Sempadan
Pura
SHAFI melihat persekitaran yang kelam. Dia beristigfar
berulang kali apabila mengalami kesukaran untuk bernafas. Dia memicing anak
telinga apabila terdengar suara di sebelah hujung. Perlahan dia menapak.
Langkah diatur dengan teliti dan mengikut naluri. Sedikit kecuaian pasti
mengundang bahana.
Shafi
memicing anak mata, kelihatan ada cahaya samar di depan. Dia perlahan mendekati
dan mendapati ada seorang gadis yang berteleku dan sedang menangis. Shafi
simpati namun tetap berwaspada agar andai diserang secara mendadak dia pasti
akan berjaya menyanggah ataupun mengelak.
“Assalamualaikum.”
Salam suci dihulur. Tangisan gadis itu terhenti. Perlahan dia mendongak. Dia
sangat mengenali suara yang penuh santun itu. dia masih membisu, jauh sekali
membalas salam kesejahteraan itu.
“Apa
yang membuat kamu bersedih?” Shafi menundukkan pandangan setelah selesai
berbicara. Sapaannya tidak berbalas.
“Kau?”
Kelibat wanita itu bersuara. Perlahan Shafi mengangkat pandangan. Dia tergamam,
antara percaya ataupun tidak - dia pernah melihat gadis itu sebelum ini. Shafi
beristigfar berulang kali.
MASA seperti terhenti. Ternyata pertemuan singkat hari
itu tidak berakhir di situ sahaja. Di ruang asing itu Shafi dan Puteri Irdina
Farihin dipertemukan semula. Puteri Irdina Farihin menguntum senyuman manakala Shafi
hanya meleretkan bibir begitu sahaja. Cukup sekadar memaniskan raut wajah.
Kerinduan
Puteri Irdina Farihin sedikit terubat, bahagia seolah-olah bergayut-gayut
menarik tali jantung. Ternyata penantiannya selama ini tidak sia-sia. Masa
seperti beku apabila menatap wajah lelaki baik hati itu. Tanpa disedarinya, dia
menatap wajah Shafi tanpa berkedip sekalipun.
“Usah
merenung sedemikian rupa.” Shafi segera membetulkan suasana kerana kurang
selesa dengan situasi itu.
“Indah
sekali paras wajahmu.” Puteri Irdina Farihin terkedu. Pandangan masih tidak
berkalih.
“Maha
suci ALLAH. Tuhan yang menjadikan dan mematikan manusia. Hanya ALLAH yang Maha
Indah.” Shafi lebih senang membalikkan segala pujian manusia kepada ALLAH
kerana baginya hanya Dia yang layak dipuji dan dipuja.
“Kembalilah
ke tempat asalmu.” Ini bukan dunia kita. Ini hanya sekadar mimpi. Puteri Irdina
Farihin tarik muka. Rindunya selama ini seolah-olah tidak berbalas. Dia berasa
seperti hanya bertepuk sebelah tangan.
“Kau
tidak menyukai pertemuan ini?” Puteri kerajaan Langkasuka itu bertanya.
“Tiada
pertemuan yang indah selain pertemuan dengan ALLAH.” Bukan menidakkan tetapi
memberikan saranan kepada sesuatu yang lebih baik.
“Jauh
sekali merindu?” Puteri Irdina Farihin sudah tidak berlapik ketika bertanya.
“Rinduku
hanyalah untuk Nabi junjunganku – Muhammad S.A.W.”
“Siapa
Muhammad? Apakah mencintai itu salah?”
“Muhammad
itu pesuruh ALLAH – junjungan agung kita. Mencintai Tuhan dan rasul adalah
cinta hakiki dan ia kekal dan abadi.”
“Adakah
cinta yang lebih baik selepas itu?”
“Cinta
dengan kebaikan itu juga cinta agung.” Shafi menjawab dalam bentuk dakwah.
Sedari tadi dia mengamati suasana dan membaca peribadi gadis itu. menurutnya
gadis itu pintar dan sangat bijak kerana berjaya memanipulasikan soalan-soalan.
Shafi pula menjawab tanpa dusta.
SHAFI terbangun daripada tidur. Dia melihat-lihat di
sekeliling – gelap. Dia bangkit dari pembaringannya lantas melihat ke langit.
Waktu sudah memasuki sepertiga malam. Dia mengambil wuduk dan segera
bertahajjud mengagungkan ALLAH. Setelah selesai, dia bermunajat memuji
kebesaran-Nya. Memohon agar diberikan petunjuk ke arah kebaikan dan dijauhkan
daripada segala kesempitan hidup, seterusnya disambung pula dengan zikrullah.
Setelah
lama berkeadaan seperti itu, Shafi mengalunkan Asma-Al Husna. Setiap bait
nama-nama suci yang dibacanya dihayati dengan penuh keinsafan. Penuh rasa
kerinduan kepada yang Maha Pencipta. Setelah lama beribadah. Dia melelapkan
mata untuk merehatkan badan kerana masih berasa letih setelah mengharungi
pertarungan dengan Ratu Dewi pada malam sebelum itu dan akan bangun untuk
menunaikan solat fardhu subuh kelak.
Shafi
melabuhkan diri di atas alas yang disediakan. Dia ligat berfikir, mengerah
nalurinya untuk menelaah mengenai kehadiran gadis itu secara tiba-tiba. Apakah
itu jelmaan syaitan yang sekadar mengganggu tidurnya. Ataupun ada sesuatu yang
tersirat melalui mimpi itu sahaja. Dan dirinya tidak terjangkau tadbir itu, dia
segera menyerahkan kepada ALLAH tentang permasalahan itu. sesungguhnya hanya ALLAH
yang Maha Mengetahui setiap sesuatu yang tersembunyi.
Shafi
segera berehat. Dia berhasrat untuk berkunjung ke Istana Raja agung yang diuar-uarkan oleh utusan itu. dia segera terlelap setelah
membaca doa tidur dan ayat-ayat lazimnya Seperti tiga Qul dan ayat kursi.
Tidurnya diulit malam, tidur dalam keadaan berzikir
adalah sebaik-baik tidur. Dan di luar
perkarangan rumah, sepasang mata yang merah menyala sedang memerhati rumah
tempat dia berteduh.
PUTERI IRDINA FARIHIN duduk di birai katil. Selepas
dia terjaga daripada tidur, dia sukar untuk melelapkan mata lagi. mimpi indah
yang bertandang ternyata mengganggu jiwanya. Kerinduannya terhadap lelaki dalam
mimpinya itu semakin mendalam. Sejak kebelakangan ini, dia menjadi seorang
perindu dalam sepi. Mengingati insan yang entah wujud entah tidak sehingga
membuatkan dirinya jatuh sakit.
Namun
pertemuannya sebentar tadi dengan lelaki baik hati itu membungakan hatinya yang
sedang layu dek dipanah rindu. Walaupun bersua dalam masa yang singkat, itu
sudah cukup mengubati kedukaan yang berkurun – betapa dia sangat mendamba
pertemuan kali kedua selepas pertemuan kali pertama mereka dahulu di alam lain.
Kerana
mengalami kebejatan anggota, Puteri itu perlahan terbaring lesu sambil
tersandar di birai katil. Sebentar tadi dia sangat berharap pertemuan kali
ketiga akan berlaku.
SHAFI menolong Aki Baji menyediakan sarapan. Seawal
pagi Shafi sudah bangun dan menunaikan solat subuh. Perlakuan itu sangat
menarik hati penghulu kampung Nelayan itu kerana sangat mustahil untuk
menemukan seorang anak muda yang mempunyai akhlak seperti Shafi.
Setelah
selesai menyediakan makanan itu, mereka berdua segera bersarapan. Shafi hanya
menjamah sedikit – sekadar untuk menguatkan tulang belakang. Cara makannya juga
tampak berbeza dengan penduduk kampung itu. Selepas siap bersarapan, Shafi
menolong Aki Baji membersihkan perkarangan rumah itu.
Mereka
berdua terkejut apabila mendapati banyak cakaran dan tapak binatang buas yang
menyerupai tapak kaki serigala di bahagian tepi pembaringan Shafi semalam. Dia
segera beristigfar – memohon perlindungan yang jitu daripada ALLAH.
“Menyerah
wahai orang asing.” Suara lantang Jali yang datang dari arah depan mengejutkan Shafi
dan Aki Baji.
“Ada
apa ini, Jali?” Aki Baji naik berang.
“Biarkan
dia, Tok Penghulu.” Shafi menenangkan Jali yang tampak marah seperti kerasukan.
Shafi hanya berdiri tenang dengan perasaan rendah diri yang cukup tinggi.
“Rupanya
kau membawa agama baru, orang asing.” Jali merengus-rengus.
“Memang
benar, saudara. Hamba membawa agama yang benar lagi diredhai.” Shafi bertutur
dalam nada yang cukup tenang.
“Kami
ada leluhur tersendiri, orang asing. Warisan nenek moyang kamilah pujaan kami.”
Jali semakin galak meningkah.
“Astaqfirullah...
Tiada Tuhan melainkan ALLAH, saudara. Itu syirik dan dosa syirik adalah dosa
yang tidak diampunkan oleh ALLAH.” Shafi beristigfar dan mengucap dua kalimah
syahadah untuk memperbaharui keimanan dan ketakwaan kepada yang Maha Kuasa.
“Kami
selalu meminta kepada leluhur kami, penduduk di sini dilimpahkan dengan hasil
laut yang banyak.” Jali bersuara lantang.
“Segeralah
bertaubat, saudara. Sesungguhnya hanya ALLAH Tuhan yang kita sembah dan hanya
kepada-Nya lah kita memohon pertolongan. Malah hidup dan mati kita adalah
ketentuan ALLAH.” Shafi berusaha untuk berlembut dan menyampaikan dakwah dengan
cara yang paling halus.
“Aku
akan bunuh kau, orang asing.” Jali semakin marah dengan kenyataan Shafi tentang
ketuhanan.
“Sesungguhnya,
hidupku adalah ketentuan ALLAH dan
matiku atas kehendak izin ALLAH.” Shafi tidak meningkah malah tidak
berasa galau dengan ugutan Jali.
Jali
yang rasa tercabar dengan kenyataan Shafi segera menghunus sebilah parang yang
disisip di bahagian pinggangnya. Dia segera meluru sambil mengacu parang itu ke
arah Shafi. Aki Baji yang terkesima
dengan kejadian itu tidak mampu berbuat apa-apa tindakan.
Jali
menetak Shafi. Parang itu berhenti tepat di urat bahagian leher Shafi kerana
serangan dibekukan oleh Jali. Nyawa Shafi pasti melayang, dan yang paling
menghairankan dia langsung tidak mengelak atau berganjak – menyerang balas
adalah jauh sekali.
“Kau
akan mati, orang asing. Sekarang siapa yang dapat menyelamatkanmu?” Jali sudah
di luar sedar. Tindakannya pasti lari dari batas kemanusiaan.
“Hanya
ALLAH yang dapat selamatkan nyawaku, Saudara.” Shafi tetap kaku dan tidak
berganjak.
“Baiklah,
mari kita tengok Tuhanmu itu dapat selamatkan nyawamu ataupun mata parang ini
akan bermandi darah.” Jali menderam lalu
mengayun parang itu sekuat hatinya. Kali ini Shafi sedang berada di ambang ILAHI.
Desiran
angin yang lembut tiba-tiba menjadi kencang. Imbangan badan Jali menjadi
hilang. Shafi segera menarik lengan Jali sebelum dia terjatuh. Senjata bertukar
tangan, Shafi segera membalas pula acuhan di leher Jali.
“Sekarang
siapa yang dapat selamatkan nyawamu?” Shafi tidak marah malahan tidak berniat
pun untuk membalas perbuatan jahat Jali.
Jali
terketar-ketar. Urat-urat leher terasa seram sejuk. Sedikit kelaran sahaja pasti
menyeruakkan darah yang mengalir di pembuluh darah yang berwarna kehijauan.