Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
FARYNA SI GADIS MANJA (Fragmen 11)

Pusat Perubatan Damansara One, Petaling Jaya

FARIZ sedang membaca majalah bila kedengaran bunyi beberapa tapak kaki menghampiri. Sebaik sahaja mengangkat kepala, dia terpandang Tan Sri Daud bergegas berjalan menghalanya. Dia tampil beriringan dengan seorang wanita separuh usia dan seorang lelaki berjubah putih. Wanita itu adalah Puan Sri Atika, isteri Tan Sri Daud dan lelaki itu pula seorang doktor. Bruce McCallum mengekori. Tubuhnya yang tinggi membuatkan dia mudah dilihat walaupun dia berjalan di belakang mereka. Lelaki itu mengangkat tangan bila terpandang Fariz.

“Ryna ada kat dalam, Tan Sri,” ujar Fariz sebaik sahaja mereka bersalaman.

Puan Sri Salwa segera menerpa masuk ke dalam wad diikuti oleh Tan Sri. Ketika berdiri berdekatan, Bruce sempat berbisik pada Fariz, “Saya dengar, awak kalahkan tiga orang peragut. Awak seorang yang hebat!”

Fariz hanya menjawab kata-kata itu dengan seulas senyuman. Tidak mahu memberi apa-apa reaksi kerana tidak ingin identiti sebenar dirinya diketahui.

“Biarkan dia tidur,” cadang Tan Sri sebaik sahaja terpandang Faryna sedang lena. Tidak mahu rehat anak bongsunya itu diganggu oleh sesiapa.

“Macam mana dia, doktor?” soal Puan Sri Salwa sambil mengusap pipi anaknya yang membiru.

Fariz nampak wajah isteri majikannya itu diselaput bimbang. Kerut di dahinya tidak mengendur sejak tiba ke mari. Bimbang seorang ibu sentiasa berlebih-lebihan terhadap anaknya. Dari kecil sehingga dewasa.

“Ryna tak apa-apa. Hanya terkejut sedikit,” jawab doktor itu.

“Bila dia boleh balik?” soal Puan Sri seolah-olah mendesak.

“Kalau tak ada apa-apa, esok pagi pun boleh keluar dari wad,” kata lelaki itu.

“Mama...” rengek Faryna.

Perbualan mereka membuatkan Faryna tersedar. Tangannya didepang minta dipeluk. Puan Sri segera menerpa. Memeluk dan mencium ubun-ubun, dahi dan pipi anaknya dengan penuh kasih. Air mata kedua-duanya merembes. Mereka yang lain hanya membiarkan dua orang wanita itu melepaskan kebimbangan. Buat beberapa ketika suasana menjadi hening.

“Fariz yang selamatkan Ryna...” kata Tan Sri Daud. “Ryna dah ucapkan terima kasih pada Fariz ?”

Faryna hanya membisu.

“Ryna...” Tan Sri Daud bersuara untuk menekankan sikap beradab kepada anaknya.

“Sudah. Ryna dah ucapkan tadi,” gadis itu bercakap tanpa memandang sesiapa.

Tan Sri mengeluh. Sebagai orang tua, dia dapat mengagak yang anaknya itu berbohong. Namun dia tidak mahu memaksa. Cukuplah sekadar mengingatkan. Mudah-mudahan satu hari nanti Faryna akan berubah kembali. Menjadi gadis yang tertib, berbudi dan berbahasa.

“Apa khabar Ryna?” tanya Bruce yang sejak tadi hanya mendiamkan diri.

“Okey. Tak ada apa-apa. Sebenarnya saya tak takut sangat masa kejadian tu. Saya pitam tadi pun, sebab cuaca panas sangat,” jawab Faryna lalu tersengih-sengih. Menceritakan situasi yang dialaminya walaupun tidak ditanya. Kata-kata Faryna itu membuat air muka Fariz berubah. Dia tahu gadis itu pengsan kerana lemah semangat.

“Err... saya tunggu di luar saja, Tan Sri. Telefon saya bila Tan Sri hendak balik ke pejabat. Nanti saya bawa kereta ke depan hospital,” kata Fariz. Dia sengaja hendak menjauhi bilik ini kerana berasa tidak selesa dengan perangai Faryna.

“Hmm... awak baliklah dulu, Fariz. Puan Sri akan bawa saya dan Bruce balik ke ofis sebentar lagi,” kata Tan Sri Daud.

Apabila Fariz melangkah keluar, Tan Sri Daud dan Puan Sri Salwa saling berpandangan. Mempamerkan reaksi kurang senang mereka ke atas apa yang dituturkan Faryna. Namun, oleh kerana Bruce ada di situ, kedua-dua mereka tidak jadi menegur perangai anak gadis mereka.


BARU sahaja Fariz hendak menghidupkan enjin kereta, di kawasan parkir di bawah bangunan pusat perubatan itu, dia terpandang kereta di hadapannya mengelip-ngelipkan lampu. Fariz memerhati ke kerusi pemandunya. Wajah Tuan Aziz kelihatan tersenyum. Lelaki itu mengamitnya agar memasuki kenderaannya.

“Macam mana dengan kerja baru awak?” tanya Tuan Aziz sebaik sahaja dia duduk bersebelahan dengan lelaki itu.

“Okey saja, Tuan. Tak ada masalah,” jawab Fariz. Sengaja tidak mahu menceritakan masalah perhubungannya dengan Faryna. Atau sebenarnya, masalah perhubungan Faryna dengannya.

“Saya baru dapat lampu hijau dari PM,” kata Tuan Aziz.

Fariz hanya mengangguk. Namun memasang telinga untuk meneliti apa yang akan disampaikan oleh bosnya.

“Dia beri kebenaran agar saya terus menyiasat mengenai satu kes.” Kali ini Tuan Aziz memandang tepat ke arahnya. Bagai mengisyaratkan bahawa apa yang akan disampaikannya amat penting. “Kes ini ada kena mengena dengan Bruce McCallum. Mulai saat ini saya mahu awak perhatikan Bruce McCallum. Dapatkan segala maklumat mengenai aktivitinya. Dan yang paling penting... dapatkan maklumat komunikasinya dengan ibu pejabatnya di Amerika.”

Pelbagai imej mengenai Bruce McCallum bersimpang siur di layar mindanya. Wajah lelaki mat salih yang tinggi itu, dengan subangnya, perawakannya yang tenang, tetapi liar matanya bila melihat sesuatu, suaranya, malah latar belakang lelaki itu mula dihimpun kembali ke minda sedarnya. Mulai saat ini dia mesti melihat lelaki itu dengan rasa curiga.

“Saya hendak ke atas melawat anak Tan Sri,” ujar Tuan Aziz.

Mereka bersalaman.

“Selamat menjalankan tugas... ini peralatan untuk awak,” kata Tuan Aziz seraya menyerahkan sebuah bungkusan kecil.

Fariz maklum bungkusan itu mengandungi peralatan perisikan. Dia terus menyisipnya ke dalam poket.

“Dan, bersabarlah dengan perangai Ryna, ya?”

Mahu sahaja Fariz mencebirkan bibirnya. Kata-kata akhir Tuan Aziz itu lebih berat hendak ditunaikan berbanding dengan tugasannya yang baru diterima sebentar tadi.


Pusat Snuker Cue Ball, Bukit Bintang, Kuala Lumpur

MEREKA yang berada di dalam premis itu terpaku. Masing-masing berhenti bermain. Muzik yang menghingari premis snuker itu dihentikan. Suasana menjadi hening. Dua tiga orang daripada mereka berjalan perlahan-lahan ke arah Fariz. Ada seorang-dua dari mereka bergerak ke belakangnya. Seolah-olah mereka sedang menyusun langkah untuk mengepungnya.

Sedikit pun Fariz tidak gentar. Dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Kedatangannya ke mari hanya untuk menyerahkan wang kepada Zack, teman lelaki Faryna. Memikirkan itu, Fariz melangkah dengan yakin menghampiri beberapa orang lelaki yang berdiri semakin merapat. Seolah-olah membuat benteng agar dia tidak boleh melepasinya.

“Cari siapa?” soal seorang daripada mereka yang bertubuh agam. Dia memandang Fariz dari hujung rambut ke hujung kaki. Seolah-olah ingin menjadikan Fariz sebagai bahan santapan mereka

“Cari Zack...” jawab Fariz, tenang.

“Untuk apa?” soalnya. Suaranya semakin lantang.

“Saya bawa sesuatu dari Ryna untuk Zack!”

Kata-kata itu membuatkan mereka berpandangan sesama sendiri. Kehairanan dan tertanya-tanya siapakah Fariz.

“Tepi!” Kedengaran satu suara dari arah belakang mereka.

Masing-masing membuka laluan. Memberi jalan kepada seorang lelaki yang berbaju-T sendat tanpa lengan. Kelihatan lengan dan bahunya yang berulas-ulas dengan otot. Dia berseluar kulit berwarna hitam berkilat. Rambutnya beremos. Kelihatan seperti hero tahun 60an. Dia menapak perlahan ke arah Fariz. Sebaik sahaja dia berada kira-kira sedepa dengan Fariz, dia menadah tapak tangannya.

‘Oh, inilah Zack,’ kata hati Fariz .

Lalu dia menghulurkan sampul surat berisi wang itu kepada Zack. Tanpa berkata apa-apa, juga Zack menerimanya. Lalu Fariz berpaling untuk keluar dari premis itu.

“Nanti,” kata Zack.

Fariz menghentikan langkah lalu menoleh. Mereka bertentang mata. Namun, dia segera menekur ke lantai. Tidak mahu tenung merenung kerana ia boleh disalah erti. Nanti panjang ceritanya.

“Siapa nama kau?” soalnya dengan nada memerintah.

“Fariz.”

“Kenapa, engkau tak pandang muka aku? Jijik?” soal Zack.

“Tak apa-apa.”

“Habis, kenapa?”

“Tak berani.” Itu sahaja jawapan yang terpacul dari mulutnya.

“Kalau tak berani, itu maknanya kau takutlah!” komen salah seorang dari mereka.

Fariz mengangguk spontan.

“Ha, ha, ha!” Mereka tertawa beramai-ramai. Zack ketawa sampai terbatuk-batuk. Fariz hanya mendiamkan diri. Bersabar dan beristighfar melihat gelagat mereka.

“Pergilah!” ujar Zack sambil menguiskan tangannya sebagai isyarat menyuruh Fariz berlalu.

Dengan tertib, Fariz mengundur diri. Meninggalkan premis yang masih riuh rendah itu.

Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED