Pusat Perubatan
Damansara One, Petaling Jaya
RYNA terjaga. Suasana hening. Dia memandang ke sekeliling. Fikirannya
segera mengatakan yang dia kini berada di wad untuk berehat bagi memulihkan
trauma kerana hampir menjadi mangsa ragut.
Perutnya terasa lapar.
Faryna memandang ke meja di sisi katilnya. Ada sepiring buah-buahan. Faryna
mengambil sebiji buah lai dan memotongnya. Hanya dua hiris sahaja disuap ke
mulutnya. Baki buah dan pisau pemotong diletakkan kembali ke piring. Setelah
meneguk air mineral, Faryna menarik kembali selimutnya.
Ada segaris cahaya lampu jalan yang menyirami
biliknya melalui celah-celah langsir yang sedikit terenggang. Keadaan begitu
dingin. Faryna meraba-raba di sekitarnya. Mencari alat kawalan jauh untuk
memperlahankan alat penghawa dingin. Namun dia tak menemuinya.
Dia menguak selimutnya. Niat di hati ingin bangun
mencari alat kawalan jauh itu. Hatinya kecut bila tiba-tiba wajah-wajah peragut
yang cuba merampas wangnya muncul di layar mindanya. Dadanya berombak. Bulu
tengkuknya berdiri. Mengingatkan itu, Faryna tak jadi bangkit.
Sebaliknya dia menarik selimut kembali hingga
menutupi seluruh tubuhnya. Beberapa ketika dia begitu. Namun, bila teringatkan
keradaannya yang terbujur seperti mayat, dia menolak selimut kerana tak mahu
mati lagi. Hanya kepalanya terjojol dari selimut. Tiba-tiba dia terdengar
sesuatu. Matanya terkebil-kebil. Dia cuba mengecam bunyi apakah itu. Terdengar
bunyi tapak kaki menghampiri bilik wadnya.
Bunyi tapak kaki itu berhenti di luar pintu.
Mungkin jururawat datang untuk memberinya ubat atau mengambil tekanan darahnya.
Namun suasana menjadi sunyi. Tiada sesiapa yang memulas tombol pintu. Faryna
menahan nafas bila layar mindanya memutar imej-imej yang menggerunkan. Dengan
pantas dia menarik selimut menutupi wajahnya hingga ke paras mata pula.
Pandangannya menerkam ke arah tombol pintu bila ia mula bergerak-gerak.
’Mak...’ Itu sahaja nama yang diserunya dalam
keadaan takut itu.
Perlahan-lahan pintu terkuak. Sesusuk tubuh lelaki
menjengul. Tetapi wajahnya tidak kelihatan kerana dilindungi kegelapan. Lelaki
yang berpakaian serba putih itu bergerak menghampiri. Akhirnya dia berdiri di
hujung katil dengan tangannya terletak ke hadapan seperti berkiam.
“Fa... Fariz?” Faryna menyapa sebaik sahaja wajah
lelaki itu terserlah dibias cahaya dari luar bilik.
Fariz
mengangguk perlahan mengiyakan. Pandangan lembutnya mencerun ke arah
gadis itu. Perlahan-lahan dia mengukir senyuman. Mempamerkan wajah yang tenang.
Faryna tertunduk. Dadanya berdebar. Malu akibat rasa bersalah kerana selalu
mempersenda lelaki itu.
“Assalamualaikum...” sapa Fariz lembut.
“Walaikumsalam...” Sepatah Faryna menjawab tanpa
mengangkat wajahnya.
“Awak dah makan ubat?” tanya Fariz begitu perlahan dan lunak di telinganya.
“Kalau belum, biar abang suapkan.”
Faryna memandang Fariz bagai tak percaya. Hati Faryna terusik.
Bibirnya digigit menahan rasa bahagia. Fariz
membahasakan dirinya ’abang’ seolah-olah mereka begitu mesra. Bertanyakan
khabar seolah-olah datang untuk melindungi. Faryna berasa begitu selesa. Begitu
selamat bila Fariz berada di ketika dan
saat ini.
Dia sendiri tidak pernah bertutur lembut dengan
lelaki ini. Tiba-tiba Fariz muncul
dengan ucapan yang penuh tertib. Tiada sekelumit pun rasa marah tergambar pada
tutur katanya. Bila Fariz menggunakan
panggilan ’awak’ Faryna berasakan dirinya begitu dekat dengan lelaki ini. Dia
mengeluh perlahan. Hatinya jadi senang dengan kehadiran pemuda ini.
“Kalau awak dah sihat... papa Ryna minta abang
bawa Ryna pulang. Awak nak balik?”
“Boleh jugak. Err... bila a... abang nak ajak Ryna
balik?” Faryna bertanya lalu menghadiahkan sekuntum senyuman. Fariz membalasnya. Buat seketika mereka bertatapan
tanpa suara. Hanya hati mereka yang berbicara bahasa orang muda.
“Kalau nak balik, sekarang pun boleh. Mari...”
Bagai tidak percaya, Fariz melangkah menghampiri lalu menghulurkan
tangannya. Faryna mendongak. Mereka bertatapan lagi. Fariz tersenyum kembali. Faryna mengeluh dalam.
Nafasnya terasa sesak. Terasa bahagia dengan kehadiran lelaki tampan ini.
Bagai terpukau, Faryna menolak selimut. Berengsot
untuk bangun. Perlahan-lahan Faryna menghulurkan tangannya. Namun, sebaik
sahaja jejari mereka bersentuhan, tiba-tiba Fariz merentap tangannya. Faryna terdorong ke
hadapan. Tiba-tiba Faryna terasa lehernya dicekik. Membuatnya sukar bernafas.
Faryna mendongak. Dia berasa gerun kerana pandangan redup Fariz sudah betukar menjadi tikaman pandangan yang
mengandungi kebencian.
“Kau sombong sangat dengan aku, ya?” ucap
Fariz hampir berbisik. Namun nadanya
ditekan hingga suaranya parau seperti menderam. Seperti menzahirkan kegeraman
yang lama terpendam.
Nafas Faryna terasa sesak. Dia cuba melepaskan
cengkaman di lehernya. Tangan Fariz cuba
dileraikan. Namun semakin kuat dia berusaha, semakin keras tangan Fariz menekan ruang pernafasannya. Faryna memandang
Fariz memohon simpati.
Namun Fariz
menjawabnya dengan tersengih dan menyeringai. Faryna berasa tak berdaya.
Dia tahu dia akan tewas. Faryna berusaha menggapai suis kecemasan untuk
memanggil jururawat. Sebaik sahaja tangannya dapat menyentuh alat itu tangannya
ditepis. Tubuhnya ditolak. Faryna rebah ke tilam. Fariz segera mencapai pisau memotong buah yang ada
di meja.
“Kau ingat, muka kau tu cantik sangat, ha?” tanya
Fariz.
Faryna tak menjawab. Dadanya berombak kencang. Dia
tahu niat Fariz.Ya, tentu Fariz akan
menoreh wajahnya. Mencedera dan menghodohkannya. Atau lebih buruk lagi,
Fariz akan menamatkan riwayatnya.
Mengingatkan itu, hatinya jadi kecut. Dia takut mati. Sebab itu dia tak mahu
mati lagi.
Fariz
melangkah setapak menghampiri. Faryna berengsot cuba menjauhi lelaki
ini. Namun sejauh manalah dia dapat bergerak. Dia kini terperangkap. Faryna
tertunduk dan menangkup wajahnya. Dari celah-celah jarinya, dia nampak
Fariz melangkah setapak lagi dengan
pisau terhunus di tangan. Apa yang boleh dilakukan hanyalah merayu memohon
simpati sebagai usaha terakhir.
“A... abang Fariz ... Jangan cederakan Ryna.
Maafkan Ryna kerana sombong pada abang. Ryna tak berniat langsung untuk
menghina abang. Ryna saja nak seronok-seronok tengok abang tak tentu arah.
Abang Fariz
memang orang penyabar. Abang... tolonglah. Tolonglah jangan cederakan
Ryna. Ryna berjanji tak akan persendakan abang lagi. Malah... sebenarnya sikap
abang selama ini buatkan Ryna... sukakan abang!”
“Bohong...” bisik Fariz ke telinganya.
Bulu tengkuknya berdiri kerana tidak sedar
Fariz sudah berada begitu hampir
dengannya. Semangatnya sudah terbang entah ke mana. Dia mendongak. Fariz mengangkat tangannya tinggi-tinggi sambil menghunus
pisau ke arahnya.
Faryna tahu pisau itu akan menjunam ke wajahnya.
Dia tak boleh berbuat apa-apa. Apa nak jadi, jadilah. Andai ditakdirkan
wajahnya dicederakan, dia terpaksa terima, hidup dengan wajah hodoh. Andainya
riwayatnya ditamatkan, dia pasrah. Menderu-deru ucapan dua kalimah syahadah
bertali arus di dalam hatinya. Airmatanya bercucuran. Wajah ibu dan ayahnya
bersilih ganti tertayang di mindanya.
“Mati kau!” jerit Fariz.
“Fariz zzzz...... Fariz zzzz...... ahhhh...”
“RYNA... Ryna... kenapa, ’nak? Ryna...”
Faryna terasa bahunya disentuh. Perlahan-lahan dia
membuka matanya. Faryna tersentak bila terpandang wajah ibunya yang bertelekung
begitu hampir dengan wajahnya. Puan Sri Salwa lekas-lekas merangkul tubuhnya
agar Faryna itu berasa selamat.
“Kenapa Dina? Mama nampak Ryna takut sangat. Ryna
mengigau ke?”
Faryna tidak menjawab. Sebaliknya dia terus
melekapkan kepalanya ke dada ibunya. Puan Sri Salwa terus mengusap belakang
tubuh anaknya. Pada ketika inilah dia terasa tubuh Faryna tergigil-gigil.
“Hei, teruk sangat mimpi Ryna ni. Apa yang Ryna
mimpikan?” soal Puan Sri Salwa lalu mengusap kedua-dua pipi anaknya.
Faryna terus diam. Memorinya memutar kembali
episod mimpi sebentar tadi. Dia teringatkan Fariz yang menjelma dengan wajah tampan. Memberinya
senyuman manis dan menegurnya dengan lembut. Tetapi tiba-tiba dia berubah
perangai dan ingin membunuhnya pula. Apakah erti mimpinya itu?
Puan Sri Salwa membiarkan Faryna memeluk tubuhnya.
Biarlah anak manjanya ini meredakan gemuruh di hatinya. Dia tahu Faryna sudah
sedar yang dia hanya bermimpi. Nafas anaknya sudah mula teratur. Sesekali
anaknya memeluknya erat-erat. Lalu dia membalasnya. Dia rasa anaknya sudah
tenang dan boleh ditanya mengenai mimpinya.
“Mak dengar Ryna sebut nama Fariz ...”
Faryna merungkai pelukannya. Kini dia bertatapan
dengan ibunya. Kemudian dia tertunduk malu bila teringatkan mimpinya. Malu bila
teringatkan bagaimana dia berasa bahagia dengan kehadiran Fariz. Malu dengan
pengakuannya kepada Fariz yang dia
sukakan lelaki itu. Benarkah dia sukakan Fariz
atau itu hanya permainan mimpi?
“Taklah, ma. Ryna tak mimpikan dia, pun. Takkanlah
Ryna nak sebut nama dia. Mama salah dengar tak?” terpacul kata-kata itu dari
mulutnya.
Puan Sri Salwa mengerutkan dahinya. Dia memang
terdengar anaknya itu menyebut nama Fariz. Atau... mungkin juga dia yang
tersilap dengar.
“Jadi, Ryna mimpi pasal apa?” tanya Puan Sri Salwa
dengan nada ragu-ragu.
“Entah..” jawab Faryna lalu tersenyum kelat.
Puan Sri Salwa mengeluh perlahan. “Tapi kenapa
pulak lepas itu Ryna meracau macam orang takut aje?”
Faryna tersengih. “Ryna... mimpi kena kejar anjing.
Ya, Ryna mimpi dikejar anjing, ma!”
Faryna mereka cerita. Malu menceritakan insiden di
dalam mimpinya di mana Fariz mencekik
leher dan mencederakannya. Lantas matanya terjeling melihat pisau yang ada di
pinggan berisi buah-buahan di sisi katilnya. Di dalam mimpinya, pisau itulah
yang digenggam Fariz untuk
mencederakannya. Seram juga tengkuknya kerana mimpi itu seolah-olah benar-benar
terjadi.
Puan Sri Salwa terangguk-angguk percaya dengan apa
yang diceritakan oleh anaknya. Dan Faryna berasa lega. Dia tidak berani
mengkisahkan mimpi sebenar kerana nanti panjang ceritanya. Biarlah ibunya tahu
bahagian yang elok dalam mimpinya.
“Bangunlah sembahyang Subuh, Ryna,” kata Puan Sri
Atika.
Jejari anaknya digenggam untuk membantunya bangun.
Dengan patuh, Faryna menjulurkan kakinya ke lantai dan menyarung selipar.
Sebaik sahaja dia menolak pintu bilik mandi, ibunya berkata, “Faryna terus mandi,
ya?”
Faryna mengangguk selamba.
“Bersiap-siaplah sebab pagi ini Ryna akan keluar
hospital. Mama pulak, nak terus pergi ke pejabat.”
”Habis tu, siapa yang nak ambil Ryna nanti, ma?”
”Fariz!” jawab Puan Sri Salwa ringkas.
Nama itu menjadikan jantung Faryna berdenyut tak
keruan. Dia berasa gugup dan gelabah.
Insya-ALLAH… bersambung Ahad hadapan...