Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Bukan Sembarangan Jantan! ~ Fragmen 14

Kelab Skyhill, Bukit Bintang

SUASANA di dalam kelab ini begitu membingitkan. Para pengunjungnya menari bagai nak gila, seperti sudah terlupakan dunia. Muzik technonya berdentam-dentum. Memekakkan telinga dan menggegarkan dada Fariz . Meskipun begitu, dia cuba untuk berbuat selamba. Sambil mengusap hatinya dengan zikrullah, Fariz cuba berbuat biasa-biasa. Seolah-olah dunia biol di kelab ini sudah mangli buatnya.

Sebentar tadi, Fariz menolak dengan lembut minuman keras yang disuakan oleh Bruce. Sebaliknya dia hanya meminta air mineral. Dibiarkan lelaki itu menyusup di celah-celah himpitan manusia untuk mencari kenalan baru dan bersuka-ria semahu-mahunya. Biarlah dia duduk di sudut dewan ini memerhati gelagat manusia di kelab gay ini.

Tiba-tiba Fariz berasa belakang tubuhnya dilanggar seseorang. Kepalanya terhantuk ke permukaan meja. Botol minumannya terbalik. Belum sempat dia menoleh, sekali lagi tubuhnya terhenyak. Kali ini lebih kuat menyebabkan mejanya tertolak ke depan. Nyaris mukanya tersembam ke lantai. Mujurlah dia cepat sekali menggolekkan dirinya. Dan terus bangun dalam keadaan bersiap siaga.

Pandangan Fariz segera menekur ke lantai bila terpandang seseorang sudah terbaring di situ. Itulah orang yang menghempap tubuhnya sebentar tadi. Tiba-tiba Fariz perasan siapakah yang terlentang itu.

“Bruce! Apa dah jadi?” Fariz bertanya seraya menarik lengan lelaki mat salih itu untuk membantunya berdiri.

“It’s alright. Tak ada apa-apa,” bisik Bruce.

“Lain kali, jangan kacau dia!” kedengaran suara lantang seseorang.

Fariz menoleh. Memandang seorang lelaki berjaket hitam yang mencekak pinggang di depannya. Di sisinya ada seorang lagi lelaki yang sama sasa. Cuma tubuhnya lebih kecil.

“Kau kena pukul ke, Bruce?” tanya Fariz .

“Aku silap orang. Mana aku tau dia dah berpunya?” bisik Bruce.

Dari keterangan Bruce, Fariz mula faham. Rupa-rupanya Bruce cuba mengganggu lelaki yang bertubuh kecil itu. Akibatnya, Bruce dibelasah oleh teman lelakinya yang berjaket hitam itu.

“Kalau kau berani kacau dia lagi, nahas, kau!” lelaki berjaket hitam itu memberi amaran pula.

“Kalau ia pun, cakaplah elok-elok. Tak payahlah berkasar dengan aku!” jawab Bruce.

“Apa? Apa kau cakap?” Tiba-tiba lelaki berjaket itu menerpa menghampiri Bruce.

Hendak sangat dia menunjuk jantan. Ingin benar hendak bergaduh. Muzik yang membingitkan di dewan ini tiba-tiba dimatikan. Suasana yang bising beransur-ansur sunyi. Mereka yang berada di kelab itu mula bergerak mengelilingi mereka. Secara tidak langsung membuat satu bulatan. Seolah-olah membentuk sebuah gelanggang. Mereka yang memerhati saling berbisik-bisik. Menanti sebuah lagi episod drama hidup yang bakal disaksikan di depan mata.

“Sudah, sudahlah...” Fariz melangkah menghampiri lelaki berjaket hitam itu. Tangannya lantas menepuk bahu lelaki itu sebagai isyarat untuk menenangkan lelaki itu.

“Hei, aku kenal kau!”

Kata-kata lelaki itu membuat Fariz mengamati siapakah dia.

“Zack?”

“Hmm. Dan kau Fariz , kan?” katanya.

Fariz mengangguk. Dalam pada itu, dia cuba menutup hidungnya kerana tercium bau arak dari mulut Zack.

“Hei!” jerit Zack sambil menoleh ke belakang. Menggamit kawan-kawannya sambil tertawa besar. “Si budak pengecut tu datang kelab kitalah! Dah pandai berkawan dengan mat salih. Tinggi selera kau, Fariz ? Tapi, kenapa pulak dia cari orang lain, ha?”

Kata-kata Zack disambut dengan gelak ketawa kawan-kawan Zack dan diikuti oleh mereka yang menyaksikannya. Dewan itu menjadi riuh rendah. Membuatkan Bruce tertunduk malu. Sementara Fariz pula mula berasa kesal. Dia tidak sepatutnya berada di sini. Seharusnya dia duduk menanti sahaja Bruce di luar kelab. Kerana dia ingin menjaga hati Bruce, dia turut masuk bila lelaki itu mendesaknya.

“Let’s go home,” ujar Fariz . Bruce hanya tunduk mengekori.

“Wei, nak ke mana?”

Zack tiba-tiba memintas mereka berdua. Namun Fariz meneruskan langkah. Ini membuatkan Zack naik angin. Lantas dia menarik lengan baju Fariz . Dengan pantas juga, Fariz memutar tangannya. Gerakan yang menyebabkan tangan Zack terkilas ke belakang dan terkunci.

“Oh, main kasar, ya?” jerkah Zack.

Zack terus melakukan back-kick tetapi Fariz dapat mengelak tubuhnya dari terkena tendangan itu. Oleh kerana kilasan tangannya ke lengan Zack tidak terlepas, dengan mudah dia menolak tubuh Zack hingga lelaki itu tersembam ke lantai. Tubuh Fariz kini menindih badan lelaki itu.

“Engkau mabuk, ni. Mengucap, Zack.... mengucap,” bisik Fariz .

“Untuk apa, mengucap? Kau ingat aku dah nak mati?” jawab Zack.

Kata-kata itu membuatkan Fariz naik angin. Zack tidak mahu mengingati ALLAH dalam kesakitan begitu. Terus dia mengetatkan kunci kilasan tangannya hingga Zack mengadoi.

‘Ah, mungkin air syaitan telah mengabui memori sedarnya. Inilah bahaya minuman keras,’ kata hati Fariz .

Bila terfikirkan itu, Fariz merungkaikan kilasan tangannya. Dia bangun meninggalkan Zack begitu sahaja lalu mengajak Bruce pulang. Namun nalurinya peka akan apa yang datang dari belakangnya. Fariz segera melompat dan memutarkan tubuhnya. Satu libasan padu diberikan. Tepat mengenai pipi Zack yang cuba memukul curi. Zack terhoyong-hayang dan terhumban ke sisi.

“Belasah dia!” perintah Zack.

Beberapa orang kawan-kawan Zack bergegas menghampiri. Dia merebahkan diri ke lantai dan melibas keting Zack. Membuatkan lelaki itu jatuh terlunjur. Fariz terus menerkam Zack dan menolak tubuh lelaki itu hingga dia terbongkok mencium lututnya. Lengan Fariz segera melingkari leher Zack sementara lututnya terus menghempap belakang tubuh lelaki itu. Dalam keadaan itu, Zack tidak dapat bergerak.

“Mengucap, Zack... mengucaplah,” bisik Fariz . “Selagi kau tak mengucap, aku tak akan lepaskan kau! Biar kau mati di sini!”

Bila menyedari dirinya tidak dapat bergerak, baharulah Zack melafazkan dua kalimah syahadah dengan ucapan yang tunggang langgang akibat dipengaruhi alkohol. Melihat keadaan itu, Fariz mengajarnya mengucap sepatah demi sepatah hingga selesai.

Setelah itu, Fariz baharulah Fariz berdiri. Membiarkan Zack yang masih terbaring dan berdengkur di lantai. Tanpa berkata apa-apa lagi dia dan Bruce meninggalkan dewan ini. Membiarkan Zack dan kawan-kawannya termangu-mangu.

Sambil mengekori Fariz , Bruce tersenyum sumbing dan mengangkat keningnya. Rancangannya berjaya. Sememangnya dia sengaja mencari fasal dengan teman Zack untuk melihat sejauh manakah reaksi dan ketangkasan Fariz menanganinya. Dalam diam, dia mula sedar yang Fariz bukan calang-calang orang. Kerana itu, dia harus berhati-hati dengan pemuda ini.

Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED