangguk.
Perlahan-lahan jari jemari ibunya dikucupnya. Si ibu bangkit lalu menyelimutkan
tubuh anaknya. Kemudian dia beralih ke kerusi untuk meneruskan kerja-kerja
pejabatnya. Tidak disedarinya Faryna membuka mata dan terkelip-kelip memandang
ke langsir yang beralun-alun ditiup angin penghawa dingin.
Seketika kemudian, wajah
Fariz menjelma kembali. Kali ini, bukan
di dalam mimpi tetapi di layar minda ketika dia kini terjaga. Hatinya dicengkam
sayu mengingatkan apa yang dilakukan terhadap pemuda itu. Perlahan-lahan
jejarinya mengelap matanya yang berair. Ada rasa kasihan terhadap pemuda itu
menyelinap di sanubarinya.
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...