Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
107,975
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 22

Pinggir Kota Langkasuka

PANGERAN ARING meratib dengan mulutnya yang terkumat-kamit membaca mantera. Dia sedang berhubung dengan suatu ‘kuasa’ yang bersifat gelap. Tangannya yang kekar dikepal. Nafasnya kedengaran mendengus. Sejak tadi dia dalam keadaan begitu, menggapai kekuatan untuk menambah ilmu jahat dalam dirinya.

Bagaro pula duduk tidak menentu. Dia bosan kerana sedari tadi, dia menunggu Pangeran Aring yang berlagak seperti ‘tuan’ siap meratib. Dahulu kala, dia pernah menjadi tuan dalam hawa nafsunya. Membunuh merupakan rencah hidup yang lazim dilakukan. Semua itu bermula apabila dia disumpah oleh Pangeran Aring menjadi serigala jadian kerana tidak mahu membunuhnya, lalu dijadikan hamba suruhan.

Setelah itu, mereka membuat banyak kerosakan. Termasuk membakar madrasah agung yang menjadi pusat keagamaan di utara Langkasuka. Ini disebabkan oleh dendam lama. Dan Shafi amat berduka dengan kejadian itu. tindakan Pangeran Aring dan Bagaro membakar madrasah itu sengaja dilakukan agar perang antara mereka tercetus. Walaupun perbalahan di langit sudah lama berlaku, ia diteruskan lagi di dunia.

Pangeran Aring membuka mata. Dia melompat di udara dengan pantas. Setelah itu dia hilang menjadi kepulan asap. Bagaro terkial-kial. Dia menapak ke depan tetapi terhenti apabila sebilah belati diacu di lehernya.

“Bagaimana dengan kuasa baharu ini, Bagaro?” Pangeran Aring mencebik.

“Dari mana kau mendapatkan kuasa ini, Pangeran?” Bagaro iri hati.

“Dari tuan kita, Bagaro. Ratib yang aku lakukan tadi ternyata tidak sia-sia.” Pangeran Aring tampak sombong.

“Itu hadiah istimewa daripadaku, Pangeran.” Satu suara garau bergema. Selepas itu muncul satu kepulan asap tebal yang berpusar lalu membentuk jasad yang menyerupai manusia. Manusia tua yang berselubung hitam.

“Kau suka dengan kuasa itu?” Makhluk tua berselubung hitam itu bertanya.

“Terima kasih, leluhurku.” Pangeran Aring dan Bagaro segera melutut tanda sembah. Manusia berselubung hitam itu ketawa terbahak-bahak.

“Kau jangan iri hati, Bagaro. Aku juga memberikan kau ‘sesuatu’. Bagaro mengangkat muka. Masa inilah manusia berselubung hitam itu menyerang dengan kuku yang tajam baka belati. Tangan Bagaro cedera parah. Darah hitam pekat membuak. Bagaro mengerang kesakitan, tetapi dalam sekelip mata sahaja luka itu terkatup semula. Bagaro jadi hairan. Pangeran Aring pula mencebik kerana ilmu itu sudah pun dia miliki.

“Terima kasih leluhur.” Bagaro meraba-raba lengannya.

“Ingat janji kita, Pangeran. Jangan sampai aku menarik semula kuasa yang aku berikan itu.” Manusia berselubung hitam itu ketawa terbahak-bahak lalu hilang di sebalik dinding gua tempat mereka meratib. Mereka berdua juga begitu, ketawa terbahak-bahak. Dan sesungguhnya, ketawa terbahak-bahak itu adalah ketawa syaitan yang direjam.

Pinggir laut Jalan Mati

NEALOFA tersedar daripada pengsan dengan kakinya terlunjur di depan. Nafasnya tercungap-cungap. Ibarat lemas di lautan dalam. Berusaha untuk mencari nafas bagi menyambung nyawa dalam jasad. Pandangannya berbinar. Dia terkejut apabila melihat kehadiran Suhail dan Puteri Qaisara di sisinya.

“Aku di mana, dan… kamu berdua siapa?” Nealofa tampak hairan.

“Jangan risau, kami yang menyelamatkan mu daripada lemas bau garam di dalam kapal itu.” Puteri Qaisara mengukir senyuman.

“Terima kasih. Siapakah kalian berdua ini?” Nealofa memandang Puteri Qaisara dengan penuh waspada.

“Nama beta Puteri Qaisara, puteri Kota Amuriah, Mesir. Dan dia ialah Suhail, pengawal peribadi beta.” Puteri Qaisara memandang ke arah Suhail.

“Namaku Nealofa, anak bangsawan di Amsterdam, Belanda.” Ternyata Nealofa masih angkuh dengan kedudukan yang dia kecapi di Belanda.

“Apa yang berlaku sehingga samudera kamu terdampar, Nealofa.” Suhail bertanya setelah sekian lama mengunci mulut. Dia juga agak kekok memanggil nama ‘Nealofa’ kerana kedengaran seperti nama orang yang sudah moden. Tetapi itulah cara para ibu bapa menamakan anak-anak kecil di Belanda. Mengikut bahasa mereka yang agak lain bunyinya.

“Samudera kami diserang oleh kepulan awanan hitam yang tebal. Setelah itu, ombak melanda dan samudera kami terhuyung ke tepian. Dan… arghhh!, aku tidak ingat apa yang berlaku selepas itu.” Nealofa menepuk-nepuk kepala. Manakala Puteri Qaisara dan Suhail berpandangan.

“Ternyata makhluk berbadan besar itu terserempak dengan kamu.” Suhail memandang Nealofa.

“Makhluk berbadan besar?” Nealofa hairan.

“Benar, makhluk itu bertukar menjadi asap hitam tebal setelah aku tewaskan.” Suhail melemparkan pandangannya ke lautan. Terbayang bagaimana samudera itu dirempuh. Sungguh dahsyat.

“Kalian hendak ke mana?” itulah persoalan yang sedari tadi bermain di fikiran Nealofa.

“Kami ingin menjelajah di Asia ini, Nealofa.” Puteri Qaisara menjawab spontan. “ kamu pula?” Giliran Puteri Qaisara pula yang bertanya.

“Aku mencari Keano, bakal suamiku.” Nealofa tampak berduka. “Dia menjelajah sehingga ke rantau Asia ini untuk meluaskan kuasa.” Sambungnya.

“Di mana dia meluaskan kuasa?” Suhail tampak serius. Nealofa memandangnya seraya menggelengkan kepala sebagai jawapannya.

“Kita mempunyai haluan yang sama, ada baiknya kita bergerak bersama. Tetapi, err… kapal ini berkemungkinan telah rosak.

“Aku akan cuba periksa keadaan kapal ini. Kalian berdua ikut aku ke atas.” Suhail bingkas berdiri.

“Tapi samudera itu tinggi, bagaimana kita hendak menaikinya. Tangganya sudah rosak.” Nealofa mencari akal.

“Kalau aku tidak dapat naik, bagaimana kami dapat selamatkan kau, Nealofa.” Suhail tersenyum. Nealofa tersenyum sendiri.

Suhail memaut Puteri Qaisara dan Nealofa. Dia membuat lonjakan tinggi lalu mendarat dengan kemas di lantai kapal. Nealofa terkejut kerana lelaki itu berupaya membuat lonjakan tinggi seperti itu.

“Kau sungguh hebat, Suhail.” Nealofa memuji ikhlas.

“Aku tidak sehebat yang kau sangkakan.” Suhail tetap merendah diri.

“Baik, kita kemas bahagian yang berselerak dan suhail cuba cari ikhtiar supaya kapal ini dapat bergerak.” Puteri Qaisara memintas perbualan mereka. Suhail segera beredar ke bahagian bawah kapal.

“Suhail.” Nealofa memanggil namanya. Suhail menoleh ke belakang.

“Kapal ini menggunakan bahan bakar untuk menghidupkan enjin, jika habis bekalan kapal ini masih dapat digerakkan dengan menggunakan layar.” Nealofa memberikan maklumat mengenai samudera itu.

SUHAIL berulang kali menghidupkan enjin kapal itu tetapi gagal. Dia segera melihat tempat bahan bakar itu terletak. Bahan bakar masih mencukupi. Kemudian, dia beralih ke arah bahagian-bahagian enjin. Ada beberapa komponen yang tercabut. Mujurlah dia mempunyai sedikit pengetahuan mengenai perkapalan kerana semasa di Mesir pun dia pernah mengendalikan kapal juga.

Enjin mengaum. Puteri Qaisara dan Nealofa terkejut dengan bunyi itu, namun kegembiraan juga terpancar di wajah. Suhail menaikkan jangkar kapal. Serta-merta kapal bergerak perlahan. permukaan pinggir lautan itu beriak. Kemudi kapal bergerak membawa mereka ke laut dalam.

Kelajuan kian bertambah. Arus mereka yang mengikuti arah angin memudahkan lagi perjalanan. Daratan Hutan Jalan Mati sudah ditinggalkan. Kelihatan berbalam-balam lalu perlahan hilang dari pandangan mata. Mereka menuju ke arah timur.

Di sana nanti, mereka akan berpisah. Membawa haluan dan tujuan masing-masing. Nealofa sangat bersyukur kerana telah diselamatkan oleh Suhail dan Puteri Qaisara. Manakala mereka berdua pula diselamatkan oleh samudera Nealofa. Kalau tidak, mereka akan mati terkurung di Jalan Mati itu. Jalan yang tidak ada penghujung. Berpatah balik amat melelahkan dan boleh membawa maut. Dan destinasi yang pasti adalah – Mati.

Previous: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.